Hotel bertaraf tiga bintang milik Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) berhampiran Masjid Abidin di sini tidak dapat beroperasi bulan lepas sepertimana yang dijadual.
Ketua Pegawai Eksekutif merangkap Setiausaha Maidam, Haji Wan Harujan Sulaiman berkata pembinaan hotel bernilai kira-kira RM40 juta itu mengalami sedikit kesulitan dan ia dijangka siap sepenuhnya menjelang Sepember.
"Mengikut jadual asal, hotel itu siap dibina dan memulakan operasi pada bulan April, tetapi oleh kerana ada beberapa perkara kemasan terakhir yang belum siap, kita tambahkan masa sehingga September ini," katanya.
Beliau berkata hotel setinggi tujuh tingkat dan mempunyai 180 bilik dengan bercirikan konsep Islam itu merupakan hotel yang pertama seumpama itu di bandar ini dan ia akan menjadi pemangkin ekonomi kepada Maidam pada masa akan datang.
Haji Wan Harujan berkata antara kemasan terakhir yang belum disiapkan ialah bilik yang akan disesuai dengan ciri-ciri Islam dan beberapa perkara lagi yang akan menjadi kelainan buat hotel itu.
"Kerja-kerja untuk mengubahsuai hotel yang buat masa ini dinamakan Hotel Wakaf akan memakan sedikit masa," katanya
Wan Harujan berkata pada dasarnya Maidam belum memutuskan nama sebenar hotel yang akan menjadi tarikan pelancong Islam ke negeri ini.
Beliau berkata hotel itu dibina bersebelahan Masjid Abidin bagi memudahkan umat Islam yang menginap di situ beribadah di masjid berkenaan.