Terpulang kepada dia (pembangkang), itu janji dalam pilihan raya hendak buat macam-macam, kata Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said sebagai mengulas cadangan Presiden Pas, Dato’ Seri Abdul Hadi Awang untuk meminda Perlembagaan Negara berhubung kedudukan agama Islam.
Menteri Besar yang juga Pengerusi Badan Perhubungan Umno Terengganu, berkata pembangkang khususnya Pas akan berjanji apa saja termasuk untuk meminda perlembagaan jika parti itu memenangi Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-13.
"Walaupun dalam Pakatan, ada masyarakat India, masyarakat Cina..Dia ingat orang (India dan Cina) itu setuju jika dia pinda perlembagaan. Cakap saja bolehlah (pinda perlembagaan). Cakap dengan orang Melayu lain, cakap depan orang Cina nada suara lain pula. Semuanya hipokrit," katanya di sidang media selepas Mesyuarat Mingguan Exco Negeri, semalam (2 Mei).
Laoran akhbar turut menyatakan Dato’ Seri Abdul Hadi berkata pakatan pembangkang akan meminda Perlembagaan negara yang ketika ini meletakkan Islam sebagai agama rasmi kepada Islam sebagai addin, iaitu yang merangkumi seluruh kehidupan manusia.
Presiden Pas itu berkata, Perlembagaan Persekutuan yang digunapakai di negara ini tidak menggunakan Islam sebagai Addin, malah ia dirangka oleh orang bukan Islam yang mempunyai ideologi dan teori manusia yang tidak adil kepada umat Islam.