Sektor pelancongan merupakan bidang yang diiktiraf kerajaan sebagai sumber utama pendapatan dan pemangkin kepada peningkatan ekonomi negara.
Malaysia meletakkan kedudukannya sebagai destinasi utama tarikan pelancong dengan menawarkan pelbagai tarikan bertaraf dunia seperti budaya dan warisan, eko-pelancongan, pusat mesyuarat, insentif, konvensyen dan pameran (MICE), membeli-belah, acara bertaraf dunia, pelancongan kesihatan dan pelbagai lagi pilihan kepada pelancong untuk diterokai serta dinikmati sebaik mungkin.
Bagaimanapun, usaha kerajaan bagi memastikan pertumbuhan sektor secara berterusan boleh terencat akibat sikap pihak yang tidak bertanggungjawab akhir-akhir ini yang mencetuskan pergolakan dan hura-hara dalam beberapa siri demonstrasi termasuk Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) 3.0, Sabtu lalu.
Kekangan kepada kehadiran pelancong yang direkodkan pada 2011, meningkat 137,128 daripada 24,714,324 berbanding 24,577,196 pada 2010 boleh terjadi seandainya suasana kacau bilau yang tercetus lantas mendapat liputan luas media massa seperti menggambarkan Malaysia bukan lagi sebuah negara yang selamat untuk dikunjungi.
Daripada jumlah peningkatan pelancong yang direkodkan itu juga, jumlah perbelanjaan turut bertambah sebanyak RM1.8 bilion kepada RM58.3 bilion berbanding RM56.5 bilion pada 2010. Sebagai tambahan, sektor itu juga menyumbang sebanyak RM37.4 bilion kepada Pendapatan Kasar Negara.
Malaysia dinobatkan sebagai antara 10 destinasi pelancongan yang terbaik di dunia oleh Lonely Planet, malah turut diumumkan sebagai destinasi pelancongan kedua terbaik di Asia oleh `Go Asia’, sebuah rangkaian pemasaran pelancongan yang khusus kepada rantau Asia, baru-baru ini.
Pencapaian cemerlang di peringkat antarabangsa ini menjadi bukti bahawa destinasi pelancongan negara kita kian mendapat tempat di kalangan pelancong antarabangsa dan reputasi itu harus dipertahankan sampai bila-bila.
Sumbangan sektor pelancongan kepada negara tidak dapat disangkal lagi, malah perlu dipacu secara intensif oleh semua pihak, bukan hanya dimainkan oleh penggiat industri pelancongan yang menjadi tulang belakang utama yang mempromosi Malaysia di pentas dunia, khususnya warga Kementerian Pelancongan dan Tourism Malaysia.
Usaha menjenamakan Malaysia di mata dunia itu terlalu besar maknanya. Bagaimanapun ia mungkin gagal bersinambungan jika terdapat anasir yang dicetuskan oleh puak berkepentingan seperti penganjur perhimpunan Bersih yang turut didalangi parti pembangkang sehingga mengenepikan soal keselamatan negara.
Pemimpin, mahupun pengikut perhimpunan `kotor' itu melanggar peraturan, membelakangkan kepentingan persekitaran, masyarakat dan negara demi menjayakan agenda mereka yang kononnya menuntut keadilan dalam sistem pilihan raya di negara ini.
Namun, sebalik `perjuangan’ mereka berhimpun, berdemonstrasi, `memperkudakan' ramai golongan wanita, belia dan kanak-kanak tempoh hari jelas bukan sekadar isu utama itu yang ditimbulkan, sebaliknya atas faktor didalangi sentimen politik, segelintir mereka bertindak di luar norma dan kewarasan manusia dengan mencederakan orang yang tidak berdosa.
Demonstrasi itu turut mengakibatkan pengusaha dan peniaga pelbagai sektor di sekitar kawasan berdekatan menanggung kerugian berjuta-juta ringgit.
Suasana menakutkan itu wajar dihentikan dan ditangani pucuk pimpinan negara dengan membawa mereka yang bersalah kepada hukuman mengikut perundangan yang setimpal mungkin,sekaligus memulihkan kembali reputasi Malaysia sebagai destinasi yang aman, selamat dan terbaik untuk dilawati.