Oleh FAUZI MOHD
Gambar ZULKIPLI PUTRA
Majlis perasmian Karnival Candat Sotong Harian Metro (KCSHM) 2012 melakar sejarah baru apabila diadakan serentak dengan pelancaran Kelab Berbasikal Harian Metro (MCC) yang disempurnakan Dato’ Seri Ahmad Said di Dataran Shahbandar, malam tadi.
Lebih bermakna, Menteri Besar turut berbasikal sembilan kilometer sekitar bandar raya ini bersama lebih 500 peserta yang datang dari seluruh negeri.
Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan negeri, Dato’ Abdul Rahin Mohd Said dan Pengarang Kumpulan Harian Metro, Dato’ Mustapa Omar.
Pertandingan candat sotong yang bermula jam 5 petang ini dan berakhir jam 7 pagi Ahad disertai lebih 300 peserta termasuk kategori korporat dan individu dari seluruh negara.
Karnival yang dianjurkan dengan kerjasama kerajaan negeri itu mula diadakan pada 2010 di Dungun dan disenaraikan sebagai satu acara dalam kalendar pelancongan Terengganu bermula tahun ini.
Tahun lalu, ia mencatat sejarah tersendiri apabila majlis pelepasan peserta disempurnakan Perdana Menteri, Dato’ Seri Najib Razak di Pulau Duyong, Kuala Terengganu.
Selain pertandingan mencandat sotong di laut, tapak karnival di Dataran Shahbandar juga berlangsung meriah dengan pelbagai program menarik disusun hingga esok.
Selain aktiviti gerai penaja dan sisipan Harian Metro, karnival itu melibatkan pertandingan dan pertunjukan audio kereta, pertandingan mewarna kanak-kanak, karaoke serta pertunjukan motosikal klasik.
Malam ini juga akan berlangsung konsert bertemakan ‘Riuh Di Laut, Riuh Di Darat’ di Dataran Shahbandar yang menampilkan persembahan artis popular tanah air iaitu Kumpulan May, Yantzen, Black Mentor, Ana Raffali serta Mat Over.