Halaman

05 May 2012

Jaguh trek negara nekad lebur dominasi badminton

Oleh: Aida Abd Rahman

Nada optimis dizahirkan jaguh berbasikal trek negara, Azizulhasni Awang untuk meraih pingat buat negara dan negeri tercinta, di Sukan Olimpik London Julai depan.

Kejayaan itu juga penting buatnya untuk memastikan sukan berbasikal mampu memecahkan dominasi sukan badminton yang sering membawa pulang pingat di temasya sukan berprestij dunia itu.

“Berdasarkan prestasi semasa, saya yakin mampu bawa pulang pingat. Memandangkan badminton selalu sahaja berjaya ke Olimpik dan berjaya membawa pulang pingat, kali ini saya berazam untuk memastikan sukan berbasikal pula dapat memenangi pingat di Olimpik nanti,” katanya.

Azizulhasni menyifatkan penyertaan di Sukan Olimpik Beijing pada 2008 sebagai pendedahan awal untuk menimba pengalaman dan bukan semata-mata mengejar kemenangan.

“Jika dulu, sewaktu mewakili negara pertama kali di Olimpik Beijing (2008) saya lebih menimba pengalaman dan kali ini saya nekad untuk meraih pingat, terutama pingat emas untuk negara dan juga Terengganu,” katanya di Majlis Penyampaian Insentif Khas Olimpian Anak Terengganu London 2012 baru-baru ini.

Keyakinan itu turut dilontarkan ratu trek negara, Fatehah Mustapa yang akan berjuang habis-habisan bagi memastikan peluang pertama kali beraksi di sukan dunia itu dapat direalisasikan dengan menghadiahkan pingat buat negara.

“Saya mahu menang di peringkat awal terlebih dahulu, seterusnya mara ke saringan berikutnya. Kemudian bolehlah mensasarkan kemenangan di persaingan akhir. Cabaran pastinya berat, namun saya bersedia untuk mengatasinya dan mencipta kejayaan sulung di temasya berprestij itu nanti,” kata anak kelahiran Kampung Langgar, Kuala Berang itu lagi.

Selain Azizulhasni dan Fatehah, tiga atlet yang mengesahkan penyertaan ke Olimpik adalah dua atlet memanah, Khairul Anuar Mohamad dan Nurul Syafiqah Hashim serta Mohamad Azwar Bakar@Ibrahim (atlet paralimpik acara ping pong).