Halaman

02 May 2012

Iman, Amal terima RM 31,000 bantuan Tabung Penyakit Kronik

Oleh FAUZI MOHD

Anak kecil, Iman Adam Raman, 9, yang terlantar lumpuh di rumahnya di Kampung Kebor Besar, Manir, di sini menerima bantuan berjumlah RM15,600 daripada kerajaan negeri menerusi peruntukan Tabung Penyakit Kronik.



Bantuan itu memberi makna cukup besar buat bapanya, Raman Abdullah, 59 serta ibu, Nik Aini Mohd., 52 bagi membantu meringankan beban keluarga berkenaan menyediakan keperluan Iman.

Anak bongsu dari sembilan beradik itu lumpuh setelah melalui detik hitam menjadi mangsa langgar lari sebuah motosikal pada Mei tahun lalu sewaktu melintas jalan menuju sebuah kedai di Kampung Kubang Jela, Manir.

Ekoran kejadian itu kata Raman, Iman mengalami kecederaan parah di kepala, badan dan patah kaki dan anaknya itu pernah dirawat dan terlantar koma di Hospital Sultanah Nur Zahirah selama tujuh bulan.

“Sebagai bapa, saya masih menyimpan harapan untuk melihat Iman kembali riang dan boleh belajar seperti biasa walaupun pihak perubatan memaklumkan dia akan terlantar seumur hidup.

“Saya bersyukur dan mengucapkan terima kasih kepada kerajaan negeri serta Menteri Besar (Dato’ Seri Ahmad Said) yang sebelum ini pernah mengunjungi keluarga kami,” katanya kepada pemberita semalam.

Terdahulu, Raman yang bekerja sebagai renjer hutan menerima cek bantuan Tabung Penyakit Kronik yang disampaikan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Teluk Pasu, Dato’ Abdul Rahin Mohd. Said di rumahnya.

Dato’ Abdul Rahin turut menyampaikan bantuan berjumlah RM15,600 daripada tabung yang sama kepada Marzuki Mustafa, 43, bapa kepada Amal Haris, 7 yang terlantar di rumahnya di kampung yang sama akibat lemas semasa dilahirkan.

Sementara itu, Dato’ Abdul Rahin meminta masyarakat agar melaporkan kes-kes penyakit kronik yang begitu mendesak kepada kerajaan negeri agar pesakit dapat dibantu melalui tabung berkenaan.

"Kepada mereka yang tergolong dalam kumpulan yang wajar mendapat bantuan, jangan biar lama sehingga ke tahap yang boleh mengancam nyawa, " katanya yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan negeri.