Halaman

02 May 2012

Wajarkah pembangkang anti polis?

Oleh: Kamarudin Mat Akib

“Saban hari bila-bila waktu yang kritikal seperti Bersih ini (perhimpunan Bersih 3.0), saya sering terfikir apakah ini lambaian dan ciuman ayah untuk kali terakhir kerana ayah akan berdepan dengan makhluk-makhluk yang begitu bencikan tugas ayah,” demikian rintihan seorang anak polis yang disiarkan di dalam sebuah blog.

Seterusnya, anak anggota polis itu menulis “Apakah tugas anggota polis itu terlalu hina di mata puak pembangkang? Apakah selama ini rezeki yang ayah dan anggota polis dapat selama ini untuk menyara hidup anak isteri mereka adalah rezeki tidak halal semata-mata mereka bekerja untuk kerajaan yang dipilih oleh rakyat?”.

Berlinangan air mata penulis tatkala membaca baris demi baris artikel yang sarat dengan rintihan anak anggota polis berhubung penghinaan dan kekejaman yang terpaksa dihadapi pasukan polis selama ini.

Begitu perit nasib yang terpaksa dialami bukan saja oleh anggota polis, tetapi isteri, anak-anak dan kaum keluarga mereka turut menerima tempias akibat perbuatan segelintir warganegara yang ‘buta hati dan buta mata’ terhadap tugas dan tanggungjawab anggota polis.

Banyak sudah insiden pilu yang terpaksa dihadapi anggota polis sewaktu melaksanakan tugas mereka menjaga keamanan dan keselamatan negara.

Peristiwa anggota polis dipukul dan kereta polis diterbalikkan dalam rusuhan anjuran pembangkang sewaktu Perhimpunan Bersih 3.0 kelmarin, sekadar menambah bilangan kes polis dianiayai walaupun mereka tidak bersalah.

Seluruh rakyat negara ini amat sedih dengan peristiwa itu, apatah lagi mengenangkan nasib anggota polis serta ahli keluarga mereka yang saban waktu terpaksa berdepan dengan pelbagai kemungkinan akibat rusuhan yang dirancang parti pembangkang.

Rasa benci dan kemarahan orang ramai terhadap anggota polis seperti yang didedahkan anak anggota polis menerusi blog berkenaan, tercetus kerana perbuatan pemimpin pembangkang yang mengapi-apikannya dalam ceramah-ceramah mereka.

Boleh dikatakan dalam ceramah mereka, pemimpin pembangkang akan mengeluarkan perkataan seperti ‘anjing kerajaan’ , ‘barua’, ‘pencacai’ dan bermacam-macam gelaran buruk kepada polis.

Mereka mahu rakyat membenci kerajaan dan pada masa yang sama membuat tohmahan bahawa anggota polis menjadi ‘tali barut’ kerajaan.

Pemimpin pembangkang tidak ada isu yang jelas dan fakta sahih untuk memburuk-burukkan kerajaan, lalu mereka membuat fitnah dan mereka-reka cerita bagi menimbulkan rasa benci rakyat kepada kerajaan dan mengheret sekali polis dan pasukan keselamatan lain.

Sebagai warganegara yang masih berfikiran waras dan mampu menilai yang mana intan yang mana kaca, kita semua perlu bertindak dari sekarang sebelum keadaan bertambah buruk.

Jangan biarkan anggota polis, isteri, anak-anak dan kaum keluarga mereka dihina oleh puak pembangkang.

Sesungguhnya anggota polis terlalu banyak berjasa dalam mempertahankan keselematan negara dan mereka wajar mendapat penghormatan daripada semua pihak.