Halaman

29 April 2012

Kekal kestabilan politik, pembangunan bersinambungan

Oleh: Aida Abd Rahman

Kerajaan Barisan Nasional (BN) sentiasa berusaha mengekalkan kestabilan politik supaya agenda pembangunan yang berteraskan `Merakyat Pentadbiran dan Pembangunan’ dapat bersinambungan.



“Macam-macam kerajaan (BN) bagi kepada rakyat..e-Book, dana raya RM300.. Bantuan rakyat 1Malaysia RM500 daripada Kerajaan Pusat..Malah, baru-baru ini kita menaikkan had pendapatan daripada RM1,500 kepada RM2,000 ke bawah layak mendapat dana raya..dengan harapan lebih ramai mendapat bantuan itu di negeri ini.

“Yang terbaru kita meluluskan Skim Pinjaman Perumahan Rakyat Terengganu berjumlah RM50 juta pada pusingan pertama. Baru-baru ini dewan (persidangan Dewan Undangan Negeri) meluluskan cara dan kaedah menggunakan dana itu. Borang akan dikeluarkan menerusi SEDC (Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri Terengganu) yang terbuka kepada mereka yang tidak layak meminjam dengan bank ,” kata menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said di majlis bersama penduduk Dewan Undangan Negeri (DUN) Wakaf Mempelam, semalam (28 April).



Menteri Besar berkata, kerajaan turut menyediakan peruntukan RM1 juta setiap DUN bagi membantu penduduk membaiki rumah dan atap rosak di mana penduduk terlibat perlu menemui Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) atau Pegawai Pembangunan DUN masing-masing bagi memaklumkan masalah itu.

“Ada rumah rosak, ada rumah bocor..ada rumah warna merah bukan sebab cat warna merah tetapi atap zink warna merah disebabkan berkarat. Ini kita hendak selesaikan. Selain bantuan untuk bidang pendidikan yang terlalu banyak dilaksanakan.. Terlalu banyak jasa dan sumbangan kerajaan BN kepada rakyat negeri ini.

“Kita bukan sahaja merupakan sebuah negara kebajikan, bahkan negeri Terengganu yang berkebajikan..Kerajaan Terengganu tanggung RM45 juta, Kerajaan Pusat sediakan RM40 juta. Bermakna RM85 juta kita agihkan untuk menjaga kebajikan rakyat negeri ini setiap tahun,” katanya.

Menurut beliau, penduduk di kawasan pembangkang termasuk di DUN Wakaf Mempelam yang sudah 33 tahun berada di tangan Pas perlu menilai semula segala kemudahan dan manfaat yang mereka nikmati sejak dulu hingga sekarang adalah hasil usaha dan kepimpinan kerajaan BN.

“Apakah wakil rakyat Pas buat di Wakaf Mempelam..siapa buat masjid.. siapa buat surau..siapa buat balai raya.. siapa buat jalan..siapa bagi bantuan RM500..RM300..bantuan pakaian sekolah, buku teks percuma, e-Book percuma, dana raya..macam-macam kita beri. Semua Umno dan BN sediakan. Pas tengok saja.

“Masalahnya apabila pilihan raya (DUN Wakaf Mempelam) menang Pas. Padahal Pas hanya ada ranting, Umno ada cawangan. Tetapi kalah cawangan sebab (pengundi ) `kecek’ (tipu) kita..ramai di depan ini kecek kita,” katanya.

Beliau berkata, penduduk yang sebelum ini menyokong pembangkang perlu bertindak lebih rasional dan berubah sikap dengan memilih kerajaan BN bagi memastikan agenda membela nasib rakyat dan pembangunan dapat diteruskan dengan lancar selepas PRU Ke-13 nanti.