Halaman

02 May 2012

Klinik Kesihatan Padang Luas beroperasi Ogos depan

Oleh: Mohammad Ishak

Masalah kesesakkan pesakit untuk mendapat rawatan di Hospital Besut (HB) dijangka dapat di atasi apabila sebuah Klinik Kesihatan baru akan dibuka kepada penduduk daerah Besut.


Klinik Kesihatan Padang Luas terletak kira-kira lima kilomter dari Hospital Besut akan beroperasi pada Ogos depan bagi menampug keperluan pesakit luar.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan,Perpaduan dan Hal Ehwal Pengguna Negeri, Dr A Rahman Mokhtar berkata, klinik berharga RM18 juta itu mempunyai pelbagai kemudahan untuk merawat pesakit.

Katanya, ia akan menempatkan dua doktor, seorang doktor gigi dan dua ambulan bagi memberi perkhidmatan kepada penduduk terutama di kawasan Seberang Jertih.

Dr A Rahman yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Besut berkata, pembukaan klinik itu diharap dapat mengurangkan jumlah pesakit yang pergi mendapatkan rawatan di Hospital Besut.

“Klinik Kesihatan itu sepatutnya boleh digunakan pada awal tahun ini tetapi berlaku kelewatan menyiapkannya menyebabkan ia tertangguh,” katanya ketika melawat kerja-kerja pembinaan klinik berkenaan.

Menurutnya,klinik yang terletak di tengah laluan utama Jertih ke Kota Bharu,Kelantan itu bukan sahaja menjadi tempat rujukkan penduduk di kawasan Seberang Jertih malah mereka yang tinggal di sempadan daerah Besut dengan Pasir Puteh,Kelantan akan mendapat faedah sama.

Dominasi perlawanan, namun kecundang

Oleh: Aida Abd Rahman

Terengganu lebih mendominasi sepanjang perlawanan malam tadi, bagaimanapun ternyata nasib tidak menyebelahi pasukan kita, kata Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said.



“Kita sudah kalah, nak buat macam mana..Kita `control game’ tetapi gagal menghasilkan gol, nasib kita kurang baik pula sudah lah kita kena di sini (Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah) 1-2, pergi sana pula padang basah.Doe (Francis Forkey Doe) bukan boleh main di padang basah, dia tidak pernah main di padang basah macam itu.

"Pasukan kita mempunyai pemain yang terhad, Abdul Manaf (Mamat) tidak boleh main (cedera), walaupun ramai pemain Malaysia dari pasukan Terengganu tetapi semua cedera,” katanya sebagai mengulas kegagalan Terengganu melangkah ke final selepas terikat 0-0 dalam perlawanan menentang Sime Darby, di Stadium Selayang, malam tadi.

Sime Darby yang berkelebihan 2-1 secara agregat mara ke perlawanan akhir menentang Kelantan 19 Mei ini.

Skuad kendalian Mat Zan Mat Aris gagal mengulangi rekod untuk mara ke pentas final buat kali kedua berturut-turut selepas buntu menjelmakan gol ke gawang Sime Darby walaupun lebih banyak mengasak pada separuh masa pertama.

Menteri Besar berkata, beberapa siri perlawanan yang terpaksa dilalui pemain terlalu padat seperti Piala FA, Liga Super dan Piala AFC juga menyebabkan kebanyakan pemain tidak sempat untuk pulih sepenuhnya daripada kecederaan dan kembali cerdas untuk mengharungi perlawanan yang lebih penting.



Semua jentera diminta bantu BN

Oleh: Suriati Ali

Semua jentera BN termasuk golongan muda diminta bersama-sama perkemas barisan bagi membantu parti itu mengekalkan kemenangan serta merampas kembali kawasan yang dikuasai parti pembangkang.

Barisan Nasional (BN) yakin hasil kerjasama semua sayap dalam parti, kerajaan di bawah kepimpinan Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Said pasti mendapat sokongan penuh daripada seluruh rakyat yang cintakan keamaman.

Ketua Penerangan Umno Terengganu YB Haji Ahmad Razif Abdul Rahman berkata, pihaknya tidak mahu semangat ahli-ahli itu bermusim terutama ketika menjelang pilihan raya saja, sebaliknya terus mendokong semangat kerjasama bersama sayap lain.

“Kerajaan memperjuangkan kepentingan bangsa Melayu dan sebarang usaha menganggu hak keistimewaan kaum Bumiputera mesti dipertahankan.

“Kita perlu bekerja keras mendekati dan memberi penerangan kepada rakyat, terutama golongan muda yang mungkin tidak begitu menghayati apa yang diperjuangkan oleh pemerintah hari ini,” katanya.

YB Razif turut memberitahu penerangan Umno negeri membuat penerangan berterusan untuk meneruskan penyampaian maklumat kepada rakyat di setiap peringkat Dewan Undangan Negeri di Terengganu, sebagai persiapan awal menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) ke 13.

“Apabila maklumat sampai kepada rakyat, membolehkan mereka tahu apa sebenarnya yang sedang, telah dan akan dilakukan oleh pihak kerajaan di bawah kepimpinan Barisan Nasional (BN) untuk masa depan mereka.

“Pada masa yang sama penerangan juga perlu diberikan kepada rakyat tentang kepalsuan pembangkang yang berjuang semata-mata untuk mendapat kuasa, tetapi gagal membela rakyat dan mentadbir negeri bila diberikan kuasa,” katanya.





Operasi hotel milik Maidam ditangguh

Oleh: Suriati Ali

Hotel bertaraf tiga bintang milik Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) berhampiran Masjid Abidin di sini tidak dapat beroperasi bulan lepas sepertimana yang dijadual.

Ketua Pegawai Eksekutif merangkap Setiausaha Maidam, Haji Wan Harujan Sulaiman berkata pembinaan hotel bernilai kira-kira RM40 juta itu mengalami sedikit kesulitan dan ia dijangka siap sepenuhnya menjelang Sepember.

"Mengikut jadual asal, hotel itu siap dibina dan memulakan operasi pada bulan April, tetapi oleh kerana ada beberapa perkara kemasan terakhir yang belum siap, kita tambahkan masa sehingga September ini," katanya.

Beliau berkata hotel setinggi tujuh tingkat dan mempunyai 180 bilik dengan bercirikan konsep Islam itu merupakan hotel yang pertama seumpama itu di bandar ini dan ia akan menjadi pemangkin ekonomi kepada Maidam pada masa akan datang.

Haji Wan Harujan berkata antara kemasan terakhir yang belum disiapkan ialah bilik yang akan disesuai dengan ciri-ciri Islam dan beberapa perkara lagi yang akan menjadi kelainan buat hotel itu.

"Kerja-kerja untuk mengubahsuai hotel yang buat masa ini dinamakan Hotel Wakaf akan memakan sedikit masa," katanya

Wan Harujan berkata pada dasarnya Maidam belum memutuskan nama sebenar hotel yang akan menjadi tarikan pelancong Islam ke negeri ini.

Beliau berkata hotel itu dibina bersebelahan Masjid Abidin bagi memudahkan umat Islam yang menginap di situ beribadah di masjid berkenaan.



Kerajaan lulus 250 lot tanah dari empat RTB

Oleh: Aida Abd Rahman

Kerajaan negeri meluluskan 250 lot tanah tapak rumah dan pertanian buah-buahan daripada empat Rancangan Tanah Berkelompok (RTB) untuk diagihkan kepada 250 penduduk di seluruh Terengganu.



Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, berkata daripada jumlah itu, sebanyak 101 daripada 116 lot RTB Alor Ketitir (Mukim Merchang) (kekosongan 15 lot), manakala 61 daripada 64 lot di RTB Susun Atur Perpindahan Tapak Rumah Kampung Pulau Rusa (Mukim Merchang) (kekosongan tiga lot).

“Ketiga, RTB Pertanian Paya Gelugor, Kampung Jenagor (Mukim Jenagor) Hulu Terengganu akan diagihkan 30 daripada 44 lot dan masih ada kekosongan 14 lot dan keempat, RTB pertanian buah-buahan, Kampung Hulu Sat, (Mukim Hulu Telemong) diagihkan kepada 58 peserta daripada 70 lot keseluruhan (kekosongan 12 lot).

“Kesemua lot dan tapak rumah yang diluluskan kerajaan negeri sebanyak 250 lot. Sepertimana baru-baru ini, sebanyak 15,000 lot sudah kita agihkan, 6,000 lebih tapak pertanian dan selebihnya tapak rumah. Jumlah terbaru ini tambahan kepada jumlah sedia ada itu,” katanya di sidang media selepas Mesyuarat Mingguan Exco Negeri Terengganu, Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu, petang ini .

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Mazlan Ngah.

Menteri Besar berkata, kerajaan negeri meluluskan permohonan pemilikan tanah kepada penduduk yang belum memiliki tanah dan menolak permohonan penduduk yang sudah mempunyai tanah kerajaan bagi memastikan pendekmorasian tanah dilaksanakan di seluruh Terengganu.

Katanya, Pejabat Tanah Daerah akan menjalankan kerja ukur dan pecah sempadan mengikut lot masing-masing sebelum mengeluarkan geran hak milik sementara kepada penduduk yang layak sebaik sahaja tapak tanah berkenaan diluluskan oleh kerajaan negeri.

“Kita akan proses (pemberian tanah kerajaan) dari masa ke semasa, sebagaimana kita buat baru-baru ini di (Jenagor) Hulu Terengganu. Daerah-daerah lain juga sudah diagihkan (geran) oleh wakil rakyat masing-masing secara berperingkat-peringkat,” katanya.



Promo Teganu Kita @ Tv3! (Setiap Khamis - 6.00 petang)




Daftar pemilih tambahan boleh disemak mulai hari ini – SPR

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mula mempamerkan senarai Rang Daftar Pemilih Tambahan Suku Tahun Pertama 2012 di 952 tempat di seluruh negara selama 14 hari bermula hari ini.

SPR dalam satu kenyataan di sini memaklumkan, senarai itu dipamerkan selaras dengan kehendak Peraturan 13(5), Peraturan-Peraturan Pilihan Raya (Pendaftaran Pemilih) 2002.

Ia dipamerkan di Pejabat Pilihan Raya Negeri di 15 tempat, Pejabat Pos Berkomputer (451), Kompleks/Pejabat Kerajaan (86), Pejabat Daerah/Pejabat Tanah (124), Majlis Daerah/Perbandaran (48), Dewan Serbaguna/Rukun Tetangga/Balai Raya/Penghulu/Dewan (194) dan lain-lain tempat (34).

Menurut suruhanjaya itu, semakan juga boleh dibuat melalui laman web SPR di www.spr.gov.my.

Menurut SPR, sebanyak 289,255 permohonan pendaftaran pemilih baru dan 104,430 permohonan untuk pertukaran alamat pusat mengundi daripada pemilih yang sedia berdaftar telah diterima bagi tiga bulan pertama tahun ini.

"Warganegara Malaysia yang baru memohon menjadi pemilih atau mana-mana pemilih berdaftar yang telah memohon untuk pertukaran alamat pusat mengundi dinasihat supaya menyemak senarai tersebut," menurut SPR.

Suruhanjaya itu memaklumkan warganegara yang baru berdaftar sebagai pemilih tetapi mendapati nama mereka tidak tersenarai boleh membuat tuntutan dengan menggunakan Borang B.

Sementara bagi pemilih berdaftar yang hendak membuat bantahan terhadap kemasukan nama mana-mana orang dalam Rang Daftar Pemilih itu boleh mengisi Borang C dan tidak melebihi 20 orang, kata kenyataan itu.

Borang tersebut hendaklah dikemukakan kepada Pendaftar (Pengarah Pilihan Raya Negeri) bagi kawasan pendaftaran yang berkenaan pada hari bekerja dalam tempoh Rang Daftar Pemilih tersebut dipamerkan.

"Nasihat SPR bagi mereka yang ingin membuat bantahan, pastikan bantahan itu adalah berdasarkan kepada alasan yang kukuh dan tidak dibuat secara melulu," kata kenyataan itu.

SPR memaklumkan bahawa suruhanjaya itu tidak mempamerkan senarai nama yang akan dipotong dari Daftar Pemilih yang telah hilang kelayakan seperti meninggal dunia, lucut hak warganegara dan sebagainya.

"Bagaimanapun, untuk memudahkan parti politik membuat semakan kepada senarai nama itu, SPR akan mengedarkan cakera padat (CD) yang mengandungi senarai nama yang akan dipotong kepada parti-parti politik," katanya.

Sebarang pertanyaan boleh menghubungi ibu pejabat SPR di talian 03-8885 6565 atau faks 03-88889117 atau menghubungi mana-mana Pejabat Pilihan Raya Negeri.




Rakyat Terengganu tidak sabar mendengar amanat Tun Mahathir

Rakyat Terengganu tertunggu-tunggu untuk mendengar amanat dan pesanan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mengenai perkembangan mutakhir politik tanah air.

Bekas pemimpin yang disegani bukan saja di negara ini, tetapi di peringkat antarabangsa itu, akan menyampaikan ucaputama pada Program Bicara Negarawan Bersama Tun Dr Mahathir Mohamad, di Stadium Tertutup, Kompleks Sukan Negeri, Gong Badak, Kuala Terengganu, kira-kira jam 10 pagi esok.

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said bakal merasmikan program anjuran kerajaan negeri dengan kerjasama Terengganu Integrity & Strategic Studies Institute (T-ISSI) itu.

Tun Dr Mahathir dijadualkan menyampaikan ucapan dan syarahan bertajuk `Cabaran Umat Islam Masa Kini:Persepsi dan Realiti’ yang akan mengupas isu berkaitan secara lebih lanjut dengan bahasa yang menarik.

Kira-kira 5,000 orang dijangka hadir pada program ilmiah yang bakal berlangsung selama tiga jam itu bagi mendapatkan gambaran sebenar dan lebih dekat mengenai isu-isu politik semasa.

Orang ramai dijemput hadir dan mengemukakan soalan ketika sesi soal jawab, sebaik selesai ucapan Tun Dr Mahathir, bagi mendapatkan gambaran sebenar politik tanahair dari persepsi bekas Perdana Menteri itu.

Dr Mahathir memang terkenal dengan ucapan bernas kerana beliau sememangnya amat kaya dengan pengalaman dan cabaran sepanjang pentadbirannya memerintah negara.




Iman, Amal terima RM 31,000 bantuan Tabung Penyakit Kronik

Oleh FAUZI MOHD

Anak kecil, Iman Adam Raman, 9, yang terlantar lumpuh di rumahnya di Kampung Kebor Besar, Manir, di sini menerima bantuan berjumlah RM15,600 daripada kerajaan negeri menerusi peruntukan Tabung Penyakit Kronik.



Bantuan itu memberi makna cukup besar buat bapanya, Raman Abdullah, 59 serta ibu, Nik Aini Mohd., 52 bagi membantu meringankan beban keluarga berkenaan menyediakan keperluan Iman.

Anak bongsu dari sembilan beradik itu lumpuh setelah melalui detik hitam menjadi mangsa langgar lari sebuah motosikal pada Mei tahun lalu sewaktu melintas jalan menuju sebuah kedai di Kampung Kubang Jela, Manir.

Ekoran kejadian itu kata Raman, Iman mengalami kecederaan parah di kepala, badan dan patah kaki dan anaknya itu pernah dirawat dan terlantar koma di Hospital Sultanah Nur Zahirah selama tujuh bulan.

“Sebagai bapa, saya masih menyimpan harapan untuk melihat Iman kembali riang dan boleh belajar seperti biasa walaupun pihak perubatan memaklumkan dia akan terlantar seumur hidup.

“Saya bersyukur dan mengucapkan terima kasih kepada kerajaan negeri serta Menteri Besar (Dato’ Seri Ahmad Said) yang sebelum ini pernah mengunjungi keluarga kami,” katanya kepada pemberita semalam.

Terdahulu, Raman yang bekerja sebagai renjer hutan menerima cek bantuan Tabung Penyakit Kronik yang disampaikan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Teluk Pasu, Dato’ Abdul Rahin Mohd. Said di rumahnya.

Dato’ Abdul Rahin turut menyampaikan bantuan berjumlah RM15,600 daripada tabung yang sama kepada Marzuki Mustafa, 43, bapa kepada Amal Haris, 7 yang terlantar di rumahnya di kampung yang sama akibat lemas semasa dilahirkan.

Sementara itu, Dato’ Abdul Rahin meminta masyarakat agar melaporkan kes-kes penyakit kronik yang begitu mendesak kepada kerajaan negeri agar pesakit dapat dibantu melalui tabung berkenaan.

"Kepada mereka yang tergolong dalam kumpulan yang wajar mendapat bantuan, jangan biar lama sehingga ke tahap yang boleh mengancam nyawa, " katanya yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan negeri.


Demonstrasi jejas reputasi pelancongan negara

Oleh: Aida Abd Rahman

Sektor pelancongan merupakan bidang yang diiktiraf kerajaan sebagai sumber utama pendapatan dan pemangkin kepada peningkatan ekonomi negara.



Malaysia meletakkan kedudukannya sebagai destinasi utama tarikan pelancong dengan menawarkan pelbagai tarikan bertaraf dunia seperti budaya dan warisan, eko-pelancongan, pusat mesyuarat, insentif, konvensyen dan pameran (MICE), membeli-belah, acara bertaraf dunia, pelancongan kesihatan dan pelbagai lagi pilihan kepada pelancong untuk diterokai serta dinikmati sebaik mungkin.

Bagaimanapun, usaha kerajaan bagi memastikan pertumbuhan sektor secara berterusan boleh terencat akibat sikap pihak yang tidak bertanggungjawab akhir-akhir ini yang mencetuskan pergolakan dan hura-hara dalam beberapa siri demonstrasi termasuk Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) 3.0, Sabtu lalu.

Kekangan kepada kehadiran pelancong yang direkodkan pada 2011, meningkat 137,128 daripada 24,714,324 berbanding 24,577,196 pada 2010 boleh terjadi seandainya suasana kacau bilau yang tercetus lantas mendapat liputan luas media massa seperti menggambarkan Malaysia bukan lagi sebuah negara yang selamat untuk dikunjungi.

Daripada jumlah peningkatan pelancong yang direkodkan itu juga, jumlah perbelanjaan turut bertambah sebanyak RM1.8 bilion kepada RM58.3 bilion berbanding RM56.5 bilion pada 2010. Sebagai tambahan, sektor itu juga menyumbang sebanyak RM37.4 bilion kepada Pendapatan Kasar Negara.

Malaysia dinobatkan sebagai antara 10 destinasi pelancongan yang terbaik di dunia oleh Lonely Planet, malah turut diumumkan sebagai destinasi pelancongan kedua terbaik di Asia oleh `Go Asia’, sebuah rangkaian pemasaran pelancongan yang khusus kepada rantau Asia, baru-baru ini.

Pencapaian cemerlang di peringkat antarabangsa ini menjadi bukti bahawa destinasi pelancongan negara kita kian mendapat tempat di kalangan pelancong antarabangsa dan reputasi itu harus dipertahankan sampai bila-bila.

Sumbangan sektor pelancongan kepada negara tidak dapat disangkal lagi, malah perlu dipacu secara intensif oleh semua pihak, bukan hanya dimainkan oleh penggiat industri pelancongan yang menjadi tulang belakang utama yang mempromosi Malaysia di pentas dunia, khususnya warga Kementerian Pelancongan dan Tourism Malaysia.

Usaha menjenamakan Malaysia di mata dunia itu terlalu besar maknanya. Bagaimanapun ia mungkin gagal bersinambungan jika terdapat anasir yang dicetuskan oleh puak berkepentingan seperti penganjur perhimpunan Bersih yang turut didalangi parti pembangkang sehingga mengenepikan soal keselamatan negara.

Pemimpin, mahupun pengikut perhimpunan `kotor' itu melanggar peraturan, membelakangkan kepentingan persekitaran, masyarakat dan negara demi menjayakan agenda mereka yang kononnya menuntut keadilan dalam sistem pilihan raya di negara ini.

Namun, sebalik `perjuangan’ mereka berhimpun, berdemonstrasi, `memperkudakan' ramai golongan wanita, belia dan kanak-kanak tempoh hari jelas bukan sekadar isu utama itu yang ditimbulkan, sebaliknya atas faktor didalangi sentimen politik, segelintir mereka bertindak di luar norma dan kewarasan manusia dengan mencederakan orang yang tidak berdosa.

Demonstrasi itu turut mengakibatkan pengusaha dan peniaga pelbagai sektor di sekitar kawasan berdekatan menanggung kerugian berjuta-juta ringgit.

Suasana menakutkan itu wajar dihentikan dan ditangani pucuk pimpinan negara dengan membawa mereka yang bersalah kepada hukuman mengikut perundangan yang setimpal mungkin,sekaligus memulihkan kembali reputasi Malaysia sebagai destinasi yang aman, selamat dan terbaik untuk dilawati.