Halaman

05 May 2012

Pesara kakitangan kerajaan aset penting negara


Oleh: Mohammad Ishak

Golongan pesara terutama bekas kakitangan kerajaan tidak akan dipinggirkan sebaliknya mereka yang menjadi ahli persatuan akan dibela dan diberi perhatian kerajaan negeri.

Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Dato' Haji Mazlan Ngah berkata, pesara dianggap penting kerana mereka juga mampu memberi sumbangan kepada kerajaan malah menjadi aset penting kepada negara.

Katanya,walapun sudah meninggalkan jawatan dalam kerajaan tetapi golongan pesara yang mempunyai banyak pengalaman boleh membantu usaha kerajaan dalam pelbagai bidang.

“Oleh itu semua bekas pesara diminta menyertai Persatuan Pesara Kakitangan Kerajaan bagi memudahkan pihak berkuasa menyalurkan bantuan,” katanya ketika menemui rombongan Ahli Jawatankuasa Pesara Kerajaan di Wisma Darul Iman.

Rombongan diketuai yang Dipertua PPKT,Datuk Abu Bakar Abdullah itu juga menyampaikan beberapa cadangan kepada kerajaan negeri bagi membantu nasib pesara.

Antara yang terkandung dalam memorandum itu termasuk meminta kerajaan menyediakan dana khas pentadbiran, penganugerahan pingat, menunaikan haji dan umrah dan lawatan.

Mazlan ketika mengalu-alukan rombongan itu berjanji akan mengemukakan cadangan persatuan kepada pengetahuan Menteri B esar,Datuk Seri Ahmad Said untuk dipertimbangkan.

Dalam perkembangan lain Mazlan berkata, beliau bersetuju dengan cadangan persatuan berkenaan untuk mengadakan sesi pertemuan dan majlis makan malam bersama pimpinan kerajaan negeri bagi mengeratkan hubungan dua hala antara kerajaan dan bekas pesara.

208 mangsa ribut DUN Bukit Payong dibantu


Oleh FAUZI MOHD dan AMIRULLAH OTHMAN
Gambar oleh AMIRULLAH OTHMAN

Nasib mangsa-mangsa ribut yang melanda sekitar Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Payong, Marang mendapat perhatian Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Said yang berjanji bantuan segera akan dihulurkan kepada golongan berkenaan.

Dalam kejadian kira-kira pukul 3 petang semalam, 208 buah rumah mengalami kerosakan yang membabitkan 105 buah rumah di Kampung Undang, Kampung Laut (17 buah), Kampung Belukar Jambu (4 buah) dan Kampung Surau Panjang (10 buah).



Turut terjejas, Kampung Tok Dir (6 buah) Kampung Mak Kemas (25 buah), Kampung Padang Pak Su Man (23 buah) dan Kampung Batu 9 (18 buah).

Dato’ Seri Ahmad memberitahu, bantuan daripada pihak kerajaan negeri, Jabatan Kebajikan Masyarakat serta pihak lain yang prihatin dapat meringankan beban mangsa bagi meneruskan kehidupan seharian.


“Bantuan membaiki rumah, ganti atap baru akan disalurkan dan diselesaikan dalam tempoh sehari dua ini. Kita telah membuat tinjauan, banyak atap rumah tercabut. Malah ada rosak teruk dihempap pokok besar.

“Walaupun bantuan yang diberikan itu tidak dapat menggantikan kerugian yang ditanggung mangsa, namun sekurang-kurangnya ia dapat meringankan beban mangsa terlibat," katanya yang ditemui ketika menziarahi sebahagian mangsa yang terlibat hari ini.

Hadir sama, Pegawai Pembangunan DUN Bukit Payong, Zaidi Muda.



Kayuhan 500 peserta MCC buka tirai Karnival Candat Sotong


Oleh FAUZI MOHD
Gambar ZULKIPLI PUTRA

Majlis perasmian Karnival Candat Sotong Harian Metro (KCSHM) 2012 melakar sejarah baru apabila diadakan serentak dengan pelancaran Kelab Berbasikal Harian Metro (MCC) yang disempurnakan Dato’ Seri Ahmad Said di Dataran Shahbandar, malam tadi.

Lebih bermakna, Menteri Besar turut berbasikal sembilan kilometer sekitar bandar raya ini bersama lebih 500 peserta yang datang dari seluruh negeri.

 Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan negeri, Dato’ Abdul Rahin Mohd Said dan Pengarang Kumpulan Harian Metro, Dato’ Mustapa Omar.

Pertandingan candat sotong yang bermula jam 5 petang ini dan berakhir jam 7 pagi Ahad disertai lebih 300 peserta termasuk kategori korporat dan individu dari seluruh negara.

Karnival yang dianjurkan dengan kerjasama kerajaan negeri itu mula diadakan pada 2010 di Dungun dan disenaraikan sebagai satu acara dalam kalendar pelancongan Terengganu bermula tahun ini.

Tahun lalu, ia mencatat sejarah tersendiri apabila majlis pelepasan peserta disempurnakan Perdana Menteri, Dato’ Seri Najib Razak di Pulau Duyong, Kuala Terengganu.

 Selain pertandingan mencandat sotong di laut, tapak karnival di Dataran Shahbandar juga berlangsung meriah dengan pelbagai program menarik disusun hingga esok.

Selain aktiviti gerai penaja dan sisipan Harian Metro, karnival itu melibatkan pertandingan dan pertunjukan audio kereta, pertandingan mewarna kanak-kanak, karaoke serta pertunjukan motosikal klasik.

Malam ini juga akan berlangsung konsert bertemakan ‘Riuh Di Laut, Riuh Di Darat’ di Dataran Shahbandar yang menampilkan persembahan artis popular tanah air iaitu Kumpulan May, Yantzen, Black Mentor, Ana Raffali serta Mat Over.



Piala Monsun : acara pelayaran terbaik, tarik 900 juta penonton, liputan 176 negara


Oleh FAUZI MOHD
Gambar oleh ZULKIPLI PUTRA

Kejohanan Perahu Layar Antarabangsa Piala Monsun yang diadakan sejak tujuh tahun di Pulau Duyung ternyata kekal menjadi acara pelayaran terbaik selepas berjaya menarik lebih 900 juta penonton di seluruh dunia yang menyaksikan liputan siarannya di 176 negara.

Penganjuran oleh T-best Events Sdn. Bhd. (T-best) mencatatkan peningkatan dalam Nilai Media Kasar sebanyak 60.3 peratus berbanding tahun 2010 dengan nilai RM896.5 juta yang mana liputan media online merupakan penyumbang tertinggi selepas televisyen, percetakan dan radio.

 Presiden T-Best, Tan Sri Sabbaruddin Chik berkata, penganjuran kejohanan kapal layar itu juga berjaya menarik sebanyak 156,624 orang pengunjung merangkumi jumlah yang hadir di sepanjang Piala Monsun dan Karnival Monsun yang telah dianjur di semua daerah sebagai usaha mempromosi kejohanan itu.

Katanya, kejohanan itu turut memainkan peranan penting dalam menjana pembangunan ekonomi di negeri itu terutamanya penduduk setempat apabila mencatat peningkatan kadar penginapan, perusahaan dan peniaga kecil-kecilan sekurang-kurangnya 50 peratus berbanding tahun sebelumnya.

 "Ini terbukti apabila jumlah perbelanjaan bagi pengunjung tahun lalu mencecah RM16.2 juta merangkumi perbelanjaan penginapan hotel, beli-belah, makanan dan minuman, pengangkutan, penerbangan domestik, lawatan ke destinasi pelancongan serta perbelanjaan pengunjung ke Karnival Monsun di tujuh buah daerah.

"Selain itu, penganjuran itu juga turut memberi peluang pekerjaan kepada seramai 1,753 orang kakitangan termasuk kontraktor, pekerja sementara, pekerja pembersihan dan sebagainya dalam melicinkan acara itu," katanya.

 Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis penghargaan dan pengumuman KPI Piala Monsun di Ri-Yaz Heritage Resort dan Spa, Pulau Duyong semalam.

Kata beliau, ia jelas membuktikan penganjuran acara antarabangsa itu mempunyai kapasiti untuk menjadi penjana pendapatan bagi ekonomi negeri itu malah negara.



Jaguh trek negara nekad lebur dominasi badminton

Oleh: Aida Abd Rahman

Nada optimis dizahirkan jaguh berbasikal trek negara, Azizulhasni Awang untuk meraih pingat buat negara dan negeri tercinta, di Sukan Olimpik London Julai depan.

Kejayaan itu juga penting buatnya untuk memastikan sukan berbasikal mampu memecahkan dominasi sukan badminton yang sering membawa pulang pingat di temasya sukan berprestij dunia itu.

“Berdasarkan prestasi semasa, saya yakin mampu bawa pulang pingat. Memandangkan badminton selalu sahaja berjaya ke Olimpik dan berjaya membawa pulang pingat, kali ini saya berazam untuk memastikan sukan berbasikal pula dapat memenangi pingat di Olimpik nanti,” katanya.

Azizulhasni menyifatkan penyertaan di Sukan Olimpik Beijing pada 2008 sebagai pendedahan awal untuk menimba pengalaman dan bukan semata-mata mengejar kemenangan.

“Jika dulu, sewaktu mewakili negara pertama kali di Olimpik Beijing (2008) saya lebih menimba pengalaman dan kali ini saya nekad untuk meraih pingat, terutama pingat emas untuk negara dan juga Terengganu,” katanya di Majlis Penyampaian Insentif Khas Olimpian Anak Terengganu London 2012 baru-baru ini.

Keyakinan itu turut dilontarkan ratu trek negara, Fatehah Mustapa yang akan berjuang habis-habisan bagi memastikan peluang pertama kali beraksi di sukan dunia itu dapat direalisasikan dengan menghadiahkan pingat buat negara.

“Saya mahu menang di peringkat awal terlebih dahulu, seterusnya mara ke saringan berikutnya. Kemudian bolehlah mensasarkan kemenangan di persaingan akhir. Cabaran pastinya berat, namun saya bersedia untuk mengatasinya dan mencipta kejayaan sulung di temasya berprestij itu nanti,” kata anak kelahiran Kampung Langgar, Kuala Berang itu lagi.

Selain Azizulhasni dan Fatehah, tiga atlet yang mengesahkan penyertaan ke Olimpik adalah dua atlet memanah, Khairul Anuar Mohamad dan Nurul Syafiqah Hashim serta Mohamad Azwar Bakar@Ibrahim (atlet paralimpik acara ping pong).






Pemimpin BN cakna rakyat

 Oleh: Kamarudin Mat Akib
Gambar oleh Zulkipli Putra


Rakyat Terengganu sangat beruntung kerana Kerajaan Barisan Nasional (BN) menyediakan segala-gala keperluan untuk mereka, bermula dari bantuan persekolahan anak-anak hinggalah bantuan sara hidup bagi golongan kurang berada.

Bagi setiap pelajar yang mendapat kejayaan cemerlang dalam peperiksaan utama seperti Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR), Penilaian Menengah Rendah (PMR), Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan (STPM), diberi insentif antara RM120 hingga RM150 seorang.

Pelajar yang berpeluang memasuki sekolah asrama penuh dan pusat pengajian tinggi di beri bantuan pengajian antara RM500 hingga RM1,000 seorang, bagi meringankan beban ibu bapa menyediakan kelengkapan pembelajaran mereka.

Golongan berpendapatan rendah di negeri ini yang menghidap pelbagai penyakit kronik diberi bantuan perubatan serta pembiayaan rawatan sepenuhnya supaya mereka dapat menjalani pembedahan dan akhirnya sembuh daripada penyakit yang dihidapi.

Kerajaan negeri turut menyediakan elaun sara hidup untuk golongan nelayan yang dikaitkan dengan masalah kemiskinan, supaya mereka dapat menjalani kehidupan lebih sempurna.

Semua wakil rakyat BN sentiasa mengamalkan konsep ‘turun padang’ bagi meninjau sendiri masalah rakyat secara lebih dekat, pada setiap masa tanpa mengira bila pilihan raya akan diadakan.

Mereka ‘turun padang’ bukan dengan tujuan untuk meraih undi semata-mata, tetapi atas kesedaran bahawa rakyat memerlukan khidmat yang terbaik daripada Kerajaan BN.

Pemimpin BN meletakkan keperluan rakyat di tahap paling tinggi di mana rakyat perlu merasai nikmat pembangunan hasil kegigihan pemimpin Kerajaan BN memacu ekonomi negeri dan negara.

Setiap kali ‘musibah’ seperti banjir, kebakaran, kemalangan dan penyakit kronik menimpa penduduk tempatan, wakil rakyat di kawasan berkenaan menjadi antara orang yang mula-mula sekali melawat mangsa.

Wakil rakyat BN akan menghulurkan bantuan yang sepatutnya bagi membantu meringankan beban keluarga, tanpa mengira kerenah birokrasi, agar nasib mereka terbela.

Bantuan kepada penduduk tempatan pula diberi tanpa pilih kasih, walaupun sesetengah mereka yang menerima bantuan tersebut merupakan penyokong tegar parti pembangkang.

Penduduk tempatan yang menerima bantuan daripada pemimpin BN sepatutnya malu pada diri sendiri kerana pemimpin yang sering mereka caci inilah sebenarnya yang menjadi ‘penyelamat’ sewaktu mereka susah.

Manakala pemimpin parti pembangkang yang sering menghasut rakyat supaya membenci pemimpin BN sebenarnya tidak pernah berjasa kepada penduduk tempatan kerana mereka hanya tahu ‘bersyarah’ sahaja, tanpa mempedulikan nasib rakyat.

Pemimpin pembangkang hanya pandai berjanji menyediakan bulan, bintang dan cakerawala kepada rakyat, tetapi sejarah telah membuktikan mereka hanya ‘menanam tebu di tepi bibir’ demi bagi meraih undi rakyat semata-mata.




Taman Burung jadi tarikan baru di Tasik Kenyir

 Taman Burung menjadi daya tarikan baru di Tasik Kenyir yang kini dibuka kepada orang ramai.
- Gambar oleh Zulkipli Putra.


Oleh: Suriati Ali

Jika anda ingin melihat puluhan spesies burung terutama yang jarang ditemui secara dekat, boleh singgah atau bercuti di tasik buatan manusia, iaitu di Tasik Kenyir Hulu Terengganu.

Di lokasi pelancongan yang sememangnya terkenal di serata negara itu, kerajaan negeri dengan kerjasama Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah) mewujudkan Taman Burung di salah satu pulau yang terdapat di Tasik Kenyir iaitu Pulau Terengganu Mati.

 Taman burung yang dibina di kawasan seluas 1.7 hektar di Pulau Terengganu Mati itu bakal menjadi tarikan baru kepada jutaan pelancong di mana sebelum ini hanya berkunjung di Pulau Petang, Pulau Bayas, Pulau Sumas, Pulau Jelatang dan Pulau Batu Pipit.

Keseluruhan taman burung dilitupi dengan hutan hujan tropika yang tidak ternilai serta kaya dengan pelbagai spesis flora dan fauna yang sukar ditemui di tempat lain.

Mereka yang berminat untuk mengunjunginya boleh mendapatkan khidmat pemandu pelancong dan menaiki rumah bot untuk ke taman burung berkenaan menerusi ejen yang disediakan iaitu Bahtera Petang Houseboat.

Bahtera Petang Houseboat mampu memuatkan maksimum 12 orang dalam satu-satu masa dan bayaran yang dikenakan bergantung kepada tempoh yang dikehendaki oleh pengunjung.

Sehingga kini, taman burung berkenaan mempunyai 153 ekor burung pelbagai spesies termasuk 62 ekor burung Kuang, 11 spesies itik dan angsa berjumlah 101 ekor.

Bagi menarik minat pelancong, taman itu turut dilengkapi pelbagai prasarana seperti jeti, pintu gerbang, jambatan gantung, menara tinjau, kolam ikan dan mini kafe.



Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan negeri, YB Dato’ Haji Rahin Mohd Said, berkata elemen - elemen di taman burung di pulau itu di reka bentuk dengan mengambil kira elemen asal Pulau Terengganu Mati.

“Ia berada di kawasan alam semulajadi yang kaya dengan pelbagai flora dan fauna, kemudian di adaptasi menjadi sebuah taman yang ‘versatile’,” katanya.

Katanya, tarikan alam semulajadi akan digunakan seperti membuat sarang tiruan dan ‘feeding station’ bagi menarik burung liar.

“Pembinaan taman burung itu akan membantu menjana ekonomi Terengganu malah penduduk setempat,” katanya .




04 May 2012

200 serta Program Masih Ada Yang Sayang

Oleh :Amirullah Othman

Seramai kira-kira 200 pelajar ,guru dan ibu bapa pelajar dari Sekolah Kebangsaan Sultan Mansor terlibat dalam “Program Masih Ada Yang Sayang 2012”.

Program ini dirasmikan oleh Pegawai Pembangunan DUN Bukit Payong, Encik Zaidi Muda, di Dewan Sekolah Kebangsaan Sultan Mansor, semalam.

Beliau meminta semua ibu bapa supaya berwaspada dengan anak-anak dan mengawal pergerakan mereka, terutamanya pada waktu malam.

Program Mentor-Mentee ini melibatkan seramai 31 orang dari tingkatan 1 hingga 2 manakala untuk tingkatan 3 hingga 5 seramai 57 orang.

Program ini adalah penting untuk mengatasi permasalahan disiplin pelajar untuk memperkembangkan potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu.

Ini juga amat penting untuk menanam sikap bertanggungjawab dan berwaspada dalam kelakuan pelajar dan merapatkan hubungan antara guru dan pelajar.

Tujuan program ini dijalankan supaya pelajar dibimbing secara berterusan oleh mentor dalam memenuhi tuntutan disiplin dan tuntutan solat dan meningkatkan motivasi pelajar untuk menempuh kejayaan dalampeperiksaan PMR dan SPM.



Pembangkang anjur demo untuk dana

Oleh: Kamarudin Mat Akib

Parti-parti pembangkang di negara ini sengaja merancang demonstrasi seperti Perhimpunan Bersih 3.0 bagi membolehkan mereka menerima dana dari negara asing.

Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamed mendedahkan parti pembangkang sengaja mahu berbuat demikian bagi memberi gambaran kepada negara asing seolah-olah rakyat negara ini tidak suka dengan kerajaan yang sedia ada dan sedang berusaha menjatuhkannya.

“Pembangkang mahu mengadakan demonstrasi dan tunjuk perasaan secara berterusan supaya negara asing anggap Kerajaan Malayasia zalim dan rakyat mahu menjatuhkannya.

“Negara asing akan menyalurkan dana melalui parti pembangkang bagi menjatuhkan kerajaan sedia ada,” katanya ketika menyampaikan ucaptama pada Majlis Bicara Negarawan di Stadium Tertutup Gong Badak, semalam.

Dr Mahathir berkata, pakatan pembangkang yang turut disertai Anwar Ibrahim sangggup melakukan apa saja, termasuk menggadaikan negara bagi memastikan hasrat mereka untuk mengambil alih Putrajaya tercapai.

Justeru itu, beliau berharap rakyat negara ini, khususnya bangsa Melayu dan penganut Islam supaya bersatu dan menolak pemimpin yang mahu merosakkan masa depan bangsa Melayu dan agama Islam.





Hasrat Pelajar Malaysia mengadakan perhimpunan Bersih 3.0 di batalkan


Oleh: Mohammad Ishak 

Hasrat pelajar Malaysia yang menuntut di Khairah dan Ikandariah,Mesir untuk mengadakan demontrasi Bersih 3.0 di negara itu tidak kesampaian apabila mereka akur dengan keputusan pihak kedutaan yang melarang mereka menyertai agenda yang ditaja pembangkang.

Penasihat Agama Perdana Menteri,Datuk Seri Dr Abdullah Md Zin berkata, keputusan pelajar berkenaan menarik balik menganjurkan demotrasi serentak dengan penganjur yang mengadakan demotrasi jalanan di ibu nagara Sabtu lalu kerana mereka faham kedudukan sebenar selepas mendapat penerangan mengenai isu berkenaan.

Abdullah yang juga Ahli Parlimen Besut berkata, beliau yang berada di Mesir ketika demotrasi di negara ini sebelum itu mengadakan sesi perjumpaan dengan pemimpin pelajar kemudian dengan pelajar dan menerangkan perkara sebenar mengenai rancangan Bersih 3.0 anjuran pembangkang.

Katanya, kehadiran beliau di negara itu mewakili Perdana Menteri bagi menjemput Sheikh Azhar untuk melawat negara ini mengambil peluang menyampaikan penerangan kepada pelajar di Asrama Pelajar Malaysia di Mesir.

Ketika ini, kira-kira 11,000 pelajar negara ini sedang menuntut di Mesir termasuk 5,000 pelajar tajaan MARA yang mengambil kursus dalam pelbagai bidang.

Abdullah berkata, Sheikh Azhar dan Duta Besar Malaysia di Mesir turut memberi amaran keras kepada pelajar Malaysia di negara itu yang mengadakan perhimpunan Bersih akan dikenakan tindakan menghantar mereka pulang ke negara ini.

“Saya besyukur dan gembira kerna pelajar di Mesir mematuhi arahan yang dikeluarkan oleh pihak terbabit,” katanya pada media selepas menghadiri Majlis Sarapan Pagi bersama Penduduk Rumah Awam Seberang Jertih, pagi ini.

Katanya, pelajar terbabit akur dengan arahan itu selain mereka sendiri sudah faham dan mengetahu kedudukan sebenar pihak penganjur mengadakan perhimpunan berkenaan di ibu negara. Sementara itu,

Abdullah berkata Sheikh Azhar Mesir yang baru, bersetuju dengan jemputan Perdana Menteri,Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak yang menjemput beliau melawat negara ini yang dijadualkan pada 15 hingga 17 Julai depan.

 Katanya, sempena lawatan itu tokoh Agama terkenal itu akan mengadakan sesi sarahan di Universiti Malaya (UM) yang akan menyentuh mengenai pelbagai isu agama Islam sedunia.