Halaman

12 May 2012

Kes saman fitnah Harakah, ADUN Batu Burok 17 Mei

Mahkamah Tinggi di sini menetapkan 17 Mei ini bagi pengurusan kes saman fitnah terhadap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Burok Terengganu, Dr. Syed Azman Syed Ahmad Nawawi dan tiga yang lain sebelum ia mula dibicarakan pada Julai ini.

Timbalan Pendaftar, Tengku Amalin A'ishah Putri Sultan lsmail Petra menetapkan tarikh tersebut sewaktu sebutan kes itu di kamar beliau hari ini.

Peguam Abdullah Omar Wahbi Bawadi hadir mewakili kerajaan negeri Terengganu selaku plaintif manakala Syed Azman dan tiga lagi yang dinamakan sebagai defendan diwakili peguam Azhana Mohd. Khairudin.

Pada prosiding terdahulu, mahkamah menetapkan perbicaraan selama empat hari bermula 23 Julai ini.

Pada 15 Disember tahun lalu, kerajaan negeri itu mendakwa artikel bertajuk 'Seleweng RM30 juta bantuan sekolah?' yang ditulis oleh Syed Azman dan disiarkan di muka surat N5 di dalam akhbar Harakah bertarikh 11 hingga 13 November 2011 adalah salah, fitnah dan berniat jahat.

Selain kerajaan negeri, turut dinamakan sebagai plaintif ialah Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Ahmad Said serta dua peniaga dari Hamie Enterprise, Mek Hawa Abdul Rahman dan Hamie Azreen Ami Nordin.

Pihak plaintif menamakan Syed Azman; pemegang permit akhbar Harakah, Dato’ Mustafa @ Hassan Ali; Ketua Pengarang Harakah, Ahmad Lutfi Othman; dan syarikat penerbitan Harakah, Angkatan Edaran Enterprise Sdn. Bhd. masing-masing sebagai defendan pertama hingga keempat.

Menurut pernyataan tuntutan, kerajaan negeri Terengganu menyatakan, telah bersetuju melaksanakan program Bantuan Pakaian dan Alatan Sekolah bagi seluruh pelajar miskin di negeri itu untuk meringankan beban kewangan keluarga miskin dalam menyediakan keperluan persekolahan anak-anak.

Bagi melaksanakan program tersebut, Menteri Besar telah menerima dua sebut harga daripada Hamie Enterprise dan sebuah lagi syarikat lain.

Plaintif mendakwa, artikel tersebut antara lain menggambarkan pemberian kontrak itu tidak telus, tersalah urus dan secara salah mendapatkan keuntungan yang besar.

Ekoran penerbitan tersebut, pihak plaintif menyatakan, reputasi dan nama baiknya telah terjejas, perniagaannya rugi selain menanggung malu. - FAUZI MOHD



1,000 anggota Rela Besut hadir Himpunan Setia bersama pemimpin



Oleh: Mohammad Ishak 

Seramai 1,000 anggota Ikatan Relawan Rakyat Malaysia (Rela) daerah Besut menghadiri program Himpunan Setia Rela bersama pemimpin yang berlangsung di Dewan Majlis Daerah Besut (MDB) di Jertih petang semalam.

Perhimpunan itu juga turut dihadiri Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jertih yang juga Ketua UMNO Bahagian Besut, Ahli Parlimen Besut, Datuk Seri Dr Abdullah Mad Zin, .ADUN Kota Putera Muhamad Pehimi Yusof dan Ketua Pengarah Rela Malaysia,Jeneral Datuk Mustaffa Ibrahim.

Himpunan bertujuan mendekatkan anggota Rela dengan pemimpin kerajaan itu diharap dapat meningkatkan lagi persefahaman anggota berkenaan menjalankan tugas untuk menjaga keamaman dan kesejahteraan rakyat.

Jeneral Mustaffa ketika berucap pada majlis itu berkata, anggota Rela perlu menyokong kerajaan kerana bertanggungjawab untuk memelihara keamanan negara daripada ancaman pihak tertentu yang ingin melihat negara ini musnah.

Ketika  negara menghadapi kumpulan perhimpunan haram Bersih 3.3 di ibu negara bulan lalu,pihaknya menempatkan 2,000 anggota Rela bagi membantu agensi keselamatan lain mengawal orang ramai.

Sementara itu, Idris berkata kerajaan amat menghargai sumbangan anggota Rela dalam usaha menjaga kepentingan awam di negara ini.

Katanya, mereka yang tidak menghargai tugas Rela adalah orang jahil kerana tanpa pengorbanan anggota terbabit usaha kerajaan untuk menjaga keamanaan akan terguggat.

Beliau kesal ada pihak termasuk profesional dan peniaga tidak menghormati anggota Rela sedangkan fungsi anggota agensi hampir sama dengan pasukan keselamatan lain.

Atlet ikon masyarakat, jaga nama baik negara – Sultan Mizan

Oleh FAUZI MOHD

Para atlet diingatkan agar sentiasa menjaga nama baik negara dalam setiap pertandingan yang disertai terutamanya yang diadakan di luar negara.

Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin bertitah ini kerana atlet kini dilihat sebagai ikon yang semakin menjadi perhatian masyarakat.

"Diharapkan atlet-atlet ini dapat meletakkan nama Malaysia di tempat tertinggi, dan sentiasa ingat untuk menjaga nama baik negara kerana mereka dilihat sebagai ikon yang menjadi perhatian masyarakat," titah baginda.

Baginda bertitah demikian pada majlis Anugerah Sukan Majlis Sukan Universiti Malaysia (Masum) 2011 di Taman Tamadun Islam hari ini.

Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah yang juga Canselor Universiti Malaysia Terengganu (UMT) turut berangkat mengiringi Sultan Mizan.
UMT merupakan tuan rumah majlis berkenaan.

Giliran Harrif Salleh naik podium

Pelumba Terengganu Cycling Team (TSG) Mohd. Harrif Salleh akhirnya meraih kemenangan pertamanya pada perlumbaan Jelajah 1Malaysia 2012.

Perlumbaan peringkat keempat Jelajah 1Malaysia dari Kangar ke Sungai Petani itu menyaksikan Mohd. Harrif melakukan henjutan bertenaga mendahului kelompok besar pelumba-pelumba ke garisan penamat.

Pelumba berusia 24 tahun itu menamatkan saingan sejauh 115.6 kilometer dengan catatan masa dua jam, 40 minit dan 56 saat.

"Saya tidak dapat melakukan pecutan dengan baik pada peringkat pertama kerana masih keletihan selepas Jelajah Borneo.

"Hari ini, saya cuba untuk membuat pemecahan tapi tidak berjaya kerana dapat dikejar pelumba-pelumba lain dan sebab itu saya hanya tunggu peluang dalam kelompok besar untuk lakukan henjutan saat akhir," kata pelumba yang berasal dari Kampung Ladang Titian, Terengganu kepada pemberita.

Pada edisi perlumbaan tahun lepas, Mohd. Harrif merangkul jersi hijau selepas dinobatkan selaku "Raja Pecut".

Menurutnya, peluang untuk menyarung semula jersi hijau pada edisi kali ini agak sukar.

"Untuk dapat jersi hijau agak susah sekarang ini. Adiq (Muhamad Adiq Husainie Othman) mendahului dengan jumlah mata yang besar dan saya tidak dapat kejar dia. Bagaimanapun, sekiranya ada pemecahan esok, saya akan cuba untuk menang satu lagi peringkat," kata calon pelumba lebuh raya negara ke Sukan Olimpik London, pada Julai ini.

Peringkat kelima perlumbaan esok akan melibatkan jarak sejauh 194.9km dari Sungai Petani ke Ipoh, Perak yang melibatkan satu zon pendakian kategori empat di Padang Rengas serta tiga zon pecutan di Penang Megamall, Bagan Serai dan Talang. - FAUZI MOHD.

Peruntukan RM5j wujud taman rekreasi sepanjang Manir, Sungai Terengganu

Oleh: Aida Abd Rahman

Kerajaan negeri bercadang mewujudkan taman rekreasi di sepanjang Sungai Terengganu yang melibatkan kawasan dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Manir dengan peruntukan kira-kira RM5 juta, bermula tahun ini.

Pegawai Pembangunan DUN Manir, Encik Yusof Awang Hitam, berkata perancangan itu selaras dengan usaha kerajaan negeri untuk memacu sektor pelancongan negeri menerusi program menyusuri Sungai Terengganu sehingga ke Sungai Berang, Hulu Terengganu di mana lokasi penemuan Batu Bersurat di Kuala Berang.

“Program menyusuri sungai dengan menaiki bot ini akan melibatkan kira-kira 10 kampung dalam DUN Manir yang berada di pinggir Sungai Terengganu sehingga ke Telemong (Hulu Terengganu).

“Kami sedang berbincang dengan Jabatan Pengairan dan Saliran negeri serta Majlis Bandar Raya Kuala Terengganu untuk melaksanakan projek itu supaya berjalan dengan lancar dalam tempoh yang dijadualkan,” katanya kepada Teganukita, baru-baru ini.

Katanya, pada peringkat awal, projek membangunkan kemudahan sekitar sungai itu akan dimulakan dengan kerja menambak sekitar kawasan pasir.

Menurut Encik Yusof, projek membangunkan taman rekreasi di sepanjang sungai ini akan dibangunkan secara berperingkat-peringkat sebelum ia selesai keseluruhannya.

Beliau berkata,usaha itu dijangka mampu menjana pendapatan sebahagian penduduk yang terlibat dengan industri desa khususnya pengusaha makanan seperti keropok, bahulu dan akok, manakala kraf tangan seperti tikar mengkuang dan nyiru.

“Kita mengambil peluang dan ruang yang ada untuk memastikan kelebihan alam semula jadi di kawasan sungai dengan pasir dan pemandangan indahnya akan dieksploitasikan dengan baik supaya dapat menjana ekonomi dan memberi faedah kepada masyarakat setempat,” katanya.




HSNZ bakal berubah wajah

Oleh: Suriati Ali

Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di sini bakal berubah wajah apabila kerja-kerja menaik taraf melibatkan peruntukan RM129.9 juta dijangka siap Oktober ini.

Projek tersebut turut membabitkan pembinaan Kompleks Pakar Materniti yang menempatkan wad bersalin membabitkan kos RM115 juta selain menaik taraf unit kecemasan dan trauma sedia ada yang melibatkan peruntukan RM14.9 juta.

Pengarah Kesihatan negeri, Dr. Anwa Sulaiman berkata, Kompleks Pakar Materniti yang mempunyai satu blok bangunan setinggi enam tingkat itu yang mula dibina pada Disember 2008 dijangka siap sepenuhnya Oktober tahun ini.

Beliau memberitahu, selain dilengkapi pelbagai peralatan canggih dan tenaga pakar mencukupi, kompleks tersebut bakal menyediakan kemudahan 308 katil berbanding 100 katil di wad bersalin di HSNZ sekarang.

"Kompleks ini dibina di atas padang bola di sebelah bangunan hospital, kita harap kemudahan ini dapat membantu mengatasi masalah kesesakan pesakit di wad bersalin yang ada.

"Di samping kompleks ini, satu lagi blok setinggi lima tingkat yang mampu menempatkan 390 lot kenderaan dengan keutamaan diberi kepada kakitangan hospital juga sedang dalam pembinaan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Hari Terbuka HSNZ di pekarangan hospital lama, di sini, kelmarin.

Turut hadir, Timbalan Pengarah Kesihatan negeri (Perubatan), Dr. Mohammad Omar dan Pengarah HSNZ, Dr. T. Ramelah T. Senik.

Dr. Anwa berkata, sebaik kompleks itu siap, wad-wad bersalin sedia ada yang dikosongkan akan dimanfaatkan untuk kegunaan pelbagai unit perubatan lain.

Katanya, penyediaan lot-lot tempat letak kenderaan di kompleks berkenaan dijangka mampu mengurangkan masalah kesesakan kenderaan di kawasan letak kenderaan sedia ada di pekarangan hospital itu.

"Buat masa ini, kita ada lebih 800 lot tempat letak kenderaan dan itu pun tidak cukup untuk tampung kenderaan milik kakitangan hospital dan pelawat. Jadi, tambahan 390 lagi lot letak kenderaan diharap dapat membantu mengurangkan kesesakan," katanya.

Mengenai unit kecemasan dan trauma, beliau berkata, kerja-kerja menaik taraf unit tersebut dijangka siap tidak lama lagi selepas mula dilaksanakan pada November 2009.



NGO desak S.Ambiga lucut kerakyatan

Oleh: Suriati Ali


Kira-kira 400 orang wakil pelbagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan penduduk tempatan hari ini berhimpun bagi mendesak pihak berkuasa mengenakan tindakan tegas ke atas Datuk S. Ambiga termasuk melucutkan kerakyatannya.

Pengerusi Gerakan Kebangkitan Rakyat (Gertak), Datuk Razali Idris yang mengetuai demonstrasi itu berkata, kerajaan khususnya pihak berkuasa didesak bertindak tegas ke atas Ambiga yang bertanggungjawab menganjurkan perhimpunan Bersih 3.0 tempoh hari sehingga mencetuskan keganasan.

Beliau berkata, rakyat tidak sanggup lagi menerima sesiapa sahaja yang menggugat ketenteraman dan keamanan negara khususnya dalam perhimpunan Bersih 3.0 di ibu negara, baru-baru ini.

"Kita mengutuk tindakan Ambiga yang menjadi punca berlaku perpecahan di kalangan rakyat negara ini sekarang ini, dia juga adalah penyokong kuat kepada LGBT (Lesbian, Gay, Biseksual dan Transgender).

"Justeru itu, kita mendesak kerajaan supaya mengambil tindakan tegas ke atas Ambiga termasuk lucutkan kerakyatannya. Kita tak mahu orang seperti ini memusnahkan negara dengan cara merusuh," katanya kepada pemberita di Kampung Beladau Kepong, Manir di sini.

Menurut Razali sebagai susulan, pihaknya merancang mengadakan satu rapat umum besar-besaran tidak lama lagi bagi tujuan yang sama sekiranya Ambiga masih terlepas daripada sebarang tindakan.

Bagaimanapun, katanya, tarikh serta lokasi untuk mengadakan rapat umum yang dijangka disertai pelbagai kaum itu masih belum diputuskan.

"Apa yang kita buat (demonstrasi) hari ini sebagai satu permulaan, selepas ini kita akan adakan satu rapat umum besar-besaran yang akan disertai gerombolan besar orang Melayu selain kaum lain bagi memastikan Ambiga dikenakan tindakan sewajarnya," katanya.




11 May 2012

Mapem dan Teraju turun padang bantu usahawan

Oleh; Esah Abdullah

Program Outreach Tranformasi Usahawan Bumiputera Berprestasi Tinggi (OTUBBT) yang digerakkan oleh Unit Peneraju Agenda Bumiputera (Teraju) telah dilancarkan di peringkat negeri Terengganu .



Program ini bertujuan mendedahkan usahawan Bumiputera daripada pelbagai sektor dan tahap pencapaian perniagaan dengan agenda transformasi ekonomi yang sedang digerakkan oleh kerajaan pada masa ini.

Presiden Majlis Perunding Ekonomi Melayu (Mapem), Tan Sri Rozali Ismail berkata, tidak kira sebesar mana idea tentang agenda pembangunan ekonomi Melayu, tapi jangan terlepas pandang kumpulan usahawan kecil-kecilan atau mikro yang menjadi 90 peratus daripada komuniti usahawan Melayu.

“Walaupun kita mempunyai agenda besar bersama Teraju dan SME Corp untuk mencari calon syarikat kecil dan sederhana milik orang Melayu yang boleh ditransformasikan menjadi syarikat besar namun kita masih tidak mengabaikan keperluan dan harapan usahawan kecil yang memerlukan sokongan, dorongan dan kepimpinan untuk melonjak dalam bidang ekonomi yang diceburi,”.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan program OTUBBT di Pusat Dagangan Terengganu (TTC) semalam.

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif, Yayasan Pembangunan Usahawan Terengganu (YPUT), Haji Azmi Razik; Yang Dipertua (YDP) Dewan Perniagaan Melalyu Malaysia (DPMM) Terengganu, Dato’ Ir Tengku Ismail Tengku Jaafar; YDP DPMM Perak, Dato’ Mohd Muhiyuddin Abdullah; YDP DPMM Melaka, Datuk Ramly Mohamad dan YDP DPMM Negeri Sembilan, Dato’ Ahmad Yusof.

Katanya, sehingga ini penyertaan Bumiputera dalam bidang ekonomi masih tidak berpadanan dengan peratusan bilangan penduduk Bumiputera dalam negara.

Oleh itu katanya, Teraju dan Mapem serta gabungan persatuan yang mewakili kepentingan peniaga dan usahawan Melayu turun padang untuk mendekati usahawan Melayu yang boleh diketengahkan.

“Banyak usahawan dan syarikat yang berdaftar di bawah Teraju ini yang mendapat bimbingan dan perkembangannya sentiasa dipantau dari semasa kesemasa,” katanya.
Katanya, untuk berjaya syarikat atau usahawan jangan asyik membuat kritikan sebaliknya perlu bekerja lebih tanpa mengira waktu.






Khairul janji aksi konsisten di Olimpik London

Oleh: Aida Abd Rahman

Atlit memanah negara, Khairul Anuar Mohamad, 21, tidak mahu meletakkan sasaran pingat pada temasya London Julai ini, namun berjanji untuk menampilkan persembahan konsisten sepanjang persaingan, khususnya dalam acara berpasukan.

Anak jati Kampung Pasir Gajah, Kemaman itu pelengkap trio memanah kebangsaan bergandingan dengan Cheng Chu Sian serta Haziq Kamaruddin selepas muncul kumpulan atlet pertama layak ke Olimpik secara merit setelah meraih tempat kesembilan acara berpasukan pada Kejohanan Memanah Dunia di Torino, Itali, baru-baru ini.

“Saya tidak mensasarkan pingat, kerana masih baru dalam acara ini. Pada usia baru 21 tahun, saya rasa naik begitu mendadak dan tidak mahu jatuh dengan cepat.

“Untuk acara individu, saya tidak yakin sangat untuk sasar pingat. Bagaimanapun saya berhasrat untuk membuat persembahan dengan konsisten dan dapat mengawal sepenuhnya persaingan memburu mata nanti,” katanya.

Dalam kejohanan Memanah Dunia di Torino, trio yang diketuai pemanah berpengalaman, Chu Sian mengharungi pertarungan penuh dramatik sebelum berjaya menjadi pasukan kesembilan terbaik sekali gus menempah tiket bersama-sama Korea Selatan, Perancis, Mexico, Itali, Ukraine, China dan Amerika Syarikat manakala Great Britain layak automatik selaku tuan rumah.

Kejayaan mereka di luar jangkaan dan amat membanggakan setelah pasukan negara berdepan saingan sengit daripada pasukan handalan dunia.

Selain Khairul Anuar, seorang lagi atlit memanah dari Terengganu, Nur Shafiqah Hashim turut layak ke Olimpik London 2012.

SEMARAK MERAH LARIAN BENDERA UMNO

Oleh: Nurul Aziela Saberi

Sebanyak 66 bekas pulut kuning dengan bunga telur menjadi simbolik pembakar semangat daripada Badan Perhubungan UMNO Terengganu kepada Badan Perhubungan UMNO Pahang telah diarak Ketua-Ketua Wanita Cawangan UMNO Bahagian Kemaman, kelmarin.



Pasukan Larian Bendera UMNO Bahagian Kemaman mula berlari di sempadan Dungun – Kemaman sekitar jam 11 pagi yang turut disertai dengan 100 penunggang motosikal dan 200 basikal fixie.


Selepas menerima bendera daripada UMNO Bahagian Dungun, mereka kemudian meneruskan larian sejauh 40 kilometer sehingga sampai ke Pejabat UMNO Bahagian Kemaman di Chukai.

Menteri Besar Dato’ Seri Haji Ahmad Said yang mengetuai larian peringkat Daerah Kemaman berkata, dengan semangat berkobar-kobar setiap ahli UMNO seluruh pelusuk negeri, tidak mustahil daerah yang menjadi milik pembangkang termasuk Indera Mahkota dapat dirampas kembali.

“Sehubungan itu, seluruh ahli UMNO perlu berjuang habis-habisan untuk mengalahkan PKR, PAS dan DAP yang menjadi petualang kepada bangsa, agama dan negara kita selama ini.

“Amat dikesali ada pihak pembangkang yang sanggup memperalatkan agama demi kepentingan politik mereka, malah saya tidak segan silu menyifatkan mereka sebagai ‘Parti Ajaran Sesat’,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis penyerahan bendera UMNO kepada wakil Menteri Besar Pahang merangkap Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri Pahang, Datuk Wan Adnan Wan Mamat di sempadan Terengganu – Pahang, Pantai Cendor.

Larian turut disertai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chukai, Dato’ Mohamed Awang Tera, ADUN Kemasik, Ir Rosli Othman, Naib Ketua UMNO Bahagian Kemaman, Datuk Wan Ahmad Nizam Wan Abdul Hamid, Ketua Wanita UMNO Bahagian Kemaman, Senator Hajah Rohani Abdullah, Ketua Pemuda UMNO Bahagian Kemaman, Mohd Hisham Zubir dan Ketua Puteri UMNO Bahagian Kemaman, Asfalinda Anuar.