Halaman

28 June 2012

Tasik Kenyir, Taman Tamadun Islam lokasi pilihan klip video album sulung Beleza

Oleh FAUZI MOHD

Terpesona dengan keindahan dan suasana kehidupan Terengganu, kumpulan muzik pop Beleza yang kini sedang mencipta nama di Indonesia bercadang menjadikan negeri ini sebagai latar klip video mereka.

Beleza dengan lima anggota sedang mempromosikan album sulung mereka Dont' Say You Hate Me' akan merakamkan sekurang-kurangnya dua klip video di sini di beberapa lokasi termasuk di Taman Tamadun Islam dan Tasik Kenyir.

Mereka muncul di Hotel Permai Kuala Terengganu baru-baru ini bagi melancarkan album itu dan Awang Adha Putratama sekali vokalis menyifatkan negeri ini sebagai lokasi terbaik.

Beleza yang bererti "tampan" dibentuk pada 2009 dan ia menyajikan aliran muzik pop melankolik dengan sedikit nuasa Melayu yang dianggap aliran muzik sederhana, enak dan selesa didengar.

Mereka percaya aliran muzik sebegitu akan mudah diterima di negara ini.

Selain Awang Adha Putratama, 22, Beleza dianggotai Muhammad Yudi, 27, (gitar), Gebby Frendias Andrian, 24, (gitar), Jacka, 25, (bass) dan Dod's, 27, (dram).

Beleza yang bernaung di bawah Worldwide Far East Berhad (WFEB) menyajikan lapan lagu termasuk Cuma Satu, Jaga Hatimu, Satu Dua Tiga, Cinta Gila, Gara-Gara Kamu, Cabut Nyawaku dan Aku Bukan Dewa.

Pengerusi WFEB, Datuk Dr. Noor Ismahanum Mohd Ismail memberitahu, pihaknya bukan sahaja tertarik dengan keunikan yang ada di beberapa tempat di negeri itu malah turut terpikat dengan kebudayaan rakyatnya.

"Sebelum ini, beberapa negeri lain sudah kita lawati namun sukar memutuskan lokasi yang dianggap menarik sehingga kami tiba di sini untuk promosi.

"Pada peringkat permulaannya, kami akan merakam klip video lagu Cuma Satu yang terdapat di dalam album dan Kebebasan juga dinyanyikan oleh kumpulan ini dalam filem Tyickoouns yang dijangka akan ditayangkan di pawagam pada November depan," katanya.

Sempena dengan program promosi di Kuala Terengganu, Beleza membuat persembahan di Taman Awam Batu Buruk Kuala Terengganu sekaligus menjual album dan ramah mesra dengan peminat.

Ketika ini Beleza masih dalam rangka promosi di seluruh negara sebelum meneruskan agenda sama ke Brunei dan Singapura.


Agih insentif segera sebagai pendorong

Oleh: Suriati Ali

Atlet Sukan Malaysia (Sukma) yang akan beraksi di Pahang Julai ini bakal menerima habuan tambahan berupa wang tunai antara RM100 hingga RM300 sekiranya layak memperoleh pingat.



Insentif segera berupa wang tunai RM300 untuk emas, RM200 (perak) dan gangsa (RM100) itu akan dibayar pada hari pertandingan sebagai pendorong untuk memungut lebih banyak pingat dan penguat semangat kepada rakan lain.

Ganjaran RM5,000 kepada pemenang pingat emas, RM3,000 (perak) dan RM2,000 untuk gangsa yang pernah diumum sebelum ini akan dibayar selepas tamat kejohanan dan kembali ke Terengganu.

Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan Negeri, YB. Rozi Mamat berkata, reputasi terbaik setelah berjaya mencatat hatrik kejuaraan Sukma pada temasya yang lalu akan dipertahankan kontinjen Terengganu pada Sukma di Pahang, Julai ini.

Terengganu berjaya mencatat hatrik kemenangan ketika menjadi tuan rumah Sukma ke-12 pada 2008, diikuti juara Sukma ke-13 di Melaka (2010) dan Sukma ke- 14 Kuala Lumpur tahun lalu.

Katanya, bagaimanapun, rekod kejuaraan itu mungkin sukar dikekalkan berikutan beberapa acara yang membantu Terengganu merangkul tempat pertama sebelum ini tidak lagi dikekalkan terutamanya sukan kanu yang banyak menyumbang pingat emas.

“Keadaan itu sedikit sebanyak boleh menjejaskan kedudukan Terengganu dalam usaha mengekalkan kejuaraan .



“Satu perkara mudah untuk kita menjadi juara, namun untuk mengekalkan kejuaraan itu kita memerlukan komitmen yang tinggi lebih-lebih lagi kita sudah mencipta hatrik kemenangan,” katanya selepas kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Bendera Kepada Ketua Kontinjen Sukma, di Taman Tamadun Islam, Kuala Terengganu, malam tadi.



Menurutnya, walaupun kecewa kerana acara kenu tidak diadakan pada Sukma kali ini, namun itu tidak akan mematahkan semangat kontinjen Terengganu dan menganggap ia adalah satu cabaran dalam meraih pingat emas tertinggi sepanjang kejohanan itu berlangsung.



Tekanan air di Pasar Payang penuhi piawaian SPAN

Oleh; Esah Abdullah

Tekanan air pada paip utama di Pasar Kedai Payang Kuala Terengganu telah melebih piawaian atau standard yang telah ditetapkan olej Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN).

Ketua Pegawai Eksekutif Syarikat Air Terengganu (SATU), Haji Husain Embong berkata, pihaknya telah membuat ujian terhadap tekanan air di paip utama sebanyak dua kali iaitu pada 26 Jun (5.30 petang) dan 27 Jun (8.30 pagi) berhampiran meter pengguna di pasar berkenaan.

“Kedua-dua ujian itu menunjukkan bacaan tekanan air adalah 20 meter (2 bar) ini telah melebihi piawaian yang ditetapkan oleh SPAN iaitu tekanan air di paip utama mesti berada pada tahap tidak kurang daripada 10 meter (1 bar),” katanya.

Haji Husain berkata demikian sebagai merujuk kepada laporan akhbar Berita Harian (26 Jun) mengenai aduan peniaga di pasar berkenaan yang menghadapi gangguan air khususnya di bahagian pasar basah (ikan, ayam, daging).

Menurutnya, tekanan air seperti itu, sepatutnya pengguna tidak seharusnya menghadapi masalah gangguan air seperti yang didakwa.

“Kami dapati gangguan ini berkemungkinan disebabkan oleh sistem paip dalaman di premis berkenaan dan penyelenggara paip dalaman di luar bidang kuasa SATU sebaliknya tanggungjawab pemilik premis,” katanya.

Menurutnya, skop tanggungjawab SATU adalah dari loji rawatan hingga ke meter pengguna sahaja dan untuk menyelesaikan masalah berbangkit pihaknya telah memaklumkan perkara itu kepada pemilik premis.




Karya songket urat kayu menang RM5,000

Oleh; Esah Abdullah

Pereka grafik dari Taman Tamaddun Islam (TTI) Encik Salyuddin Yusof , 37, mendapat tempat pertama bagi kategori karya siap pada Pertandingan Melukis Citra yang diadakan di Muzium Negeri Bukit Losong semalam.

Salyuddin, menghasilkan karya siap bertajuk `Songket Urat Kayu Terengganu’ menerima hadiah wang tunai RM5,000 dan sijil penyertaan.

Anak jati Terengganu itu, mengambil idea daripada urat-urat kayu untuk menghasilkan kerja seninya berkonsepkan songket dengan bermotifkan bunga-bunga songket tradisi seperti pucuk rebung.

Manakala guru seni dari Kota Baharu, Kelantan, Arman Syamsuri Mohamad Sani tempat pertama (karya spontan) dengan karya bertajuk ‘Ilham Ijaz’ (Keajaiban Ilham) menerima wang tunai RM3,000 dan sijil penyertaan.

Percubaan menggunakan kelainan dalam melukis dengan mengguna teknik penyemburan (spray) pada plastik yang menghasilkan corak-corak batik unik membuah kejayaan kepadanya yang tidak pernah melepaskan peluang setiap kali pertandingan tersebut dianjurkan.

Tempat kedua bagi kategori karya siap dimenangi Ahmad Nashidi Ismail (RM3,000) dan ketiga dimenangi Ahmad Abdul Ghawi (RM1,000) beserta sijil.

Bagi kategori karya spontan, tempat kedua dimenangi oleh Mohd Khairudin Zainudin (RM1,500) dan ketiga dimenangi oleh Marzuki Mohammad (RM800).

Manakala 14 pelukis (karya siap) menerima hadiah saguhati, RM700 seorang dan sijil serta
15 pelukis (karya spontan) masing-masing menerima wang tunai RM500 dan sijil.

Hadiah kepada pemenang disampaikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Negeri. Dato’ Abdul Rahin Mohd Said. Hadir sama Pengarah Muzium negeri, Haji Mohd Yusof Abdullah.

Sebanyak 156 karya pelukis daripada seluruh negara diadili dalam pertandingan itu yang menawarkan hadiah keseluruhan RM32,600 dan tahun ini merupakan tahun ke tujuh pertandingan tersebut dianjurkan oleh Muzium Negeri.





27 June 2012

T-Team tempang lagi, kekal tangga ketujuh

Oleh: Aida Abd Rahman
Skuad kendalian Yunus Alif, T-Team tumpas lagi. Kali ini di tangan Perak,sekali gus terpaksa mengekalkan kedudukan di tangga ke tujuh Liga Super di belakang abang, Terengganu yang menghuni tangga keenam selepas mengikat Kelantan, 2-2, semalam.

T-Team yang membuka jaringan awal menerusi Mohd Faiz Subri pada minit ke-19 akhirnya berputih mata selepas kalah tipis, 2-3 dalam perlawanan di Stadium Ipoh, Perak.

Bagaimanapun tuan rumah berjaya menjarakkan kedudukan dengan menjaringkan tiga gol sebelum T-Team mengurangkan jurang defisit menerusi jaringan Mohd Faiz pada minit-69.

Tiga gol skuad Seladang dijaringkan Mohd Nazri Kamal pada minit ke-33, Mohd Failee Ghazali (minit ke-63) dan Albert Bodjongo (minit ke-66).

Menurut Yunus, faktor mengingkari arahan dan hilang semangat juang dalam beberapa saingan Liga Super sejak kebelakangan ini antara sebab prestasi pasukan T-Team kian merosot hingga menjejaskan sasaran carta empat teratas.

Masalah membelenggu skuad penyu muda ini nyata menggusarkan jurulatih mereka, dalam mengharungi enam baki perlawanan liga (sebelum menentang Perak semalam) sebelum ia berakhir seminggu sebelum bermulanya bulan Ramadan (14 Julai).

Jurulatih berusia 54 tahun ini memberitahu anak buahnya itu seolah-olah berada dalam keadaan 'tidak tenang' ketika berada di atas padang.

"Apa yang menyedihkan, pemain tidak mematuhi arahan dan mempraktikkan apa yang diajar apabila mengekang asakan pasukan lawan. Daripada pemerhatian saya, sejak kebelakangan ini mereka kehilangan semangat menyebabkan mutu permainan telah merosot," katanya.




UMT mampu siap 57 projek penyelidikan

Oleh: Suriati Ali


Universiti Malaysia Terengganu (UMT) berjaya menyiapkan 57 projek penyelidikan yang membabitkan kos RM4.1 juta sepanjang tahun lalu, sekaligus menghampiri sasaran Pelan Strategik UMT.

Penolong Naib Canselor (Hal Ehwal Penyelidikan & Inovasi), Dr Norhayati Mohd Tahir, berkata seramai 154 penyelidik yang terlibat dalam projek itu bertujuan mencapai sasaran ditetapkan iaitu disarankan 60 peratus daripada jumlah penyelidik perlu terlibat secara langsung .

“Dalam aspek penerbitan pula, secara keseluruhannya, warga penyelidik UMT telah menghasilkan sejumlah 829 penerbitan ilmiah yang terdiri daripada buku, artikel jurnal, bab dalam buku dan prosiding persidangan.

“Apa yang membanggakan adalah perningkatan kualiti artikel jurnal yang dihasilkan apabila lebih 50 peratus daripada artikel jurnal terindeks,” katanya katanya ketika berucap di Majlis Anugerah Malim Ilmu, di Taman Tamdun Islam, Pulau Wan Man, Kuala Terengganu, malam kelmarin.

Majlis yang dirasmikan Naib Canselor UMT, Prof Datuk Dr. Ibrahim Komoo turut dihadiri Timbalan Naib Canselor Prof Dr Noor Azhar Mohamed.

Pada majlis itu, Prof Madya Dr Nora’aini Ali dianugerahkan Saintis Tahunan Terbaik dan Dr Ikmar Nizam Mohammad Isa pula mengondol anugerah Saintis Muda Terbaik.

Manakala 151 penyelidik lagi masing-masing menerima 250 pelbagai kategori anugerah sempena majlis yang diadakan kali ke-5 itu.

Dr Norhayati turut memberitahu, UMT berjaya mencatat sejarah dalam pengurusan harta intelek apabila secara rasmi memperoleh tiga paten pertama.

“Kita sedang merancang dan berusaha untuk menjadikan paten-paten ini sebagai sumber yang akan menjana pendapatan kepada universiti dan penyelidik,” katanya.


Pemenang terharu bahan kajian dihargai UMT

Oleh: Suriati

Pemenang anugerah penyelidik menyifatkan penganjuran Majlis Anugerah Malim Ilmu adalah satu pendekatan bijak bagi menguatkan semangat untuk mereka terus menyumbang ilmu.

Penerima Anugerah Saintis Muda Terbaik, Dr Mohd Ikram Nizam Mohammad Isa, berkata anugerah yang diterima itu dianggap sebagai menyokong setia untuk terus mencipta bahan kajian terbaru, sekaligus dapat mengharumkan nama Terengganu di serata negeri malah luar negara.

“Sebelum ini sebanyak 18 artikel jurnal, 34 prosiding dan lebih 30 abstrak diterbitkan di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.

“Saya laksanakan semua itu adalah demi minat dan sayangkan kerjaya, tidak rugi untuk kita terus membuat kajian kerana ia banyak memberi manfaat kepada pembangunansejagat” katanya.
Anugerah itu melayakkan Dr Mohd Ikram yang juga Ketua Jabatan Fizik, Fakulti Sains dan Teknologi (FST) UMT membawa pulang wang tunai RM3,500 beserta sijil penghargaan.

Sebelum ini, Dr Mohd Ikram pernah menerima 7 geran penyelidikan bernilai RM539 ribu dan pernah membentangkan kertas kerja di peringkat tempatan dan luar negara.

Pemenang Anugerah Saintis Tahunan Terbaik, Prof Madya Dr Nora’aini Ali, berkata dia terharu kerana projek Aplikasi Teknologi Membran Kimia dan Bio Seperation Area terpilih sebagai pemenang.

Katanya, dia akan berusaha meneruskan kajian terhadap projek itu walaupun terpaksa mengambil masa lama supaya ianya dapat dipaten dan dijenamakan.

“Jika berjaya, ia mampu menjadi sumber pendapatan kepada universiti dan penyelidik,” katanya.


Ahli JKKK Kampung Paloh,Kuala Terengganu melawat Masjid Ulul Albab



Oleh: Mohammad Ishak 

Serombongan 40 ahli Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Paloh, Kuala Terengganu, melakukan lawatan ke Masjid Ulul Albab, Seberang Jertih dalam usaha memberi pengetahuan kepada ahli mengenai pembinaan masjid paling unik di negara ini.

Rombongan diketuai Pengerusi JKKK itu, Ab Rahim Rani, memilih masjid berkenaan sebagai pilihan utama dalam rangka lawatan sehari ke daerah Besut. Ab Rahim berkata, pihaknya memilih Masjid Ulul Albab kerana ia mempunyai nilai binaan dan kreativiti tinggi dalam tamadun baru Islam selain reka bentuk yang menarik.

Katanya, pihaknya memilih lawatan dalam negeri sendiri dengan memberi peluang lebih ramai penyertaan golongan wanita supaya mereka tahu apa yang ada di negeri ini. Masjid Ulul Albab berharga RM12 juta dan mampu memuatkan 800 jemaah dalam satu masa dirasmikan pembukaannya oleh Duli Yang Maha Mulia Sultan Terengganu,Sultan Mizan Zainal Abidin pada 24 Februari lalu.

Pengerusi JKKK Seberang Jertih, Abdul Rani Mat Amin, menyampaikan taklimat mengenai pembangunan masjid itu kepada peserta sebelum mereka meninjau sekitar masjid terbabit.

Ab Rahim berkata, selepas melawat masjid itu rombongan turut melakukan lawatan ke Desa Ukiran Kayu (DUK) di Kampung Raja, bagi melihat kerja-kerja mengukir tradisional oleh pelatih di pusat itu.

“Daerah Besut menjadi pilihan kerana ia mempunyai seni bina dan ukiran tradisional yang tersohor dan patut diketahui oleh rakyat negara ini,” katanya.

Liga Super : Terengganu ikat Kelantan 2-2

Oleh FAUZI MOHD



Terengganu berjaya mengikat musuh tradisinya, Kelantan dengan keputusan 2-2 dalam perlawanan Liga Super yang berlangsung di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu malam tadi.



Red Warriors berjaya mendahului 2-1 dalam separuh masa pertama melalui jaringan Norfarhan Mohamad pada minit kelima, diikuti oleh jaringan ketua pasukan, Badri Radzi pada minit ke-20 melalui sepakan percuma.



Skuad Penyu bertindak balas dengan menjaringkan dua gol melalui Abdul Hadi Yahaya pada minit ke-39 dan kapten pasukan,Muslim Ahmad minit ke-49.





JPNT anjur karnival komuniti 1Malaysia

Oleh; Esah Abdullah

Jabatan Penerangan Negeri Terengganu (JPNT) akan menganjurkan Karnival Komuniti 1Malaysia peringkat negeri bertempat di Padang Sekolah Kebangsaan Sultan Sulaiman 1, Kuala Terengganu pada 29 Jun ini.

Pengarahnya, Puan Azizah Awang berkata, pelbagai acara menarik sepanjang karnival berlangsung antaranya, uji bakat Bintang Kecil RTM, uji bakat Bintang P.Ramli, pameran agensi kerajaan dan pemeriksaan kesihatan secara percuma kepada orang ramai.

“Turut diadakan persembahan artis pentarama, sukan rakyat, senam seni 1Malaysia, pertandingan mewarna kanak-kanak, pertunjukan wau malam dan jualan produk Komuniti 1Malaysia,” katanya.

Selain itu, program yang bertujuan memupuk perpaduan di kalangan ahli komuniti turut mengadakan ‘Konvoi Kembara Jalinan Kasih’ iaitu menziarah dan menemui penduduk yang kurang bernasib baik di sekitar Parlimen Kuala Terengganu.

“Konvoi yang membawa hamper berupa barangan keperluan harian akan singgah ke rumah mereka yang dikenal pasti melalui kerjasama Pejabat Dewan Undangan Negeri (Dun),” katanya.

Tambahnya program gotong royong mengecat surau di Lorong Kemunting, Pasir Panjang turut diadakan yang diketuai Ketua Pengarah Jabatan Penerangan Malaysia, Dato’ Ibrahim Abdul Rahman.

Menurut Puan Azizah, karnival selama dua hari itu akan dirasmikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Penerangan negeri, YB Haji Khazan Che Mat pada 30 Jun pukul 11 pagi manakala sebelah malamnya diadakan Forum Hal Ehwal Islam.

Katanya, di samping menyertai pelbagai aktiviti, pengunjung juga berpeluang membawa pulang barangan seperti televisyen LCD 42 inci, mesin basuh, basikal fixie dan barangan elektrik dengan mendapatkan tiket cabutan bertuah di tapak karnival.