Halaman

01 August 2012

MENTERI BESAR TERENGGANU MELANCARKAN PROGRAM JELAJAH MERDEKA RAYA 2012 DI KEDIAMAN SERI IMAN

Gambar-gambar oleh ZULKIPLI PUTRA.

Dato' Seri Haji Ahmad Said (kanan) menjulang obor simbolik Program Jelajah Merdeka Raya 2012 di Kediaman Rasminya di Seri Iman, Batu Buruk, Kuala Terengganu.






Penduduk Kemaman dan Dungun dapat hospital baru


Menteri Besar menyampaikan sumbangan kepada pesakit di Hispital Besut

Oleh: Mohammad Ishak

Penduduk di daerah Kemaman dan Dungun bakal menikmati kemudahan kesihatan dan perubatan lebih baik apabila dua hospital baru dibina di daerah terbabit bagi memberi kemudahan kepada orang ramai mendapat perkhidmatan.

Menteri Besar,Dato' Seri Ahmad Said berkata, pembinaan hospital baru terbabit bagi menampung keperluan yang semakin meningkat berikutan pertambahan penduduk selain hospital sedia ada tidak mempunyai kelengkapan yang sempurna.

Katanya, Hospital Kemaman bernilai RM200 juta dan Dungun RM130 juta masing-masing akan dibina akhir tahun ini apabila semua proses siap dijalankan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR).

Menurutnya, selain kemudahan fizikal Terengganu juga memerlukan lebih ramai doktor pakar untuk ditempatkan di hospital seluruh negeri terutama yang mempunyai kemudahan dalam pembedahan seperti di Setiu dan Besut.

Bagaimanapun,katanya, projek pembinaan dewan bedah Hospital Setiu masih menghadapi masalah apaabila kerja menyiapkan dewan sudah berlarutan sejak Sembilan tahun lalju.

“Sebelum ini pembinaan dewan bedah Hospital Besut juga mengambil masa 12 tahun untuk disiapkan akibat kegagalan kontraktor,” katanya pada sidang media selepas melawat pesakit di Hospital Besut, semalam.

Hadir sama Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan,Perpaduan dan Hal Ehwal Pengguna Negeri,Dr A Rahman Mokhtar, ADUN Kota Putera,Muhamad Pehimi Yusof, ADUN Hulu Besut,Nawi Mohamad,ADUN Jabi,Ramlan Ali dan Pegawai Daerah, A Rahim Jusoh.

Seramai 100 pesakit yang sedang dirawat di Hospital Besut menerima sumbangan air zam zam, buah kurma dan peralatan lain yang disumbangan oleh Puteri Umno Bahagian Besut.

Mengenai keadaan tidak selesa pesakit yang mendapat rawatan di Pusat Haemodialisis di hospital berkenaan Ahmad bersetuju menyumbangkan peruntukkan RM50,000 bagi memasang sistem penghawa dingin di pusat terbabit.

Pelajar kesal terlibat perhimpunan haram Bersih 2.0

Oleh: Kamarudin Mat Akib

Seorang pelajar Tahun 3 jurusan Perubatan dari Universiti Azhar Mesir yang menyertai perhimpunan Bersih 2.0 tahun lalu, melahirkan rasa kesal kerana terlibat dengan perhimpunan tidak berfaedah itu hingga menjejaskan pembelajarannya dan banyak menyusahkan keluarga di tanah air.

Muhamad Hasyim Che Ngah, 21, mengakui dia dan beberapa rakannya telah terpengaruh dengan pelawaan pihak pembangkang untuk menyertai perhimpunan Bersih 2.0 di Dataran Hayyu Asyier, Kaherah pada 9 Julai tahun lalu.

Berikutan itu, Yayasan Terengganu (YT) menggantung pinjaman pengajian Muhamad Hasyim dan lapan pelajar lain dari negeri ini selepas mereka didapati bersalah terlibat dengan perhimpunan haram itu kerana tindakan mereka amat jelas melanggar penjanjian antara kedua-dua pihak.

“Saya menyesal di atas perbuatan itu yang dilakukan tanpa berfikir panjang. Kini saya terpaksa menanggung risiko untuk melanjutkan pelajaran di universiti berkenaan tanpa pinjaman YT.

“Selepas YT menarik balik pinjaman pengajian, tidak ada pihak lain yang datang membantu saya kecuali rakan-rakan dan keluarga,” katanya kepada sidang media selepas mengunjungi Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said di Wisma Darul Iman, hari ini bagi melahirkan rasa kesalnya atas perbuatan yang dilakukan tanpa berfikir panjang itu.



Beliau turut memohon maaf kepada Menteri Besar, kerajaan negeri dan Yayasan Terengganu atas kesilapan tersebut dan amat berharap diberi peluang kedua bagi membaiki kesalahan tersebut.

“Saya berjanji selepas ini saya tidak akan terlibat lagi dengan kegiatan politik yang tidak sihat dan bertentangan dengan undang-undang negara, sebaliknya menumpukan perhatian kepada pelajaran saya,” tambahnya.

Sementara itu, Menteri Besar ketika ditanya reaksi terhadap permohonan pelajar berkenaan, berkata kes itu akan ditrujuk kepada Lembaga Pengarah YT dan keputusan muktamad akan diputuskan pada mesyuarat lembaga tidak lama lagi.



Ibu tunggal Puteri dapat perhatian

Oleh; Esah Abdullah

Pergerakan Puteri UMNO Bahagian Kuala Nerus mengambil pendekatan berkunjung ke rumah ibu tunggal kalangan ahli Puteri untuk mengeratkan silatulrahim di bulan yang penuh barokah ini mulai esok (2 Ogos).

Ketuanya, Puan Aida Azam berkata, program masuk kampung bertemu ahli itu membabitkan semua jawatankuasa Puteri bahagian untuk menyampaikan buah tangan (hamper) beserta wang tunai.

“Kita menyediakan 80 hamper untuk diagihkan kepada empat kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu Tepoh, Seberang Takir, Bukit Tunggal dan Teluk Pasu,” katanya.

Katanya, melalui program ini membolehkan jawatankuasa di peringkat bahagian bertemu empat mata dengan ibu tunggal sambil bertanya khabar anak-anak dalam jagaan mereka.

“Selain itu, pertemuan yang berlangsung di rumah berbeza dengan majlis-majlis yang diadakan di luar kerana kita dapat mendengar luahan hati mereka secara lebih telus dan jujur,” katanya.





Projek ECRR mula tahun depan

Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRR) Fasa I akan dipanjangkan dari Kerteh hingga ke Dungun, bagi membolehkan bekalan bijeh besi dari daerah itu dibawa ke kawasan Perindustrian Telok Kalong.

Perdana Menteri, Dato’ Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak, meluluskan permohonan kerajaan negeri agar projek membina rel keretapi ECRR dipanjangkan dari cadangan asalnya dari Kuantan hingga Kerteh, kepada dari Kuantan hingga Dungun.

“Dengan kelulusan baru itu, bermakna landasan keretapi berkenaan ditambah sejauh 35 kilometer (cadangan asal 109 kilometer).

“Saya bagi pihak kerajaan negeri mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri kerana meluluskan permohonan kita agar projek ECRR Fasa I dipanjangkan hingga ke Dungun,” kata Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, pada sidang media selepas mesyuarat Exco hari ini.

Perdana Menteri mengumumkan kajian kebolehlaksanaan ECRR yang merangkumi Pahang, Terengganu dan Kelantan kini telah siap dilaksanakan.

Projek tersebut akan dilaksanakan mengikut fasa mulai fasa I yang merangkumi landasan rel sejauh 109 kilometer dari Kerteh ke Kuantan.

Menteri Besar yakin projek ECRR itu apabila siap kelak akan memberi impak yang besar terhadap ekonomi negeri ini, khususnya di bidang perindustrian.

Beliau berkata, projek itu akan mula dilaksanakan pada tahun depan dan siap menjelang tahun 2016.






BINA LOJI PERTAMA DUNIA BIO ISOBUTANOL BIOJISIM: TERENGGANU MAKIN HEBAT

Oleh: Ruslan Abdul Rahman

Kenyataan Perdana Menteri, Dato’ Sri Mohd.Najib Tun Abdul Razak, bahawa pekembangan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) berada pada kedudukan yang amat positif sungguh mengembirakan penduduk Pantai Timur, termasuk Terengganu.

Menurut beliau antara pelaburan dicatatkan antara Januari dan Jun tahun ini adalah oleh Gevo Inc dari Amerika Syarikat yang akan membina loji bio isobutanol pertama dunia menggunakan bahan mentah biojisim bernilai RM1.65 bilion di Taman BioPolimer Kertih (KBP), Terengganu.

Gevo akan mengikut jejak CJ Arkema, syarikat usaha sama antara CJ CheilJedang Corporation dari Korea Selatan dan Arkema SA dari Perancis, yang akan melabur RM2 bilion untuk membangunkan loji bio-metionina pertama di dunia di KBP.

Kini, Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC ) sudah menyiapkan kerja infrastruktur di tapak kemudahan bio-metionina CJ Arkema di KBP dan pembinaan loji itu dijangka bermula pada suku ketiga 2012.

Pengumuman Gevo itu susulan pemeteraian dokumen kerjasama strategik antara Kerajaan Terengganu, ECERDC dan Perbadanan Bioteknologi Malaysia (BiotechCorp) untuk membangunkan kawasan seluas 1,000 hektar di KBP untuk pembinaan kompleks biopenapisan terbesar di Asia.

Kita amat yakin, Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Said telah melakukan usaha yang terbaik untuk memastikan pembangunan ekonomi yang cemerlang di Terengganu.

Sebagaimana beliau berulang kali menyatakan, setiap pembangunan yang dilakukan di Terengganu mestilah berteraskan kepentingan rakyat dengan pendekatan Merakyatkan Pentadbiran dan Pembangunan, selaras dengan pendekatan pusat, “Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan”.

Kompleks biopenapisan di KBP itu adalah satu mercu tanda utama kerana ia yang pertama seumpamanya di Malaysia menggunakan bahan mentah selulosa untuk menghasilkan produk terbitan bio seperti karbohidrat lanjutan, biokimia, biobahan, biobaja dan ramuan suapan aktif.

Kompleks biopenapisan itu dijangka menarik pelaburan RM7 bilion dan keseluruhan projek itu akan menjana PNK terkumpul RM20.4 bilion menjelang 2020 selain membuka 2,500 peluang pekerjaan “hijau” di Malaysia

“Semua projek ini dijangka dilaksanakan tahun ini,” kata Perdana Menteri dalam kenyataan yang dikeluarkan selepas mempengerusikan mesyuarat kedua Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) tahun ini di Kuala Lumpur.

Difahamkan ECER menarik pelaburan berjumlah RM32.7 bilion dalam tempoh 2007 sehingga akhir Jun lalu, dengan RM12 bilion diterima hanya dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini.

Dato’ Seri Najib Razak berkata, antara Januari hingga Jun tahun ini, kelompok pelancongan ECER menarik jumlah pelaburan tertinggi merangkumi 55 peratus, diikuti pembuatan (31 peratus), pertanian (lapan peratus), pendidikan (lima peratus) dan perkhidmatan (hampir satu peratus).

Daripada pelaburan RM32.7 bilion yang berjaya ditarik ke ECER sejak 2007 itu, RM21.9 bilion sudah pun diterima dan mewujudkan hampir 30,000 peluang pekerjaan serta menyumbang RM7 bilion kepada Pendapatan Negara Kasar (PNK).

Di samping mengucap terima kasih kepada Dato’ Sri Mohd.Najib di atas komitmen yang diberikan kepada ECER yang diwujudkan di zaman Perdana Menteri sebelumnya, kita juga mengucap tahniah kepada Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Ahmad di atas pencapaian ini, khususnya dalam konteks negeri Terengganu.

Kita yakin projek berteknologi tinggi di Terengganu itu akan menjadi perintis ke arah pendekatan ‘industri biotech’ dan akan menjadi pemangkin pembangunan lain-lain indusrti yang bersifat akitiviti hiliran (downstream).


Gangguan bekalan air di lapan kawasan

Oleh: Suriati Ali

Syarikat Air Terengganu (Satu) memberitahu Sungai Dungun khususnya di Loji Rawatan Air di Kampung Jerangau Sungai mengalami paras air surut yang amat ketara dan berada di bawah aras injap kaki.

Ketua Pegawai Eksekutif Satu, Haji Husain Embong, berkata faktor itu menyebabkan loji rawatan air Satu di Kampung itu tidak dapat beroperasi kerana air sungai gagal disedut untuk diproses di loji rawatan.

Katanya, pada paras air normal, loji air itu mampu memproses 6.7 juta liter air sehari.

“Ekoran daripada fenomena ini, kawasan-kawasan yang mendapat bekalan air dari loji ini akan mengalami gangguan bekalan air.

“Pihaknya sukar untuk menganggarkan tarikh pemulihan gangguan ini kerana ianya bergantung kepada keadaan cuaca,” katanya dalam satu kenyataan.

Kawasan-kawasan yang terlibat adalah, Felda Jerangau Barat, Jerangau Felda, Kampung (Kg) Landas, Kg Pela, Kg Durian Kassim, Kg Tok Dor, Kg Peroh dan Kg Surau Binjai.

Menurutnya, gangguan itu yang melibatkan lapan kampung itu dijangka dialami pengguna bermula hari ini

“Satu telah menggerakkan jentera untuk membekalkan air kepada pengguna melalui lori-lori tangki dan tangki-tangki statik., selain berusaha untuk meminimakan kesan gangguan bekalan ini kepada pengguna melalui penghantaran air secara manual.

“Pengguna di kawasan terbabit diminta untuk bersabar dan menggunakan air secara lebih berhemah,” katanya.


Khairul singkir senior, mara pusingan ketiga

Pemanah muda Khairul Anuar Mohamed menundukkan atlet senior negara Cheng Chu Sian sebelum menyingkirkan pemanah beranking lebih tinggi dari China, untuk menempah tempat ke pusingan ketiga acara perseorangan lelaki Recurve pada Olimpik London 2012, kelmarin.

Pada acara yang berlangsung di Lord's Cricket Ground, Khairul Anuar mengutip 140 mata sementara Chu Sian 137, dalam pusingan pertama, sekali gus memberi mata kemenangan 6-4.

Beliau meneruskan prestasi cemerlang menewaskan Xing Yu dari China dengan 6-5 pada pusingan kedua.

Kedua-dua pemain terpaksa melakukan panahan penentuan setelah terikat 2-2 selepas lima set.

Sekalipun kedua-dua atlet melakukan panahan pada mata sembilan, Khairul Anuar diisytihar pemenang kerana panahannya lebih hampir kepada garisan 10 mata berbanding pemanah China itu.

Beliau akan bertemu Larry Godfrey dari Great Britain pada pusingan ketiga Jumaat ini.
Mengikut peraturan baru Persekutuan Memanah Antarabangsa (FITA), pemenang bukan sahaja ditentukan menerusi mata daripada panahan tetapi pemenang setiap lima set akan mendapat dua mata tambahan.

Mengulas pertemuannya dengan Chua Sian, Khairul Anuar berkata beliau menghormati pemain seniornya itu, namun untuk pertandingan bertaraf tinggi seperti Olimpik, hanya yang terbaik akan berjaya.

"Kami berdua berlatih bersama dan kami tahu prestasi masing-masing. Namun, saya fikir saya lebih tenang hari ini," katanya kepada pemberita selepas pertandingan.
Katanya selepas memenangi pusingan pertama, keyakinannnya bertambah.

"Walaupun pemanah China itu di ranking ke-13 dan saya ke ke-20, saya tahu saya akan dapat mengalahkannya," kata Khairul Anuar yang mahu lebih fokus apabila berdepan dengan atlet tuan rumah Jumaat ini.

Ketua kontinjen Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid yang turut hadir, berkata Khairul Anuar lebih berdaya saing dan kelihatan lebih tenang berbanding ketika acara berpasukan.

"Akan tetapi beliau mesti lebih fokus dan tidak membiarkan dirinya diganggu dengan sokongan penonton tempatan pada pertemuan dengan pemanah tuan rumah Jumaat ini," katanya.



Perdana Menteri berbuka puasa bersama rakyat Terengganu

Oleh: Kamarudin Mat Akib

Perdana Menteri, Dato’ Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak dijangka menghadiri majlis berbuka puasa bersama-sama rakyat Terengganu, pada majlis berbuka puasa di padang Kampung Tok Jiring, Kuala Nerus, pada 9 Ogos depan (Khamis).

Menteri Besar serta saf kepimpinan Kerajaan Negeri Terengganu akan turut hadir pada majlis berkenaan, sebagai penghormatan kepada pemimpin nombor satu negara.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tepoh, YB Ustaz Muhammad Ramli Nuh, berkata turut dijemput berbuka puasa bersama pemimpin itu ialah ketua-ketua jabatan dan penjawat awam agensi kerajaan negeri dan Persekutuan.

Beliau berkata, Perdana Menteri Malaysia dijadualkan tiba di Lapangan Terbang Sultan Mahmud, Kuala Terengganu, kira-kira jam 6 petang.

Katanya, Dato' Seri Mohd Najib kemudiannya akan hadir pada Majlis Penyampaian Dana Khas Hari Raya di tempat yang sama.

Dato’ Seri Mohd Najib akan menunaikan solat Isyak dan terawih di Masjid Wakaf Tembesu, Kuala Terengganu.

Beliau akan menikmati jamuan moreh dan bermesra dengan penduduk tempatan selepas selesai menunaikan solat berkenaan.

Selesai majlis itu, Perdana Menteri Malaysia berlepas balik ke Kuala Lumpur dari Lapangan Terbang Sultan Mahmud, Kuala Terengganu.



31 July 2012

YT minta pelajar jangan membazir

Oleh: Suriati Ali

Yayasan Terengganu (YT) mengingatkan pelajar Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) supaya memanfaatkan pemberian wang bantuan pendidikan dengan membeli perkakas sekolah berfaedah dan bukannya kelengkapan yang dianggap membazir.

Pengarah YT, Encik Zakaria Yusof, berkata pihaknya cukup kecewa sekiranya ada di antara pelajar membelanjakan wang yang diperoleh itu ke arah perkara membazir seperti membeli telefon bimbit, rokok dan kad tambah nilai.

Katanya, setiap pelajar wajar mengutamakan keperluan pembelajaran supaya mampu memperoleh keputusan cemerlang dalam peperiksaan yang bakal ditempoh kelak.

“Jika mereka membazir wang yang diberi ini seolah-olah mengkhianati hasrat dan tujuan `si pemberi’ iaitu kerajaan Terengganu yang sememangnya sentiasa ikhlas membantu pelajar supaya dapat mencapai cita-cita yang diimpikan.

“Apa yang dibantu ini, bukan saja untuk kepentingan Terengganu malah cukup penting untuk masa depan pelajar,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyampaian Bantuan Pendidikan Yayasan Terengganu kepada Pelajar Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2012 di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu, semalami.

Majlis yang dirasmikan Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said itu turut dihadiri Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pendidikan Tinggi, Sains, Teknologi dan Sumber Manusia negeri, Dato’ Ahmad Razif Abd Rahman dan Pengarah Jabatan Pelajaran Negeri Terengganu, Encik Zakaria Hussin.

Seramai 2,150 pelajar Tingkatan Enam (Atas) pelbagai sekolah seluruh Terengganu hadir menerima sumbangan tersebut yang disampaikan Dato’ Seri Haji Ahmad.

Berdasarkan jumlah pelajar itu, kerajaan negeri melalui YT membelanjakan lebih RM2.1 juta bertujuan mahu melihat pencapaian cemerlang yang diperoleh setiap pelajar dapat peperiksaan utama itu nanti.

Encik Yusof turut memberitahu pihaknya bertanggungawab terhadap pembangunan dan kemajuan sektor pendidikan negeri akan meneruskan usaha-usaha ke arah memaju, meningkat dan melestarikan bidang pendidikan melalui aktiviti dan program pelengkap .

“Program-program seperti Biasiswa Kecil Yayasan Terengganu (BKYT), Hadiah Kecemerlangan Pelajar dalam peperiksaan awam, bantuan-bantuan kebajikan, Biasiswa atau Pinjaman Sultan Ismail Nasiruddian Shah dan Bantuan Persediaan Kemasukan ke IPTA dan IPTS, merupakan sebahagian program dan aktiviti teras YT.