Oleh: Suriati AliSemangat muhibah tinggi dan mempunyai nilai sentimental tersendiri membuatkan penduduk Kampung Pandang Hangus, Kuala Terengganu mampu mengekalkan tradisi memasang pelita setiap kali menjelang Ramadan.
Walaupun berdepan dengan kenaikan harga minyak tanah, ia tidak menjadi halangan dan alasan bagi penduduk di kawasan itu untuk tidak mengekalkan tradisi yang diamalkan sejak 12 tahun lalu.
Pengerusi Jawatankuasa Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) kampung itu, Haji Sidek Salleh, berkata pada awalnya, pertandingan pelita raya dianjurkan bermula 2000 itu hanya sekadar `suka-suka’ dan tidak melibatkan hadiah lumayan.
“Sambutan pada ketika itu sangat meriah walaupun mengetahui hadiah utamanya adalah sekadar hamper bernilai RM30 saja.
“Rata-rata penduduk di sini tetap bersepakat memeriahkannya kerana ingin mengekalkan tradisi nenek moyang.,” katanya yang ketika ditemui Teganukita.
Katanya, apa yang diusahakan ini mendapat perhatian pelbagai pihak, termasuk wakil rakyat dan Lembaga Muzium Negeri Terengganu (LMNT), sejak 2009 dengan memberi pelbagai kemudahan termasuk menawarkan duit penyertaan RM50 seorang.
“Keprihatinan itu sangat dihargai kerana kampung kami bukan saja dikenali diserata negeri malah turut berpeluang memenangi hadiah lumayan,” katanya.
Peserta pertandingan dari kampung sama, Rustam Naman, 54, berkata dia bersama ahli keluarga lain pasti tidak ketinggalan memasang ratusan pelita raya yang diperbuat daripada barang buangan setiap kali menjelang Ramadan.
“Tradisi itu sememangnya memberi keseronokan buat kami sekeluarga yang ingin melihat perkarangan dan laluan ke kediaman diterangi cahaya pelita dan nyalaan `damar raya’,” katanya.
Beliau yang sudah 12 tahun mengekalkan tradisi itu berkata, dia tetap memasang pelita walaupun tiada pertandingan dianjurkan pihak tertentu kerana banyak manfaat diperoleh daripadanya termasuk mampu menjalin hubungan lebih rapat antara penduduk kampung dan ahli keluarga.
Katanya, 500 pelita yang diperbuat daripada tempurung `nyiur’, bekas minyak, botol minuman dan tin makanan dipasang mengikut kerangka kenderaan pancuan empat roda.
“Saya sambil dibantu isteri, Ettam Sulong dan anak-anak mengambil masa hampir tiga hari untuk menyiapkan kerangka dan ratusan pelita ini sebelum dapat dipasang di hari pertandiangan.
“Peryertaan kali ini cukup memuaskan hati kerana bukan dapat perhatian ramai termasuk warga asing malah mampu menaikkan imej kampung di serata tempat,” katanya yang membelanjakan hampir RM500 untuk peryertaan pertandingan itu.
Seorang lagi peserta Vincent David yang berkahwin dengan penduduk di Kg Padang Hangus mengakui seronok dan teruja menyertai pertandingan itu kerana di negeri asalnya iaitu Sabah sukar untuk berbuat demikian.
“Saya dianggap beruntung kerana peluang berada di kampung ini dan menyertai pertandingan pasang pelita yang mungkin tiada di tempat dan kampung lain.
“Walaupun terpaksa mengeluarkan belanja sehingga ratusan ringgit untuk membeli minyak tanah dan pelita, semua itu tidak menjadi halangan kerana apa yang penting keseronokan dapat mengeratkan silaturahim antara keluarga,” katanya.