Halaman

07 August 2012

Hubungan kejiranan erat mampu elak jenayah curi, pecah rumah

Oleh: Aida Abd Rahman
Hubungan kejiranan yang erat memberi kesan efektif bagi mengelak kejadian curi dan pecah rumah yang mungkin berleluasa berikutan penghuni pulang bercuti di kampung masing-masing pada musim perayaan.

Ketua Polis Terengganu, Senior Asisten Komisioner, Dato’ Jamshah Mustapa, berkata hubungan baik dan rapat sesama jiran tetangga boleh mengurangkan risiko kawasan perumahan dan rumah yang tidak berpenghuni menjadi sasaran penjenayah.

“Apabila rumah kita kosong (ditinggalkan), kita beritahu jiran supaya memantau kawasan rumah kita. Malah, melalui Jabatan Perpaduan Negara diwujudkan Skim Kejiranan dan sebagainya yang menjadi salah satu usaha mengelak kejadian pecah rumah.

“Kita dapati di kawasan yang mempunyai kejiranan yang erat, di mana terdapat Skim Kejiranan ini, jenayah tidak berlaku kerana penjenayah suka kepada orang yang tidak mengenali dan tidak ambil kisah kehadiran mereka,” katanya ketika ditemui Teganukita, di pejabat beliau, baru-baru ini.

Dato’ Jamshah berkata, sikap saling mengambil berat mampu mengurangkan risiko kecurian dan pecah rumah berikutan tindakan bertanya , menyelidiki tindak-tanduk serta tujuan orang luar memasuki kawasan kejiranan dapat mematikan langkah penjenayah mencapai hasrat mereka.

Pada masa yang sama, beliau berkata penghuni rumah yang mahu meninggalkan rumah harus meningkatkan ciri keselamatan terutama mengunci rumah dengan sebaik mungkin, mengelak keadaan rumah yang gelap dan persekitaran yang semak berikutan tiga faktor berkenaan boleh mendorong kepada kejadian jenayah berkenaan.

“Tiga faktor itu menjadi pendorong kepada kegiatan curi dan pecah rumah kerana penjenayah boleh menyorok sebelum menceroboh kediaman mangsa.

“Modus operandi penjenayah lazimnya, pertama dia akan pastikan sebelum melakukan jenayah, pertama, mereka tidak akan ditangkap; yang kedua mereka tidak dicam, dan faktor ketiga, penjenayah dapat apa yang dikehendaki,” katanya.



Penjawat awam perlu responsif, sokong usaha kerajaan

Oleh: Aida Abd Rahman
Penjawat awam perlu responsif dan menilai segala usaha kerajaan yang sentiasa merealisasikan suara mereka selama ini dengan memberi sokongan padu terhadap kerajaan.

Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Haji Mazlan Ngah, berkata Kerajaan Pusat dan negeri amat mengambil berat kepada kumpulan penjawat awam dengan menyediakan pelbagai kemudahan dan juga peluang yang memberi banyak manfaat kepada golongan itu.

Terbaru, katanya Kerajaan Pusat mengumumkan bonus sempena Hari Raya Aidilfitri dengan nilai setengah bulan gaji atau minima RM500 yang membuktikan kerajaan sentiasa peka terhadap kebajikan dan kehendak penjawat awam.

“Bonus RM500 yang disediakan nanti pastinya akan meringankan beban belanja dan menceriakan kehadiran lebaran di kalangan penjawat awam,” katanya kepada Teganukita ketika ditemui di pejabat beliau, baru-baru ini.

Seramai 20,000 penjawat awam di seluruh negeri menerima bonus sebelum menjelang Hari Raya Aidilfitri yang melibatkan perbelanjaan sebanyak kira-kira RM10 juta.

Ganjaran setengah bulan gaji atau minima RM500 diberikan kepada semua kakitangan awam termasuk badan berkanun negeri dan pesara.

Dato’ Mazlan berkata, langkah kerajaan negeri itu juga seiring dengan keputusan Kerajaan Pusat sebagaimana pengumuman Perdana Menteri, Dato’ Seri Mohd Najib Tun Razak yang menyediakan bonus sama kepada kakitangan kerajaan Persekutuan.

Selain itu, beliau berkatakerajaan juga sentiasa memberi ruang kepada penjawat awam yang mahu melanjutkan pelajaran dalam bidang tertentu bagi meningkatkan kemahiran dan juga pengalaman mereka dalam kerjaya masing-masing.

“Peluang melanjutkan pelajaran dapat menyuntik kecemerlangan masa depan serta mengukuhkan lagi peranan serta jawatan dalam bidang yang disandang bersandarkan kelayakan akademik itu,” katanya.



Paling afdal sedekah di bulan Ramadan

Oleh; Esah Abdullah

Kelebihan bersedekah dan amalan menderma pada bulan Ramadan dianggap paling afdal dan mereka yang berbuat demikian menjadikan orang yang beriman serta membawa masyarakat kepada suasana tolong menolong.

Pendakwah bebas, Dr. Zukifli Muhamad Al-Bakri berkata, dengan memahami hadis Rasulullah seperti yang diriwayatkan at-Tarmizi iaitu siapa yang memberi makan orang yang berpuasa akan diberi pahala orang puasa tersebut tanpa dikurangi sedikit pun pahalanya.

“Hikmahnya menjadi orang beriman yang berlumba-lumba untuk menjamu orang berpuasa mampu mewujudkan jaringan kemasyarakatan lebih utuh dan padu,” katanya.

Menurutnya, membaca doa ketika berbuka menjadikan seseorang mengikhlaskan diri kepada Tuhan dan mengiktiraf kurniaan rezeki Nya serta mengharap pahala daripada Nya.

Katanya, Ramadan sebagai bulan tamrin dan latihan dalam menyusun langkah kehidupan atas asas syariat Allah dan boleh memberi semangat kerohanian yang tinggi untuk mendekatkan diri kepada Allah.

“Ramadan merupakan satu musim yang sarat dengan kebajikan dan kebaikan sama ada yang fardu atau sunat seperti qiamullail, sedekah, solat Terawih dan tadarus al-Quran,” katanya.




Orang ramai penuhi bandar raya sempena Nuzul al-Quran

Oleh: Suriati Ali

Rata-rata penduduk Terengganu mengambil kesempatan membawa keluarga masing-masing keluar membeli barangan dan kelengkapan menyambut Syawal, sempena hari cuti Nuzul al-Quran, semalam .

Mengenangkan bulan Syawal bakal disambut umat Islam kira-kira 12 hari lagi, mereka tidak melepaskan peluang membeli barangan seperti pakaian, kasut dan songkok sempena hari cuti itu.

Tinjauan Teganukita kita mendapati, hampir semua jalan utama di bandar raya Kuala Terengganu, terutama Jalan Banggol, Jalan Tok Lam dan Jalan Sultan Zainal Abidin penuh sesak dengan pelbagai jenis kenderaan.

Seorang Penduduk dari Bukit Payong, Puan Zaleha Yusof, 39, berkata dia mengambil kesempatan membawa anak-anak membeli apa yang patut.

“Saya lebih selesa berbuat demikian dipertengahan Ramadan seperti hari ini kerana mengetahui minggu akhir Ramadan kelak, keadaan bandar raya ini bertambah sibuk.

“Semua pasar raya dan premis kelengkapan raya juga sibuk dan penuh sesak dengan orang ramai, suasana itu membuatkan saya tidak selesa,” katanya.

Penduduk dari Tepoh, Puan Rafidah Hanafiah, berkata semua jalan utama di bandar raya ini sangat sesak sehingga menyukarnya mencari tempat letak kenderaan.

Katanya, dia terpaksa letak kereta kira-kira satu kilometer dari tempat yang ingin dituju semata-mata mahu memenuhi kehendak anak-anak yang ingin membeli kasut dan pakain raya.

“Lebih baik rasanya membuat persiapan daripada sekarang berbanding disaat akhir Ramadan di mana sudah tentu jalan raya lebih sesak berbanding hari ini,” katanya.


Ukom rai petugas media

Oleh: Suriati Ali

Kira-kira 50 petugas media terdiri daripada wartawan dan jurugambar dari pelbagai agensi diraikan Unit Komunikasi Negeri (Ukom) dalam Majlis Berbuka Puasa di Hotel Felda Ressidence, Kuala Terengganu, kelmarin.



Majlis yang turut disertai ketua-ketua biro dan para blogger itu mampu mengeratkan hubungan antara pengamal media dan Ukom serta menghargai peranan golongan itu dalam menyampaikan maklumat kepada rakyat.

Pelbagai juadah menjadi pilihan tetamu yang hadir, antaranya nasi arab, daging kambing panggang, mee mamak, pengat pisang, ais cendol dan tidak ketinggalan bubur lambur.

Pengarah Ukom, Haji Shamsudin Sulong meminta pengamal di negeri ini menyalurkan informasi yang tepat dan benar bagi menambah keyakinan rakyat terhadap kepimpinan negeri serta negara amnya.

“Saya mengharapkan semua rakan media, wartawan memainkan peranan menyalurkan setiap perkara dan apa sahaja yang betul-betul benar mengenai isu semasa dan kepimpinan negeri kepada masyarakat,” katanya.

Haji Shamsudin turut mengingatkan setiap insan yang bergelar umat Islam sewajarnya menggandakan perbuatan dan amalan mulia supaya mendapat ganjaran berganda daripada yang Maha Esa sempena bulan yang penuh barakah ini.


06 August 2012

Seramai 5,607 penduduk DUN Jertih terima dana raya


Antara penerima dana raya di DUN Jertih

Oleh: Mohammad Ishak

Seramai 5,607 penduduk dari Kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Jertih, menerima dana hari raya sumbangan Kerajaan Negeri sempena Aidilfitri tahun ini.

Penerima terbabit termasuk golongan Miskin, Orang Kelainan Kurang Upaya (OKU), Warga Emas, Duda, dan Ibu Tunggal menerima bayaran dana secara berpering-pewringkat bermula semalam dan berakhir Khamis ini.

Urusan pembayaran yang dilakukan oleh Pejabat Daerah Besut (PDB) yang membabitkan peruntukkan RM1.551 juta bertujuan membantu golongan berkenaan menyambut hari raya dengan lebih ceria.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jertih, Dato’Seri Idris Jusoh, merasmikan majlis pengagihan itu yang turut dihadiri Ahli Parlimen Besut, Dato’ Seri Dr Abdullah Md Zin yang juga Penasihat Agama Perdana Menteri.

Idris berkata, pengagihan dana berkenaan tidak dilakukan di negeri lain dan Terengganu sebagai pencentusnya memberi manfaat besar kepada golongan berkenaan untuk mengadakan persiapan hari raya.

Katanya, penduduk negeri ini sepatutnya bersyukur dengan adanya sumbangan seumpama itu kerana setiap tahun menjelang hari raya agihan dana dilakukan oleh kerajaan negeri.

Beliau berkata,penerima yang mendapat antara RM200 hingga RM300 berdasarkan kategori masing-masing hendaklan memanfaatkan sumber itu untuk tujuan keluarga.

“Pelbagai bantuan dan agihan disediakan oleh Kerajaan Negeri dan Pusat kepada rakyat membuktikan pemerintah Barisan Nasional (BN) sentiasa peka kepada keperluan rakyat,” katanya.


Kemaskini alamat, elak notis JPJ tersasar tempat



Oleh: Aida Abd Rahman

Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Terengganu meminta orang ramai supaya mengemas kini alamat tempat tinggal supaya tidak berlaku notis berkaitan kesalahan lalu lintas tersasar ke alamat lain yang mengakibatkan berlaku tunggakan saman.

Pengarahnya, Tuan Abdul Rahman Emang Anyie berkata,usaha giat dilaksanakan JPJ untuk memastikan kesedaran orang ramai untuk mengemaskini alamat yang berkaitan dengan kenderaan dan lesen memandu sama ada dilakukan di pejabat JPJ atau di kaunter luar premis JPJ.

“Bagi memudahkan orang ramai berbuat demikian, kita membuka satu kaunter khas di luar JPJ, iaitu di Pasar Raya Sabasun bagi kawasan Kuala Terengganu. Malah, kita juga bercadang untuk menambah kemudahan itu di pasar tani serta pasar raya lain yang menjadi tumpuan orang ramai.

“Selain mengemas kini alamat, JPJ juga menyediakan perkhidmatan menyemak senarai hitam, memperbaharui cukai jalan dan insurans menerusi MyEG di kaunter khas berkenaan,” katanya ketika ditemui di pejabat beliau di Bukit Kecil, Kuala Terengganu, hari ini.

Selain di Kuala Terengganu, JPJ turut menyediakan kaunter khas masing-masing di pejabat cawangan JPJ Besut dan Kemaman yang turut dibuka pada hujung minggu.

Tuan Abdul Rahman berkata, pihaknya juga menyediakan pelbagai perkhidmatan itu menerusi program masuk kampung, iaitu `Satu Komuniti, Satu JPJ’ termasuk untuk memperbaharui lesen memandu dan tawaran nombor pendaftaran popular dengan kadar harga ditetapkan.

“Apabila pihak berkuasa, sama ada JPJ atau Polis menghantar notis, mereka memberi alasan notis itu tidak sampai. Selepas diselidiki, alamat mereka yang tidak dikemaskini.

“Orang ramai kurang mengendahkannya mungkin menganggap perkara itu remeh. Malah, ada yang memberi alasan terlupa dan mengatakan alamat mereka memang begitu (asal) sejak dulu,” katanya.

Tambahnya, menjadi tanggungjawab pemilik kenderaan atau pemilik lessen memandu itu sendiri untuk memastikan alamat dikemaskini yang diperuntukkan mengikut Akta Pengangkutan Jalan (Pindaaan) 2010 Seksyen 58A.

Selain itu, katanya alamat boleh dipinda tanpa had selagi orang ramai mahu memberikan maklumat terkini dan tepat untuk memudahkan urusan surat-menyurat mereka kelak.




Taktik guna budak, peniaga mercun tetap berdepan tindakan

Oleh: Aida Abd Rahman
Segelintir peniaga mercun di negeri ini dikesan bertindak mengaburi pihak berkuasa dengan menjadikan kanak-kanak sebagai `pembantu’ gerai jualan mereka sebagai taktik berselindung di sebalik kesalahan jenayah itu.

Ketua Polis Terengganu, Senior Asisten Komisioner Dato’ Jamshah Mustapa, berkata peniaga dikatakan bertindak demikian sebagai mengalih perhatian ramai dan juga pihak berkuasa yang mungkin akan bersimpati sekali gus terlepas daripada tindakan undang-undang apabila melihat penjual adalah di kalangan kanak-kanak.

“Apabila kita nampak budak-budak kita akan berasa belas ehsan, tetapi kegiatan sebegini tetap salah. Kalau kita dapat tangkap kita tetap akan mendakwa mereka mengikut undang-undang,” katanya kepada Teganukita di pejabat beliau, baru-baru ini.

Beliau berkata, jika didapati mengedar dan menjual bahan larangan itu, peniaga boleh berdepan dengan hukuman mengikut Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957 (akta 207), jika disabitkan kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara sehingga tujuh tahun dan denda tidak lebih RM10,000.

Tambah beliau, apa yang merungsingkan semua pihak apabila penjualan bunga api tidak disekat menyebabkan pengguna khususnya remaja didapati menyalahguna bahan itu dengan melakukan pengubahsuaian mengikut kreativiti mereka.

“Apabila mereka membeli dan membuka bunga api berkenaan dimasukkan pula ke dalam buluh.. besi dan dimampatkan dengan mengetuk-ngetuk mengakibatkan berlakunya letupan.

“Oleh itu, kita akan sedaya upaya menyekat bahan larangan itu dengan meng haramkan pembelian dan penjualannya supaya bekalan tidak sampai kepada orang ramai,” katanya.

Menurutnya, keuntungan yang tinggi menjadi faktor mendorong ramai peniaga berjinak-jinak dan terlibat dalam kegiatan menjual bahan larangan itu yang lazimnya dibawa daripada negara jiran terutama menjelang musim perayaan.



Pertandingan Pelita Raya tawar hadiah RM46,500

Oleh: Suriati Ali

Rata-rata peserta Pertandingan Pelita Raya 2012 membabitkan lima kampung di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Tepoh pasti tidak sabar mengetahui kedudukan masing-masing sama ada layak bergelar pemenang atau sebaliknya.



Pertandingan selama tiga hari dan berakhir 5 Ogos itu menawarkan hadiah keseluruhan RM46,500 di mana johan individu layak membawa pulang wang tunai RM2,000, naib juara (RM1,500), ketiga (RM1,000) dan tempat keempat hingga ke 15 pula bakal memperoleh RM300.

Keputusan pertandingan itu bakal diumumkan dalam majlis yang akan diadakan dalam tempoh terdekat.

Penolong Kurator-Perhubungan dan Pemasaran LMNT Mohd Saberi Muda, berkata pertandingan pelita yang berakhir malam tadi mendapat persaingan hebat kerana rata-rata mereka sudah berpengalaman mencipta pelbagai bentuk dan kerangka bagi menempatkan pelita.



Katanya, pihaknya berasa bangga kerana mampu menganjurkan program yang mampu menghidupkan kembali tradisi lama ini sejak 2009 lagi.

Di samping itu, ia juga dapat menceriakan suasana kampung, memupuk semangat kerjasama antara penduduk dan pemimpin setempat.

“Pertandingan ini akan diteruskan kerana bukan saja mampu menyemarakkan kembali tradisi nenek moyang malah dapat mengasah bakat penduduk berkaitan mereka cipta pelita raya.

“Apa yang membanggakan, pelita yang dipasang itu bukan hanya dibeli dari kedai malah diperbuat daripada pelbagai jenis barangan terbuang seperti tin makanan, tempurung kelapa, botol plastik dan buluh,” katanya.

Menurutnya, LMNT dengan dibantu pelbagai pihak termasuk pemimpin setempat akan terus menganjurkan program seumpama ini sebagai usaha mengekal dan mengembangkan tradisi itu.





7,463 warga Felda dapat bantuan berganda

Felda akan mengagihkan ‘durian runtuh’ berjumlah kira-kira RM2 juta kepada 7,463 keluarga peneroka di 20 tanah rancangan Felda di negeri ini mulai Rabu ini.

Pemberian wang Hari Raya Aidilfitri itu merupakan tambahan bonus kepada peneroka Felda di seluruh negara seperti diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak, baru-baru ini, berupa pemberian wang Hari Raya Aidilfitri berjumlah RM43.2 juta.

Penguus Besar Felda Wilayah Terengganu, Haji Abd Malib Abd Rani berkata peneroka yang masih menghantar tuaian buah kelapa sawit kepada Felda akan diberi wang tunai sebanyak RM400 manakala peneroka yang menjualnya kepada pihak lain akan menerima RM200.

Beliau berkata, pihaknya berharap bantuan itu dapat meringankan beban keluarga peneroka untuk menyambut Aidilfitri tahun ini.

Pengagihan bantuan berkenaan kepada semua peneroka Felda dijangka selesai selewat-lewatnya sebelum 15 Ogos, bagi membolehkan mereka membuat persiapan awal menyambut hari lebaran.

Bantuan tersebut memberi kegembiraan berganda kepada peneroka kerana sebelum ini mereka diberi RM10,000 tunai bagi setiap keluarga peneroka (suami RM5,000, isteri RM5,000) dan bakal dibayar RM5,000 lagi kepada anak-anak peneroka tidak lama lagi ekoran penyenaraian Felda di Bursa Malaysia.

Pihak pengurusan Felda berharap duit 'durian runtuh' itu akan digunakan sebaiknya bagi kepentingan keluarga masing-masing.