Halaman

09 August 2012

Pos Malaysia Terengganu rai anak yatim

Anak yatim menjamu selera ketika berbuka puasa anjuran Pos Malaysia Terengganu


Oleh: Mohammad Ishak

Pos Malaysia Terengganu (Pos Malaysia) meneruskan tradisi koporat sosial dengan memberi peluang kepada anak yatim di negeri ini berkongsi kehidupan dengan menyertai program yang dianjurkan oleh sektor berkenaan.

Majlis berbuka puasa bersama anak yatim sambil menyumbangkan bantuan yang diadakan di Muzium Negeri petang semalam tetap menjadi kenangan dan ingatan kepada golongan anak yatim yang dipilh menyertai program itu.

Sekumpulan 20 anak yatim sekitar Kuala Terengganu dipilih oleh badan khas untuk diraikan pada majlis berbuka puasa bersama pengurusan Pos Malaysia.

Mewakili Pengurus Pos Negeri, Wan Norsuwati Wan Othman, menyampaikan sumbangan hari raya kepada semua anak yatim yang menghadiri majlis berkenaan.

Wan Norsuwati berkata, program seumpama itu diadakan pada setiap Ramadan bagi memberi peluang kepada anak yatim bersama pengurusan dan kakitangan syarikat GLC terbabit.

Katanya, syarikat itu juga sentiasa turun padang dan mendampingi komuniti dalam usaha mendekatkan masyarakat dengan sektor koporat terutama dengan kakitangan syarikat yang sentiasa berhubung rapat dengan rakyat.

Menurutnya, sebelum majlis berbuka puasa dan penyampaian bantuan program itu turut diisi dengan satu ceramah agama yang disampaikan oleh seorang penceramah jemputan dari Pejabat Pendidikan Daerah Kuala Terengganu.

Dana Raya DUN Tepoh RM1.87 juta

Oleh: Suriati Ali

Seramai 6,782 penduduk di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Tepoh menerima Dana Raya secara berperingkat-peringkat membabitkan peruntukan RM1.87 juta.

Antara kampung yang menerima adalah Kampung (Kg) Alor Damat Wakaf Tengah dengan mencatatkan bilangan penerima seramai 443 penduduk diikuti Felda Belara (287), Wakaf Tengah (371) Kampung (Kg) Gemuroh (305), Tok Jiring (296), Kg Raja dan Kg Alor Jambu masing-masing (263), Kg Jeram Hulu (262) dan Kg Padang Air pula mencatatkan jumlah (226).

Agihan dana itu dilaksanakan secara berperingkat-peringkat membabitkan tiga lokasi iaitu di Pusat Khimat Masyarakat Dewan Undangan Negeri (DUN) Tepoh, Dewan Sivik Padang Nenas dan Pusat Komuniti Wakaf Tengah.

Setiap penerima Dana Raya bagi DUN boleh menuntut wang masing-masing bermula 12 hingga 16 Ogos ini .

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun), Tepoh YB Haji Muhammad Ramli Nuh, berkata kerajaan berusaha membantu rakyat dalam apa jua sekalipun tanpa mengira bangsa dan peringkat umur.

Sehubungan itu, katanya, mereka perlu mengingati jasa yang sudah dihulurkan dan bukannya menghentam kerajaan dengan pelbagai perkara yang tidak berfaedah.

“Gunakan Dana Raya yang diterima ini sebaik mungkin dengan membeli pelbagai perkara yang berfaedah untuk keluarga

“Mereka yang rata-ratanya warga emas, ibu tunggal dan bekerja sebagai petani, nelayan serta pekerja am nyata gembira menerima sumbangan itu berikutan mampu menampung perbelanjaan harian dan membeli kelengkapan Hari Raya Puasa. ,” katanya kepada Teganukita..

Sementara itu, Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, berkata sempena Aidilfitri tahun ini seramai 170,000 keluarga akan diberikan Dana Raya yang dianggarkan melibatkan perbelanjaan RM50 juta.

“Melalui program itu, setiap keluarga akan mendapat habuan antara RM200 hingga RM400 bergantung kepada bilangan anggota keluarga.

“Mereka yang berpendapatan isi rumah kurang daripada RM2,000 sebulan layak menerima bantuan tersebut,” katanya.


Exco berbuka dengan anggota keselamatan

Oleh: Kamarudin Mat Akib

Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco), YB Dato’ Haji Ahmad Razif Abd Rahman, meluangkan masa malam tadi untuk berbuka puasa bersama-sama anggota pasukan keselamatan yang bertugas di sempadan negara.



Beliau turut membawa kira-kira 20 pemimpin belia dari kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Seberang Takir, berbuka puasa di Markas Taktikal BN 9 Lubok Setol, Rantau Panjang, Kelantan.

“Saya sengaja membawa pemimpin belia bersama-sama rombongan hari ini supaya mereka turut merasai pahit getir dan kesusahan yang dialami anggota pasukan keselamatan menjalani ibadat puasa sambil bertugas mempertahankan benteng negara,” katanya kepada Teganukita ketika ditemui di markas tersebut.

Lima kakitangan Unit Komunikasi Negeri yang diketuai Timbalan Pengarah, Saudara Ruslan Abd Rahman, turut menyertai rombongan berkenaan.



Dato’ Haji Ahmad Razif berkata, seramai 329 anggota PGA Batalion 9 Gong Badak, ditugaskan mengawal sempadan negara dari Rantau Panjang hingga ke Pengkalan Kubor selama satu bulan, mulai 16 Julai lalu.



“Saya mengambil kesempatan untuk berbuka puasa dengan anggota PGA pada hari ini bagi memberi semangat kepada mereka yang telah berkorban meninggalkan anak dan isteri bagi menjalankan tugas menjaga sempadan negara.

“Kunjungan ini juga merupakan penghargaan negeri kepada anggota pasukan ini yang sanggup berkorban sepanjang perkhidmatan mereka demi agama, bangsa dan negara,” katanya.

Pada kesempatan itu beliau mengagih-agihkan sumbangan berupa makanan kepada semua anggota PGA yang bertugas di situ.

Beliau turut menyampaikan sumbangan cek bernilai RM10,000 daripada Kerajaan Terengganu kepada Kelab Kebajikan Polis PGA Gong Badak.



Penyerahan cek replika bagi tujuan itu diserahkan Dato’ Ahmad Razif kepada Pegawai Memenrintah Batalion 9, Supt Mohd Abduh Ismail.





JPJ tumpu tujuh jalan maut di Terengganu

Oleh: Aida Abd Rahman

Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Terengganu mengenal pasti tujuh jalan utama yang berisiko berlaku kemalangan sepanjang musim perayaan ini.

Pengarahnya, Tuan Abdul Rahman Emang Anyie, berkata jalan berkenaan ialah Kilometer (Km) 126 Jalan Kuala Terengganu-Kuantan, Km 75 Jalan Jerangau-Jabor dan Km 45 Jalan Kuala Terengganu-Bukit Besi (Kampung Tok Dor).

Selain itu Km 68.9 Jalan Kuala Terengganu-Kuantan, Km 3 Jalan Kuala Berang-Tanggol (Kampung Langgar), Km 48 Jalan Kuala Terengganu-Kota Bharu (Kampung Sungai Ikan) dan Km 26.5 Kampung Wakaf Tapai Jalan Kuala Terengganu-Kota Bharu.

“Tujuh jalan maut itu akan dipantau sepanjang Operasi Penguatkuasaan Sempena Aidilfitri 2012 bermula 12 hingga 26 Ogos ini.

“JPJ akan menggandakan tumpuan di lokasi itu berikutan sering mencatat jumlah kemalangan maut yang tinggi setiap tahun, katanya selepas menjalankan pemeriksaan di depoh bas Adik Beradik di Manir di Kuala Terengganu.

Tuan Abdul Rahman berkata, JPJ akan menempatkan anggotanya di lokasi berkenaan bagi memastikan kehadiran mereka disedari orang ramai, tetapi mereka tidak akan membuat sekatan jalan sepanjang ops itu.
Bagaimanapun, beliau berkata orang ramai tetap perlu berhati-hati kerana JPJ tetap akan mengarahkan pemandu berhenti bila diperlukan.

"Kami akan memberi tumpuan khusus kepada tujuh kesalahan seperti melanggar lampu isyarat, memotong di garisan berkembar, memandu di lorong kecemasan, memotong barisan, menggunakan telefon bimbit ketika memandu, tidak memakai tali pinggang keledar dan tidak memakai topi keledar," katanya.

Menurutnya, JPJ juga akan memeriksa semua 117 bas ekspres yang beroperasi di seluruh Terengganu supaya mengikut spesifikasi dibenarkan pihak berkuasa terutama melibatkan brek dan tayar.



60 peratus pengusaha hotel miliki sijil pengesahan halal

Oleh: Aida Abd Rahman
Kebanyakan pengusaha hotel di Terengganu semakin prihatin dalam menjaga kualiti makanan dari dapur premis perniagaan masing-masing bagi meningkatkan keyakinan pelanggan apabila kira-kira 60 peratus hotel di seluruh Terengganu memiliki sijil pengesahan halal dari Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT).

JHEAT turut meluluskan 19 permohonan sijil halal baru bagi menguruskan dapur hotel sepanjang tempoh tujuh bulan pertama tahun ini.

Pesuruhjaya JHEAT, Dato’ Mohd Rozali Saleh, berkata tahap kesedaran orang ramai mengenai isu halal ini semakin meningkat sekali gus mendorong pemilik hotel memohon sijil halal sebagai satu usaha penambahbaikan perkhidmatan mereka.

"Prosedur mendapatkan sijil halal JHEAT ini memang ketat, hotel yang berjaya memperolehinya, memang ia adalah satu tanda bagi mengukur prestasi hotel mereka sendiri," katanya.

Katanya, setiap permohonan lazimnya mengambil masa 30 hari untuk diproses selepas JHEAT menerima bayaran sebanyak RM200 bagi setiap dapur.

Dato’ Mohd Rozali berkata walaupun sijil halal bukan perkara wajib, kebanyakan pemilik hotel terutama bukan Islam kini dilihat sangat sensitif dengan isu itu dan menjaga kualiti makanan yang disediakan.

"Sijil halal kini menjadi satu 'trademark' dan `trend’ di mana hotel yang memilikinya pasti menerima banyak tempahan dari syarikat dan orang persendirian," katanya.

Beliau berkata, JHEAT menempatkan 100 pegawai bagi memantau aspek pematuhan sijil halal berkenaan yang dilaksanakan secara berkala.



08 August 2012

Jabatan kerajaan digalak beri hadiah kecemerlangan : SUK

Oleh: Aida Abd Rahman

Setiap jabatan kerajaan di negeri ini digalakkan memberi hadiah kecemerlangan bulanan kepada setiap kakitangan bagi menyuntik semangat dan komitmen kakitangan dalam menjalankan tugas masing-masing.

Pendekatan itu selaras dengan usaha Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri di Wisma Darul Iman yang memilih lima kakitangan mereka setiap bulan untuk menerima anugerah kecemerlangan itu.

Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Mazlan Ngah, berkata galakan kepada kakitangan bukan sahaja anugerah perkhidmatan cemerlang setiap bulan di peringkat jabatan dan unit-unit masing-masing, malah juga dipertandingkan sehingga ke peringkat negeri.

“Kakitangan yang cemerlang di peringkat negeri berpeluang untuk menunaikan umrah atau Haji dan menerima RM500 setiap seorang sumbangan kerajaan atas kecemerlangan mereka.

“Kerajaan negeri membelanjakan RM225,000 bagi menyediakan sumbangan wang tunai itu yang mana peruntukan itu termasuk perbelanjaan menunaikan umrah atau Haji kepada penjawat awam yang terpilih,” katanya.

Beliau berkata, insentif itu sebagai galakan bagi memastikan kumpulan jentera kerajaan itu mampu menghasilkan produktiviti dan kualiti kerja yang mencapai hasrat digariskan ketua jabatan masing-masing.

Pada masa yang sama, penjawat awam juga perlu menerapkan nilai murni dalam budaya kerja bagi memastikan mereka mampu menjadi penghubung antara kerajaan dan juga orang awam dengan lebih efektif dan responsif.




ADUN Hulu Besut bersama Wanita turun padang


Nawi menyampaikan sumbangan kepada seorang pesakit

Oleh: Mohammad Ishak 

Ramadan bukan bulan untuk berehat sebaliknya lebih banyak aktiviti dan program berfaedah boleh dilakukan bagi meningkatkan amalan selain membantu mereka yang sentiasa memerlukan bantuan.

Itulah yang dialkukan oleh Wanita Umno Kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Hulu Besut apabila mereka turun padang menjelajah kampung unuk menjengok golongan kurang bernaasih baik untuk diagihkan sumbangan.

Program Ziarah Ramadan itu bertambah menarik apabila ADUN Hulu Besut,Nawi Mohamad bersama pergerakan itu bergerak dari rumah ke rumah yang dikenalpasti hidup dalam kedaifan dan kesusahan.

Sempena program itu, mereka secara berkumpulan bergerak dari rumah ke rumah dan menyamaikan sumbangan kepada penduduk di kawasan berkenaan.

Nawi berkata, amalan yang dilakukan oleh Wanita Umno amat baik dan satu usaha murni untuk membantu golongan yang memerlukan pertolongan terutama bagi persiapan Aidilfitri tidak lama lagi.

Katanya, selain berpeluang beramah mesra ahli parti juga dapat mengenali kehidupan penduduk yang hidup dalam serba kekurangan dan perlu diberikan bantuan.

Menurutnya, beliau menyokong usaha yang dilakukan oleh pergerakan wanita mengadakan program seperti itu kerana ia berjaya mendekatkan orang ramai dengan jentera parti.

Malah,katanya, Puteri Umno juga turut mengadakan program turun padang pada setiap Ramadan sebagai usaha mendampingi pengundi muda di kawasan itu.

Perhilitan minta pemburu haiwan liar tidak lakukan aktiviti di luar waktu

Oleh; Esah Abdullah

Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) mengingatkan pemburu berlesen atau pemegang permit khas yang memburu haiwan liar, tidak menjalankan aktiviti memburu diluar masa yang ditetapkan.

Timbalan Pengarah Perhilitan Terengganu, Encik Mohd Hasdi Husin berkata, mengikut Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716) memperuntukkan mana-mana individu, sama ada dia seorang pemburu berlesen atau pemegang permit khas yang memburu haiwan liar pada masa selain masa yang ditetapkan adalah melakukan kesalahan.

“Jika sabit kesalahan mereka boleh didenda tidak melebihi RM30,000 atau di penjara tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya.

Katanya, pemburuan di luar waktu adalah salah. Contohnya pemburu babi hutan hanya boleh diburu pada jam 6.30 pagi hingga 7.30 malam, selain pada waktu itu tidak dibenarkan berbuat demikian dan jika tertangkap boleh didakwa.

Katanya, berhubung dengan pemburuan keluang, Perhilitan mewartakan haiwan itu tidak lagi boleh diburu kerana sebab-sebab pemuliharaan berkuatkuasa 6 Mac baru-baru ini,

“Saya pohon kerjasama orang ramai yangmelihat mana-mana individu atau pemburu haiwan pada masa bukan sepatutnya supaya melaporkan kepada Perhilitan dengan menghubungi talian 09-6221460,” katanya.

Katanya, kerjasama orang ramai dan sikap bertanggung jawab pemburu boleh mengelak berlaku perkara yang tidak diingini termasuk kemalangan yang mengakibatkan kehilangan nyawa.




Pembangkang diminta jangan mempolitikkan usaha kerajaan

Oleh: Suriati Ali

Pembangkang di negeri ini di minta lebih bertanggungjawab dan tidak mempolitikkan setiap usaha yang dilakukan kerajaan untuk rakyat.

Ketua pemuda Umno Bahagian Kuala Terengganu, Encik Badrol Hisham Zaki, berkata sikap pembangkang di negara ini cukup berbeza dengan pembangkang di luar negara di mana mereka boleh berkerjasama antara satu sama lain sehingga dapat mengukuhkan negara dan melahirkan rakyat berdaya saing.

“Sebaliknya keadaan positif itu tidak berlaku di negara ini kerana pembangkang sentiasa menggangap setiap pelaksanaan kerajaan daripada sudut negatif.

“Kalau kita tengok pada hari ini dan sebelum ini, banyak perkara yang telah dibuat kerajaan ke arah keharmonian, baik dari sudut sosial dan ekonomi,” katanya.

Katanya, bagaimanapun kalu dilihat keadaan pembangkang dari dulu, mereka seolah-seolah tidak boleh melihat sesuatu yang murni untuk rakyat.

“Mereka sentiasa berfikiran negatif, sebagai contoh Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) dan juga penyeneraian Felda Global Ventures Holding (FGV) dalam Bursa Malaysia.

“Sedangkan mereka yang terlibat mendapat kebaikan daripada usaha ini termasuk penyokong pembangkang,” katanya.


Kanak-kanak TPK mula hafaz surah lazim

Oleh: Suriati Ali

Kanak-kanak berumur tiga dan empat tahun di 65 Taska Permata Keluarga (TPK) milik Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu (YPKT) di seluruh negeri ini mula menghafaz 23 surah lazim yang dijangka diperdengarkan kepada umum Oktober nanti.

Pengarah yayasan itu, Encik Mohd Safaruddin Mustaffa, seramai 1,200 kanak-kanak dijangka menyertai program tahunan itu berbanding 1,012 kanak-kanak pada tahun lalu.

“Peningkatan jumlah penyertaan terhadap program yang diperkenalkan sejak 2009 ini membuktikan kesungguhan pihak kami mengajar ilmu agama setiap anak yang dihantar ke TPK,” katanya kepada Teganukita.

Menurutnya, menjadi rutin pagi bagi kanak-kanak di TPK menghafaz surah-surah lazim bersama ustaz dan ustazah sebelum memulakan pembelajaran dan aktiviti harian.

“Kanak-kanak berkenaan dipastikan peka dengan amalan itu supaya tidak ketinggalan.

“Mereka yang menunjukkan minat saja akan dipilih menyertai Program Menghafaz 23 Surah Lazim.
“Ibu bapa disarankan membantu anak-anak menghafaz setiap surah dikehendaki di rumah supaya lebih cepat ingat dan lancar,” katanya.

Katanya, YPKT mengharapkan jumlah lebih besar boleh dicapai kanak-kanak TPK dalam menghafaz 23 surah lazim pada tahun seterusnya.

“Untuk capai sasaran berkenaan, setiap pagi mereka perlu menghafaz beberapa surah sebelum memulakan aktiviti dan pembelajaran.

“Ketika aktiviti pun dimulakan dengan sebutan ayat-ayat suci al-Quran agar setiap patah perkataan itu mudah melekat di hati mereka,” katanya