Halaman

16 August 2012

Pengayuh beca ceria dapat wang raya

Oleh: Aida Abd Rahman
Gambar oleh ZULKIPLI PUTRA
Pengayuh beca sekitar Kuala Terengganu bersama Menteri Besar selepas mendapat duit raya.

Ketika pendapatan 70 pengayuh beca di sekitar Kuala Terengganu yang tidak menentu pada bulan puasa, selain kudrat yang kian terbatas, sumbangan duit raya daripada kerajaan negeri mampu mengubat duka serta memberi keceriaan bagi meraikan sambutan Aidilfitri tiga hari lagi.

Mereka yang kebanyakannya warga emas berusia 55 hingga 70 tahun menerima wang raya RM300 seorang yang disampaikan Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, di Dataran Syahbandar, Kuala Terengganu, hari ini.

Seorang pengayuh beca, Abdullah Mamat, 56, dari Kampung Tanjung Paya, berkata dia amat gembira kerana kerajaan negeri terus prihatin untuk menyalurkan sumbangan itu buat kali keempat sejak 2009 lalu.

“Alhamdulilah, dengan duit raya RM300 ini dapat saya ringankan beban dan menampung perbelanjaan bagi menyiapkan kelengkapan hari raya.

“Pendapatan sebagai pengayuh beca juga tidak menentu, jika hari pelancong dan penumpang ramai bolehlah pendapatan lebih,” katanya yang kreatif menghias becanya sehingga menjadi tumpuan ramai termasuk pernah dinaiki pemimpin negeri serta selebriti tempatan.


Sementara Abdullah Hasan, 73, dari Kampung Gong Pak Maseh, berkata dia pertama kali menerima sumbangan duit raya berkenaan dan berhasrat untuk membelanjakan bagi menyiapkan kelengkapan hari raya dengan dibantu isteri, Khatijah Muda, 72.

“Pak cik belum pernah menerima duit ini, mungkin sebab sudah lama tidak mengayuh beca kerana uzur dan tangan sakit sejak bebarapa tahun lalu.

“Walaupun kini pak cik dan isteri dibantu anak-anak seramai enam orang yang sudah bekerja, pak cik tetap menghargai wang sumbangan kerajaan ini kerana dapat menampung perbelanjaan untuk berhari raya bersama keluarga nanti,” katanya.

Kegembiraan itu turut dikongsi Abdul Wahab Abd Rahman, 66, dari Kampung Sungai Derhaka, mahu menggunakan wang sumbangan kerajaan itu untuk berbelanja bersama isteri dan anak-anak pada saat-saat akhir sebelum ketibaan hari raya.

“Duit raya ini memang amat bermakna dapat tampung perbelanjaan memandangkan pendapatan kayuh beca tidak seberapa. Kadang-kadang hanya RM10 hingga RM15 sehari dan ada kala langsung tiada penumpang,” katanya.

Bagi Mohd Amin Mohamad, 73, Kampung Panji Alam, wang sumbangan itu mahu digunakan untuk membeli bateri bagi kegunaan becanya yang perlu ditukar baru.

“Selain bantuan ini, saya juga menerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat RM200 setiap bulan. Alhamdulilah sebab kerajaan prihatin dengan nasib golongan seperti kami yang tidak berkemampuan,” katanya yang sudah 13 tahun mengayuh beca selepas membeli kenderaan terpakai itu dengan kadar harga RM150.



Jalin hubungan akrab bersama jiran baru

Oleh; Esah Abdullah

Amalkan budaya kunjung mengunjungi antara satu sama lainserta jalin hubungan akrab bersama jiran baru dan kukuhkan perpaduan serta saling membantu jika menghadapi sebarang masalah.



Itu pesanan yang ditinggalkan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tepoh, YB Haji Muhamad Ramli Noh kepada 25 daripada 37 keluarga di Perumahan Kampung Padang Nanas, Tepoh petang semalam.

“Kawasan ini dah jadi satu perkampungan baru, mereka datang daripada kampung berlainan jadi mulakan dengan salam perkenalan dan jalin hubungan mesra dengan jiran baru kita,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan hamper raya kepada mereka.



Katanya, rata-rata mereka yang diterima tinggal di rumah ini terdiri dari golongan miskin yang tinggal sekitar Dun Tepoh dan bekerja sendiri seperti ambil upah memotong rumput, pengawal keselamatan dan sebagainya.

Selain 40 unit rumah berkembar dua pintu, sebuah dewan serbaguna berharga RM300,000 dengan kapasiti 350 orang bagi kemudahan penduduk menjalankan aktiviti kemasyarakatan.

“Insyaalah, saya akan cuba cari peruntukan untuk membina sebuah surau bagi kemudahan penduduk mengerjakan solat berjemaah serta mengadakan aktiviti berbentuk keagamaan.

Menurutnya, rumah tiga bilik yang berharga RM40,000 sebuah itu di bawah seliaan Maidam menggunakan peruntukan wang zakat berjumlah RM1.6 juta yang diterima daripada Affin Islamic Bank manakala tapak milik kerajaan negeri yang diwakafkan untuk dijadikan tempat kediaman fakir miskin.



Tambahnya, semua penghuni tidak akan diberi hak milik tetapi boleh tinggal di sini selama mana yang mereka mahu dan jika berlaku kematian, anak-anak dibenarkan untuk mendiami rumah itu yang dikenakan sewa RM50 sebulan.

Katanya, sehingga ini 37 unit rumah telah dimiliki dan menerima kunci masing-masing daripada 40 unit yang ada, daripada jumlah itu 25 keluarga sudah masuk dan tinggal di sini manakala selebihnya akan berpindah selepas raya nanti.

“Saya harap mereka segera berpindah dalam tempuh yang diberikan jika tidak kita akan batalkan nama mereka kerana terdapat 100 pemohon lagi sedang menunggu untuk mendapatkan rumah,” katanya.





Satu prihatin nasib makcik Nipis


Oleh: Suriati Ali

Syarikat Air Terengganu Sdn Bhd (Satu) bukan saja bertanggungjawab sebagai operator membekalkan keperluan air bersih ke seluruh Terengganu, malah prihatin dan mengambil cakna terhadap mereka yang kurang bernasib.



Ketua Pegawai Eksekutif, Haji Husain Embong, berkata sebagai tanda prihatin, pihaknya terpanggil membantu seorang warga emas yang cacat penglihatan, Nipis Hasan, 67, yang hidup bersendirian di Kampung Kubang Panjang, Kuala Terengganu dengan memasang paip dalaman serta membekalkan air bersih.

Katanya, kerja-kerja yang dijalankan kakitangan Satu itu merupakan antara Program Jalinan Kasih di mana sentiasa bersedia membantu mereka yang hidup dalam kedaifan.

“Saya yakin apa yang dilaksanakan ini mampu mengembirakan makcik Nipis untuk menguruskan kehidupan harian terutama apabila menjelang hari raya nanti.

“Selepas ini tidak perlu lagi bersusah payah meminta bantuan jiran untuk menghantar air untuk tujuan tertentu seperi mandi, mengambil wuduk dan membasuh pakaian,” katanya ketika berkunjung ke rumah penerima selepas selepas ker-kerja pemasangan paip di kampung itu, semalam.

Katanya, Program Jalinan Kasih akan diteruskan sekiranya masih ada masyarakat yang kurang berkemampuan menyambung bekalan air ke rumah masing-masing.

“Mereka yang terpilih untuk menerima bantuan ini adalah terhad dan setiap permohonan akan diteliti terlebih dahulu bagi mengelak penipuan,” katanya.



Rumah baru penyeri hari raya

Oleh; Esah Abdullah

Setelah 22 tahun tinggal menyewa, seorang pegawal keselamatan tidak menduga tahun ini dapat menyambut ketibaan hari raya Aidilfitri di rumah baru ‘hadiah’ daripada kerajaan negeri.



Lebih mengujakan kediaman baru ini sudah dilengkapi perabot seperti sofa, almari pakaian, katil, tilam beserta kabinet dapur.

“Tiada kata-kata yang mampu diluahkan hanya bersykur kehadrat Allah SWT dan terima kasih kepada wakil rakyat Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) yang memilih saya sebagai penghuni ,” kata Encik Muda Mohamad, 57.

Tinggal bersama isteri Puan Zaleha Jusoh, 37, beserta lima anak berusia 22 hingga 14 tahun, terasa sangat teruja menyambut Aidilfitri tahun ini di rumah baru dan suasana baru.

Kegembiraan itu dikongsi bersama Encik Mohd Safri Abdullah, 47 dan isteri Puan Zanik Salim, 51 beserta lima anak berusia 12 hingga 20 tahun.

Beliau yang pernah bekerja sebagai pemandu lori kini tidak bekerja kerana uzur setelah terjatuh dari lori serta mengidap penyakit dan bergantung hidup dengan bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) RM300 sebulan untuk pelajaran anak-anak.

“Sebelum ini tinggal menyewa di Kampung Gong Tengah Bukit Bayas dalam keadaan serba kekurangan tapi hari ini telah dianugerahkan sebuah rumah yang selesa untuk berteduh kami sekeluarga,” katanya ketika ditemui di majlis penyerahan hamper raya oleh Adun Tepoh kawasan perumahan Affin Islamik Bank/Maidam di Kampung Padang Nanas, Tepoh petang semalam.

“Saya bersyukur sangat kerana terpilih mendiami rumah ini yang selesa,” kata Puan Asmah Mamat, 48 dan suami Mokhtar Mohd Nor beserta lapan orang anak dan tiga masih bersekolah.

Beliau yang berasal dari Kampung Sepetir Redang sebelum ini membina rumah di atas tanah milik ayahnya, dengan keluasan tanah yang tidak seberapa dan serba sedikit menimbul masalah kerana mempunyai 10 orang adik beradik.

“Terharu sangat dan terima kasih tidak terhingga kepada kerajaan negeri terutama wakil rakyat YB Haji Muhamad Ramli Noh yang perihatin dengan masalah rakyat seperti kami,” katanya.

Majlis penyerahan kunci rumah telah disempurnakan Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said di Perkarangan Masjid Padang Nenas, Mengabang Telipot pada 26 Julai lalu.

Projek perumahan 40 unit bernilai kira-kira RM2 juta menerusi kerjasama Kerajaan Terengganu dengan Affin Islamic Bank Berhad (Affin Islamic) dan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam).




Anak yatim dirai pelbagai pihak

Oleh: Suriati Ali

Anak-anak yatim antara insan paling istimewa setiap kali menjelang Ramadan berikutan pelbagai pihak tampil membantu dan memberi sokongan.

Agensi kerajaan, swasta dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) sering kali membantu golongan itu dengan memberi sumbangan duit dan kelengkapan raya seperti pakaian dan kasut.

Tidak ketinggalan menjemput anak-anak yatim berbuka puasa di mana-mana restoran atau hotel dengan meraikannya setaraf tetamu kehormat.

Pihak itu berbuat demikian kerana mengetahui ganjaran pahala daripada Allah SWT begitu besar kepada orang-orang yang menjaga dan melindungi anak-anak yatim.

Penyelia Rumah Anak Yatim Darul Falah, Encik Zainal Abidin Abd Majid, berkata pihaknya mengakui setiap kali menjelang Ramadan, pelbagai pihak tampil memberi tumpuan dengan menghulurkan bantuan dan sumbangan.

“Anak-anak di rumah ini juga tidak lekang menerima jemputan ke majlis berbuka puasa di pelbagai lokasi.

“Rata-rata mereka mengakui seronok dengan situasi ini di mana sebelum ini tidak mampu dan berpeluang berbuat demikian ketika berada bersama keluarga,” katanya kepada Teganukita.

Anak yatim berasal dari Dungun, Muhammad Hilmi Sallehudin, 13, berkata dia seronok berada di rumah anak yatim kerana bukan saja mempunyai ramai kawan malah dapat mengikuti pelbagai program istimewa termasuk lawatan sambil belajar dan berbuka puasa di hotel.

“Saya tidak pernah merasainya sebelum ini, kerana arwah ayah tidak mampu berbuat demikian.

“Sejak tinggal di rumah ini bermula Mac lalu, prestasi pelajaran saya juga meningkat kerana pelbagai kelengkapan disediakan, termasuk wang saku bulanan dan pakaian sekolah,” katanya.

Seorang lagi anak yatim, Sharifah Noor Syed Azman, berkata walaupun dirinya anak tunggal, dia tetap dihantar ibu ke rumah ini kerana tidak mampu menjaganya.

“Saya tidak terkilan dengan tindakan ibu kerana mengetahui apa yang dibuat ibu itu mempunyai pelbagai sebab.

“Pada bulan pertama datang ke sini tiga tahun lalu, terasa sebak dan sedih kerana terpaksa berpisa dengan ibu dan nenek,” katanya yang kematian bapa pada 2010 kerana menghidap penyakit jantung..

Katanya, lama kelamaan menjadi biasa dan lebih gembira tinggal di rumah anak yatim kerana pelbagai kemudahan dapat dinikmati secara percuma.

“Ada ramai pihak tampil membantu terutama pada Ramadan, rata-rata mereka yang bantu itu bagi duit dan pakaian raya,” katanya.






Kempen Gagal Tanpa Kerjasama Pengguna Jalan Raya

Oleh Hazwan Roslee

Usaha kerajaan mengurangkan jumlah kemalangan jalan raya menerusi pelbagai kempen akan gagal tanpa kerjasama daripada pengguna-pengguna jalan raya.


Pengerusi Majlis Keselamatan Jalan Raya (MKJR) negeri, Dato’ Yahya Khatib Mohamad berkata, kerjasama pengguna merupakan faktor penentu utama dalam usaha mengurangkan kadar kemalangan jalan raya.

"Selain kempen, kerjasama semua pihak terutama pengguna jalan raya amat penting supaya usaha kerajaan dapat memberikan manfaat kepada mereka.

"Namun di pihak MKJR negeri, selagi ada mangsa yang terkorban, selagi itulah kami akan berusaha mencari jalan penyelesaian yang terbaik," katanya.

Beliau berkata demikian selepas majlis pelancaran Kempen Keselamatan Jalan Raya sempena musim perayaan Aidilfitri 2012 di Bukit Besi, Dungun, hari ini.

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Besi, Dato’ Din Adam dan Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) negeri, Abdul Rahman Emang Anyie.

Pada majlis itu, 3,000 beg berisi hamper Aidilfitri, risalah keselamatan jalan raya dan pelekat kenderaan diagihkan kepada pengguna jalan raya.

Tambah Dato’ Yahya, pelbagai langkah telah diambil kerajaan menerusi MKJR dan agensi lain untuk meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai keselamatan jalan raya.

“Antaranya ialah penerapan nilai etika keselamatan di jalan raya kepada murid sekolah rendah dan pelajar sekolah menengah,” katanya yang juga Exco Kebajikan, Pembangunan Masyarakat dan Wanita negeri.



15 August 2012

Rumah terbuka MB raya pertama


(Gambar Hiasan : Sekitar Sambutan Hari Raya Aidil-Fitri 1432H di Kediaman Seri Iman.)

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, akan mengadakan rumah terbuka sempena sambutan Aidilfitri di Kediaman Seri Iman, pada hari raya pertama.

Beliau dan isteri, To’ Puan Seri Norliza Mahmud, akan melayan para tetamu yang berkunjung ke kediaman mereka bermula dari jam 11 pagi hingga 5 petang.

Rakyat jelata, termasuk dari bangsa lain dijemput datang ke Kediaman Seri Iman bagi mengucapkan Selamat Hari Raya kepada pemimpin nombor satu negeri ini.


Citra Bot Berhias sempena pembukaan Payang Walk

Oleh: Aida Abd Rahman
Kerajaan negeri akan menganjurkan pertandingan Citra Bot Berhias sempena perasmian Payang Walk, berhampiran Pasar Payang, Kuala Terengganu, pada 6 Oktober ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan warisan negeri, Dato’ Abdul Rahin Mohd Said,acara pelancongan itu melibatkan pertandingan di kalangan peserta yang mewakili pejabat daerah serta jabatan yang terpilih.

"Bagi melancarkan program itu, kesemua peserta diminta menyiapkan bot berhias masing-masing sebelum menjelangnya hari pertandingan itu nanti.

“Selain itu, acara berkenaan dijangka bakal dirasmikan Duli Yang Maha Mulia, Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin yang juga diadakan bersempena sambutan perayaan hari keputeraan baginda,” katanya.

Dato’ Abdul Rahin berkata, acara itu nanti mampu menjadi tarikan pelancong dalam dan luar Terengganu, sekali gus akan memperkenalkan tradisi dan warisan pengangkutan air zaman lampau kepada generasi baru .

Katanya, penganjurannya juga dapat menyemarakkan dan memupuk semangat setiakawan, selain menampilkan kreativiti peserta dalam mengetengahkan cetusan idea dalam menghias bot masing-masing.




Kekangan sukan berprestasi tinggi : Ibni

Oleh: Aida Abd Rahman
Sebagaimana umum mengetahui, Terengganu memberi tumpuan khusus terhadap bidang sukan dan terbukti sudah berjaya menjelmakan banyak kejayaan di peringkat negara serta antarabangsa.

Kejayaan paling membanggakan apabila Terengganu mengekalkan kejuaraan Sukma buat kali keempat berturut-turut pada temasya ke-15 bulan lalu, di Kuantan, Pahang.

Pun begitu, di sebalik kejayaan luar biasa yang diraih oleh sebuah negeri yang mempunyai jumlah penduduk yang kecil berbanding negeri lain, malah kumpulan yang mengamalkan budaya sukan turut jauh lebih kecil itu, hakikatnya masih terdapat banyak kekangan dalam kemajuan bidang itu.

Timbalan pengarah Majlis Sukan Negeri Terengganu, Encik Ibni Amin Busu, berkata jumlah atlet muda yang berbakat juga kecil dan untuk maju dalam banyak sukan merupakan satu cabaran cukup besar.

“Oleh itu, pemilihan sukan tertentu bagi dimajukan menjadi platform meraih lebih banyak kejayaan di peringkat tertinggi, malah pada masa yang sama mengurangkan perbelanjaan.

“Walaupun pemilihan sukan itu bukanlah merupakan satu perkara yang menyulitkan tetapi kemampuan persatuan sukan kebangsaan serta ahli-ahli gabungan perlu diberi perhatian sewajarnya. Tanpa persatuan sukan yang kukuh dan efisyen, pemilihan sukan-sukan sebagai sukan teras berprestasi tinggi tidak akan memberi makna.

“Sehubungan itu, tindakan yang sesuai perlu dipertimbangkan untuk membolehkan persatuan sukan dan ahli gabungannnya di susun semula agar dapat memainkan peranan bersama-sama dengan MSNT bagi memajukan sukan berprestasi tinggi ini,” katanya kepada Teganukita, baru-baru ini.

Encik Ibni berkata demikian sebagai mengulas laporan Pelan Induk Pembangunan Sukan 10 Tahun Negeri Terengganu yang membentangkan cadangan program pembangunan sukan jangka panjang negeri bagi tempoh 2010 hingga 2020.

Beliau berkata, pendekatan latihan yang saintifik berasaskan sains sukan sejak peringkat asas lagi terbukti sebagai satu keutamaan dalam memajukan sukan berprestasi tinggi.

Walau bagaimanapun, katanya situasi itu tidak berlaku disebabkan kekurangan jurulatih dan pegawai sains sukan di peringkat akar umbi.

“Khidmat sokongan sains sukan meliputi sokongan psikologi, amalan pemakanan, latihan kekuatan dan sebagainya hanya dapat dilaksanakan di peringkat pusat iaitu di Institut Sukan Negara, sedangkan tidak terdapat khidmat sokongan itu di peringkat akar umbi,” katanya lagi.

Pada masa yang sama, beliau berkata negeri kita sudah pun mempunyai kemudahan sukan bertaraf dunia yang mencukupi dan keperluan adalah lebih kepada memastikan pengurusan dan penyelenggaraan kemudahan ini diselenggara dengan baik supaya terus dianggap sebagai bertaraf dunia.




BEKAS TIMBALAN PRESIDEN PAS BERTINDAK BETUL DEMI MEMPERTAHANKAN ISLAM

Oleh: Ruslan Abdul Rahman, Pengarang TEGANUKITA.


NAJIB (dua dari kanan) mendengar penerangan daripada tokoh ulama Arab Saudi, Sheikh Dr. Abdullah Hamad Al Jalaly (kanan) pada pertemuan dengan tokoh-tokoh ulama sempena Persidangan Luar Biasa OIC di Mekah semalam.

Kenyataan Ahli Parlimen Bachok (Pas) YB Ustaz Nasharuddin Mat Isa di Buletin Utama TV3 kelmarin yang menggesa agar Pas keluar dari Pakatan Pembangkang, berikutan DAP menolak agenda Pas untuk melaksanakan hukum hudud dan perundangan Islam, telah menimbulkan kegelisahan dan gelabahnya pimpinan Pas baik di peringkat pusat mahupun negeri.

Dewan Pemuda Pas Negeri Kelantan merupakan antara yang terawal memberi respon dengan mengecam kenyataan Ustaz Nasharuddin yang juga bekas Timbalan Presiden Pas itu dan masih lagi dalam barisan tertinggi Pas Pusat.

Pemuda Pas Kelantan meminta Ustaz Nasaruddin keluar dari Pas.

Sebenarnya Ustaz Nasharuddin bukan berada di jalan yang salah,berikutan kenyataannya itu, malah itulah kenyataan dan sikap atau pendirian yang betul demi mempertahankan Islam.

Semua orang tahu latar perjuangan DAP yang anti Islam dan Melayu serta Raja-Raja Melayu.

Sebagai orang yang jujur dan ikhlas dalam perjuangan, perkara yang salah dilakukan oleh partinya, beliau menyuarakan walau pun tahu risikonya tinggi, diambil tindakan, dipecat dan sebagainya.

Beliau lah antara pemimpin Pas yang sudah sedar dan insaf dan ingin melihat Pas kembali kepada landasan perjuangan sebenar

Gesaan Ustaz Nasharuddin ini mungkin selaras juga dengan saranan bekas Pesuruhjaya Pas Selangor dan bekas Naib Presiden Pas, ,Dato' Dr. Hassan Ali yang menggesa Pas agar segera memikirkan untuk keluar dari pakatan pembangkang.

Hari ini juga kita boleh lihat bagaimana Ustaz Nasharuddin memberi pendekatan baru bagi menjawab betapa tidak benarnya tuduhan Presiden Pas, Dato’ Seri Abdul Hadi Awang yang mengkafirkan orang Umno,melalui ucapan dan amanatnya.

Ustaz Nasaruddin walaupun merupakan Ahli Parlimen Pas turut bersahabat dan mengiringi Perdana Menteri Dato' Seri Mohd. Najib bersama-sama ulama-ulama Arab Saudi dalam satu perjumpaan khas di Mekah.

Penyokong fanatik Pas yang sering mengkafirkan orang Umno memang sangat marah jika melihat pemimpin mereka duduk sekali dengan pemimpin UMNO.

Namun bagi bekas Timbalan Presiden Pas. Ustaz Nasharuddin, perbezaan dalam politik tidak pernah membezakan untuk duduk sekali dalam satu majlis,lagi-lagi pertemuan dengan para ulama'

Nampaknya,sudah tiba masanya ulama-ulama di dalam Pas yang melihat Pas sudah terpesong dari landasan Islam untuk bangun dan memperbetulkan Pas secara terang-terangan dari terus berdiam diri demi menjaga jawatan dan pangkat di dalam parti mahupun kerajaan negeri yang mereka kuasai.

Janganlah kerana pangkat, kedudukan dan wang ringgit sanggup bersengkongkol dengan perkara-perkara yang boleh memusnahkan Islam. Berkata jujurlah wahai para pemimpin Pas.