Halaman

11 September 2012

Empat homestay baru sempena TMT 2013

Oleh: Aida Abd Rahman
Terengganu bakal mewujudkan empat homestay baru menjadikan jumlah keseluruhan sepuluh homestay yang berdaftar melalui Kementerian Pelancongan Malaysia sehingga 2013 nanti.

Usaha mewujudkan produk baru tarikan pelancong itu sejajar dengan matlamat kerajaan negeri bagi menyemarakkan kedatangan pelancong ke Terengganu sempena Tahun Melawat Terengganu (TMT) 2013.

Sehingga kini, enam homestay di Kuala Terengganu (Teluk Ketapang dan Pulau Duyung) dan masing-masing sebuah di Dungun (Kampung Pasir Raja), Setiu (Kampung Rhu Sepuluh), Besut (Felda Selasih) dan Hulu Terengganu (Kampung Buluh)
.

Homestay Pasir Raja adalah yang tertua di negeri ini bermula 16 tahun lalu, manakala terbaru, Homestay Kampung Buluh beroperasi pada 2009.

Pengarah Pejabat Kementerian Pelancongan Malaysia Negeri Terengganu, Encik Mohd Sabri Zakaria, berkata dua homestay yang baru dikenalpasti di negeri ini akan didaftarkan di bawah kementerian dan dijangka beroperasi pada penghujung tahun ini.

“Dua homestay baru itu masing-masing Felda Keruak (Besut) yang melibatkan 19 peserta dan Persatuan Homestay Nelayan Kijal di Kemaman yang melibatkan 10 peserta.

“Mungkin terdapat pertambahan dua hingga tiga homestay baru tahun depan dan kita sedang melakukan pemeriksaan bagi menilai aspek yang menepati kriteria sebagai homestay,” katanya di Majlis Karnival Raya Homestay 2012 dan Program Titian Kasih PPPNT, di Dataran Batu Buruk, Kuala Terengganu, baru-baru ini.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan negeri, Dato’ Abdul Rahin Mohd Said.

Encik Mohd Sabri berkata, terbaru pihaknya turut mengenalpasti Kampung Bukit Wan (Batu Rakit ) bagi dijadikan homestay pada tahun depan.

“Saya sudah berbincang dengan JKKK (Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung) dan kemungkinan akan memberi taklimat sama ada mereka berminat untuk menyertai program homestay berikutan mereka mempunyai produk kampung yang tersendiri, selain eko dan alam semula jadinya yang menarik.

“Kampung mereka juga memiliki sungai, air terjun, kebun getah, kebun durian selain musim ubi gadung dan terdapat taman herba yang menarik dan boleh menjadi tarikan pengunjung. Kita akan membuat pemeriksaan rumah dan peserta yang boleh menyertai program homestay nanti,” katanya.

Sehingga kini, enam kawasan homestay yang terdapat di Terengganu melibatkan seramai 103 peserta.



Jadilah warganegara yang baik, biar mati tinggal nama

Oleh: Kamarudin Mat Akib

Rakyat negeri ini perlu menyemai prinsip nilai patriotisme yang tinggi kerana ia selaras dengan tuntutan agama Islam sepertimana sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud ‘cintakan tanah air sebahagian dari iman’.

Pengarah Unit Komunikasi Negeri, Haji Shamsuddin Sulong(Gambar), berkata sejak kebelakangan ini asas atau prinsip-prinsip Rukunegara yang sepatutnya menjadi amalan setiap warganegara, semakin longgar di kalangan masyarakat tempatan.

“Masalah ini berlaku disebabkan mereka meletakkan politik mengatasi segala-gala, hingga sanggup menggadaikan prinsip-prinsip Rukunegara yang diperkenalkan sejak lebih setengah abad yang lalu,” katanya dalam satu temubual khas dengan Teganukita sempena sambutan ulang tahun kemerdekaan negara ke-55, baru-baru ini.

Beliau berkata, sebenarnya setengah abad itu bukan satu tempoh yang terlalu lama dan nilai-nilai serta prinsip Rukunegara itu sepatutnya terus didokong dan menjadi pegangan setiap warganegara.

“Kita tidak boleh menjadi masyarakat yang cepat atau mudah lupa...Jika kita perhatikan kini terdapat perbuatan buruk sesetengah daripada masyarakat kita yang cuba mereka-reka cerita bukan-bukan dan memburuk-burukkan pimpinan negara,” katanya.

Beliau berkata, kegiatan tidak bertanggungjawab itu menimbulkan sindrom ketakutan di kalangan masyarakat asing dan luar negara hingga mengugat kestabilan politik dan ekonomi negara yang kita cintai ini.

“Pada kesempatan menyambut ulang tahun kemerdekaan negara ini, marilah kita mengekalkan nilai-nilai murni dan nilai-nilai timur berteraskan ajaran Islam yang menjadi pegangan pejuang-pejuang kemerdekaan tanahair,” katanya.

Haji Shamsuddin berkata, jika perkara ini dilakukan semua pihak tanpa mengira fahaman politik, ia akan mewujudkan keharmonian dalam masyarakat dan keselamatan negara tidak terjejas.

Beliau mengajak semua pihak supaya mempertahankan kemerdekaan yang kita miliki sekarang ini dengan nilai-nilai luhur dan murni agar tidak sampai nanti “ayam di kepuk mati kelaparan, itik di air mati kehausan’.

“Pada masa yang sama setiap warganegara kita perlu mengekalkan jati diti supaya kita menjadi insan yang disanjung, bak kata pepatah ‘ mati gajah meninggalkan tulang, mati harimau meninggalkan belang, mati manusia meninggalkan nama’ supaya negara kita merdeka sampai bila-bila,” katanya.




Lebih 10,000 pengunjung di jangka hadir pada program HAMT

Oleh: Suriati Ali

Lebih 10,000 pengunjung dijangka hadir pada program Himpunan Alunan Muzik Tradisional (HAMT) yang diadakan di Laman Warisan, Muzium Negeri, Kuala Terengganu.

Program anjuran Lembaga Muzium Negeri Terengganu (LMNT) dan berlangsung selama tiga hari dan berakhir 11 Ogos itu menghimpunkan lebih 200 penggiat seni tempatan dan luar Terengganu .

Apa yang menariknya pengujung boleh menikmati pelbagai alunan muzik dari pelbagai kaum khususnya kaum Tionghua, kaum India, kaum Orang Asli dan dari masyarakat Siam.


Himpunan alunan muzik tradisional ini juga bertepatan dengan konsep 1 Malaysia yang diuar-uarkan oleh YAB Perdana Menteri kerana semua kaum berkumpul dibawah satu program yang jarang sekali dilakukan.

Pengarah LMNT, Mohd Yusof Abdullah, program yang dianjurkan itu mempunyai sedikit kelainan dan perbezaan dengan aktiviti serta pameran yang diadakan sebelum ini.

Katanya, ia menampilkan alat-alat muzik dalam bentuk pameran static dan kaku, namun program kali ini menampilkan segalam peralatan, bunyi-bunyian, alunan dan melodi muzik secara terus kepada pengunjung.

“Ini sebenarnya kelainan yang sentiasa ditunggu-tunggu terutama di kalangan belia yang ingin mengetahui sejarah dan asal usul pelbagai jenis muzik yang terdapat di Malaysia,” katanya.

Encik Mohd Yusof turut memberitahu dalam era globalisasi, seni alunan muzik bergerak pantras dengan mengenengahkan pelbagai alatan serta irama muzik baru dalam pelbagai demensi.

“Bagi tujuan meraih keuntungan, terdapat sesetengah pihak bertindak mengeksploitasi muzik tanpa berfikir panjang dan ianya meninggalkan kesan kepada tingkah sosial masyarakat,” katanya..



HAMT bertepatan dengan konsep 1Malaysia


Oleh: Suriati Ali



“Program seumpama ini wajar diteruskan kerana bertepatan dengan konsep 1 Malaysia yang diuar-uarkan oleh YAB Perdana Menteri kita.

“Semua kaum kita boleh kenal dan dekati, termasuk masayarakat Siam, Orang Asli, Tionghua dan India,” seorang pengunjung Tan Beng San.

Beliau yang ditemui Teganukita ketika mengunjungi program Himpunan Alunan Muzik Tradisional (HAMT) yang diadakan di Laman Warisan, Muzium Negeri, Kuala Terengganu, semalam.

Program anjuran Lembaga Muzium Negeri Terengganu (LMNT) dan berlangsung selama tiga hari dan berakhir hari ini ( 11 Ogos) itu menghimpunkan lebih 200 penggiat seni tempatan dan luar Terengganu .

Lebih 10,000 pengunjung dijangka hadir memeriahkan program yang turut diselitkan dengan pelbagai aktiviti seperti persembahan tarian saba, silat gayung, silat kura-kura, kertuk hulu, rodat, tarian sewing, orkestra dan mak yong.

Peserta persembahan dari Kelab Menari Kaum Siam, Chenchira Eh Sun, 16, berkata dia bersama ahli kelab lain sering dijemput pihak tertentu untuk membuat persembahan di serata negeri.

“Ini kali pertama kami datang buat persembahan di Terengganu dan mengakui seronok datang ke sini kerana mendapat layanan istimewa, selain masyarakatnya tidak sombong.

“Apabila dapat berkumpul seperti ini, saya boleh mengenali kaedah dan adat budaya masyarakat lain, termasuk daripada kaum Cina, Melayu, India dan Orang Asli,” katanya yang belajar di Sekolah Menengah Kebangsaan Tumpat, Kelantan.

Puan Latifah Jaafar, 43, dia berharap pihak penganjur meneruskan program seumpama ini pada masa akan datang kerana banyak perkara boleh belajar melaluinya.

“Kita bukan saja boleh mengetahui asal-usul dan jenis peralatan muzik yang dipersembahkan malah mengetahui bagaiman ia dialunkan,” katanya.


10 September 2012

BN mesti terus terajui negara

Oleh; Esah Abdullah

Setiausaha Badan Perhubungan UMNO Terengganu, Dato’ Haji Tengku Putera Tengku Awang meminta semua rakyat yang sayangkan negara agar bangkit bersama pertahankan keharmonian dan keamanan yang ada agar tidak jatuh ke tangan orang yang mempunyai kepentingan peribadi.

Katanya, Barisan Nasional (BN) mesti diberi peluang untuk terus menerajui negara ini agar kestabilan dan kesejahteraan dapat dinikmati hingga ke generasi akan datang.

“Kita sudah nampak beberapa cubaan pihak yang berkepentingan menimbulkan kekeliruan dan terbaru segelintir remaja tampil perkenalkan bendera baru untuk mengantikan Jalur Gemilang,” katanya di majlis perasmian Persidangan Perwakilan Pergerakan Wanita UMNO Bahagian Setiu, di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tengku Ibrahim, Setiu.

Hadir sama, Timbalan Ketua UMNO Bahagian Setiu merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani negeri, YB Haji Ashaari Idris dan Naib Ketua UMNO Bahagian Setiu merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Permaisuri, YB Abdul Halim Jusoh serta Ketua Pergerakan Wanita UMNO Bahagian Setiu, Hajah Wan Maznah Nong.

Katanya, Wanita merupakan tulang belakang parti serta penyumbang terbesar kepada kemenangan BN dalam setiap pilihanraya yang diadakan di negara ini.

“Kita yakin dengan kerja keras jentera ‘semut merah’ (jolokan yang diberikan oleh Menteri Besar) ini mampu menjalankan tanggungjawabnya dengan cemerlang pada pilihanraya umum akan datang,” katanya disambut dengan tepukan gemuruh kira-kira 552 perwakilan yang hadir mewakili 150 cawangan dalam bahagian Setiu.

Beliau yang juga Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu merangkap Ketua UMNO Bahagian Hulu Terengganu meminta semua ahli parti terus beri kepercayaan kepada pucuk pimpinan memilih calon terbaik untuk menerajui parti.

“Kita jangan melihat kepada driver (pemandu) tapi perlu lihat kepada kenderaan yang akan membawa kita ke destinasi sama ada selamat atau tidak,” katanya.




Empat warga Amerika gembira sambut Aidilfitri


YB Abd Halim beramah mesra dengan warga Amerika

Oleh: Mohammad Ishak 

Keharmonian hidup masyarakat pelbagai kaum negeri ini berkongsi menyambut perayaan termasuk Aidilfitri menarik minat warga Amerika untuk turut serta dalam majlis yang dianjurkan pelbagai pihak.di negeri ini.

Majlis sambutan Aidilfitri anjuran Pejabat Pendidikan Daerah Setiu, hari ini turut dikejutkan dengan kehadiran empat warga Amerika dua lelaki dan dua wanita yang muncul dikhalayak dan menarik perhatian pengunjung.

Dua wanita pula mengenakan pakaian baju kurung dan sesuai dengan majlis sambutan berkenaan sekalugus membuktikan kepada rakyat budaya masyarakat negeri ini amat tinggi nilainya.

Majlis yang turut dihadiri Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permaisuri Abd Halim Jusoh, cukup meriah dan berseri dengan kehadiran tetamu jemputan sekitar daerah Setiu.

Abd Halim berkata, rakyat Malaysia berada dalam keadaan selesa dan mewah dengan acara dan sambutan Aidilfitri dan terbukti sepanjang hari ini beliau terpaksa memenuhi empat undangan ke majlis Aidilfitri yang diadakan di DUN Permaisuri.

Beliau berkata, kehadiran warga Amerika pada majlis itu cukup bermakna dan membuktikan rakyat di negara ini begitu bebas dan mewah dalam kehidupan seharian.

Katanya, keadaan luar biasa sejak Ramadan dan Aidilfitri apabila rakyat memberi sambutan terhadap majlis berkenaan amat membanggakan dan membuktikan perpaduan sudah ujud dikalangan rakyat negeri ini.

Rakyat Terengganu sudah serik


Oleh: Kamarudin Mat Akib

Sewaktu berucap di depan lebih 20,000 penduduk tempatan yang hadir pada majlis jamuan Aidilfitri di Jabi baru-baru ini, Presiden Umno, Dato’ Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak dengan suara lantang bertanya kepada mereka “Masihkah Kau Ingat apa yang berlaku di Terengganu pada tahun 1999 (semasa Pas memerintah negeri ini)?”.

Soalan tersebut dibalas dengan laungan ‘ingat’ oleh hadirin majlis tersebut yang meliputi pelbagai lapisan masyarakat, dengan sebahagian besarnya merupakan pengun di kawasan Parlimen Setiu dan Besut.

Sudah pasti ketika itu terbayang di benak fikiran mereka pelbagai peristiwa pahit yang mereka alami semasa Pas memerintah Terengganu dari tahun 1999 hingga 2004.\

Pada waktu itu kanak-kanak dihalau dari kelas tadika, ramai imam, bilal dan kakitangan kerajaan dipecat, elaun guru agama dihentikan, jalan rosak tidak dibaiki dan bandar Kuala Terengganu penuh dengan timbunan sampah-sarap.

Penduduk tempatan yang begitu teruja dengan kehadiran Perdana Menteri dan saf kepimpinan Umno di majlis tersebut turut memberi isyarat ‘positif’ terhadap permintaan pemimpin nombor satu negara itu supaya mempertahan kerusi Parlimen Setiu dan Besut serta kelapan-lapan kawasan Dewan Undangan Negeri, pada pilihan raya akan datang.

Perdana Menteri yang berucap dengan penuh semangat di majlis itu berikutan kehadiran luar biasa, berharap rakyat Terengganu terus mempertahankan Kerajaan Barisan Nasional (BN) dan menyokong kerajaan negeri agar kesinambungan pembangunan dapat dilaksanakan selepas pilihan raya umum nanti.

Mengimbas kembali pelbagai kedukaan yang dihadapi rakyat Terengganu semasa berada di bawah pemerintahan Pas (1999 hingga 2004), ingatan Perdana Menteri itu wajar diberi perhatian serius oleh pengundi di Terengganu.

“Kini rakyat Selangor dan beberapa negeri lain sudah merasai apa yang dirasai penduduk Terengganu dulu,” kata Dato’ Seri Mohd Najib.
Menurutnya, sejarah membuktikan bahawa pemimpin pembangkang hanya pandai berjanji tetapi mereka tidak menunaikannya.

Sebagai bukti, katanya, pembangkang berjanji untuk melakukan banyak perkara di Selangor setelah mereka menang dalam pilihan raya itu seperti pemberian air percuma, bantuan kepada ibu tunggal dan sebagainya, tetapi ia tidak ditunaikan.

Berbanding dengan pembangkang, Barisan Nasional (BN) sentiasa menunaikan janji mereka kepada rakyat, dengan bantuan yang mencurah-curah untuk pelbaagi lapisan masyarakat.

Perdana Menteri berharap rakyat negeri ini mempertahankan Kerajaan BN sampai bila-bila kerana kini terbukti hanya BN layak menggunakan slogan “Janji Ditepati”.



Juadah tradisional Terengganu disajikan di Kuala Lumpur

Oleh: Aida Abd Rahman
Bermula tahun depan, sesiapa sahaja yang berada di Kuala Lumpur dan mahu menikmati pelbagai juadah tradisional Terengganu boleh mendapatkan sajian itu tanpa perlu menempuh perjalanan yang jauh berikutan Hotel Seri Pacific, Kuala Lumpur akan menyajikannya secara berterusan sempena Tahun Melawat Terengganu (TMT) 2013.

Bukan sahaja makanan yang sudah dikenali, seperti keropok lekor, laksam, ketupat sotong, otak-otak, lepat pisang, belebab pisang, rojak betik, satar dan laksa Terengganu, malahan nama makanan yang segelintir di kalangan kita sukar mengingatinya seperti akok, puli ubi kayu, tok aji serban, lompat tikam, mas jemput dan che abas demam juga akan tersedia.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan negeri, Dato’ Abdul Rahin Mohd Said, berkata usaha memperkenalkan dan menyediakan makanan Terengganu di ibu kota itu sebagai kesinambungan pesta makanan yang bermula 4 Shingga 10 September yang juga permulaan kepada acara promosi TMT 2013.

Katanya, inisiatif Hotel Seri Pasific bekerjasama dengan Hotel Primula, Terengganu menganjurkan Pesta Makanan dan Kebudayaan Terengganu di ibu kota itu merupakan langkah terbaik dalam merancakkan industri pelancongan kedua-dua negeri sekali gus memperkenalkan keunikan dan keistimewaan makanan Terengganu.

“Apa yang menarik adalah kita menggabungkan kepakaran tukang masak dari Hotel Seri Pacific dan Primula, sementara kerajaan negeri bekalkan bahan mentah bagi mengekalkan keaslian dan kualiti makanan itu.

“Kerjasama restoran Seri Pacific menyediakan bufet makanan Terengganu secara sepenuhnya untuk (jangkaan) tempoh seminggu di mana orang ramai boleh mendapatkan makanan Terengganu di Kuala Lumpur,” katanya di Majlis Karnival Raya Homestay 2012 dan Program Titian Kasih PPPNT, di Dataran Batu Buruk, Kuala Terengganu, semalam (9 September).

Turut hadir, Pengarah Pejabat Kementerian Pelancongan Malaysia Terengganu, Encik Mohd Sabri Zakaria.

Dato’ Abdul Rahin berkata, sambutan yang amat baik terhadap makanan Terengganu itu mendorong kerajaan negeri untuk meneruskan program ini pada tahun depan, selain faktor kos yang rendah berikutan dibayar oleh pelanggan hotel, kecuali kos bahan mentah ditanggung kerajaan negeri.

Beliau turut mengalu-alukan penyertaan pelbagai pihak untuk mempromosikan produk makanan tradisional dan kebudayaan sebagai usaha merancakkan lagi industri pelancongan di Terengganu.



Jasa anjur sambutan Aidilfitri

Walaupun Syawal semakin menghampiri penghujungnya, masih banyak jabatan dan agensi kerajaan menganjurkan sambutan Aidilfitri bagi meraikan kakitangan dan pelanggan mereka.


Dato’ Yahya Khatib Mohamad dan Ustaz Haji Ramli Nuh antara tetamu yang hadir pada majlis aidilfitri anjuran Jasa

Antara jabatan yang menganjurkan rumah terbuka pada hari ini ialah Jabatan Hal Ehwal Khas Kementerian Penerangan (Jasa).

Antara tetamu kehormat yang hadir meraikan majlis sambutan Aidilfitri Jasa ialah Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan, Dato’ Yahya Khatib Mohamad dan YB Haji Rozi Mamat.

Pengarah Jasa, Ecik Adli Kesah dan kakitangan jabatan itu sibuk melayan tetamu sempena majlis tersebut yang bermula jam 11 pagi hingga 3 petang.




OKU bersyukur dapat tunai haji

Oleh; Esah Abdullah



Alhamdulillah, hajat untuk menunaikan rukun Islam kelima tercapai tahun ini, kata Encik Rosmizan Ramli, 34, seorang kelainan upaya (OKU) dari Kampung Kubang Parit, Kuala Terengganu.

Beliau adalah antara 1,800 bakal jemaah haji dari negeri ini yang sedang mengikuti kursus Haji Perdana Peringkat Negeri Terengganu di Stadium Tertutup Kompleks Sukan Negeri baru-baru ini.

Rosmizan yang berkelulusan Sijil Perkomputeran dari Institut Latihan Perindustrian (ILP) Gong Badak itu tidak menjadikan kecacatan yang dialami pada kedua belah kaki itu akibat demam panas ketika berusia 10 bulan sebagai halangan untuknya menjalani kehidupan seperti insan lain.

“Saya gembira kerana akan ke Mekah bersama ayah dan emak, moga kami bertiga dikurniakan kesihatan yang baik sepanjang berada di sana dan mendapat haji yang mabrur,” katanya.

Sementara itu bapa Rosmizan, Haji Ramli Ahmad, 65 ketika ditemui berkata, melihat kesungguhan anaknya yang ingin ke Tanah Suci, beliau telah menghantar surat rayuan kepada pihak Tabung Haji untuk mengiringi anaknya seorang OKU.

“Al hamdulillah, memang rezeki dia dan sudah sampai jemputan Allah untuknya,” katanya yang turut ditemani isteri Hajah Semek Mokhtar, 58.

Kursus Haji Perdana selama dua hari itu telah dirasmikan oleh Menteri Besar Dato’ Seri Haji Ahmad Said yang hadir bersama isteri To’ Puan Seri Hajah Norliza Mahmud.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Dato’ Haji Mazlan Ngah; Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Penerangan negeri, YB Haji Khazan Che Mat; Pengurus Besar Kanan Pengurusan Hartanah dan Pentadbiran TH, Haji Abdul Halim Md Jamil dan Pengarah TH Terengganu Haji Mokhzani Mokhtar.