Halaman

15 September 2012

Jalan empat lorong dari Kemaman-Kuala Terengganu

Oleh: Kamarudin Mat Akib
Gambar oleh Zulkipli Putra

Dato' Seri Haji Ahmad Said memalu gendang cina gimik perasmian Sambutan Ulangtahun Ke-10 Dewan Perhimpunan Tiong Hua Kemaman dan Pesta Tanglung 2012 di Dewan Dato’ Seri Amar, Cukai, malam tadi.

Kerajaan Terengganu akan membina jalan empat lorong dari Kemaman hingga Kuala Terengganu bagi keselesaan pengguna dan sebagai sebahagian usaha mengurangkan kesesakan dan kemalangan jalan raya.

Buat permulaan, jalan empat lorong dari Kuantan hingga Kerteh sedang dalam pembinaan dan ia dijangka siap sepenuhnya dalam tempoh tiga tahun.

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, berkata jalan dan laluan yang lebih selesa ini merupakan komitmen Kerajaan Barisan Nasional (BN) Terengganu ke arah menyediakan prasarana yang lebih baik kepada penduduk negeri ini.

“Kerajaan telah menyerahkan beberapa pakej pembinaan jalan empat lorong dari Bandar Cukai ke Kerteh kepada kontraktor berkenaan dan pelaksanaannya sedang berjalan, ” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Sambutan Ulangtahun Ke-10 Dewan Perhimpunan Tiong Hua Kemaman dan Pesta Tanglung 2012 di Dewan Dato’ Seri Amar, Cukai, malam tadi.
Hadir sama pada majlis itu, isteri beliau, To’ Puan Seri Norilza Mahmud dan pemimpin dari masyarakat Cina.


Dato’ Seri Haji Ahmad berkata, beberapa pakej projek pembinaan jalan empat lorong dari Kerteh ke Kuala Terengganu akan diserahkan kepada kontraktor secara berperingkat-peringkat.

“Pada akhirnya kerajaan mahu jalan raya dari Cukai ke Kuala Terengganu, semuanya menjadi empat lorong bagi keselesaan pengguna,” katanya.

Beliau berkata, banyak lagi projek prasarana dan projek lain yang boleh membantu menambah peluang pekerjaan dilaksanakan di negeri ini, khususnya di daerah Kemaman.






BN perlu sokongan padu kaum Tiong Hua

Oleh: Kamarudin Mat Akib
Gambar oleh ZULKIPLI PUTRA

Barisan Nasional (BN) Terengganu memerlukan sokongan padu daripada masyarakat Tiong Hua bagi memastikan ia mencapai kemenangan besar pada pilihan raya umum akan datang, seterusnya menjana ekonomi negeri ini.

Menteri Besar ketika hadir pada Majlis Sambutan Ulangtahun Ke-10 Dewan Perhimpunan Tiong Hua Kemaman dan Pesta Tanglung 2012 di Dewan Dato’ Seri Amar, Cukai, malam tadi.

Pengerusi BN Negeri, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, berkata kini Terengganu berada di landasan yang betul untuk menjadi sebuah negeri maju di bidang perindustrian kerana ia mendapat perhatian pelabur asing.

“Ramai pelabur dari luar negara, termasuk dari negara China datang berjumpa dengan saya dan melahirkan hasrat untuk melabur di Terengganu dengan nilai pelaburan berbilion ringgit,” katanya.

Beliau yang juga Menteri Besar berkata demikian ketika berucap pada Majlis Sambutan Ulangtahun Ke-10 Dewan Perhimpunan Tiong Hua Kemaman dan Pesta Tanglung 2012 di Dewan Dato’ Seri Amar, Cukai, malam tadi.


Hadir sama pada majlis itu, isteri beliau, To’ Puan Seri Norilza Mahmud dan pemimpin dari masyarakat Cina.

Dato’ Seri Haji Ahmad berkata, BN memerlukan sokongan padu masyarakat Cina bagi memastikan Terengganu kekal di bawah pentadbirannya dan usaha menarik pelancong asing berterusan.



“Saya harap masyarakat Tiong Hua terus memberi sokongan kepada BN dan bekerjasama dengan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) di kalangan masyrakat Tiong Hua agar kekuatan BN terus bertambah bagi menghadapi pihak lawan pada pilihan raya akan dating,” katanya.

Beliau meminta masyarakat Cina mengundi calon-calon BN pada PRU 13 bagi memastikan BN mendapat majoriti dua pertiga dan terus memerintah negeri ini.






MB RASMI PESTA TANGLUNG DAN DEWAN PERHIMPUNAN TIONG HUA KEMAMAN

Sambutan Ulang Tahun ke-10 Dewan Perhimpunan Tiong Hua Kemaman dan Pesta Tanglung 2012 yang diadakan di Dewan Sri Amar, Chukai, Kemaman.

Gambar-gambar oleh ZULKIPLI PUTRA

Menteri Besar dan isteri serta Menteri Belia dan Sukan Malaysia membawa tanglung gimik perasmian Pesta Tanglung 2012 yang diadakan di Bandar Chukai, Kemaman, hari ini (14 September 2012).

Memotong riben perasmian Dewan Perhimpunan Tiong Hua Kemaman.

Suasana meriah pada sambutan berkenaan.

Amanat yang disampaikan Menteri Besar, Dato' Seri Haji Ahmad Said.



Kraftangan Terengganu ganda usaha selamatkan industri tembaga

Oleh: Aida Abd Rahman

Perbadanan Kraftangan Malaysia Cawangan Terengganu menggandakan usaha bagi menarik minat golongan muda menceburi bidang pembuatan tembaga sebagai langkah menyelamatkan industri kraf warisan Terengganu sejak beratus tahun dahulu itu daripada terus malap.

Pengarahnya, Encik Khairul Hafizi Naharuddin (gambar), berkata selain kelas dan bengkel, kraftangan turut menyediakan insentif khas kepada golongan muda supaya melibatkan diri dalam industri itu.

Malah, pihaknya turut mencari jalan untuk memperelokkan lagi tembaga dan juga bahan yang digunakan bagi menghasilkan produk tradsional itu.


Sehingga kini, hanya terdapat 13 pengusaha kraf itu yang masih bertahan di seluruh Terengganu dengan majoriti mereka berusia 55 tahun ke atas.


Antara produk tembaga yang dijual di Perbadanan Kraftangan Malaysia Cawangan Terengganu

“Perusahaan tembaga itu boleh ditemui di Kampung Ladang, Kampung Pulau Rusa, Kampung Losong dan beberapa kampung lain di bawah Satu Daerah Satu Industri (Sadsi).

“Walaupun hanya 13 pengusaha, jualan tembaga amat memberangsangkan apabila mampu mencecah sehingga RM2 juta sepanjang Januari hingga Ogos lalu,” katanya kepada media di Majlis Aidilfitri Perbadanan Kraftangan Malaysia Cawangan Terengganu, di Chendering, Kuala Terengganu, baru-baru ini.

Anyaman lidi nipah (lekar) dan daun mengkuang juga terdapat di Perbadanan Kraftangan Malaysia Cawangan Terengganu

Encik Kharul Hafizi berkata, jualan yang tinggi membuktikan industri kraf yang hanya terdapat di Terengganu itu menerima permintaan yang cukup tinggi berbanding penawaran yang rendah disebabkan pengusaha yang kian berkurangan dari masa ke semasa.

Katanya, kebanyakan peminat tembaga sanggup ke Terengganu untuk mendapatkan produk kraf itu berikutan kualiti serta cara pembuatan tradisionalnya yang menepati citarasa pelanggan berbanding produk itu yang diimport dari negara luar.

“Macam saya orang luar (Terengganu) jika saya mahu membeli tembaga, saya tidak akan membeli tembaga di Kuala Lumpur tetapi saya akan datang ke sini (Terengganu) sambil melancong dan mendapatkannya di tempat jualan sperti di Pasar Kedai Payang,” katanya.




14 September 2012

Institut Kaligrafi Antarabangsa pertama di Asia bakal dibina di Terengganu

Terengganu bakal memiliki Institut Kaligrafi Islam Antarabangsa pertama di Asia tidak lama lagi dengan termeterainya dua perjanjian persefahaman (MoU) di Kuala Terengganu, hari ini.

Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Haji Mazlan Ngah berkata, MoU pertama dimeterai antara TTI Management Sdn Bhd (TTIMSB), Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) dan Research Centre for Islamic History, Art and Culture (IRCICA) dari Turki.

Manakala satu lagi MoU adalah antara TTI Management Sdn Bhd dan Institut Al-Quran Terengganu (IQ Terengganu)

"Institut itu akan ditempatkan di TTI dan IRCICA akan berkongsi kepakaran, nasihat serta pelbagai maklumat dalam bidang kaligrafi. Buat permulaan IRCICA akan menghantar beberapa orang tenaga pengajar dalam bidang kaligrafi.

"Saya harap institut ini berkembang sebagai sayap kepada IRCICA di sebelah Asia ini. TTI Management Sdn Bhd, UniSZA dan IQ Terengganu pula berperanan memastikan operasi harian institut itu berjalan dengan lancar," katanya.






Koperasi digalak ceburi sektor pelancongan, petroleum

Oleh: Aida Abd Rahman

Koperasi di Terengganu digalakkan menceburi bidang melibatkan petroleum dan pelancongan berikutan sektor itu merupakan antara industri utama dan berkembang pesat di negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Usahawan dan Koperasi negeri, Dato’ Mohamed Awang Tera ,berkata lebih banyak koperasi di Terengganu disarankan menceburi bidang berkenaan yang mempunyai potensi yang cukup luas dalam pasaran serta mampu menjana pendapatan tinggi.



“Koperasi di negeri ini harus bijak mengambil peluang terhadap kedudukan Terengganu sebagai antara destinasi pelancongan utama di negara ini.

"Kita harap lebih banyak koperasi di Terengganu terlibat dalam aktiviti pelancongan seperti lawatan berpemandu dan inap desa kerana kita lihat aktiviti ini antara paling banyak menjana pendapatan,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Aidilfitri Koperasi Negeri Terengganu di Kuala Terengganu, kelmarin (13 September).

Katanya, koperasi juga perlu mengambil peluang terhadap inisiatif kerajaan negeri yang sedang giat mempromosikan Tahun Melawat Terengganu 2013 dengan melibatkan diri secara serius dan berdaya saing dalam industri berkaitan bagi menghasilkan keuntungan kepada koperasi dan ahli.








500 peserta mengikuti forum isu semasa anjuran Jabatan Penerangan Terengganu



Oleh: Mohammad Ishak

Seramai 500 peserta mengikuti forum isu-isu semasa yang diadakan di Institut Pendidikan Guru, Kampus Sultan Mizan,Bukit Keluang, dekat Jertih, semalam.

Program anjuran Jabatan Penerangan Terengganu dengan kerjasama Bahagian Pengurusan dan Analisis Maklumat (BPAM), Kementerian Penerangan,Komunikasi dan Kebudayaan (KPKK) peringkat negeri itu disertai peserta mewakili pelbagai jabatan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO).

Penganjur memilih dua ahli panel untuk membincangkan isus-isu semasa bagi member pendedahan daan penjelasan kepada peserta terbabit. Ahli panel yang mengendalikan forum itu ialah Ketua Penolong Pengarah Bahagian Ancaman Ektremis Sosial PDRM Bukit Aman, SAC Dato;Mohd Sofian Md Makinuddin dan Pengurus Besar Kanan,Pejabat Pengurus Negeri PTPTN Kuala Lumpur. Manakala moderatornya Haji Mohd Nasir Salleh bekas Pengarah Penerangan Terengganu.

Pengerusi Jawataankuasa Kesihatan, Perpaduan dan Hal Ehwal Pengguna Negeri, Dr A Rahman Mokhtar yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Besut, melakukan upacara penutup program berkenaan.

Ahli panel membentangkan dengan jelas dua isu utama yang sebelum ini menjadi topik kepada pembangkang termasuk isu PTPTN sehingga mengelirukan pelajar dan ibu bapa apabila pembangkang meminta kerajaan memansuhkan PTPTN.

Bagi isu keselamatan pula, peserta berpuas hati dengan papparan video dan penyampaian yang disampaikan oleh ahli panel terbabit kerana ia menyentuh seal ancaman dan keselamatan negara jika pihak tidak bertanggungjawab terus memainkan isu yang boleh memecahkan perpaduan rakyat.

Berucap pada majlis itu Dr A Rahman berharap, dengan adanya majlis penerangan yang disampaikan oleh ahli panel berkenaan ia dapat memberi kesedaran dan keinsafan kepada peserta sekaligus menggunakan pengetahuan yang ada untuk memperbetulkan isu yang diselewengkan pihak pembangkang.

Pakatan pembangkang tidak berupaya wujud keharmonian dalam negara

Oleh; Esah Abdullah

Sebagai ahli masyarakat yang sayang dan cintakan negara wajar mempertahankan keamanan negara dari digugat oleh anasir yang cuba merosakkan kestabilan dan perpaduan demi masa depan generasi akan datang.

Pengerusi Kelab UMNO Pesara Kanan Kerajaan Malaysia (KUPKKM) Terengganu, Dato’ Haji Muhatar Abdullah berkata, pakatan pembangkang (PAS,PKR,DAP) mempunyai dasar dan agenda yang jauh berbeza.

“Kita sangat yakin sekiranya mereka berkuasa, tidak akan berupaya mewujudkan keharmonian dan kestabilan di negara ini,” katanya di majlis sambutan Hari Raya Pesara Kanan Kerajaan Malaysia Terengganu di Wisma Darul Iman semalam.

Majlis berkenaan telah dirasmikan oleh Menteri Besar Dato’ Seri Haji Ahmad Said. Hadir sama, Penasihat Undang-undang Negeri, Dato’ Noorbahari Baharuddin; Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Perpaduan dan Hal Ehwal Pengguna negeri, YB Dr Haji A. Rahman Mokhtar dan Ahli Jawatankuasa Kelab UMNO Pesara Kanan Kerajaan Malaysia (KUPKKM) Tan Sri Alimuddin Mohd Dom.

Katanya, ini berdasarkan pengalaman lalu ketika berada di bawah pentadbiran kerajaan Pas, pihak pentadbiran terpaksa berdepan dengan kegelisahan dan rasa tidak puas hati rakyat akibat dasar yang tidak cekap dan tidak jelas serta tidak disukai oleh sebilangan besar rakyat.

“Kita ingin melihat pasca Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-13 nanti akan wujud sebuah kerajaan Barisan Nasional (BN) yang lebih kuat dan berpengalaman,” katanya yang juga mantan Setiausaha Kerajaan Terengganu.


Katanya, hanya BN sahaja di negara ini yang berpengalaman dan mempunyai perancangan masa depan yang jelas dan jitu serta berupaya memajukan nasib masa depan bangsa, agama dan negara.

“Saya harap tidak ada yang tergoda dan termakan dakyah parti pembangkang sebaliknya berilah kepercayaan kepada perjuangan BN untuk meneruskan kesinambungan memerintah negara dan negeri,” katanya yang secara terang mengaku baru boleh membuka mulut setelah bergelar pesara daripada penjawat awam.

Katanya, bilangan pesara berjumlah 25,000 orang diseluruh negeri dan jumlah ini tidak termasuk suami atau isteri serta anak-anak mereka yang layak mengundi.

“Dengan jumlah yang ramai, tidak mustahil golongan pesara boleh menjadi penentu kepada kemenangan BN dalam PRU nanti,” katanya disambut tepukan gemuruh para hadirin termasuk Menteri Besar.





Kerajaan guna Manis FM salur maklumat kepada rakyat


Oleh: Kamarudin Mat Akib

Kerajaan Terengganu akan menggunakan Radio Manis FM sebagai medium utama bagi menyalurkan pelbagai maklumat mengenai dasar dan polisi kerajaan kepada rakyat di seluruh negeri.

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, berkata langkah itu penting bagi memastikan rakyat mendapat penerangan yang jelas mengenai dasar kerajaan dan tidak diseleweng oleh mana-mana pihak yang tidak bertanggungjawab.

Katanya, selain penyaluran informasi Manis FM juga bertindak sebagai medium hiburan yang tidak melampau bagi menghiburkan penduduk tempatan dan negeri-negeri berdekatan yang menerima siaran tersebut.

“Selain Terengganu, Manis FM boleh didengar penduduk di Kelantan, Pahang, Johor Timur dan Selatan Thailand,” katanya pada sidang media selepas menjadi tetamu Radio Manis FM, pagi semalam.

Beliau yang turut diringi Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Haji Mazlan Ngah, bersiaran secara langsung dari konti Manis FM selama kira-kira setengah jam mulai jam 8.30 pagi semalam.

Hadir sama, Pengarah Eksekutif Manis FM, Haji Che Abd Rani Mohd dan Pengurus Besar Manis FM, Encik Mahari Abdul Rahman.

Menteri Besar berkata, pihaknya sedang berusaha memperkemaskan lagi siaran radio berkenaan dengan mempelbagaikan segmen bagi menambat hati pendengar.

“Pada masa yang sama kita juga akan berusaha memperluaskan kawasan penyiaran agar ia dapat didengar di lebih banyak kawasan di seluruh negara,” tambahnya.




13 September 2012

Senarai hitam kontraktor gagal siap projek-MB

Oleh; Esah Abdullah

Kerajaan negeri bertegas untuk tidak menyerahkan sebarang projek kepada kontraktor yang ‘di senarai hitam’ berikutan kegagalan projek masa lalu.


Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said berucap dimajlis perasmian Mesyuarat Agung Tahunan Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia Negeri Terengganu

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said berkata, kerajaan mempunyai perancangan pembangunan yang berjadual dan tidak akan menyerahkan projek kepada mereka yang telah terbukti gagal menyiapkan kerja yang diberikan sebelum ini.



“Kalau mereka gagal menyiapkan projek hingga menimbulkan kerugian kepada kerajaan kita terpaksa ‘blacklist’ , biarpun kepada kontraktor Bumiputera, “ katanya kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Kali Ke-36 Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia (PKMM) Terengganu di Primula Beach Hotel, Kuala Terengganu hari ini.

Hadir sama, Naib Presiden PKMM Dato’ Mohd Rosdi Abdul Aziz dan Pengerusi PKMM Terengganu, Dato’ Haji Mohd Nasir Ibrahim Fikri.

Menteri Besar berkata, beliau amat maklum semua kontraktor ingin membuat keuntungan ke atas projek yang dilaksanakan tetapi perlu diingat kerajaan juga memerlukan kontraktor yang berwibawa dan bertanggung jawab ke atas kerja yang dilakukan.



“Kita memang nak tolong orang Melayu, tetapi kalau mereka buat kerja sambil lewa termasuk projek yang mesti siap dua tahun, empat tahun pun tak siap lagi macam mana nak beri projek baru,” katanya.

Menteri Besar berkata, untuk projek kerajaan akan datang, pihaknya bercadang untuk menentukan siapa berjaya melalui cara undian agar perkara pembahagian projek itu adil.

Beliau juga mengharapkan setiap projek perlu dipantau sepanjang masa oleh pihak kerajaan agar tidak berlaku penipuan dari segi penggunaan bahan dan sebagainya.