Halaman

19 September 2012

Ladang Rakyat catat untung besar

Oleh; Esah Abdullah

Ladang Rakyat Terengganu Sdn Bhd (LRTSB) telah mencatat prestasi memberangsangkan bagi kewangan berakhir 31 Disember tahun lalu dengan keuntungan bersih sebelum cukai berjumlah RM48.10 juta mengatasi keuntungan bersih pada tahun sebelumnya iaitu RM12.53 juta.

Menteri Besar dan Setiausaha Kerajaan Negeri menyaksikan penyerahan dividen oleh kumpulan Ladang Rakyat Terengganu Sdn Bhd di Wisma Darul Iman, petang tadi. - Gambar oleh ZULKIPLI PUTRA.

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said berkata, berdasarkan prestasi cemerlang syarikat, pemegang saham akan menerima agihan dividen berjumlah RM7.97 juta atau 43.25 peratus.

“Antaranya ialah Terengganu Incorporated sebanyak RM3.399 juta (43 peratus), Ketengah Holding RM3.049 juta (38 peratus) dan Kumpulan Ladang-ladang Terengganu RM1.524 juta (19 peratus),” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco di Wisma Darul Iman hari ini.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Dato’ Haji Mazlan Ngah; Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Masyarakat dan Wanita negeri, Dato’ Yahya Khatib Mohamad dan Pengerusi Ladang Rakyat Terengganu Sdn Bhd, Datuk Wan Ahmad Nizam Abdul Hamid.


Katanya, keuntungan yang dicatat bagi tahun kewangan 2011 itu merupakan yang tertinggi sejak penubuhan LRTSB.

“Dengan modal berbayar RM24.58 juta dan keuntungan terkumpulan berjumlah RM127.47 juta maka ekuiti pemegang saham pada tahun itu (2011) berjumlah RM152.05 juta,” katanya.

Sehubungan itu katanya, pihak pengurusan LRTSB telah bersetuju memberi sumbangan sebanyak RM1 juta kepada Tabung Darul Iman bagi memenuhi tanggungjawab sosial korporatnya kepada masyarakat di negeri ini.

“Tabung inilah yang membantu menyelaraskan pelbagai kegiatan kemasrakatan seperti mereka yang ditimpa bencana alam, orang sakit dan sebagainya,” katanya.

Sementara itu katanya, unjuran keuntungan syarikat bagi tahun kewangan 2012 berada sekitar RM27 juta hingga RM30 juta.






Minggu Jalinan Mesra ubah paradigma mahasiswa ke UMT

Oleh: Aida Abd Rahman
Program Minggu Jalinan Mesra kepada mahasiswa yang baru mendaftar masuk ke Universiti Malaysia Terengganu (UMT) mampu mengubah paradigma segelintir pelajar yang tidak memilih Insitusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) itu sebagai pilihan utama bagi menyambung pengajian.


Menteri Besar berbual mesra bertanyakan khabar dengan pelajar-pelajar UMT sempena Program Minggu Jalinan Mesra UMT 2012/2013

Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UMT, Profesor Dr Yahaya Ibrahim (gambar), berkata segelintir pelajar yang pada awalnya kurang seronok dan kecewa berikutan `terpaksa’ mendaftar masuk ke UMT , berubah positif serta mula menerima kehidupan baru di kampus IPTA itu selepas selesai menjalani program orientasi berkenaan sepanjang seminggu.

“Pelajar yang baru mendaftar masuk mengatakan mereka tidak berapa seronok kerana pada awalnya meminta universiti lain, bagaimanapun akhirnya mereka mendapat UMT. Tetapi, dalam proses seminggu sahaja, sebaik selesai proses orientasi, Minggu Jalinan Mesra pada hari ketiga, hari keempat sudah mula menyukai UMT selepas sudah mengenali dan mengetahui apa yang ada di sini (UMT).

“Dalam kes tertentu juga ada pelajar mendapat kursus yang tidak dipohon. Bagaimanapun, apabila mereka didedahkan dengan persekitaran, pengajaran dan juga kemudahan di UMT mereka akhirnya bersyukur dapat ke UMT. Tidak ada kes sangat (penuntut) yang masuk Universiti Malaysia Terengganu keluar ke universiti lain dan sebagainya. Jarang kes itu berlaku,” katanya ketika sidang media selepas Majlis Perjumpaan Anak-Anak Terengganu Yang Menuntut di UMT, Gong Badak, malam semalam (18 september).


Wakil pelajar yang menerima Kad Diskaun Siswa bergambar kenangan bersama Menteri Besar, Naib Canselor dan pegawai UMT

Turut hadir, Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said dan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Keseniaan dan Warisan negeri, Dato' Abdul Rahin Mohd Said.

Prof Dr Yahaya berkata, UMT lazimnya menjadi pilihan kedua dan juga ketiga untuk menyambung pengajian dalam pelbagai bidang kecuali beberapa kursus yang disediakan UMT seperti Akauntan menjadi pilihan pertama segelintir pelajar.

Menurutnya, suasana mesra dengan persekitaran serta fasilitator yang diterapkan sepanjang Minggu Jalinan Mesra membantu pelajar memperolehi maklumat yang memudahkan mereka membuat keputusan untuk memilih kursus, kurikulum selain mendapat pendedahan mengenai pelbagai aktiviti di kampus itu.

“Oleh itu, pelajar melihat terdapatnya keunikan Universiti Malaysia Terengganu. Ada program survival laut yang diwajibkan kepada setiap pelajar sepanjang tiga hari dua malam. Jadi, semua pelajar boleh menyertai program survival laut.

“Ada yang sudah balik dan ada sedikit lagi yang masih di Pulau Bidong. Program itu tidak ada di universiti lain kecuali UMT. Malah, ada pilihan-pilihan kursus kurikulum yang memang tiada di universiti lain. Misalnya, lesen menyelam yang turut disertai pelajar dari universiti lain,” katanya.

Katanya, UMT juga memberi peluang dan menyokong penglibatan pelajar menyertai mana-mana 90 persatuan dan aktiviti di pusat pengajian yang melibatkan pelbagai bidang termasuk kesenian, kemasyarakatan, aktiviti lasak, lawatan dengan menyediakan bantuan dari segi kewangan.

Beliau berkata, dasar UMT juga tidak menyekat pelajar melibatkan diri dalam aktiviti di peringkat antarabangsa. Malah, walaupun masih baru, UMT sudah melakar pelbagai kejayaan di peringkat dunia.

Sehingga kini, UMT sudah melahirkan 7,500 penuntut sejak awal penubuhannya. Selain itu, 1,502 penuntut UMT merupakan anak Terengganu yang sedang mengikuti pengajian semester pertama hingga akhir.

Bagi sesi terbaru, UMT menawarkan 2,584 tempat bagi permohonan kemasukan pelajar online (UPU), di mana daripada jumlah itu lebih kurang 2,060 orang mahasiswa mendaftar secara online untuk hadir pada pendaftaran kali ini.

Pelajar baru berkenaan dari seluruh Malaysia termasuk empat daripada Thailand.
Tahun ini juga, IPTA berkenaan menawarkan 26 kursus Sarjana Muda dengan pertambahan satu kursus baru iaitu Ijazah Sarjana Muda Pengurusan (Pelancongan) daripada Fakulti Pembangunan Ekonomi.

Sempena dengan pendaftaran pelajar baru itu, UMT turut mengadakan Minggu Jalinan Mesra 2012/2013 pada 2 hingga 7 September lalu yang menyediakan pelbagai acara menarik bagi memastikan mahasiswa dapat mengetahui dengan lebih mendalam berkenaan UMT.

Antara pengisian yang telah dirancang adalah seperti kenali fakulti, penerangan tentang pengajian umum, syarahan umum, taklimat daripada Perbadanan Tabung Pengajian Tinggi Negara (PTPTN) , aktiviti sukan dan kebudayaan , sesi kenali Majlis Perwakilan Pelajar, taklimat kesihatan dan kecemasan dan kemuncak adalah Majlis Ikrar Pelajar Baharu dan Penyerahan Aku Janji yang akan diadakan di Dewan Sultan Mizan, UMT, pada 6 September lalu.

TPM lawat Terengganu minggu depan

Oleh; Esah Abdullah
GAMBAR OLEH ZULKIPLI PUTRA

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yasin akan mengadakan lawatan rasmi sehari ke negeri ini Selasa depan (25 September).

Menteri Besar Dato’ Seri Haji Ahmad Said berkata, TPM akan bertemu rakyat semua golongan di majlis ‘sepetang bersama rakyat’ di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Wakaf Mempelam, Parlimen Kuala Terengganu.

“Sebelah malam Tan Sri Muhyiddin akan merasmikan Seminar Pendidikan Negara yang membabitkan penyertaan semua pegawai pelajaran negeri dan daerah seluruh negara bertempat di Taman Tamadun Islam (TTI) Pulau Wan Man, Kuala Terengganu,”.

Menteri Besar berkata demikian kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Mingguan Exco di Wisma Darul Iman hari ini.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Dato’ Haji Mazlan Ngah; Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Masyarakat dan Wanita negeri, Dato’ Yahya Khatib Mohamad dan Pengerusi Kumpulan Ladang Rakyat Terengganu, Dato’ Wan Ahmad Nizam Abdul Hamid.






UniSZA catat 1,115 kakitangan Terengganu

Oleh: Suriati Ali dan Nur Syarifatul Zahidah bt Mukhtar (Pelatih)

Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) mencatatkan seramai 1,115 kakitangan adalah rakyat Terengganu daripada 1,481 jumlah keseluruhan kakitangan yang berkhidmat universiti itu.

Jumlah itu meningkat berbanding di awal penubuhan Universiti Darul Iman (UDM) pada 2006 iaitu seramai 573 (kakitangan Terengganu) daripada 660 keseluruhan kakitangan.
Perangkaan itu menunjukkan sikap prihatin kerajaan negeri dan pentadbiran Unisza yang mahu rakyat Terengganu menabur budi dan bakti di negeri sendiri.

Naib Canselornya, Prof. Dato’ Dr. Alias Daud berkata Unisza kini mempunyai 6,774 penuntut termasuk 1,200 pelajar ijazah yang baru mendaftar masuk baru-baru ini.

Katanya, daripada jumlah itu, pelajar Terengganu merupakan kumpulan terbesar iaitu 1,474 atau 22 peratus daripada bilangan keseluruhan pelajar.

“Pihaknya menerima peningkatan pelajar pada setiap tahun yang sememangnya memberi cabaran terutama berkaitan kemudahan pembelajaran dan penginapan.

“Statistik semasa menunjukkan bahawa UniSZA hanya mampu menyediakan kapasiti penginapan 5000 bilik berbanding jumlah pelajarnya iaitu 6774.,” katanya.
Katanya, selebihnya, mereka terpaksa menyewa rumah atau bilik di luar kampus di sekitar kawasan Gong Badak.

“Buat masa sekarang UniSZA sedang berusaha untuk mengurangkan masalah ini dengan menambah kapasiti asrama yang sedia ada.

“Kita juga berharap akan dapat bekerjasama dengan pelbagai pihak termasuk Kerajaan Terengganu untuk menambahkan lagi kemudahan tempat tinggal pelajar”.

Katanya, tidak hanya berkembang daripada segi jumlah pelajar, malah UniSZA turut berkembang dari segi pembangunan fizikal di ketiga-tiga kampus iaitu Kampus Gong Badak, Kampus Kota dan juga Kampus Besut.

“Sehingga kini, UniSZA telah membelanjakan lebih RM400 juta untuk tujuan penyelenggaraan, menaik taraf dan pembangunan di ketiga-tiga kampus tersebut dan turut mengalami perkembangan pesat pembangunan,” katanya.




Kem gajah di Tasik Kenyir siap Februari ini

Oleh: Aida Abd Rahman
Terengganu bakal memiliki satu lagi produk pelancongan baru sempena Tahun Melawat Terengganu (TMT) tahun depan apabila pusat penempatan gajah atau kem gajah yang dibangunkan di Pengkalan Gawi, Tasik Kenyir dijangka siap Februari ini.


Menteri Besar menyampaikan ucapan di Majlis Perjumpaan Anak-Anak Terengganu Menuntut di Universiti Malaysia Terengganu (UMT)

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, berkata konsep itu diperkenalkan di Terengganu dengan mengambil contoh beberapa pusat penempatan dan pelancongan terkenal seperti di Chiang Mai, Chonburi (Thailand) dan Kuala Gandah (Pahang).

“Kita akan mewujudkan tiga komponen, satu (kawasan) gajah jinak yang boleh melukis, bermain bola dan mandi bersama gajah. Malah, di situ juga ada kawasan menyusuri hutan dan kita mengenal pasti lokasi air terjun..pengunjung menaiki gajah dan menyusuri bawah air terjun. Selain itu, terdapat sungai yang cantik yang boleh dijadikan kawasan perkelahan.

“Kesemua gajah ini akan membuat persembahan di depan pengunjung dan haiwan ini akan dilatih oleh jurulatih daripada Thailand,” katanya ketika sidang media selepas Majlis Perjumpaan Anak-Anak Terengganu Menuntut di Universiti Malaysia Terengganu (UMT), malam semalam (18 september).


Para pelajar UMT gembira menerima Kad Diskaun Siswa di Majlis Perjumpaan Anak-Anak Terengganu Menuntut di Universiti Malaysia Terengganu

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa pelancongan, Kebudayaan, Keseniaan dan Warisan negeri, Dato' Abdul Rahin Mohd Said dan Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UMT, Profesor Dr Yahaya Ibrahim.

Dato’ Seri Haji Ahmad Said berkata, buat permulaan lapan ekor gajah akan dibawa ke kem itu, sebelum tambahan dua ekor lagi untuk menjadikan kesemuanya 10 ekor yang diagihkan ke tiga komponen utama itu.

Sementara itu, beliau berkata, komponen kedua akan menempatkan gajah separuh liar yang dibiarkan bebas di kawasannya, sementara pengunjung boleh meninjau lokasi itu dengan menyusuri jambatan gantung.

Menurutnya, empat stesen turut dibina bagi menghubungkan jambatan gantung berkenaan dengan satu daripadanya stesen paling tinggi yang membolehkan pengunjung meninjau keseluruhan kawasan Empangan Kenyir.

“Sementara (komponen) ketiga, di luar pagar elektrik, kita menyediakan pelantar yang berada pada kedudukan tinggi untuk keselamatan.. di situ kita sediakan makanan mungkin dua kali sehari untuk sesi pagi pada 11 pagi hingga 1 petang, dan waktu petang pula pada 1 hingga 3 petang .

“Pengunjung yang memasuki kawasan itu perlu membuat bayaran disebabkan kos menyediakan makanan untuk gajah mahal. Jadi kalau mereka mahu melihat gajah liar dan memberi makan gajah perlu dikenakan caj lain pula, selain bayaran masuk untuk ke kem berkenaan,” katanya.

Beliau berkata, fasa terakhir projek kem gajah berkenaan adalah kerja menyiapkan dua chalet (permulaan) atas pokok, di mana pengunjung yang mahu menginap di situ akan dibawa oleh gajah jinak ke pusat penginapan itu sebelum pengunjung perlu menggunakan tangga yang boleh dilipat untuk ke tempat penginapan mereka.

“Apabila tidak digunakan tangga itu akan dilipat naik ke atas bagi mengelak gangguan gajah. Gajah tidak sampai (ke chalet) bagi memastikan keselamatan pengunjung.
Dalam pada itu, Menteri Besar berkata projek menyiapkan kem gajah itu siap 10 peratus lebih awal berbanding sasaran kerja dengan keseluruhan siap 30 peratus.

Katanya, projek yang dijadualkan siap April tahun depan dijangka dapat disiapkan dua bulan lebih awal daripada tarikh sebenar.





Terengganu komited bantu pelajar

Oleh: Suriati Ali

Kerajaan negeri komited dan tidak jemu merencanakan masa depan pelajar di Terengganu supaya kehidupan mereka dan keluarga lebih terjamin.


Para pelajar Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) berebut untuk bersalaman dengan pemimpin idola mereka, Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said.

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, berkata pelbagai bantuan kewangan dan biasiswa melalui Yayasan Islam Terengganu (YIT) turut disalurkan kepada pelajar supaya tidak dibebani masalah kewangan ketika menuntut ilmu.

“Pelajar Terengganu tidak perlu bimbang, jika hendak sambung belajar ke mana-mana Institut Pengajian Tinggi (IPT) Awam atau Swasta, kerajaan sedia membantu.

“Kita tidak mahu pelajar susah sebaliknya ingin melihat mereka menerpa kejayaan cemerlang supaya kehidupan dan masa depan cerah dan tidak dibelenggu kemiskinan.

“Semua pihak akui, hanya pelajaran saja boleh mengubah kehidupan sesorang itu, daripada hidup miskin kepada sederhana dan lebih selesa,” katanya ketika berucapa pada Majlis Ramah Mesra Menteri Besar Bersama Anak-anak Terengganu diUniversiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Kuala Terengganu semalam.

Lebih 1,000 pelajar hadir bagi mendengar amanat daripada pemimpin utama Terengganu itu yang menyentuh perkara perkara termasuk pembangunan dan infrastruktur yang disalurkan kerajaan dan pebagai isu semasa.



Pada majlis sama, Dato’ Seri Haji Ahmad turut mengagihkan Kad Diskaun Siswa 1 Malaysia di mana kad itu memberi faedah potongan lima hingga 60 peratus terhadap setiap pembelian di rangkaian perniagaan terpilih seluruh negara.

Katanya, kerajaan negeri tidak mahu lagi mendengar ada rakyat Terengganu miskin pada masa akan datang, kerana pelbagai bantuan sudah disalurkan, hanya kebijaksanaan diri seseorang itu mencari peluang.

“Jika malas serta tiada keinginan untuk mengubah kehidupan, mereka akan sentiasa dihimpit masalah kemiskinan.




18 September 2012

Ketengah serah zakat perniagaan RM1.32 juta

Oleh: Suriati Ali

Kumpulan syarikat Ketengah Holding Sdn. Bhd(Ketengah) membayar zakat perniagaan sebanyak RM1.32 juta kepada Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) di pejabat Menteri Besar, Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu, hari ini.

Majlis penyerahan zakat perniagaan oleh Kumpulan syarikat Ketengah Holding Sdn Bhd (Ketengah) yang disaksikan Menteri Besar. - Gambar oleh ZULKIPLI PUTRA.

Ketika penyerahan, Ketengah diwakili Timbalan Pengerusi Jemaah Lembaga Ketengah, Dato’ Ibrahim Mohamad manakala JHEAT oleh Pesuruhjayanya, Mohd. Rozali Salleh sambil disaksikan Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said.

Zakat yang dikeluarkan kumpulan syarikat itu berdasarkan keuntungan yang diperoleh pada tahun lalu.

Pembayaran itu menyaksikan peningkatan sebanyak 36 peratus berbanding tahun lalu iaitu sebanyak RM973,505.

Zakat tersebut diperoleh melalui tujuh buah anak syarikatnya iaitu Ketengah Holding (RM66,270), Ketengah Perwira (RM675,231), Yayasan Islam Terengganu (YIT-KPSB) (RM157,032), Ketengah Jaya(RM365,711), Kebunika (RM 18,158), Ladang Ternak Tani(RM17,894) dan Rakyat Ketengah Perwira (RM24,259).

Sidang media selepas majlis penyerahan zakat perniagaan.

Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Said berkata, Ketengah mencatat keuntungan selepas cukai sebanyak RM52.9 juta bagi tahun tahun lalu.

Jumlah itu menyaksikan peningkatan sebanyak 36.06 peratus berbanding tahun sebelumnya iaitu sebanyak RM38.9 juta untuk tempoh sama yang melibatkan hasil tujuh anak syarikatnya.

“Keuntungan tersebut diperoleh terutamanya daripada kumpulan perladangan dan perkilangan selain aktiviti sampingan seperti pelaburan portfolio serta pelaburan dalam saham amanah,” katanya.

“Sumber kuntungan itu juga adalah hasil peningkatan harga kelapa sawit yang merupakan faktor utama yang menyumbang kepada peningkatan keuntungan tersebut di samping kecekapan dalam menguruskan syarikat.,” katanya

Dato’ Seri Haji Ahmad berkata, hampir keseluruhan anak syarikat di bawah Ketengah memperolehi keuntungan bagaimanapun dua syarikat mengalami sedikit penurunan iaitu Ketengah Holding Sdn. Bhd. dan Rakyat Ketengah Perwira Sdn. Bhd.

"Bagaimanapun kita yakin jumlah perolehan akan meningkat berdasarkan ramalan harga kelapa sawit yang dijangka stabil menjelang akhir tahun ini,"katanya.


Ketengah diwakili Timbalan Pengerusi Jemaah Lembaga Ketengah, Datuk Ibrahim Mohamad manakala JHEAT oleh Pesuruhjayanya, Mohd. Rozali Salleh.



Warga Jordan seronok tinggal di Terengganu

Oleh: Kamarudin Mat Akib
Gambar oleh ZULKIPLI PUTRA

“Di sini (negeri Terengganu) ada segala-galanya. Saya suka tinggal di sini...Kini saya dalam proses untuk memohon kerakyatan Malaysia dan akan terus tinggal di Terengganu,” kata Abdelrahman Ibrahim Islaleh, 29, seorang rakyat Jordan yang sudah lapan tahun bermaustatin di Terengganu.

Beliau berkata, suasana persekitaran di negeri ini yang aman dan kehidupan tenang mendorong beliau untuk terus berkhidmat di Terengganu dan menabur jasa di bidang pendidikan.

“Walaupun saya seorang warga asing, Kerajaan Negeri Terengganu (melalui Yayasan Terengganu) tetap memberi penghormatan sehingga saya sudah dua kali terpilih sebagai penerima Augerah Perkhidmatan Cemerlang,” katanya.

Abdelrahman merupakan guru Bahasa Arab Sekolah Menengah Imtiaz Besut yang dilantik secara kontrak sejak 2004.

Kegigihan Abdelrahman layak menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang YT 2012.

Beliau antara 27 penerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang YT 2012 yang disampaikan oleh Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Haji Mazlan Ngah, dalam majlis di Primula Beach Hotel, semalam.

Sebelum itu, bapa kepada dua cahayamata yang dilahirkan di Terengganu itu ditugaskan oleh YT untuk mengajar di Sekolah Menengah Imtiaz Kuala Berang.

“Sejak datang ke sini, baru sekali saya balik ke Jordan. Saya bercuti selama dua minggu, kahwin di sana dan selepas itu menetap di Kuala Berang dan kini di Besut,” kata beliau yang bukan saja fasih berbahasa Melayu, tetapi juga boleh bercakap dalam dialek Hulu Terengganu dan Besut.

Abdelrahman begitu rapat dengan masyarakat setempat dan beliau turut menabur bakti dengan mengadakan kuliah di beberapa masjid sekitar tempat tinggalnya di daerah Besut.

“Rakan-rakan di Sekolah Imtiaz Kuala Berang dan Besut banyak membantu saya dalam pelbagai aspek dan saya sangat menghormati mereka,” katanya.

Beliau kini sedang melanjutkan pelajaran di bidang teknologi pendidikan peringkat doktor falsafah (PhD) dan berhasrat mahu terus menetap di Terengganu walaupun ada tawaran bekerja di negeri lain.





Kesenian khat kian mendapat tempat peminat karya Islam

Oleh: Aida Abd Rahman

Sambutan memberangsangkan daripada peserta Festival Kesenian Islam Antarabangsa Terengganu (TIIAF) 2012, di Taman Tamadun Islam, sepanjang empat hari sejak 14 September lalu membuktikan kesenian khat kian mendapat tempat di kalangan peminat karya Islam itu.


Dato’ Zubir Embong menyampaikan ucapan penutup Festival Kesenian Islam Antarabangsa Terengganu (TIIAF) 2012

Penyertaan peserta dalam bengkel melibatkan 500 orang, seminar 450 orang selain pembabitan 17 negara seperti Jepun, China, India, Singapura, Brunei, Indonesia dan tuan rumah, Malaysia yang melibatkan 475 orang.


Sebahagian peserta yang menghadiri Festival Kesenian Islam Antarabangsa Terengganu (TIIAF) 2012

Pengerusi Ahli Jawatankuasa Pengurusan TIIAF, Dato’ Zubir Embong, berkata daripada keseluruhan 475 peserta, 82 daripada mereka merupakan peserta antarabangsa yang mencuba nasib mempertaruhkan kreativiti seni khat bagi kategori Siap Asia Thuluth.



“Usaha penganjur bagi memperkasakan tulisan jawi dan kesenian Islam menerusi TIIAF buat kali kedua berturut-turut ini semakin menampakkan hasil apabila kerajaan negeri bersetuju membina sebuah Institut Kaligrafi Islam Antarabangsa (IKIA) yang berharga RM20 juta (di TTI) yang pertama seumpamanya di Rantau Asia di mana pembinaan dijangka bermula awal tahun depan.

“Dengan adanya institute itu kelak akan lebih menaikkan martabat tulisan jawi bukan sahaja di kalangan umat Islam, malah kepada bukan Islam yang meminati kesenian itu” katanya ketika berucap di Majlis Penutup dan Penyampaian Hadiah TIIAF 2012, semalam (17 September).

Turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Haji Mazlan Ngah; Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Warisan negeri, Dato’ Abdul Rahin Mohd Said dan Pengerusi Jawatankuasa Agama dan penerangan negeri, YB Haji Khazan Che Mat.

Bagi kategori kebangsaan, Siap Logam dimenangi Syed Ubaidillah Syed Mohamad; kedua, A Wahab Mohd dan ketiga Syed Mohd Shafie Tuan Sidi.

Manakala Siap Kayu pula johan menjadi milik Mohd Yazid Misdi, diikuti tempat kedua Ahmad Rajaei Awang dan ketiga Ahmad Ali Mahfuz Osman.

Masing-masing membawa pulang RM5,000 (johan), RM4,000 (kedua) dan RM3,000 (ketiga), sementara 10 hadiah saguhati bernilai RM500 seorang.

Bagi Siap Kanvas, tempat pertama dimenangi Nik Abd Rahman Zaki Nik Abdul Kadir; kedua, Mohd fadil Sulaiman dan ketiga Zamri Amid. Masing-masing membawa pulang RM4,000 (pertama), RM3,000 (kedua) dan RM2,000 (ketiga) selain RM500 seorang kepada 10 pemenang saguhati.



Spontan Terbuka turut dimenangi Nik Abd Rahman Zaki Nik Abdul Kadir (RM2,500), kedua Mohd Zulfikri Mohd sabri (RM2,000) dan ketiga Mohd Hafizuddin Mohd Rasid (RM1,500).
Kategori Spontan Sekolah Menengah pula dimenangi Mohd Nazmi Mohd Rasid (RM700), tempat kedua Mohd Yazid Samsudin (500) dan ketiga, Mohd Afifuddin Sabri (RM300).

Tempat pertama dan ketiga Spontan Sekolah Rendah diungguli anak kepada Nik Abd Rahman, iaitu Nik Muhsinah (RM400) dan Nik Maghfirah (RM200). Sementara tempat kedua milik Zu Nurain Muhzalulahfah (RM300).




Kempen gerakan membaja tambah hasil pekebun

Oleh; Esah Abdullah

Pelaksanaan kempen 'Gerakan Membaja' yang diperkenalkan RISDA berjaya meningkatkan pulangan kepada pekebun kecil yang mengusahakan tanaman getah, apabila pengeluaran hasil mencapai kadar maksimum.

Keadaan berubah sejak pelaksanaan kempen itu apabila pekebun kecil yang sebelum ini kurang kesedaran mengenai kepentingan membaja tanaman mula mengikuti amalan pertanian baik dengan membaja tanaman, sekali gus meningkatkan pengeluaran hasil.

Pengarah RISDA negeri, Haji Zakaria Mat Zin berkata, sejak kempen berkenaan dilaksanakan November tahun lalu, RISDA merekodkan pertambahan hasil anggaran 25 peratus bagi sehektar tanaman getah.

"Untuk tempoh tujuh bulan tahun ini (Januari hingga Julai), kita merekodkan pengeluaran hasil sebanyak 1,100 kilogram (kg) getah bagi setiap hektar, berbanding 900 kg per hektar bagi tempoh sama tahun lalu,” katanya di majlis Hari Raya RISDA.

Beliau yakin menjelang akhir tahun ini, mampu merekodkan pengeluaran hasil mengikut sasaran ditetapkan iaitu 1,600 kg per hektar dan gembira kerana kalangan pekebun kecil semakin faham mengenai kepentingan membaja tanaman mereka.

"Ini kerana dengan pembajaan yang baik, tanaman dapat mengeluarkan hasil berganda, sekali gus memberi pulangan memberansangkan kepada pekebun kecil sendiri yang memperoleh lebih keuntungan," katanya

Beliau berkata, menerusi kempen itu, pegawai RISDA akan turun padang menemui pekebun kecil getah dan memberi penerangan serta kursus pendek bagi meningkatkan kesedaran mereka terhadap kepentingan membaja tanaman.

"Kalau ikutkan, asas penanaman dan perkebunan sudah tentulah kita perlu membaja tanaman yang ditanam. Namun, disebabkan kurang kesedaran, ramai pekebun kecil tidak kisah untuk membaja tanaman mereka,” katanya.

Tambahnya , sikap ini menyebabkan kerugian kepada mereka kerana memperoleh hasil yang sedikit, berbanding jika tanaman dibajai dengan baja yang baik boleh mengeluarkan hasil berkali ganda banyaknya.

"Justeru, selepas melihat hasil pelaksanaan kempen ini, kita akan terus menggalakkan pekebun kecil membaja tanaman mereka dan akan turun padang lebih kerap bagi memastikan lebih ramai pekebun kecil mempunyai kesedaran membaja tanaman," katanya.