Oleh: Kamarudin Mat Akib
Ingatan bekas Perdana Menteri, Dato’ Seri Dr Mahathir Mohamad mengenai niat pihak asing yang mahu menjatuhkan kerajaan dengan menyalurkan dana kepada Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) propembangkang, tidak boleh dipandang remeh.
Tokoh neragawan itu itu tidak pernah jemu memberi nasihat kepada rakyat negara ini supaya berwaspada dengan golongan berniat jahat itu, agar kita semua tidak menyesal di kemudian hari.
Kita semua tentunya sayangkan negara kita dan setiap orang mahu mengekalkan kemerdekaan negara yang baru kita sambut ulangtahun ke-55.
Kita mahu sebuah negara Malaysia yang mendeka, bebas daripada campur tangan pihak asing serta hidup dalam suasana aman damai serta harmoni.
Bagaimanapun, pendedahan mengenai penyaluran dana asing kepada NGO propembangkang melalui media massa sejak kebelakangan ini, amat membimbangkan kita semua.
Tun Dr Mahathir menyifatkan penyaluran dana asing kepada NGO tersebut sebagai bukti wujud campur tangan pihak luar untuk menukar kerajaan sedia ada kepada kerajaan yang boleh mengikut telunjuk mereka.
Modus Operandi yang digunakan pihak asing ini sama seperti di Libya, Mesir, Syria dan negara-negara Arab lain iaitu mereka membiayai aktiviti NGO yang mengapi-apikan rakyat supaya bangkit menentang kerajaan dan menukarkannya dengan kerajaan lain yang “kononnya lebih baik”.
Menurut Dr Mahathir, apa yang dimahukan pihak asing sekarang bukan setakat perubahan kerajaan yang memerintah, tetapi perubahan yang menyaksikan Dato’ Seri Anwar Ibrahim menjadi Perdana Menteri Malaysia.
Beliau mempertikaikan keikhlasan pihak berkenaan dalam menghulurkan bantuan tersebut kerana mereka memilih NGO yang propembangkang saja dalam soal pengagihan dana.
Beberapa negara besar turut dikesan memberikan dana kepada NGO berkenaan yang umum mengetahui ia bertujuan membiayai kegiatan tidak sihat yang mahu menjatuhkan kerajaan sedia ada, seperti Perhimpunan Bersih.
Mengapa pihak asing berkenaan tidak menyalurkan bantuan yang sama kepada Kerajaan Malaysia atau pun NGO yang prokerajaan?
Di sini secara jelas menunjukkan bahawa mereka mempunyai niat jahat mahu menjatuhkan kerajaan sedia ada dan menggunakan orang tertentu, termasuk pemimpin parti pembangkang untuk campur tangan dalam soal pentadbiran negara.
Jika niat pihak asing menjatuhkan kerajaan tercapai, sudah tentu pemimpin pembangkang ini akan menjadi boneka dan mereka akan ‘mengatur’ pentadbiran negara mengikut kehendak dan cita rasa mereka.
Inikah yang rakyat kita mahu? Sudah pasti kita semua tidak rela negara kita dijajah dalam bentuk baru.
Justeru, adalah menjadi kewajipan kita semua untuk mempertahankan negara dan tanah air tercinta ini.
Katakan tidak kepada setiap ajakan dan program yang dianjurkan NGO propembangkang dan parti-parti pembangkang di seluruh negara.
Kita semua perlu mendokong kerajaan sedia ada dan mempertahankannya pada Pilihan Raya Umum akan datang.