Halaman

24 September 2012

Dato' Wan Hisham menang selesa jawatan Timbalan Presiden KOAM

Dato' Wan Hisham bersama barisan pucuk kepimpinan baru KOAM,   Datuk Mumtaz Jaafar,  Datuk Zainal Abidin Ahmad, Datuk R. Annamalai serta K. Yogeswaran.

Oleh: Aida Abd Rahman

Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Ladang, Dato’ Wan Hisham Wan Salleh menang dengan majoriti selesa untuk merampas jawatan Timbalan Presiden Kesatuan Olahraga Amatur Malaysia (KOAM) di tangan penyandangnya, Datuk Karim Ibrahim pada pemilihan pucuk kepimpinan baru badan induk olahraga negara bagi penggal 2013-2015.

Presiden Persatuan Olahraga Amatur Terengganu (POAT) itu memperolehi 25 undi, sementara Datuk Karim memperoleh 19 undi pada pemilihan yang diadakan bersempena mesyuarat agung tahunan (AGM) ke-10 di Dewan Komanwel, Majlis Sukan Negara (MSN), Bukit Jalil, kelmarin (23 September).

Nasib yang sama turut menimpa Dato’ Seri Shahidan Kassim yang gagal mempertahankan jawatannya selaku Presiden KOAM untuk penggal ketiga berturut-turut. Beliau yang memegang jawatan Presiden sejak 2006 tewas mengejut kepada Presiden Persatuan Olahraga Amatur Negeri Sembilan (POANS) Datuk Zainal Abidin Ahmad dengan perbezaan dua undi sahaja.

Dato’ Seri Shahidan memperoleh 21 undi berbanding Datuk Zainal Abidin memungut 23 undi dari undian yang dibuat oleh 44 perwakilan yang mewakili 14 anggota KOAM. Kesemua 44 perwakilan yang mengundi sebulat suara memilih empat individu termasuk dua penyandang sebagai naib presiden KOM selepas memperoleh undi tertinggi.

Dua penyandang jawatan iaitu Datuk R. Annamalai dan Datuk Paduka Mumtaz Begum Abdul Jaffar masing-masing memperoleh 25 dan 24 undi manakala dua lagi calon iaitu Setiausaha Agung Persatuan Olahraga Amatur Selangor (POAS), K. Yogeswaran dan Presiden Persatuan Olahraga Amatur Sabah Datuk Paiman Abdul Karim pula masing-masing memperoleh 32 dan 28 undi.

Tiga lagi calon yang bertanding untuk jawatan tersebut memperoleh undi terendah iaitu Setiausaha Persatuan Olahraga Amatur Johor R. Rajasegram (24 undi) serta Setiausaha Persatuan Olahraga Amatur Terengganu Rajemah Sheikh Ahmad dan Mohamad Awang daripada Persatuan Olahraga Amatur Kelantan dengan 21 undi masing-masing. Mumtaz diberikan kemenangan berbanding Rajasegram kerana KOAM mewajibkan naib presidennya harus diwakili seorang wanita.

 

23 September 2012

Tujuh belas premis terima sijil halal

Oleh; Esah Abdullah
Gambar oleh ZULKIPLI PUTRA

Sejumlah 17 premis makanan dan produk makanan/minuman di negeri ini telah menerima sijil halal masing-masing dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini.

Pesuruhjaya Hal Ehwal Agama Terengganu, Dato’ Mohd Rozali Salleh (gambar kiri)  berkata, 12 daripadanya merupakan premis makanan termasuklah yang beroperasi di daerah Kuala Terengganu (9 buah), Dungun (2 buah) dan Besut (sebuah).

Manakala bagi produk makanan dan minuman terdapat lima sijil yang diluluskan iaitu daerah Kuala Terengganu (5) dan satu yang beroperasi di Marang.

Katanya, mulai 1 Mac lalu semua permohonan pensijilan halal Malaysia bagi negeri ini telah menggunakan e-halal atau secara ‘on-line’ iaitu suatu sistem yang dibangunkan dan digunapakai oleh bahagian hub halal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

 “Pensijilan halal Malaysia adalah tidak diwajibkan dan permohonan adalah terbuka kepada semua pengusaha sama ada Islam atau bukan Islam,” katanya.

 

Wakil rakyat perlu berjiwa besar

Oleh: Suriati Ali
Gambar oleh ZULKIPLI PUTRA

Wakil rakyat di setiap Dewan Undangan Negeri (DUN) dinasihatkan supaya jangan sombong atau ego sebaliknya perlu berjiwa besar dan bersikap pemaaf dengan rakyat.

 Timbalan Pengerusi Perhubungan Umno Terengganu, Dato' Yahya Khatib (gambar kanan) , berkata “Jangan hanya tunjuk muka atau `turun padang’ sewaktu tiba musim pilihan raya sahaja. Jika tetap berbuat demikian ia akan memberi tamparan hebat kepada pemimpin itu sendiri.

“Kita perlu menganggap, setiap rakyat itu nadi dan nadi itu pula adalah pengundi, kita sebagai pemimpin sewajarnya ingat ini semua, jika mahu terus kekal sebagai wakil rakyat dan sayangkan parti Umno,” katanya pada satu majlis baru-baru ini.

 Menurutnya, pelbagai pendekatan sudah dilaksanakan malah di setiap DUN hampir RM3 juta diperuntukkan termasuk program atap biru, rumah Program Pembangunan Rakyat Termiskin (PPRT), sukan rakyat dan sebagainya.

 “Jika melihat peruntukan yang disumbangkan, mustahil kita akan kalah dalam pilihan raya akan datang. Oleh itu, pemimpin setempat perlu bersedia dan `turun padang’ bagi mendalami masalah rakyat.

 “Sentuhan daripada pemimpin itu cukup penting bagi menawan hati setiap rakyat atau pengundi,” katanya yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Masyarakat dan Wanita negeri.

 Dato’ Yahya Khatib berkata, dia selalu berpesan, kita sebagai orang politik, jangan terlalu mudah berkecil hati, terasa hati, yang penting mesti berhati-hati.

 “Seeloknya perlu mencari penapis yang sempurna, ibaratnya jika ingin minum air teh 0, penapis yang digunakan itu kurang elok, maka air yang ditapis itu akan berhabuk dan tidak selesa untuk diminum serta dipandang,” katanya

 

Penduduk Wakaf Mempelam gembira sambut kunjungan TPM Selasa ini

Oleh: Aida Abd Rahman

Penduduk di Dewan Undangan Negeri (DUN) Wakaf Mempelam menyambut baik kunjungan Timbalan Perdana Menteri (TPM), Tan Sri Dato’ Muhyiddin Mohd Yasin (gambar kanan) ke DUN itu sempena  lawatan rasmi sehari ke Terengganu,  pada 25 September ini (Selasa).


Selaku `tuan rumah’ DUN berkenaan, Haji Wan Mahyuddin Wan Ngah, berkata kunjungan orang nombor dua negara itu diharap mampu membawa gelombang perubahan kepada penduduk DUN Wakaf Mempelam menjelang Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).

“Lawatan beliau bukan sahaja memberi mesej bahawa Terengganu negeri yang cukup mendapat tumpuan pemimpin tertinggi, malahan kehadiran ke Wakaf Mempelam mencerminkan pemimpin nombor dua negara itu optimis untuk membawa angin perubahan yang dibentuk kepimpinan Barisan Nasional dan Umno,” katanya kepada Teganukita, hari ini.

Haji Wan Mahyuddin selaku Pegawai Pembangunan DUN berkata, Badan Perhubungan Umno Terengganu sedang melakukan persiapan rapi dan mengatur segala keperluan berkaitan sambutan dan juga perjalanan sepanjang lawatan sehari TPM itu.


Pada masa yang sama, beliau meminta orang ramai supaya menyertai setiap program yang dijadualkan sebagai tanda sokongan terhadap kehadiran pemimpin negara itu. 

Tan Sri Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran dijadualkan meluangkan masa bersama  rakyat semua golongan di majlis ‘Sepetang Bersama TPM, di perkarangan Sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Ahmad, Kuala Terengganu, kira-kira jam 2.30 petang.


Pada sebelah malamnya, beliau dijangka akan merasmikan Seminar Pendidikan Negara yang membabitkan penyertaan semua pegawai pelajaran negeri dan daerah seluruh negara bertempat di Taman Tamadun Islam (TTI) Pulau Wan Man.
Sementara itu, seorang kakitangan kerajaan, Puan Anisa Awang, 28, dari Kampung Kubang Parit,  berkata kehadiran TPM sesuatu yang ditunggu-tunggu dan mungkin membawa berita gembira kepada rakyat di kawasan yang sudah sekian lama dinaungi pembangkang itu.
“Lawatan ini bukan sahaja bakal membawa dimensi baru kepada rakyat, malah membuktikan negeri dan kawasan kita menjadi pilihan pemimpin negara yang sentiasa cakna dan prihatin, malah membawa pelbagai pembangunan untuk dinikmati seluruh penduduk tanpa ada yang terpinggir,” katanya.
Seorang ibu tunggal, Puan Zuraidah Awang, 40, yang turut dijemput ke majlis bersama TPM di SMK Sultan Ahmad berhasrat memenuhi jemputan itu sebagai tanda sokongan dengan kepimpinan yang dibawa Umno dan BN.
“BN dan Umno yang menjaga kebajikan rakyat termasuk golongan ibu tunggal selama ini. Pelbagai dana dan juga kemudahan disediakan yang membuktikan mereka menunaikan janji sebagaimana slogan `Janji Ditepati’.
“ Jadi, sebagai tanda penghargaan dan sokongan kepada pucuk pimpinan, tidak salah kita meluangkan masa menghadiri majlis itu nanti. Bukan perlu menghabiskan wang ringgit dan tenaga sebaliknya hanya meluangkan sedikit masa sahaja,” katanya lagi.

Tindakan tegas jika gagal patuhi peraturan alam sekitar

Oleh; Esah Abdullah

Jabatan Alam Sekitar (JAS) akan mengambil tindakan undang-undang ke atas pengusaha resort yang gagal mematuhi Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Buangan Berjadual) 2005,

 Pengerusi Jawatankuasa Perindustrian, Perdagangan dan Alam Sekitar negeri, Dato’ Toh Chin Yaw 9 (gambar kiri) berkata, tindakan berkenaan dikenakan bagi kesalahan tidak menyimpan minyak-minyak terpakai yang dikategorikan sebagai barangan terjadual mengikut kaedah yang ditetapkan di bawah peraturan tersebut.

“Tindakan mahkamah juga telah dikenakan ke atas beberapa pengusaha resort pelancongan yang sedang beroperasi di pulau-pulau yang telah di wartakan sebagai Taman-taman Laut Negara di perairan negeri ini,” katanya.

Pengusaha-pengusaha resort pelancongan diminta mematuhi Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Buangan Berjadual) 2005.

Menurutnya, perkara demikian adalah lumrah berlaku dan mana-mana resort atau pengusaha kawasan pelancongan yang tidak mematuhi kualiti alam sekitar pasti tidak terlepas daripada dikenakan tindakan.

Katanya, selain dari lawatan penguatkuasaan secara berkala, program pengawasan dan pemantauan kualiti air marin juga dijalankan bagi memastikan sekitar perairan pulau-pulau tidak tercemar.

Sehubungan itu katanya, kempen kesedaran alam sekitar diadakan dari semasa ke semasa kepada pelajar, penduduk pulau dan juga pengusaha resort yang beroperasi di pulau-pulau.

 

Calon disenangi, melekat di jiwa pengundi : Dato' Abdul Rahman

Oleh: Aida Abd Rahman dan  Nur Syarifatul Zahidah Mukhtar (pelatih)

Semua calon yang akan bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) perlu mempunyai karakter yang disenangi dan melekat di jiwa penduduk, khususnya pengundi di kawasan masing-masing.

 Kesilapan menetapkan calon PRU13 boleh menggagalkan usaha Barisan Nasional (BN) menawan hati pengundi, selain menipiskan peluang untuk merampas semula kawasan yang dimenangi pembangkang, malah mungkin menjejaskan peluang BN mengekalkan kerusi sedia ada.

 Pandangan itu disuarakan bekas Ahli Parlimen Marang, Dato’ Haji Abdul Rahman Bakar (gambar kecil), sambil menyifatkan kesilapan percaturan menentukan calon PRU13 hanya akan mengudang padah.

Rakyat Marang perlu ingat pembangunan yang ketara di kawasan berkenaan adalah hasil perjuangan pemimpin BN.

Malah, perjuangan pemimpin BN dan Umno membawa pembangunan dan mendekati rakyat serta menyelami nasib mereka dengan melakukan pelbagai transformasi selama ini hanya sia-sia jika calon tidak mendapat tempat di hati pengundi.

 “Bagaimanapun, perlu diingatkan jangan ada peteh- memeteh. Malah, jangan ada calon `bidan terjun’. Sebagaimana pengalamansebelum ini kita boleh kalah disebabkan calon kurang dikenali, kurang mesra rakyat, malah tidak dapat diterima pengundi.

 “Calon mesti meresap di jiwa rakyat, mesti orang kenal, mesti ada bukti mengenai keupayaan melaksanakan tanggungjawab kepimpinan. Itu amat penting,” katanya kepada Teganukita, baru-baru ini.

Beliau turut berharap Presiden Umno, Dato’ Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak memilih calon berdasarkan beberapa kriteria utama itu dengan tumpuan kepada mereka yang mempunyai ciri-ciri diterima khalayak termasuk dikenali, disukai dan memiliki kredibiliti sebagai pemimpin.

 Katanya, keputusan menetapkan calon di kalangan `kroni’ puak tertentu juga perlu dielakkan, tetapi jika ia perlu dilakukan di kalangan kroni, mereka perlulah `kroni rakyat’.

 “Tidak kisah jika mahu mengambil kroni sesiapa sahaja, walaupun calon itu kroni pemimpin utama, bagaimanapun, dia haruslah turut menjadi `kroni rakyat’. Maksud saya orang suka. Rakyat suka. Kalau pilih calon betul-betul yang rakyat suka, ada rekod, ada kebolehan, boleh menang. Saya jamin boleh menang.

“Calon berkenaan bukan sahaja yang mudah mendekati dan suka kepada rakyat, malah rakyat suka kepada dia,” katanya.

 Senator Dato’ Abdul Rahman berkata, kegagalan BN meletakkan calon pilihan rakyat mengakibatkan pembangkang walaupun sebuah parti yang lemah, tetap boleh menang kerusi yang dipertandingkan.

 Malah, sesiapa sahaja calon pilihan Pas termasuk Presiden parti itu sendiri, Dato’ Seri Haji Hadi Awang masih boleh ditumbangkan pada PRU13 jika BN berupaya meletakkan calon yang diterima rakyat Marang.

 

TATiUC dan Mie Universiti perkukuh hubungan

Oleh: Suriati Ali 


Kolej Universiti Tati (TATiUC) dan Mie Universiti Mie, Jepun terus menjalinkan hubungan baik bagi menjayakan program pertukaran pelajar untuk setiap sesi kemasukan pelajar akan datang.


Pengerusi Lembaga Pengarah TATIUC, YB Haji Ahmad Razif Abdul Rahman berkata, terbaru lima pelajar dan tenaga akademik Kolej Universiti Tati (TATiUC) bakal menyambung pengajian peringkat sarjana dan doktor falsafah secara percuma di Universiti Mie, Jepun.

YB Haji Ahmad Razif yang juga merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Sumber Manusia negeri, berkata persetujuan pembiayaan itu terkandung dalam perjanjian persefahaman (MoU) yang ditandatangani di Jepun pada 24 Mei lalu.

Kampus TATiUC di Terengganu.

Kampus MIE Universiti di Jepun.

“Pemeteraian perjanjian persefahaman adalah bagi jurusan kejuruteraan biosumber, inovasi dan kejuruteraan.

“Selain itu, menerusi MoU ini, kuota untuk program pertukaran pelajar selama enam bulan di university itu ditambah kepada lima orang, selain TATiUC turut menerima lima pelajar daripada Universiti Mie,” katanya. 

YB Haji Ahmad Razif berkata, sebelum ini, dua pertukaran pelajar sudah dilaksanakan dengan university itu melibatkan pertukaran sesi pertama melibatkan seorang pelajar pada tahun lalu diikuti dua pelajar pada sesi kedua.

 Katanya, seorang daripada pelajar berkenaan mendapat pembiayaan biasiswa dari Universiti Mie sendiri. 

“Menerusi MoU ini juga, empat profesor pelawat dari Universiti Mie juga akan ditempatkan di TATiUC pada setap tahun bagi membantu meningkatkan kualiti pendidikan di kolej universiti ini khususnya dalam bidang penyelidikan serta bidang lain sperti pembuatan, kimia, mekatronik serta sains computer dan teknologi maklumat.

 “Dengan itu diharap kerjasama bersama university dari matahari terbit itu akan membantu memperkasakan kualiti pendidikan di TATiUC khususnya dalam penyelidikan,” katanya.

 

TATiUC lancar Pelan Strategik 2012-2016

Dato' Haji Ahmad Razif ketika melancarkan buku Pelan Strategik TATiUC 2012-2016.

Kolej Universiti Tati (TATiUC) melancarkan Pelan Strategik TATiUC 2012-2016 yang menjadi hala tuju dan panduan untuk semua warga kerja kolej berkenaan merealisasikan hasrat menjadi sebuah universiti penuh menjelang 2016.

Pengerusi Lembaga Pengarah TATiUC, Dato’ Haji Ahmad Razif Abd Rahman berkata, pelan tersebut menggarap lapan strategi yang merangkumi pelbagai aspek diperlukan bagi institusi pengajian tinggi (IPT).

Katanya, strategi pertama bertujuan meningkatkan kecemerlangan insan agar kualiti pelajar ditingkatkan, melahirkan graduan yang memenuhi keperluan industri, melahirkan usahawan tekno yang kompeten di bidang terkini industri dan meningkatkan keupayaan serta kualiti pekerja.

“Strategi kedua adalah memantapkan aktiviti pengajaran dan pembelajaran supaya jumlah penuntut yang cemerlang akademik dapat ditingkatkan serta memastikan program akademik relevan dengan keperluan pasaran semasa kerana situasi kini menggambarkan sebahagian besar siswazah tidak dapat penuhi kehendak industri.

“Manakala memperkasakan inovasi melalui penyelidikan adalah strategi ketiga di mana penyelidikan sahaja tidak penting tetapi pembaharuan dalam penyelidikan itu yang paling mustahak,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas majlis pelancaran pelan itu yang diadakan serentak dengan majlis makan tengah hari sempena Majlis Konvokesyen Tatiuc Kali Keenam 2012 di Awana Kijal Golf, Beach & Spa Resort, Kijal, semalam.

Pelancaran pelan disempurnakan Canselor Tatiuc, Tan Sri Dato’ Ir (Dr) Wan Abdul Rahman Wan Yaacob. Hadir sama, Pemangku Rektor TATiUC, Dr Zunaidi Ibrahim dan penyelaras projek pelan itu merangkap Timbalan Rektor (Hal Ehwal Korporat dan Jaringan Industri TATiUC, Dato’ Zulkifli Mohamad.

Dato’ Haji Ahmad Razif berkata, strategi keempat pula adalah penjenamaan kerana hari ini banyak IPT wujud di negara ini.

“Sebagai sebuah IPT yang sudah lama wujud, TATiUC perlu membangun, meningkatkan imej korporat dan perlu menganjurkan aktiviti penjenamaan yang intensif serta ekstensif,” katanya.

Beliau berkata, budaya pengurusan yang cemerlang menjadi strategi kelima yang digubal dan ia perlu ditanam dalam diri setiap warga kerja Tatiuc kerana melalui amalan kerja cemerlang dapat melahirkan siswazah cemerlang.

 Katanya, pengurusan kewangan yang efisien dan efektif juga ditekankan agar sekurang-kurangnya pada 2016 nanti mereka dapat berdikari dan mempunyai sumber kewangan mencukupi sementara strategi ketujuh adalah menyediakan kemudahan serta infrastruktur yang kondusif.

 “Strategi terakhir adalah perkongsian pintar dan pengantarabangsaan sama ada dengan rangkaian institusi lain baik dari dalam negara mahupun luar negara. “Kini Tatiuc berjaya menjalankan perkongsian hingga ke peringkat global. Dengan strategi ini kita mahu meningkatkan jumlah penuntut antarabangsa dan mengantarabangsakan kepakaran pekerja akademik,” katanya.

 

Sultan Mizan berangkat ke majlis persandingan anak MB



Oleh: Kamarudin Mat Akib

Sultan Mizan Zainal Abidin berkenan berangkat ke majlis persandingan anak sulung Menteri Besar Terengganu yang diadakan penuh meriah di Taman Tamadun Islam, Kuala Terenganu, malam tadi.

Turut berangkat, Permaisuri Nur Zahirah dan Tengku Besar Terengganu serta orang-orang kenamaan. Hadir sama, Yang Dipertua Melaka, Tun Datuk Seri Utama Mohd Khalil Yaakob dan Ketua Menteri Melaka, Dato’ Seri Mohd Ali Mohd Rustam dan pembesar-pembesar negeri.

Majlis dimulakan kira-kira jam 8.30 malam dengan perarakan masuk kedua-dua mempelai, Nor Asdayana Dato’ Seri Haji Ahmad, 27, dan Mohd Hafiz Adnan, 24, ke dewan utama dan mereka bersanding di atas pelamin yang dihias indah.


Sultan Mizan Zainal Abidin dan Permaisuri Nur Zahirah, berkenan menyempurnakan acara merenjis air mawar dan diikuti oleh tetamu kehormat, termasuk ibu bapa pengantin perempuan, Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said dan isteri To’ Puan Seri Norliza Mahmud.

Puan Nor Asdayana dan suami diijabkabul di Kediaman Seri Iman pada sebelah malam 21 September. Kedua-dua pasangan itu mengikat tali pertunangan pada 15 Oktober tahun lalu.

Pada majlis ucapan selepas selesai majlis makan malam, Menteri Besar merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada baginda Sultan Mizan Zainal Abidin yang sudi mencemar duli bagi berangkat pada majlis itu.

Menteri Besar turut mendoakan agar kedua-dua mempelai dipanjangkan jodoh dan menjalani kehidupan berumahtangga dalam keadaan penuh harmoni. Baginda Sultan Mizan dan Permaisuri Nur Zahirah berangkat meninggalkan majlis kira-kira jam 10.30 malam.


10,000 anggota Rela dapat elaun RM1,200 sebulan


Ketua Pengarah Rela Datuk Mustafa Ibrahim menyampaikan hamper kepada seorang peneroka

Oleh: Mohammad Ishak 

Seramai 10,000 anggota Rela yang sebelum ini tidak mempunyai pekerjaan tetap kini menikmati pendapatan lebih baik apabila kerajaan memberi peluang mereka menyertai tugas rondaan bersama pasukan keselamatan lain termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Penyertaan anggota Rela dalam rondaan bersama itu memberi peluang mereka memperolehi elaun bulanan antara RM1,200 hingga RM1,500 sebulan dengan menyertai tugas meronda.

Ketua Pengarah Rela, Datuk Mustafa Ibrahim berkata, jika sebelum ini anggota Rela hanya mendapat bayaran antara RM10 dan RM20 ketika diminta menjalankan tugas di majlis perkahwinan dan program anjuran jabatan lain tetapi kini kehidupan mereka sudah berubah.

Katanya, tranformasi terhadap Rela yang dilaksanakan kerajaan menyebabkan anggota agensi itu turut berbubah dalam semua aspek selain mendapat elaun lebih tinggi serta tugas yang lebih mencabar.

Menurutnya,berikutan perkembangan itu kerajaan membelanjakan RM7.2 juta setahun untuk membayar elaun bertugas kepada anggota yang terbabit dalam tugasan yang diarahkan oleh jabatan berkenaan

“Malah semua anggota berkenaan juga turut diberi perlindungan insuran sehingga RM40,000 jika meninggal dunia ketika menjalankan tugas rasmi,” katanya ketika merasmikan Pusat Khidmat Komuniti Rela Felda Selasih, di sini semalam.

Hadir sama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jabi,Ramlan Ali dan Pengurus Besar Felda Wilayah Terengganu, Abdul Malik Rani dan Pengarah Rela Terengganu,Ahmad Wahab.

Beliau berkata, minat rakyat negara ini untuk menyertai Rela turut berubah apabila keanggotaan agensi itu kini mencapai dua juta anggota berbanding hanya seramai 530,000 pada 2008..

 Katanya, daripada jumlah itu terdapat 5,934 anggota adalah terdiri daripada peneroka Felda yang turut serta menyertai pasukan berkenaan.