Halaman

25 September 2012

Eratkan silaturrahim melalui Majlis Bacaan Yassin

Oleh: Mastura Jamaluddin

Yayasan Islam Terengganu dengan kerjasama Agensi Pembangunan Masyarakat Terengganu (APMT) DUN Kuala Berang mengadakan Majlis Bacaan Yassin Pelajar Kelas Al-Quran Dewasa di Masjid Kampung Butut, kelmarin, yang di hadiri hampir 300 orang penduduk tempatan.

Amalan ini bertujuan memupuk semangat keislaman dan silaturrahim antara guru-guru Al-Quran Yayasan Islam dengan pelajar dewasa mereka serta penduduk sekitar yang turut menyertainya.

Selain itu,majlis turut diselitkan dengan tazkirah serta ceramah agama yang bertujuan menambah kefahaman penduduk mengenai syariah Islam. Menurut Pegawai Yayasan Islam Daerah Hulu Terengganu, Encik Ariffin Mat Ali, ini adalah kali pertama mereka bekerjasama dengan APMT Dun Kuala Berang dan telah mendapat kejayaan dari semua aspek.

Mereka merancang untuk meneruskan program seperti ini dalam masa yang terdekat dengan tambahan pelbagai pengisian agenda untuk menarik lebih perhatian terutama golongan muda.

“Selain daripada untuk mengeratkan silaturrahim, kami mengadakan bacaan Yassin ini adalah untuk memohon keamanan serta kemenangan Barisan Nasional dalam PRU13 nanti kerana kami cintakan kedamaian yang ada sekarang dan tidak mahu apa yang berlaku di negara luar, terutama negara-negara Islam yang sedang bergolak sekarang, berlaku di Malaysia,” katanya ketika ditemui selepas majlis tersebut.

Majlis tersebut di rasmikan oleh Ahli Parlimen Hulu Terengganu, YB Haji Mohd Nor Othman yang turut berpesan kepada semua yang hadir supaya bersyukur dengan apa yang ada sekarang serta nikmat yang diperolehi selama Kerajaan Barisan Nasional memerintah.

Beliau dalam ucapannya turut berkias apabila berkata bahawa kita mesti mendengar kata kedua ibu bapa yang diibaratkan pemimpin kerana menderhaka kepada mereka ibarat kacang lupakan kulit serta tidak mengenang budi.


Kira-kira 1,000 warga pendidik hadir majlis makan malam bersama TPM

Kira-kira 1,000 warga pendidik dari seluruh negara dijangka hadir pada majlis makan malam bersama Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin, di Pusat Konvensyen Taman Tamadun Islam, malam ini.

Majlis makan malam bersama Tan Sri Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran diadakan sempena Konvensyen Pemantapan Profesionalisme PPD Peringkat Kebangsaan yang diadakan di Kuala Terengganu.


Semua Pegawai Pendidikan Daerah (PPD), pegawai kanan Kementerian Pendidikan dan Jabatan Pelajaran Negeri Terengganu, turut hadir pada majlis berkenaan.

Selain itu, semua pengetua dan guru besar di seluruh Terengganu turut dijemput bagi meraikan Tan Sri Muhyiddin yang dalam rangka lawatan kerja sehari ke Terengganu.


Tngkatkan amalan, jaga kesihatan ketika di Tanah Suci - YB Khazan

Oleh; Esah Abdullah



Tingkatkan amalan ketika berada di Tanah Suci dan jaga kesihatan dengan meminum banyak air itu pesanan yang dititipkan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Batu Rakit YB Haji Khazan Che Mat kepada bakal haji yang akan berlepas ke Mekah tahun ini.

 “Jemaah haji juga perlu mematuhi peraturan yang ditetapkan oleh Kerajaan Arab Saudi selain mengikuti perkembangan semasa mengenai pergerakan jemaah daripada agensi bertanggungjawab terutama Tabung Haji,”.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Penerangan negeri berkata demikian di majlis Ramah Mesra bersama 17 orang bakal haji dari Dun Batu Rakit, di Sutra Beach Resort, Batu Rakit.

Daripada jumlah tersebut enam orang merupakan Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) dan imam masjid yang menerima Anugerah Haji Kerajaan Pusat dan kerajaan negeri.

Katanya, mereka juga perlu menjaga tata susila dan displin diri sepanjang mengerjakan ibadah berkenaan di Makah dan Madinah.

Menurutnya, jemaah haji negara ini perlu merasa bangga kerana disebabkan hubungan baik antara kerajaan sedia ada membolehkan ramai rakyat dapat mengerjakan ibadah berkenaan pada setiap tahun,

 “Oleh itu jangan lakukan perkara yang boleh meretakkan hubungan baik dua hala antara kedua kerajaan dengan mematuhi segala peraturan yang ditetapkan sepanjang berada di Tanah Suci,” katanya.

 

Ingat dok lagi: Pas luluskan lesen Pajak Gadai Riba di Terengganu

Oleh: Ruslan Abdul Rahman- Pengarang Teganukita. 

Pas terlalu takut apabila Perdana Menteri menyebut “Janji Ditepati’ yang menjadi tema sambutan Hari Kebangsaan kali ini, sehingga hendak buat tema lain.

Ini kerana Pas memang terkenal dipimpin oleh pimpinan yang hanya pandai menyebut dan berjanji tentang kebaikan, Islamik dan sebagainya, tetapi bila diberi mandat dan kuasa tidak melaksanakannya atau dalam erti kata lain tidak menepati janjinya.

Sebagai contoh janji Pas Terengganu dalam manifesto pilihanraya umum ke 10 lalu, fasa 5.1 menyebut- memperkenalkan dasar kewangan Islam yang akan menyelamatkan rakyat dari kutukan dan penindasan riba. Fasa 5.2 Memastikan sumber hasil kerajaan bebas dari sebarang unsur haram (tender puluh-puluh ribu untuk pajak gadai riba tu tak sumber haram ke.?

Peruntukan RM10j bina tebatan banjir Sungai Buaya, Marang

Oleh: Aida Abd Rahman

 Kerajaan negeri memperuntukkan RM10 juta untuk membina sistem tebatan banjir di Sungai Buaya, Marang bagi mengelak berulangnya kejadian banjir melanda kampung sekitar Bukit Payong .

 Empat kampung terlibat ialah Batu 9, Pekan Bukit Bukit Payong, Padang Lebam dan Alor Lit, dijangka tidak lagi berdepan dengan masalah itu apabila projek berkenaan dijangka siap hujung tahun depan.

Pegawai Pembangunan Dewan Undangan Negeri Bukit Payong, Encik Zaidi Muda, berkata kerajaan negeri meluluskan projek bagi mendalam dan melebarkan sungai berkenaan sejak beberapa bulan lalu selepas menilai keperluan penduduk di kawasan terbabit yang memerlukan kaedah terbaik bagi mengelak masalah banjir terus menghimpit mereka.

 “Projek yang dijangka akan mengambil masa setahun sebelum dapat disiapkan itu kemungkinan bermula hujung tahun ini.

 “Prasarana itu kelak mampu mengelakkan empat kampung terlibat terus berdepan masalah banjir terutama apabila tiba musim tengkujuh di Pantai Timur,” katanya.

 Encik Zaidi berkata, masalah yang berlarutan sejak dua tahun lalu disebabkan sistem saliran yang terganggu selepas siapnya Pasar Borong Batu 9 beberapa tahun lalu.

 Katanya, pembinaan tebatan banjir berkenaan membuktikan kerajaan negeri sentiasa mengambil berat dengan penderitaan penduduk dan berusaha memastikan mereka mendapat perhatian dan kemudahan yang sepatutnya bagi menjalani kehidupan dengan selesa.

 

Taman panorama dibuka tahun depan sempena TMT

Oleh; Esah Abdullah

Taman Panorama di Bukit Pak Apil Kuala Terengganu akan dibuka sepenuhnya tahun depan sempena Tahun Melawat Terengganu (TMT).

Datuk Bandar, Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT), Dato’ Haji Adzlan Mohd Dagang berkata, pihaknya kini sedang meneliti kemampuan beberapa syarikat yang memohon tender bagi mengurus kemudahan di taman berkenaan.

“Kita ingin melihat dulu apa kemudahan yang boleh ditawarkan bagi lokasi pelancongan terbaru daerah Kuala Terengganu itu,” katanya.

Menurutnya, kewibawaan dan keupayaan syarikat pengendali adalah diutamakan memandangkan taman ini bakal menjadi daya tarikan kedatangan pelancong ke negeri ini.

 “Kelebihan utama Taman Panorama ialah pengunjung boleh melihat sebagaian besar bandar Kuala Terengganu sepertimana KL Tower dan tarikan lain seperti Taman Orkid dan kemudahan rekreasi lain,” katanya.

Katanya, pihaknya bercadang menyerahkan pengurusan keseluruhan lokasi yang dilengkapi kemudahan dan prasarana moden termasuk pusat rekreasi, laluan penjalan kaki, pondok rehat, dan menara tinjau kepada syarikat pengendali yang terpilih.

Pembangunan fasa pertama taman berkenaan membabitkan peruntukan RM7.5 juta dilaksanakan Kementerian Pelancongan dan Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Warisan .

Antara kemudahan yang turut ditawarkan di situ ialah sebuah kafe yang mampu menampung 200 pengunjung pada satu-satu masa.

 

Anwar guna jet esksekutif milik syarikat asing

Sudah terbukti sekarang bahawa pesawat yang digunakan Ketua Pembangkang, Dato’ Seri Anwar Ibrahim, bagi jelajah pembangkang di Sabah, 16 September lalu, milik sebuah syarikat asing.

Berita terkini seperti yang dilaporkan Berita Harian hari ini, mengukuhkan lagi dakwaan sebelum ini bahawa terdapat syarikat asing yang menyalurkan dana kepada Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) propembangkang di negara ini, atas niat jahat mahu menjatuhkan kerajaan sedia ada.

Berita Harian melaporkan pesawat Dassault Falcon yang digunakan Penasihat PKR itu didaftarkan di Amerika Syarikat di mana maklumat sumber industri mendedahkan jet eksekutif 12 tempat duduk itu didaftarkan atas nama sebuah bank yang berpangkalan di Salt Lake City, Utah.

Intistusi berkenaan dikatakan membiayai pembelian pesawat tersebut, tetapi identiti sebenar pemiliknya tidak dinyatakan dalam sijil pendaftaran.

Beberapa lama blog sebelum ini mendedahkan Ketua Pembangkang itu berbelanja mewah, termasuk menggunakan pesawat peribadi yang didakwa milik seorang kenalannya, ketika kempen jelajah di Labuan dan Kota Kinabalu, September lalu.

Beliau juga didakwa memiliki kekayaan melampau dengan nilai simpanan luar biasa dalam banyak akaun bank yang di bawah kawalannya.

Itulah gambaran ketua pembangkang yang dikatakan sanggup melakukan apa saja bagi merealisasikan hasrat untuk ‘menawan’ Putrajaya pada Pilihan Raya Umum Ke-13 nanti.

Mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad sering mengutarakan kebimbangan beliau mengenai penglibatan Anwar dengan beberapa tokoh asing yang berniat jahat terhadap kerajaan Malaysia.

Beliau bimbang jika rakyat negara ini terus memberi sokongan kepada Anwar, pihak asing akan menjatuhkan kerajaan dan menaikkan Anwar dan konco-konconya untuk memerintah negara.

Justeru itu, kita sebagai rakyat yang masih berfikiran waras perlu bertindak segera bagi memastikan Anwar dan pemimpin Pakatan Rakyat tidak akan diberi tempat dalam membentuk kerajaan selepas PRU 13.


24 September 2012

iHeal sambut Hari Jantung Sedunia


Oleh ZULKIPLI PUTRA
Bertemakan 'One World, One Home, One Heart', warga Pusat Perubatan i-Heal, Kuala Lumpur menyambut Hari Jantung Sedunia bagi mengingatkan orang ramai betapa pentingnya menjaga kesihatan jantung. Pelbagai acara diadakan sepanjang sehari program disambut bermula jam 10 pagi hingga jam 4 petang itu, kelmarin (23 September).
Pengarah Pusat Perubatan i-Heal yang juga pakar bedah jantung, Dr David Khoo Sin Keat (duduk tengah) bersama warga kerja ketika menyambut Hari Jantung Sedunia di Mid Valley, Kuala Lumpur.






Redang destinasi akhir 130 peserta luar negara Program Malaysia Tourism Hunt 2012

Oleh: Aida Abd Rahman dan Nur Syarifatul Zahidah Mukhtar (Pelatih)

Pulau Redang menjadi destinasi akhir pengembaraan enam hari yang ditempuhi 130 peserta `Program Malaysia Tourism Hunt 2012' selepas memulakan aktiviti itu dari Putrajaya sejak 20 September lalu.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, kebudayaan, Kesenian dan Warisan negeri, Dato’ Abdul Rahin Mohd Said, program yang turut memilih pusat peranginan terkenal di Terengganu itu memberi impak yang baik dalam usaha menarik lebih ramai pengunjung ke negeri ini sempena Tahun Melawat Terengganu (TMT) 2013.

 “Saya menyambut baik program ini apatah lagi kita sedang membuat persiapan untuk Tahun Melawat Terengganu 2013.

“Kita meraikan kunjungan peserta ini dengan menjamu mereka malam ini sebelum mereka betolak pada pagi esok (25 September) ke Pulau Redang dan akan menikmati keindahan Pulau Redang.Malah, mereka juga akan mengadakan aktiviti di pulau seperti pertandingan mengambil gambar dalam air dan pelbagai aktiviti lagi yang menarik,” katanya ketika sidang akhbar sempena Majlis Makan Malam Bersama peserta Program Malaysia Tourism Hunt 2012, di Hotel Primula Beach Resort, Kuala Terengganu, malam semalam.

Dato’ Abdul Rahin berkata, kesemua peserta bertolak dari Putrajaya menuju ke Fraser Hill, Raub dan ke Gambang Resort, Pahang sebelum meneruskan pengembaraan ke Kemaman.

“Di Kemaman, mereka diajar untuk membuat satar bersama-sama pengusaha satar, sejenis makanan tradisional Terengganu dan seterusnya ke Pantai Kemasik serta ke Awana Kijal, selain ke Noor Arfa Batik untuk bersama-sama melihat demonstrasi pembuatan kraf dan mencating batik,” katanya.

Majlis pelepasan peserta disempurnakan oleh Menteri Pelancongan, Dato’ Sri Ng Yen Yen bersama-sama Presiden Perbadanan Putrajaya, Tan Sri Dato’ Seri (Dr.) Aseh Che Mat, di Putrajaya pada 21 September lalu.

Program berkenaan disertai 130 peserta yang terdiri daripada 40 wakil media tempatan, 45 wakil media asing dari Negara Asean dan pasaran antarabangsa yang melibatkan sembilan negara. Malah 20 wakil penggiat industri pelancongan dan 97 peserta turut menyertai program itu.

 

TSG kuasai GP Kebangsaan Sarawak

Oleh: Aida Abd Rahman

Pasukan Terengganu Pro-Asia Cycling Team (TSG) mengungguli Kejohanan Lumba Basikal GP Kebangsaan Sirkit 3 Sarawak 2012 bagi kategori lebuh raya lelaki elit menerusi dua pelumbanya pada perlumbaan sejauh 184 kilometer di Politeknik Kuching semalam.

Kedua-dua sandaran TSG itu , Mohd Saiful Anuar Aziz dan Mohd Nur Umardi Rosdi yang masing-masing muncul juara dan naib juara menguasai seawal perlumbaan menewaskan pesaing mereka, Heksa Priya Prasatya dari pasukan Custom Cycling yang hanya mampu menduduki tempat ketiga.

Terdahulu dalam acara ujian masa perseorangan lelaki pada hari pertama kejohanan (Sabtu lalu), naib juara elit (Umardi) muncul juara dengan mencatat masa 45: 23.944 saat menewaskan dua pelumba ternama, Muhammad Fauzan Ahmad Lufti dan Ng Yong Li.

Selepas mendominasi acara ujian masa individu (ITT) kelmarin, TSG yang kini dianggap kelab benua terkuat di Asia menampilkan seorang lagi pelumba berbeza iaitu Mohd. Saiful Anuar untuk meneruskan penguasaan dalam acara lebuh raya.

Paling menarik, Mohd. Saiful Anuar semalam melakukan pemecahan solo tatkala perlumbaan berbaki tiga kilometer untuk meninggalkan rakan sepasukan, Mohd. Nor Umardi dan pelumba pasukan Customs Cycling Team dari Indonesia, Heksa Priya Prasatya untuk menang dengan catatan masa 4 jam 51 minit 20 saat dengan purata kelajuan 37.83 kilometer sejam.

Pelumba elit itu meninggalkan dua pesaing terdekat dengan kelebihan 3:07s sekali gus memastikan TSG kekal selaku kuasa sukan berbasikal di Malaysia ketika ini.

"Saya terpaksa mengambil keputusan untuk keluar pada tiga kilometer terakhir. Saya lihat rakan sepasukan (Mohd. Nor Umardi) dan seorang pelumba Indonesia serta Muhammad Rauf (Nur Misbah) tetap memberi saingan getir kepada saya.

"Namun saya rasa, saya boleh melakukan pemecahan solo dan meminta pertolongan rakan sepasukan untuk mengawal pergerakan pesaing lain. Akhirnya kami berjaya memastikan TSG menang perlumbaan ini," katanya.

Bagi acara elit wanita sejauh 115 kilometer pula menyaksikan Jupha Somnet menggunakan sepenuhnya kepakaran selaku jaguh trek apabila menewaskan dua pelumba lain dari Terengganu dan Kedah, Nur Suhada Zainal serta Masziyaton Mohd. Radzi.

Semua pelumba tersebut merakam masa 3:30.40s tetapi Masziyaton masih mampu mengekalkan jersi merah jambu selaku pendahulu kutipan mata elit wanita GP Kebangsaan 2012 sehingga ke pusingan seterusnya di Lumut pada awal November nanti.

Pelumba junior Terengganu turut membuktikan betapa mereka kekal kuasa dominan tunggal di Malaysia  ketika ini apabila Mohd. Iskandar Fitri Ahmad Sabti melakukan tindakan bijak dengan memecut lebih awal pada garisan 200 meter ke penamat sekali gus mengenepikan pencabar dari Selangor, Muhammad Imran Mohd. Zubir.

Mohd. Iskandar Fitri merakam masa 2:35.29s untuk mencicirkan Muhammad Imran dengan kelebihan satu saat manakala seorang lagi pelumba Terengganu, Abdul Arif Abdul Rahman menduduki tempat ketiga dengan perbezaan masa 1:34s.