Halaman

25 September 2012

Berubahlah demi masa depan-MB

Oleh; Esah Abdullah
Gambar oleh ZULKIPLI PUTRA


Menteri Besar, Dato' Seri Haji Ahmad Said.
Menteri Besar Dato’ Seri Haji Ahmad Said tidak pernah jemu mengharap agar masyarakat di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Wakaf Mempelam berubah dan memilih Barisan Nasional (BN) untuk kesinambungan masa depan yang lebih cemerlang.

 “Kita dah beri macam-macam bantuan kepada penduduk di DUN ini dan kita tidak minta balasan apa-apa kecuali satu undi bila tiba pilihanraya,” katanya di majlis Sepetang bersama Timbalan Perdana Menteri di DUN Wakaf Mempelam yang diadakan di Sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Ahmad, Kuala Terengganu petang ini.

Rakyat Dun Wakaf Mempelam boleh impikan pembangunan yang lebih hebat di kawasan mereka sekiranya memilih BN dikuatkan lagi dengan kehadiran orang kuat nombor dua BN, Tan Sri Muhyiddin Yassin ke kawasan mereka, petang tadi.

Katanya, sebagai tanda komitmen besar kerajaan BN, seorang Pegawai Pembangunan DUN dilantik bagi menjaga kebajikan penduduk yang secara terang-terangan tidak mendapat pembelaan daripada wakil rakyat Pas di kawasan itu.

 “Dalam keadaan BN kalah di DUN ini pun macam-macam dah kita beri , kalau menang akan lebih banyak pembangunan lagi kita beri,” katanya.



Katanya, jika BN menang di DUN ini, 1,000 unit rumah mampu milik akan dibina untuk masyarakat dalam DUN Wakaf Mempelam dan tapaknya telah ada.

“Kerajaan BN tidak pernah menipu, apa yang kita janji akan kita tunaikan namun semua itu bergantung kepada penduduk di sini sama ada ingin berubah atau tidak,”.

 “Setelah lebih 30 tahun dijajah oleh Pas, saya harap dalam Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang, rakyat dalam DUN Wakaf Mempelam tukar wakil rakyat Pas kepada BN untuk nikmati lebih banyak pembangunan,” katanya.

 

Majlis Veteran UMNO Besut mahu BN kekal memerintah

Oleh: Mohammad Ishak



Bagi menjamin Barisan Nasional (BN) kekal memerintah di Negeri Terengganu pada Pilihan Raya Umum Ke 13 (PRU13),pucuk pimpinan parti khususnnya UMNO digesa mengambil tindakan segera mencegah ahli parti daripada menyeleweng atau sabotaj calon yang dipilih pucuk pimpinan.

 Perkara itu diputuskan pada persidangan tahunan Majlis Veteran UMNO Bahagian Besut Kali Ke 6 yang berlangsung di Dewan Ehsan UMNO Bahagian Besut, semalam. Pengerusinya, Yusoff Kasim berkata, pencegahan awal perlu dilakukan pucuk pimpinan parti bagi mempastikan tidak ada mana-mana individu bertindak menikam daripada belakang terhadap keputusan yang dibuat oleh parti.

 Katanya, perkara itu adalah antara beberapa usul politik yang diluluskan sebulat suara pada persidangan yang dirasmikan oleh Penasihat Agama Perdana Menteri,Datuk Seri Dr Abdullah Md Zin yang juga Ahli Parlimen Besut.

 Persidangan itu dihadiri 200 ahli veteran juga mahu lebih banyak kegiatan berunsur politik dilakukan sekarang untuk menarik minat pengundi menyokong kerajaan.

 Yusoff berkata, ahli majlis itu juga berikhrar untuk sama-sama menyokong mana-mana calon yang dipilih bertanding bagi mempastikan BN terus kekal memerintah negeri dan negara selepas pilihan raya akan datang.

 Berucap pada majlis itu Dato’ Seri Dr Abdullah berkata, peranan yang dilakukan oleh veteran UMNO tidak boleh diperkecilkan kerana mereka mempunyai pangalaman luas dalam politik dan pernah berhadapan dalam beberapa pilihan raya umum. Katanya,walaupun sudah dianggap veteran tetapi sebahagian besar ahli UMNO masih terus bersemangat dan tiada istilah bersara dalam politik sebaliknya tetap bersama untuk membina parti terus cemerlang.



UMT jalin kerjasama antara JMG

Oleh: Suriati Ali dan Nur Syarifatul Zahidah Mukhtar 

 Universiti Malaysia Terengganu (UMT) berazam memperkukuhkan lagi program pertukaran penyelidikan dan perkongsian maklumat antara pelbagai pihak sebagai langkah menjayakan agenda secara lebih berkesan.

 Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MOU) UMT dengan Jabatan Mineral dan Geosains (JMG), yang diadakan di universiti itu hari ini, antara langkah terbaru..

Mou disempurnakan Naib Canselor UMT Prof. Dato’ Dr. Ibrahim Komoo mewakili UMT manakala Ketua Pengarah YB. Dato’ Yunus bin Abdul Razak sebagai wakil JMG.

Prof. Dato’ Dr. Ibrahim, pendekatan itu cukup penting bagi kedua-dua pihak berikutan mampu memberi pelbagai manfaat positif, termasuk berupaya menguatkan lagi jaringan kerja.

“Selain itu,, penyelidikan bersama dalam bidang seperti geologi, geofizik, proses pantai, oseanografi fizikal, kimia, biologi dan pelbagai bidang lain dapat dikenalpasti dan dilaksanakan dengan lebih berkesan.

“Kita juga mampu mempromosikan bidang geologi marin, oseanografi kepada masyarakat melalui program yang dilaksanakan secara bersama,” katanya.

 Katanya, keadaan ini membuka peluang lebih banyak penyelidikan dapat dijalankan di Laut China Selatan oleh para penyelidik dan pelajar UMT.

 “Tanpa pengetahuan yang mendalam dan menyeluruh berkenaan ekosistem marin, isu kelesterian tidak dapat ditangani dengan berkesan,” katanya. “Melalui slogan ‘terokaan seluas lautan’ UMT berhasrat untuk membantu kerajaan ke arah pengurusan sumber lautan yang mampan,” katanya.

 

Kuasa sukan, dorong Dato’ Wan Hisham terpilih

  Oleh: Suriati Ali dan Nur Syarifatul Zahidah Mukhtar (Pelatih)

Dato' Wan Hisham
Kejayaan Terengganu muncul sebagai kuasa sukan negara serta pelbagai kejayaan yang diraih di bidang itu menjadi antara faktor utama wakil negeri ini dipilih sebagai pegawai tinggi Kesatuan Olahraga Amatur Malaysia (KOAM), kelmarin.

Bekas Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Infrastruktur, Kemudahan Awam Negeri Dato’ Wan Hisham Wan Salleh menang dengan majoriti selesa merampas jawatan Timbalan Presiden Kesatuan Olahraga Amatur Malaysia (KOAM) di tangan penyandangnya, Datuk Karim Ibrahim pada pemilihan pucuk kepimpinan baru badan induk olahraga negara bagi penggal 2013-2015.

Presiden Persatuan Olahraga Amatur Terengganu (POAT) itu memperolehi 25 undi, sementara Datuk Karim memperoleh 19 undi pada pemilihan yang diadakan bersempena mesyuarat agung tahunan (AGM) ke-10 di Dewan Komanwel, Majlis Sukan Negara (MSN), Bukit Jalil, kelmarin (23 September).

 Timbalan Presiden KOAM, Dato’ Wan Hisham Wan Salleh, mengakui beliau mendapat sokongan daripada pegawai-pegawai sukan dari negeri lain kerana kedudukan Terengganu sebagai kuasa sukan negara serta kemajuan mendadak yang dicapai negeri ini sejak kebelakangan ini.

 “Kejayaan paling membanggakan apabila Terengganu mengekalkan kejuaraan Sukma buat kali keempat berturut-turut pada temasya ke-15 bulan lalu, di Kuantan, Pahang,” katanya ketika ditemui di pejabatnya, hari ini.

 Beliau berazam akan melaksanakan tugas dan tanggungjawab itu sebaik mungkin dengan mencipta pelbagai kejayaan di peringkat antarabagsa, sekaligus mampu mengharumkan nama Malaysia.

 

Eratkan silaturrahim melalui Majlis Bacaan Yassin

Oleh: Mastura Jamaluddin

Yayasan Islam Terengganu dengan kerjasama Agensi Pembangunan Masyarakat Terengganu (APMT) DUN Kuala Berang mengadakan Majlis Bacaan Yassin Pelajar Kelas Al-Quran Dewasa di Masjid Kampung Butut, kelmarin, yang di hadiri hampir 300 orang penduduk tempatan.

Amalan ini bertujuan memupuk semangat keislaman dan silaturrahim antara guru-guru Al-Quran Yayasan Islam dengan pelajar dewasa mereka serta penduduk sekitar yang turut menyertainya.

Selain itu,majlis turut diselitkan dengan tazkirah serta ceramah agama yang bertujuan menambah kefahaman penduduk mengenai syariah Islam. Menurut Pegawai Yayasan Islam Daerah Hulu Terengganu, Encik Ariffin Mat Ali, ini adalah kali pertama mereka bekerjasama dengan APMT Dun Kuala Berang dan telah mendapat kejayaan dari semua aspek.

Mereka merancang untuk meneruskan program seperti ini dalam masa yang terdekat dengan tambahan pelbagai pengisian agenda untuk menarik lebih perhatian terutama golongan muda.

“Selain daripada untuk mengeratkan silaturrahim, kami mengadakan bacaan Yassin ini adalah untuk memohon keamanan serta kemenangan Barisan Nasional dalam PRU13 nanti kerana kami cintakan kedamaian yang ada sekarang dan tidak mahu apa yang berlaku di negara luar, terutama negara-negara Islam yang sedang bergolak sekarang, berlaku di Malaysia,” katanya ketika ditemui selepas majlis tersebut.

Majlis tersebut di rasmikan oleh Ahli Parlimen Hulu Terengganu, YB Haji Mohd Nor Othman yang turut berpesan kepada semua yang hadir supaya bersyukur dengan apa yang ada sekarang serta nikmat yang diperolehi selama Kerajaan Barisan Nasional memerintah.

Beliau dalam ucapannya turut berkias apabila berkata bahawa kita mesti mendengar kata kedua ibu bapa yang diibaratkan pemimpin kerana menderhaka kepada mereka ibarat kacang lupakan kulit serta tidak mengenang budi.


Kira-kira 1,000 warga pendidik hadir majlis makan malam bersama TPM

Kira-kira 1,000 warga pendidik dari seluruh negara dijangka hadir pada majlis makan malam bersama Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin, di Pusat Konvensyen Taman Tamadun Islam, malam ini.

Majlis makan malam bersama Tan Sri Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran diadakan sempena Konvensyen Pemantapan Profesionalisme PPD Peringkat Kebangsaan yang diadakan di Kuala Terengganu.


Semua Pegawai Pendidikan Daerah (PPD), pegawai kanan Kementerian Pendidikan dan Jabatan Pelajaran Negeri Terengganu, turut hadir pada majlis berkenaan.

Selain itu, semua pengetua dan guru besar di seluruh Terengganu turut dijemput bagi meraikan Tan Sri Muhyiddin yang dalam rangka lawatan kerja sehari ke Terengganu.


Tngkatkan amalan, jaga kesihatan ketika di Tanah Suci - YB Khazan

Oleh; Esah Abdullah



Tingkatkan amalan ketika berada di Tanah Suci dan jaga kesihatan dengan meminum banyak air itu pesanan yang dititipkan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Batu Rakit YB Haji Khazan Che Mat kepada bakal haji yang akan berlepas ke Mekah tahun ini.

 “Jemaah haji juga perlu mematuhi peraturan yang ditetapkan oleh Kerajaan Arab Saudi selain mengikuti perkembangan semasa mengenai pergerakan jemaah daripada agensi bertanggungjawab terutama Tabung Haji,”.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Penerangan negeri berkata demikian di majlis Ramah Mesra bersama 17 orang bakal haji dari Dun Batu Rakit, di Sutra Beach Resort, Batu Rakit.

Daripada jumlah tersebut enam orang merupakan Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) dan imam masjid yang menerima Anugerah Haji Kerajaan Pusat dan kerajaan negeri.

Katanya, mereka juga perlu menjaga tata susila dan displin diri sepanjang mengerjakan ibadah berkenaan di Makah dan Madinah.

Menurutnya, jemaah haji negara ini perlu merasa bangga kerana disebabkan hubungan baik antara kerajaan sedia ada membolehkan ramai rakyat dapat mengerjakan ibadah berkenaan pada setiap tahun,

 “Oleh itu jangan lakukan perkara yang boleh meretakkan hubungan baik dua hala antara kedua kerajaan dengan mematuhi segala peraturan yang ditetapkan sepanjang berada di Tanah Suci,” katanya.

 

Ingat dok lagi: Pas luluskan lesen Pajak Gadai Riba di Terengganu

Oleh: Ruslan Abdul Rahman- Pengarang Teganukita. 

Pas terlalu takut apabila Perdana Menteri menyebut “Janji Ditepati’ yang menjadi tema sambutan Hari Kebangsaan kali ini, sehingga hendak buat tema lain.

Ini kerana Pas memang terkenal dipimpin oleh pimpinan yang hanya pandai menyebut dan berjanji tentang kebaikan, Islamik dan sebagainya, tetapi bila diberi mandat dan kuasa tidak melaksanakannya atau dalam erti kata lain tidak menepati janjinya.

Sebagai contoh janji Pas Terengganu dalam manifesto pilihanraya umum ke 10 lalu, fasa 5.1 menyebut- memperkenalkan dasar kewangan Islam yang akan menyelamatkan rakyat dari kutukan dan penindasan riba. Fasa 5.2 Memastikan sumber hasil kerajaan bebas dari sebarang unsur haram (tender puluh-puluh ribu untuk pajak gadai riba tu tak sumber haram ke.?

Peruntukan RM10j bina tebatan banjir Sungai Buaya, Marang

Oleh: Aida Abd Rahman

 Kerajaan negeri memperuntukkan RM10 juta untuk membina sistem tebatan banjir di Sungai Buaya, Marang bagi mengelak berulangnya kejadian banjir melanda kampung sekitar Bukit Payong .

 Empat kampung terlibat ialah Batu 9, Pekan Bukit Bukit Payong, Padang Lebam dan Alor Lit, dijangka tidak lagi berdepan dengan masalah itu apabila projek berkenaan dijangka siap hujung tahun depan.

Pegawai Pembangunan Dewan Undangan Negeri Bukit Payong, Encik Zaidi Muda, berkata kerajaan negeri meluluskan projek bagi mendalam dan melebarkan sungai berkenaan sejak beberapa bulan lalu selepas menilai keperluan penduduk di kawasan terbabit yang memerlukan kaedah terbaik bagi mengelak masalah banjir terus menghimpit mereka.

 “Projek yang dijangka akan mengambil masa setahun sebelum dapat disiapkan itu kemungkinan bermula hujung tahun ini.

 “Prasarana itu kelak mampu mengelakkan empat kampung terlibat terus berdepan masalah banjir terutama apabila tiba musim tengkujuh di Pantai Timur,” katanya.

 Encik Zaidi berkata, masalah yang berlarutan sejak dua tahun lalu disebabkan sistem saliran yang terganggu selepas siapnya Pasar Borong Batu 9 beberapa tahun lalu.

 Katanya, pembinaan tebatan banjir berkenaan membuktikan kerajaan negeri sentiasa mengambil berat dengan penderitaan penduduk dan berusaha memastikan mereka mendapat perhatian dan kemudahan yang sepatutnya bagi menjalani kehidupan dengan selesa.

 

Taman panorama dibuka tahun depan sempena TMT

Oleh; Esah Abdullah

Taman Panorama di Bukit Pak Apil Kuala Terengganu akan dibuka sepenuhnya tahun depan sempena Tahun Melawat Terengganu (TMT).

Datuk Bandar, Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT), Dato’ Haji Adzlan Mohd Dagang berkata, pihaknya kini sedang meneliti kemampuan beberapa syarikat yang memohon tender bagi mengurus kemudahan di taman berkenaan.

“Kita ingin melihat dulu apa kemudahan yang boleh ditawarkan bagi lokasi pelancongan terbaru daerah Kuala Terengganu itu,” katanya.

Menurutnya, kewibawaan dan keupayaan syarikat pengendali adalah diutamakan memandangkan taman ini bakal menjadi daya tarikan kedatangan pelancong ke negeri ini.

 “Kelebihan utama Taman Panorama ialah pengunjung boleh melihat sebagaian besar bandar Kuala Terengganu sepertimana KL Tower dan tarikan lain seperti Taman Orkid dan kemudahan rekreasi lain,” katanya.

Katanya, pihaknya bercadang menyerahkan pengurusan keseluruhan lokasi yang dilengkapi kemudahan dan prasarana moden termasuk pusat rekreasi, laluan penjalan kaki, pondok rehat, dan menara tinjau kepada syarikat pengendali yang terpilih.

Pembangunan fasa pertama taman berkenaan membabitkan peruntukan RM7.5 juta dilaksanakan Kementerian Pelancongan dan Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Warisan .

Antara kemudahan yang turut ditawarkan di situ ialah sebuah kafe yang mampu menampung 200 pengunjung pada satu-satu masa.