Halaman

30 September 2012

18,000 penjawat awam di Terengganu diberi bonus sebulan setengah

BERITA BAIK BAGI PENJAWAT AWAM DI TERENGGANU.

Kerajaan negeri akan mengikut langkah Kerajaan Pusat dengan membayar bonus sebulan setengah gaji kepada kira-kira 18,000 penjawat awam, termasuk badan berkanun dan pihak berkuasa tempatan (PBT) di negeri ini.

Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Said (gambar kecil) ketika mengesahkan perkara itu berkata, bagi tujuan itu, sejumlah peruntukan disediakan untuk diagihkan kepada semua penjawat awam.

“Kita akan ikut Kerajaan Pusat (bayar bonus), kita beri bonus sebulan setengah gaji seperti yang dibuat Kerajaan Pusat,” katanya. Bayaran bonus itu akan dibuat dua kali iaitu setengah bulan pada Disember ini manakala selebihnya pada Januari depan.

Sebelum ini, penjawat awam telah dibayar bonus setengah bulan gaji sebelum perayaan Aidilfitri bulan lalu.




MB anggap Bajet 2013 terbaik dan bertanggungjawab

Oleh: Suriati Ali 
Gambar oleh ZULKIPLI PUTRA

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said (gambar kecil) menyifatkan Bajet 2013 adalah yang terbaik dan bertanggungjawab kerana mengambil kira keperluan semua masyarakat.

Katanya, kerajaan Terengganu akan mengikut langkah Kerajaan Pusat untuk membayar bonus sebulan setengah gaji kepada kira-kira 18,000 penjawat awam termasuk badan berkanun dan pihak berkuasa tempatan (PBT) di negeri ini.

“Bagi tujuan itu, kita menyediakan sejumlah peruntukan untuk diagihkan kepada seluruh kakitangan kerajaan di negeri ini.

"Kita akan ikut Kerajaan Pusat (bayar bonus), kita beri bonus sebulan setengah gaji seperti yang dibuat Kerajaan Pusat," katanya.

Beliau menyatakan perkara itu kepada pemberita selepas majlis penyampaian hadiah kepada pemenang Larian Jambatan Sultan Mahmud di Dataran Bangau, Batu Burok, Kuala Terengganu, semalam yang disempurnakan oleh Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin.

Bayaran bonus sebulan setengah gaji kepada penjawat awam itu akan dibuat dua kali iaitu setengah bulan pada Disember ini manakala selebihnya pada Januari depan.


Sementara setengah bulan lagi telah dibayar sebelum perayaan Aidilfitri tempoh hari. Dato’ Seri Haji Ahmad seterusnya berharap rakyat negeri ini termasuk penjawat awam sentiasa berterima kasih atas keprihatinan kerajaan menyalurkan pelbagai bentuk bantuan seperti bayaran bonus, Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M), dana hari perayaan dan sebagainya.

 Menurutnya, jika rakyat mengekalkan pemerintahan kerajaan Barisan Nasional (BN), segala bantuan itu akan diteruskan dan mereka tidak akan menikmati peluang seumpama itu sekiranya memilih pembangkang untuk berkuasa.

"Apa yang penting BN terus memerintah Terengganu dan bantuan seperti BR1M, wang ihsan dan dana raya untuk rakyat dapat diteruskan untuk kesejahteraan rakyat," katanya.

 Beliau berharap agar segenap lapisan masyarakat terutama kakitangan kerajaan berpuas hati dengan pelbagai insentif kerajaan dalam bajet tersebut yang kesemuanya untuk kesejahteraan mereka.

"Bajet yang dibentangkan Perdana Menteri, kelmarin menunjukkan kerajaan telah mengubah prinsipnya untuk dinikmati rakyat dan kakitangan kerajaan juga perlu bekerja lebih keras lagi," katanya.

 

Bingkisan istimewa madu lebah dari 27 negara

Bingkisan istimewa dipersembahkan kepada Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin berupa madu daripada 27 negara. - Gambar oleh ZULKIPLI PUTRA.

Oleh: Aida Abd Rahman

Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin yang berkenan berangkat melancarkan Perasmian Persidangan Persatuan Perlebahan SeAsia (AAA) & Apiekspo 2012 kali ke-11, menerima bingkisan istimewa daripada 27 negara yang menyertai program itu, di Dataran Awam Batu Buruk, Kuala Terengganu, baru-baru ini.

 Baginda kelihatan ceria dan sempat memegang beberapa botol madu sebaik empat petugas membawakan bakul dihias indah berisi pelbagai jenis reka bentuk bekas berisi madu daripada negara Asia dan juga seluruh dunia termasuk Venezuela, Kanada, United Kingdom, Czechoslovakia, China, Jepun, Thailand dan Filipina.


Turut mengiringi baginda, Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Asas Tani negeri, Haji Asha’ari Idris; Pengerusi AAA, Profesor Siriwat Wongsiri dan Naib Pengerusinya, Dato’ Dr Makhdzir Mardan.

Cenderahati istimewa itu sebagai simbolik usaha baginda yang turut menyokong serta menggerakkan kemajuan dan pembangunan industri itu di Terengganu menerusi Yayasan Diraja Sultan Mizan (YDSM).


Sejurus kemudian, baginda bersama tetamu kehormat yang lain melawat ekspo yang menempatkan 32 ruang pameran dan jualan pelbagai jenis madu.

 Terengganu yang mewakili Malaysia menewaskan tiga lagi negara India, Vietnam dan Jepun untuk penganjuran kali ini, sementara penganjuran dua tahun lalu dijalankan di Korea Selatan.


Sebanyak 27 negara seperti Australia, Kemboja, Cameroon, Kanada, China, Mesir, Jerman, India, Indonesia, Iran, Jepun, Libya, United Kingdom, Venezuela dan Singapura menyertai persidangan enam hari yang bermula 28 September lalu.

Persidangan merangkumi ekspo dan bengkel turut membincangkan mengenai jenis, teknik pengeluaran, kajian bagi perubatan, kesihata, komestik serta hala tuju industri madu dunia, selain usaha bagi membangunkan industri lebah negeri bagi kemajuan ekonomi, warisan mahu pun pelancongan negeri.

 

Sultan Mizan berangkat ke Istiadat Perbarisan dan Tembak Hormat

Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin berkenan memeriksa barisan rejimen Askar Melayu Diraja. - Gambar oleh ZULKIPLI PUTRA.
Sultan Mizan Zainal Abidin berkenan berangkat pada majlis Istiadat Perbarisan dan Tembak Hormat sempena Sambutan Hari Keputeraan ke-50 baginda, di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu, pagi ini.

Keberangkatan tiba baginda yang diringi Sultanah Nur Zahirah, disambut Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said; Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Haji Mazlan Ngah dan para pembesar negeri.

Sultan MIzan Zainal Abidin melambai tangan ke arah kanak-kanak sekolah yang turut menjayakan Istiadat Perbarisan dan Tembak Hormat sempena Sambutan Hari Keputeraan ke-50 baginda di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu.
Sebaik saja baginda tiba di Pentas Diraja, Lagu Selamat Sultan dimainkan dan disusuli tembakan meriam sebanyak 21 das.

Selepas itu, baginda berkenan melakukan pemeriksaan barisan rejimen Askar Melayu Diraja, disusuli lintas kehormat pelbagai kontinjen yang mengambil bahagian dalam istiadat berkenaan.


Selesai istiadat tersebut, baginda berangkat ke Istana Maziah bagi menyempurnakan Istiadat Penghadapan dan Istiadat Pengurniaan Gelaran dan Bintang-Bintang Darjah Kebesaran Negeri.


ISTIADAT PERBARISAN DAN TEMBAK HORMAT

Sekitar Istiadat Perbarisan dan Tembak Hormat sempena Sambutan Hari Keputeraan ke-50 Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Terengganu di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu.

Gambar-gambar oleh ZULKIPLI PUTRA.









Lebih 30,000 pelajar khatam al-Quran tahun ini

Oleh: Kamarudin Mat Akib

Lebih 30,000 pelajar sekolah rendah dan tabika di seluruh negeri Terengganu akan khatam al-Quran pada tahun ini.

Bagi tujuan tersebut, dua majlis khatam al-Quran secara berasingan akan diadakan pada bulan ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains & Teknologi dan Sumber Manusia negeri, Dato’ Haji Ahmad Razif Abd Rahman, berkata Majlis Khatam al-Quran Kelas Kafa 2012 akan diadakan di Stadium Tertutup Gong Badak, pada 20 Oktober.


“Seramai 22,000 pelajar Kafa akan menyertai majlis khatam al-Quran yang diadakan secara serentak di tujuh lokasi, termasuk Stadium Tertutup Gong Badak,” katanya kepada Teganukita, kelmarin.

Beliau berkata, seramai 6,500 pelajar kelas Kafa di daerah Kuala Terengganu dan Kuala Nerus akan menghadiri majlis khatam al-Quran di stadium berkenaan manakala selebihnya akan berada di enam lokasi seluruh negeri yang telah ditetapkan Yayasan Islam Terengganu (YIT).

Majlis khatam al-Quran bagi pelajar kelas Kafa akan dilakukan secara serentak melibatkan 22,000 pelajar. Manakala Majlis Khatam al-Quran bagi Program Pintar al-Quran yang melibatkan kanak-kanak kelas tabika akan diadakan di stadium yang sama pada 23 Oktober.

“Bagi majlis yang kedua, serama 9,639 kanak-kanak tabika akan turut serta di mana beberapa acara lain turut diatur bagi menjayakan majlis,” katanya.

Kedua-dua program berkenaan akan dirasmikan Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said dan turut dihadiri ibu bapa pelajar terlibat.


Karnival Jelajah Sihat Peringkat Daerah Besut mendapat sambutan penduduk



Oleh: Mohammad Ishak 

Karnival Jelajah Sihat anjuran Kementerian Kesihatan mampu memberi kesedaran dan minat masyarakat memupuk amalan cara hidup sihat menerusi pelbagai aktiviti yang dijalankan sempena kempen yang diadakan di seluruh negara.

Kempen sama bagi Peringkat Daerah Besut diadakan di Dataran Jertih Souq semalam, juga bertujuan memberi pendedahan kepada orang ramai mengenai pentingnya menjaga kesihatan dalam mengamalkan gaya hidup sihat sepanjang hayat.

Program yang dirasmikan oleh Ahli Parlimen Besut,Datuk Seri Dr Abdullah Md Zin yang juga Penasihat Agama YAB Perdana Menteri, memberi peluang penduduk setempat melihat pelbagai aktiviti dan pameran yang diadakan di tapak karnival.

29 September 2012

Sultan Mizan berkenan menyampaikan hadiah kepada pemenang LJSM

Oleh: Suriati Ali

 Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin berkenan menyempurnakan Majlis Penyampaian Hadiah Kejohanan Larian Jambatan Sultan Mahmud (LJSM) di Dataran Bangau, Batu Buruk, Kuala Terengganu, hari ini.


Ketibaan baginda disambut Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said; Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan negeri, YB Rozi Mamat dan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Infrastruktur dan Kemudahan Awam negeri, YB Datuk Za’abar Mohd Adib.

Sebelum itu, Dato’ Seri Haji Ahmad meyempurnakan Majlis Pelepasan LJSM di lokasi sama kira-kira jam 7 pagi.

Lebih 5,000 peserta tempatan dan luar negara, termasuk Thailand, Singapura, Kenya, Indonesia dan Afrika Selatan menyertai larian sejauh 21 kilometer (km), 10 km, 7 km dan 4.5 km itu.

Hadiah keseluruhan bagi kejohanan itu cukup lumayan iaitu melebihi RM200,000. Sebanyak 13 kategori dipertandingkan antaranya, terbuka kepada semua rakyat Malaysia dan luar negara, rakyat Terengganu, penuntut Institut Pengajian Tinggi, pelajar sekolah dan Orang Kurang Upaya (OKU).


Dua kategori LJSM diungguli peserta Kenya iaitu Kiproo Lilan Kennedy (terbuka lelaki) dengan catatan masa 1:03:43 dan Rumokol Elizabeth Chepkanan (terbuka wanita) 1:12:13.

Masing-masing layak membawa pulang wang tunai RM30,000 bagi terbuka lelaki dan RM22,000 pula terbuka wanita.


 Manakala bagi kategori lelaki OKU dimenangi Daniel Lee, 21, dari Setapak, Kuala Lumpur dan wanita OKU pula diperoleh Chow Mei Hsai. Masing-masing layak membawa pulang wang tunai RM2,000.

 

Usaha catat kejohanan LJSM dalam MBOR

Oleh: Suriati Ali

Kerajaan negeri bersedia menghebahkan tarikh kejohanan Larian Jambatan Sultan Mahmud (LJSM) setahun lebih awal supaya lebih ramai peserta luar negara dapat menyertainya.

 Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, berkata tarikh LJSM untuk tahun depan bermungkinan akan diadakan pada 28 September dan pihak berkaitan sudah menghebahkan kepada umum bermula sekarang.

 “Pihak kami cukup gembira dengan jumlah peserta yang mengikuti larian LJSM kali ini walaupun sudah 12 tahun menyepi atau tidak dianjurkan.

“Bagi menarik lebih ramai jumlah peserta tempatan dan luar negara untuk kejohanan sama 2013, kita turut bersetuju menaikkan jumlah hadiah sebanyak 50 peratus berbanding RM230,000 tahun ini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas tamat kejohanan LJSM di Dataran Bangau, Batu Burok, Kuala Terengganu, hari ini.

Lebih 5,000 peserta tempatan dan luar negara, termasuk Thailand, Singapura, Kenya, Indonesia dan Afrika Selatan menyertai larian sejauh 21 kilometer (km), 10 km, 7 km dan 4.5 km itu.

Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin berkenan menyempurnakan Majlis Penyampaian Hadiah kepada pemenang LJSM.

Dato’ Seri Haji Ahmad turut memberitahu, kerajaan akan berusaha mendapat pengiktifaran dari Malaysia Book Of Record (MBOR) dengan meningkat jumlah peserta LJSM sedia ada iaitu daripada 5,000 kepada 10,000 orang.

“Bagi mencapai piawaian Sukan Paralimpik pula, kategori OKU akan diperkemaskan dengan mengasingkan jenis kerusi roda biasa dan kerusi roda standard paralimpik.

“Pendekatan ini secara tidak langsung, menarik minat OKU luar negara untuk menyertainya berikutan ingin memperbanyakan latihan sebelum menyertai Sukan Para Olimpik,” katanya.

 

Bajet utamakan rakyat, sejajar keupayaan negara:MB

Oleh: Aida Abd Rahman

Belanjawan 2013 yang dibentangkan Perdana Menteri Dato’ Seri Mohd Najib Tun Razak mengutamakan kebajikan dan meringankan beban rakyat sejajar dengan keupayaan ekonomi negara, demikian kata Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas Bajet 2013 yang dibentangkan Dato’ Seri Mohd Najib sambil menyifatkan ia merupakan satu pembentangan yang menepati konsep `Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan’.

Katanya, pelbagai bantuan diberikan termasuk Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) bukan sahaja diteruskan, malahan diperluaskan lagi kepada mereka yang belum berkahwin (bujang) turut menikmatinya.

“ Ini bersamaan dengan apa yang dilakukan oleh Terengganu yang mana kita berikan bantuan Dana Hari Raya kepada umur 21 tahun ke atas dan mereka yang belum berkahwin serta sebagainya.

“Selain itu, ia merupakan satu usaha untuk meringankan beban rakyat . Walaupun kerajaan hendak bantu rakyat, tetapi kalau kerajaan tidak mempunyai wang, tidak mempunyai pendapatan tinggi tidak boleh buat juga,” katanya.

Beliau berkata, keputusan dan dasar Kerajaan Pusat ini dilaksanakan berkat pembangunan yang dicapai dari aspek pentadbiran, pengurusan kewangan yang baik, hasil negara yang sentiasa meningkat sepanjang masa serta kestabilan politik.

Pada masa yang sama, katanya `track record’ dan pencapaian semasa kerajaan hari ini juga sewajarnya membuka mata semua rakyat bagi meneruskan sokongan dengan memilih Barisan Nasional untuk memastikan kestabilan politik pada masa akan datang.