Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin percaya usaha kerajaan membangunkan produk pelancongan seperti pembangunan Kawasan Bebas Cukai di Pulau Bayas dan produk Kenyir Island Hoping dijangka mampu menarik lebih ramai pelancong dari dalam dan luar negeri ke negeri ini.
Titah baginda, projek dalam pembinaan ini dijangka siap pada Jun 2014 itu akan menjadi pemangkin kepada sektor pelancongan negeri di mana kecantikan dan keunikan tasik buatan manusia itu perlu dimanfaatkan sepenuhnya.
Sultan Mizan Zainal Abidin bertitah demikian di Istiadat Pengurniaan Gelaran dan Bintang Darjah Kebesaran Negeri di Istana Maziah semalam.
Berkenan berangkat Sultanah Terengganu Sultanah Nur Zahirah. Turut hadir Menteri Besar Dato’ Seri Haji Ahmad Said dan To’ Puan Seri Hajah Norliza Mahmud; Setiausaha Kerajaan Dato’ Haji Mazlan Ngah; Kerabat-kerabat Raja, Ahli-ahli Dewan Pangkuan DiRaja, Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri; Orang-orang Besar Raja; Ahli-ahli Darjah Kebesaran Negeri; Ahli-ahli Dewan Undangan Negeri, Dewan Negara dan pegawai-pegawai kerajaan.
“Beta berharap tindakan awal dapat diambil dalam memastikan tenaga kerja tempatan dibekalkan secukupnya dengan latihan kemahiran yang diperluakan oleh pelabur-pelabur seperti di kawasan pembangunan Taman Biopolimer Kertih yang menawarkan 7,000 peluang pekerjaan kepada rakyat,”.
“Beta percaya lebih banyak peluang pekerjaan akan diwujudkan apabila beberapa kilang seperti Taman Intergrasi Akuakultur Udang di Setiu, Kilang Keluli Bersepadu di Teluk Kalong dan Kilang Bersepadu Pemerosesan dan Pengeluaran Silika di Kawasan Perindustrian Saujana, Setiu beroperasi sepenuhnya nanti,”.
“Beta gembira dengan prestasi pelaksanaan projek-projek ECER di negeri ini yang terdiri daripada lima kelompok ekonomi utama iaitu pelancongan, minyak, gas dan petroleum, pembuatan, pertanian dan pendidikan,”.
Sultan Mizan Zainal Abidin berharap kerajaan terus mengorak langkah dalam bidang pendidikan dan berharap usaha bersungguh-sunguh dilakukan agar impian menjadikan Terengganu negeri anjung ilmu dapat direalisasikan secepat mungkin.
“Justeru itu penekanan kepada pendidikan agama di samping keperluan dalam bahasa Inggeris, matematik dan teknologi maklumat di kalangan generasi muda perlu dimantapkan lagi demi untuk melahirkan generasi masa depan yang kukuh imannya, mulia akhlak dan memiliki budaya kerja yang hebat,” titah baginda.
Bagi menambah pengeluaran hasil pertanian kerajaan hendaklah meningkatkan keberkesanan mekanisma pelaksanaan dan teknologi pertanian dan tumpuan hendaklah diberi kepada industri asas tani dengan meningkatkan nilai tambah melalui penggunaan teknologi moden dan berskala besar.
Sultan Terengganu juga berpuas hati mengenai tahap perkhidmatan penjawat awam negeri ini di samping perlu melakukan penambahbaikan sejajar dengan kepelbagaian tuntutan rakyat masa kini.
Penjawat awam perlu berfikir di luar lingkungan kebiasaan, menerima pakai langkah-langkah agresif dan berani untuk memastikan penyampaian perkhidmatan lebih baik kepada rakyat dan perlu menghadapi cabaran menghasilkan idea inovatif.
Baginda juga melahirkan rasa gembira dengan kejayaan beberapa anak Terengganu mewakili negara ke Sukan Olimpik London baru-baru ini dan berharap lebih ramai lagi jaguh-jaguh bertaraf dunia kalangan anak tempatan dapat dilahirkan pada masa akan datang, InsyaAllah.
Baginda kemudiannya merakamkan ucapan terima kasih kepada kerajaan negeri yang diketuai Menteri Besar Dato’ Seri Haji Ahmad Said, Ahli Exco , wakil rakyat, penjawat awam, pasukan keselamatan Polis dan Tentera, pendidik dan seluruh rakyat di negeri ini yang sentiasa menjunjung kasih dan taat setia yang tidak berbelah bagi.
“Beta ingin semua pihak bersatu hati dan bergabung tenaga dalam mengekalkan keharmonian, kesejahteraan, kemakmuran negeri dan negara,” titah baginda.