Halaman

07 October 2012

MBKT juara Citra Bot Berhias 2012

TERKINI:
Warna-warni Pertandingan Citra Bot Berhias 2012 yang diadakan di Sungai Terengganu berhampiran Dataran Shahbandar, Kuala Terengganu, malam tadi (6 Oktober 2012).

Gambar-gambar oleh ZULKIPLI PUTRA

Bot berhias dari MBKT dinobatkan juara pertandingan.
Percikan bunga api mewarnai lagi Pertandingan Citra Bot Berhias.

Bot dari Ketengah berjaya memikat orang ramai.
Kuala Sungai Terengganu bermandi cahaya dengan bot berhias.

PMINT dengan kreativiti menghias bot menarik perhatian ramai.


06 October 2012

PM dan isteri hadiri majlis persandingan anak sulung MB

Oleh: Aida Abd Rahman

Perdana Menteri, Dato’ Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak dan isteri, Datin Seri Paduka Rosmah Mansor meluangkan masa menghadiri majlis persandingan anak sulung Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said di kediamannya di Teluk Kalong, Kijal, Kemaman, hari ini.

Dato' Seri Mohd Najib disambut ribuan rakyat jelata ketika tiba di perkarangan rumah  Menteri Besar Terengganu
Dato’ Seri Mohd Najib tiba ke kediaman Menteri Besar kira-kira jam 1 petang selepas merasmikan Majlis Pecah Tanah Loji Pembuatan Bio-Metionina dan Platform Tiokimia Bersepadu di Taman Biopolimer Kertih kira-kira tiga jam sebelum itu.


Sejurus tiba, beliau disambut Menteri Besar dan isteri, To’ Puan Seri Norliza Mahmud memasuki kediaman untuk bersuai kenal sebelum diiringi ke pentas utama dan menyaksikan persandingan kedua mempelai, Puan Nor Asdayana Dato' Seri Haji Ahmad dengan suaminya, Mohd Hafiz Adnan.

Dato’ Seri Najib dan Datin Seri Paduka Rosmah menepung tawar pengantin sebelum makan beradap bersama pengantin dan kedua ibu bapa pasangan pengantin.

Turut hadir di majlis itu, Tengku Seri Bendahara Raja; Yang Dipetua Dewan Undangan Negeri, Dato’ Tengku Putera Tengku Awang; Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Haji Mazlan Ngah. Hadir sama, semua Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Terengganu, Ahli Dewan Undangan Negeri ketua-ketua jabatan, pegawai kerajaan dan pemimpin masyarakat setempat.

Selain itu, lebih 10,000 penduduk seluruh Terengganu, khususnya dari kawasan Kijal membanjiri majlis yang bermula dari jam 11 pagi hingga 5 petang itu.

Puan Nor Asdayana dan suami diijabkabul di Kediaman Seri Iman pada sebelah malam 21 September lalu. Kedua-dua pasangan itu mengikat tali pertunangan pada 15 Oktober tahun lalu.





 

PM lawat bekas Adun Kemasek

Perdana Menteri, Dato’ Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak yang melawat Terengganu hari ini sempat meluangkan masa menziarahi bekas ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kemasek, Dato’ Haji Abu Bakar Ali, di kediamannya di Kertih.

Perdana Menteri dan isteri melawat bekas Adun Kemasik, Dato' Haji Abu Bakar Ali di rumahnya di Bandar Baru Kertih, Kemaman.
Dato’ Seri Mohd Najib meluangkan sedikit masa bagi bertanyakan khabar bekas Adun Kemasek itu yang terlantar sakit sejak lebih tiga bulan lalu.

Dato’ Abu Bakar merupakan salah seorang veteran Umno Terengganu yang lama berkhidmat sebagai Adun iaitu selama lima penggal (terakhir bertanding di DUN Kemasek pada Pilihanraya Umum 2004 dan menang).

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said dan saf kepimpinan negeri turut menziarahi bekas pemimpin yang popular dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu itu.

 

Kerjasama erat Kerajaan Negeri, Pusat tarik pelabur asing

Oleh: Kamarudin Mat Akib
Gambar oleh Zulkipli Putra

Kerjasama erat antara Kerajaan Negeri Terengganu dan Kerajaan Pusat, mampu menarik pelabur asing datang melabur ke negeri ini, sekaligus membantu memberi pendapatan sampingan dan peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan.

Menteri Besar, Dato' Seri Haji Ahmad Said ketika memberi ucapan pada majlis Pecah Tanah Loji Pembuatan Bio-Metionina dan Platform Tiokimia Bersepadu di Taman Biopolimer Kertih, Kertih, hari ini.
Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, berkata usaha gigih yang dilakukan pemimpin kerajaan negeri dengan dibantu Kerajaan Pusat telah membantu membawa banyak pelabur asing ke negeri ini sejak kebelakangan ini.

Beliau berkata, kini syarikat dari Korea dan Perancis bersetuju melabur RM2 bilion bagi membina loji bio-metionina pertama di dunia, di Taman Biopolimer Kertih di Kertih.


“Bagi pihak kerajaan negeri, saya mengucapkan penghargaan terima kasih kepada Perdana Menteri, Dato’ Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak, kerana telah membantu membawa pelaburan yang besar ke negeri ini,” katanya ketika berucap pada majlis Pecah Tanah Loji Pembuatan Bio-Metionina dan Platform Tiokimia Bersepadu di Taman Biopolimer Kertih, Kertih, hari ini.

Dato’ Seri Haji Ahmad berkata, pihaknya berharap kerjasama erat antara Kerajaan Negeri dan Pusat akan terus kekal bagi memastikan pembangunan dan usaha menarik pelabur ke Terengganu berjalan lancar.

“Bagi pihak kerajaan negeri, kita akan memberi komitmen yang tinggi kepada Syarikat CJ CheilJedang dan Arkema yang terlibat dengan pembinaan loji bio-metionina ini bagi memastikan ia berjalan dengan lancar,” katanya.

Katanya, kerajaan negeri juga kini sedang menggalakkan penanaman pokok petai belalang bagi membolehkan ia dibekalkan kepada kilang itu nanti.


Terengganu terpahat di peta dunia - PM

Perdana Menteri, Dato' Seri Moh Najib Tun Abdul Razak diiringi Dato' Seri Haji Ahmad Said serta pelabur utama melihat upacara pecah tanah kilang berkenaan di Kertih, Kemaman. - Gambar oleh Zulkipli Putra.

 Oleh: Kamarudin Mat Akib

Negeri Terengganu, khususnya Kertih, amat bertuah kerana ia akan terpahat di peta dunia dalam sektor industri bioteknologi dengan terbinanya loji bio-metionina pertama di dunia.

Perdana Menteri, Dato’ Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak, berkata rakyat negara ini tidak pernah terfikir bahawa suatu hari nanti kita mampu mempunyai projek sebesar ini (dengan pelaburan RM2 bilion) yang akan membawa Terengganu sebaris dengan pengeluar dan pengeksport global.

Gimik majlis pecah tanah yang dilakukan Perdana Menteri.
“Tapi hari ini, ianya terbukti menjadi kenyataan, hasil daripada perancangan yang teliti serta pelaksanaan yang baik oleh Kerajaan Barisan Nasional (BN),” katanya ketika berucap pada majlis Pecah Tanah Loji Pembuatan Bio-Metionina dan Platform Tiokimia Bersepadu di Taman Biopolimer Kertih, Kertih, hari ini.


Hadir sama, Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said; Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri, Dato’ Tengku Putera Tengku Awang; Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Haji Mazlan Ngah; Ketua Pegawai Eksekutif CJ Cheiljedang, Encik Kim Chul Ha dan Naib Presiden Eksekutif Arkema, Encik Marc Schuller.


Projek pembinaan loji bio-metionina tersebut diusahakan CJ Cheiljedang dari Korea dan Arkema dari Perancis, akan memulakan operasi pada akhir tahun depan.



Loji pengeluaran 80,000 tan metrik bio-metionina dan platform tiokimia itu akan dibina di atas tapak seluas 70 hektar dan turut memberi manfaat kepada ramai penduduk sekitarnya yanag akan membekalkan petai belalang sebagai bahan utama kilang.

Perdana Menteri berkata, pihaknya berharap projek tersebut juga akan turut memanfaatkan penduduk di negeri lain di maan mereka juga boleh mengusahakan tanaman petai belalang untuk dijual ke kilang berkenaan.


PM Pecah Tamah Loji Bio-Metionina CJ & Platform Tiokimia Arkema

TERKINI:

Perdana Menteri, Dato'Seri Mohd Najib Tun Razak melakukan pecah tanah Loji Pengeluaran Bio-Metionina CJ & Platform Tiokimia Arkema di Taman Bio-Polimer Kertih, Kemaman pagi tadi (6 Oktober 2012).

                          Gambar-gambar oleh ZULKIPLI PUTRA



Perdana Menteri melakukan gimik pecah tanah kilang berkenaan.
Meninjau kawasan pembinaan.

Majlis menandatangani plak perasmian.




Melihat pelan dan kedudukan kilang berkenaan.







30 Anggota TUDM Gong Kedak sertai gotong royong bersih kubur bersama penduduk



Oleh: Mohammad Ishak 

Cuti hujung minggu tidak pernah dipersiakan oleh anggota Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Pangkalan Gong Kedak, sebaliknya dimanfaatkan dengan pelbagai aktiviti berfaedah terutama khidmat komuniti bersama masyarakat.

Program gotong royong membersih tanah perkuburan Islam di Kampung Denger, dekat Jertih, oleh anggota pasukan itu bersama kampung sebahagian daripada khidmat komuniti hujung minggu yang kerap dijalankan oleh pasukan berkenaan.

Seramai 30 anggota yang tidak terbabit dengan tugas harian menyertai gotong membersih kubur berkenaan yang turut disertai Pegawai Memerintahnya, Kol Mohd Asghar Khan Goriman Khan.

Kol Mohd Asghar berkata, pihaknya sentiasa turun padang mendekati masyarakat dengan mengadakan pelbagai aktiviti sosial dan kemasyarakatan bertujuan merapatkan hubungan antara anggota dengan komuniti.

Katanya, menerusi khidmat sukarela itu juga ia dapat membantu pihak terbabit menjayakan sesuatu aktiviti di kampung masing-masing.

Menurutnya, hampir setiap minggu anggota TUDM berkenaan keluar ke kampung sekitar daerah Besut apabila ada pihak terutama Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) dan Jawatankuasa Masjid menjemput untuk mengadakan kerja gotong royong.

“Kerja gotong bersama penduduk selain dapat meningkatkan semangat kerjasama kedua belah pihak ia juga mampu melatih anggota dalam aktiviti amal,” katanya.

Beliau berkata, TUDM kini mengadakan pendekatan baru bagi mempastikan seluruh anggota turut terbabit dalam apa juga aktiviti kemasyarakatan yang dianjurkan oleh penduduk sekitar daerah Besut.

05 October 2012

SEMPENA LAWATAN PM ESOK: TERENGGANU BANGUNKAN LOGI BIOMETIONINA (BAHAN MAKANAN HAIWAN) PERTAMA DI DUNIA

Oleh: Ruslan Abdul Rahman, Pengarang Teganukita.

Tidak hebatkah Terengganu di bidang pelaburan sehingga dua negara berkongsi ilmu dan teknologi membuka kilang dan hanya memilih Malaysia dan negeri Terengganu satu satu pilihannya untuk kilang pertama seumpamanya di dunia bagi penghasilan asid amino (untuk makanan haiwan ternakan) melalui bioteknologi.

Terengganu sebagai tapak bagi pembinaan loji biometionina pertama di dunia memberi dokongan kepada Arkema (syarikat dari negara Perancis untuk kimia), mengukuhkan kehadirannya di Malaysia di mana ia telah mempunyai pusat-pusat pengeluaran di Singapura, Vietnam, China dan Jepun. 

Projek bagi menghasilkan bahan makanan haiwan ternakan dirintis melalui usahasama CJ Cheiljedang Corporation dari Korea Selatan dan Arkema SA dari Perancis dengan pelaburan awal dianggarkan bernilai RM2 billion.

Manakala CJ CheilJedang Corp, South Korea’s adalah peneraju pengeluar produk berasaskan penapaian seperti asid amina makanan, monosodium glutamat dan nukleotida dengan mempunyai operasi pengeluaran dan perniagaan global di enam benua.

Gabungan Arkema syarikat kimia global dan peneraju pengeluar kimia Perancis dengan syarikat dari Korea Selatan di bumi Terengganu ini membuktikan bahawa Terengganu boleh!

Perdana Menteri, Dato' Seri Najib Tun Abdul Razak akan melakukan perasmian pecah tanah bagi projek itu esok. Tahniah pemimpin dan rakyat Terengganu.
Loji pengeluaran 80,000 tan metrik bio-metionina dan platform tiokimia itu akan dibina di atas tapak seluas 70 hektar tahun depan dan akan beroperasi pada 2013.

Ini akan menjadi pencapaian bagi industri bahan tambahan makanan global kerana bagi pertama kalinya, pengeluaran bio-metionina akan menyatukan kedua-dua bioteknologi canggih dan kimia gunaan. 

Bio-metionina adalah belerang asid amino yang banyak digunakan bagi makanan haiwan di Asia. 

Pemilihan Terengganu khususnya dan Malaysia amnya berbanding Thailand atau negara-negara lain di rantau ini adalah kerana insentif yang kompetitif yang ditawarkan oleh negara dan pengkhususan Pembangunan Koridor Wilayah Timur untuk petrokimia dan bahan kimia tulen.

Arkema merancang untuk membangunkan platform baru Asia untuk thio (kimia sebatian sulfur) pada masa akan datang.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak itu menjangkakan projek dapat menjana kesan limpahan yang ketara dan menggalakkan aktiviti ekonomi baru seperti penjanaan wap menggunakan sumber diperbaharui.

Rakyat Terengganu juga gembira Perdana Menteri mutakhir ini setiap bulan menerima pelawaan bagi mengunjungi Terengganu Darul Iman.

Baru sahaja pada 6 September lalu berjumpa di perhimpunan yang melimpah 30 ribu rakyat Setiu dan Besut, esok 6 Oktober akan ke Kemaman pula merasmikan kilang berasaskan teknologi baru. Sebelum itu pada 9 Ogos telah pun datang berbuka puasa di Dun Tepoh dalam Parlimen Kuala Nerus dan daerah Kuala Terengganu. Februari lalu (3 Feb) telah pun datang ke Dun Batu Buruk, Ladang dan Rhu Rendang.

Ini bermakna Terengganu, pemimpin dan rakyatnya amat dekat di hati Dato' Sri Mohd Najib.

Pusat Hemodialisis beroperasi awal tahun depan

Oleh: Aida Abd Rahman

Nasib pesakit buah pinggang yang kurang berkemampuan bakal terbela selepas sebuah pusat hemodialisis yang dikendalikan Persatuan Pusat Hemodialisis Prihatin Tengku Besar Terengganu bakal beroperasi awal tahun depan.

Pengerusinya, Dr Le Hong Bio, berkata sebanyak 20 unit mesin hemodialisis ditempatkan di pusat perubatan yang terletak di Jalan Sultan Zainal Abidin di sini sebagai memenuhi keperluan terhadap rawatan itu.

“Bangunan pusat hemodialisis itu sudah pun siap dan kini dalam proses memindahkan mesin serta peralatan perubatan lain sementara menunggu lessen penuh untuk beroperasi.

“Dua konsultan iaitu pakar dalam bidang nefrologi yang bertugas di Hospital Sultanah Nur Zahirah akan memantau keseluruhan operasi dan rawatan di pusat itu,” katanya.

Pusat Hemodialisis itu akan diterajui Tengku Besar Terengganu Yang Teramat Mulia Syarifah Nong Fatimah Syed Abdullah Al-Saggof selaku presiden seumur hidup dan naib Presidennnya, Tan Sri Kuang Yong Kuan.


Kerajaan cadang tempatkan doktor di Klinik 1Malaysia

Oleh: Mohammad Ishak 

Kerajaan sediia menimbang menempatkan seorang doktor di Klink 1Malaysia jika perkhidmatan yang disediakan di klinik berkenaan mendapat sambutan daripada orang ramai.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan,Perpaduan dan Hal Ehwal Pengguna Negeri,Dr A Rahman Mokhtar berkata, bagi mencapai matlamat itu sesebuah klinik 1Malaysia perlu mencapai sasaran sehingga 100 pesakit sehari.

Katanya, jika jumlah pesakit yang berkunjung untuk mendapatkan ratawan harian ia agar sukar bagi kerajaan menimbang untuk menempatkan doktor di klinik berkenaan.

“Oleh itu orang ramai yang tinggal berhampiran Klinik 1Malaysia perlu memberi sokongan dan menggunakan perkhidmatan yang sedia ada di klinik terbabit bagi memudahkan Jabatan Kesihatan menempatkan seorang doktor,” katanya.

Dr A Rahman yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Besut berkata demikian pada majlis perasmian Klinik 1Malaysia di Kampung Nyior Tujuh, dekat Jertih, di sini hari ini.

Pengerusi MARA yang juga ADUN Jertih merasmikan klinik berkenaan. Beliau memberi jaminan perkhidmatan di Klinik 1Malaysia akan memberi khidmat tidak lebih daripada setengah jam kepada semua pesakit yang datang untuk menerima rawatan.

Sementara itu, Idris berkata klink terbabit yang mula beroperasi awal tahun ini dapat mengurangkan jumlah pesakit yang datang menerima rawatan di Hospital Besut (HB).

Beliau berharap, orang ramai yang tidak memerlukan rawatan kritikal diminta datang ke klinik berkenan kerana ia mampu memberi perkhidmatan terbaik kerana mempunyai pelbagai kemudahan dan ubat yang cukup.