Oleh: Aida Abd Rahman
Berdasarkan prestasi Barisan Nasional (BN) sejak Pilihan Raya Umum (PRU) 1986, tidak mustahil parlimen Marang dan dua Dewan Undangan Negeri (DUN), iaitu Bukit Payong dan Rhu Rendang yang kini ditawan pembangkang, mampu dirampas semula BN pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13 nanti.
Dalam tempoh lebih 20 tahun itu, menurut Senator Dato’ Abdul Rahman Bakar, kebanyakan keputusan PRU memihak kepada BN dan Umno.
“Sebenarnya Marang satu kawasan yang cukup menjadi rebutan antara BN dan Pas sejak 1985 hingga sekarang, berdasarkan PRU 1986, 1990, 1995, 1999, 2004 dan 2008. Jadi, sepanjang tempoh berkenaan, menang.. kalah, menang.. kalah, menang.. kalah. Kebanyakannya Umno yang kuasai.
“Pada PRU 1986 BN berjaya merampas kembali DUN Bukit Payong selain Rhu Rendang tetap samar. Ada sekali kita kalah pada 1999 disebabkan `tsunami Anwar Ibrahim’. Masa tu bukan sahaja Marang tetapi semua Terengganu (majoriti) kalah. PRU 1986, kita menang 3 DUN dan 1 Parlimen,” katanya kepada Teganukita baru-baru ini.
Manakala pada PRU 1990, Dato’ Abdul Rahman yang juga bekas Ahli Parlimen Marang berkata, BN memenangi dua kerusi DUN masing-masing Pengkalan Berangan dan Alor Limbat, manakala kerusi Parlimen Marang, DUN Rhu Rendang dan Bukit Payong tewas.
Pada PRU berikutnya (1995) BN berjaya mempertahankan dua kerusi DUN berkenaan, selain merampas semula DUN Bukit Payong. Parlimen Marang dan Rhu Rendang masih gagal ditawan.
Menurutnya, tsunami Anwar pada PRU 1999 menyebabkan seluruh Parlimen dan DUN Marang turut menerima kekalahan sekali gus menggadaikan negeri ke tangan pembangkang.
Katanya, BN kembali merampas tiga DUN, iaitu Alor Limbat, Pengkalan Berangan dan Bukit Payong Ketika PRU 2004.
Manakala pada PRU ke-12 lalu (2008) Alor Limbat dan Pengkalan Berangan terus kekal menjadi milik BN.
Bagaimanapun, Bukit Payong jatuh ke tangan Pas dengan hanya majoriti kecil, 313 undi.
“PRU 2008 kita menang dua DUN, Pengkalan Berangan dan Alor Limbat. Bukit Payong kita kalah. Rhu Rendang kalah, Parlimen kalah. Itu senario politik Marang.
“Jadi, pada kali ini (PRU ke-13) saya amat yakin bahawa Umno dan BN akan terus kekalkan kerusi Pengkalan Berangan , Alor Limbat, selain merampas semula Bukit Payong dan Parlimen Marang.
Malah, menurut `The Giant Killer’ itu, kemungkinan DUN Rhu Rendang juga akan dimenangi BN jika percaturan baik dan calon boleh diterima umum.
Beliau berkata, kedudukan politik kini masih 50-50 disebabkan perkembangan sihat akhir-akhir ini di mana BN semakin diterima oleh rakyat disebabkan kepimpinan Umno dan Kerajaan BN Pusat di bawah kepimpinan Perdana Menteri, Dato’ Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak yang sudah melakukan pelbagai perubahan.
Katanya, pelbagai transformasi berlaku di peringkat Pusat dan negeri yang sudah diterima baik serta dimanfaatkan oleh pelbagai lapisan masyarakat terutama melibatkan bantuan dan kebajikan yang diagihkan tanpa mengira waktu dan situasi.
Selain itu juga, kepimpinan peringkat negeri diketuai Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said begitu baik, terserlah, mudah meresapi jiwa rakyat lantas kian diterima semua masyarakat.
“Dana yang diberikan kepada rakyat yang kurang berkemampuan tanpa dijangka seperti Bantuan Rakyat 1Malaysia, dana hari raya, dana bakti remaja, bantuan kepada budak sekolah dan kemudahan untuk rakyat seperti Kedai Rakyat 1Malaysia, Klinik Rakyat 1Malaysia (KR1M), tuisyen percuma, e-book dan macam-macam lagi.
“ Jadi bantuan itu melekat di hati rakyat. Dalam kerendahan jiwa, rakyat bersyukur walaupun ada di kalangan mereka tidak meluahkannya dan memendam sahaja, hakikatnya mereka berterima kasih dengan jasa kerajaan,” katanya.
Dato’ Abdul Rahman berkata, pada masa yang sama juga, masalah dalaman di Terengganu amat kurang apabila sebelum ini dikatakan wujud dua puak melibatkan geng 10 budahk hitam dan perpecahan di kalangan pemimpin Umno itu kini sudah pulih, selain mereka sudah bersatu di bawah satu payung demi memperkasakan parti.