Halaman

29 October 2012

Graduasi SMK Mak Lagam Kali Ke-6

Oleh: Nurul Aziela Saberi


Seramai 113 pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Mak Lagam menerima sijil mereka dan diikuti dengan beberapa penyampaian anugerah lain seperti Anugerah Pelajar Cemerlang dalam setiap mata pelajaran, Anugerah Kepimpinan Kelas, Anugerah Emas TESMAL, Anugerah Sahsiah Cemerlang, Anugerah Cemerlang Badan Uniform dan Penghargaan kepada setiap Guru Kelas Tingkatan 5, kelmarin.

Kegemilangan akademik, kokurikulum dan sahsiah diri tidak mungkin dapat dicapai tanpa usaha yang gigih dan berterusan oleh semua pihak, khususnya pelajar dan guru-guru.

“Namun berkat usaha dan kesungguhan kedua-dua pihak, tidak mustahil dapat melahirkan pelajar yang cemerlang dari segi kokurikulum dan sahsiah diri,” ujar Penasihat Khas Menteri Belia Dan Sukan, Dato Dr. Ramlan Aziz yang mewakili YB Dato’ Ahmad Shabery Cheek Menteri Belia Dan Sukan ketika merasmikan majlis tersebut.

Dalam usaha untuk mencapainya, pengiktirafan kepada pelajar-pelajar yang menunjukkan komitmen yang tinggi telah dirancang dengan mengadakan Majlis Graduasi dan Anugerah Kecemerlangan bagi merealisasikan SMK Mak Lagam cemerlang dan terbilang setanding sekolah Elite lain.


Nur Yusnina Zakirah Zakaria telah dianugerahkan sebagai Pelajar Cemerlang Akademik secara keseluruhan pada peperiksaan percubaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) baru-baru ini.

Anak kelahiran dari Padang Pulut, Dungun ini menganggap pencapaian yang diterimanya ini sebagai satu pemangkin semangat untuk terus berusaha dengan lebih gigih sehingga menjelang peperiksan yang sebenarnya.

Turut hadir Ketua Pemuda UMNO Bahagian Kemaman, Mohd. Hisham Zubir dan beberapa wakil jemputan dari Pejabat Pelajaran Daerah Kemaman.

 

28 October 2012

Besut akan dijadikan Daerah Pendidikan: MB

Oleh: Mohammad Ishak 


Kompleks Imtiaz Besut akan dijadikan Kampus Cawangan Universiti Sains dan Teknologi Jordan

Selepas Dungun yang dilahirkan sebagai Daerah Pendidikan kini Besut pula akan dijadikan pusat ilmu selaras dengan pelbagai kemudahan yang sedang dan akan dilaksanakan di daerah itu.

Menteri Besar, Dato’ Ahmad Said (gambar) ketika memberi jaminan itu berkata Besut tidak akan dipinggirkan dalam arus pembangunan sebaliknya satu masa ia akan muncul sebagai daerah pendidikan terkemuka di negeri ini.

Katanya, terbaru kerajaan negeri dengan kerjasama Universiti Sains dan Teknologi Jordan (USTJ), bersetuju untuk membuka kampus cawangannya di Besut yang akan beroperasi di Kompleks Imtiaz Besut, di Bukit Keluang, dekat Jertih.

Menurutnya,pengambilan kumpulan pertama pelajar USTJ yang akan menyediakan kursus kedoktoran dan kejuruteraan dijangka bermula tahun depan.

Beliau berkata, USTJ adalah antara universiti terbesar di Jordan dengan mempunyai kira-kira 22,000 pelajar dalam bidang berkenaan.

 “Pembukaan kampus cawangan universiti berkenaan akan membuka era baru kepada penduduk daerah Besut dan ia juga akan dapat menjana ekonomi penduduk,” katanya selepas menyertai Majlis Korban Perdana anjuran Pemuda UMNO Bahagian Besut, hari ini.

Selain itu, katanya, Taman Ilmu yang dibina di Bukit Dendong, di kawasan DUN Kota Putera, satu lagi mercu tanda kepada pembangunan pendidikan daerah Besut dan apabila siap ia akan menempat pelbagai kolej universiti dari seluruh dunia.

Beliau berkata, bagi mempercepatkan kerja pembinaan komponen Taman Ilmu ia akan dilakukan oleh syarikat dari Korea dan berharap ia dapat disiap sepenuhnya pada akhir tahun 2013.

Menteri Besar hadir Korban Perdana Pemuda UMNO Besut

Oleh: Mohammad Ishak 


Korban Perdana anjuran Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Besut, menarik perhatian apabila Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Said turun padang bersama penduduk daerah itu menumbangkan lembu korban.

Bukan sekadar seorang pemimpin, malah Menteri Besar turut menunjukkan ketangkasan menumbangkan lembu pertama untuk disembelih bersama penduduk yang disaksikan lebih 1,000 tetamu pada majlis berkenaan.



Malah, selepas disembelihkan oleh tukang sembelih Dato’ Ahmad kemudian menyertai orang ramai bergotong royong melapah dan memotong daging lembu untuk diagihkan kepada golongan miskin dan orang ramai yang hadir pada program berkenaan.



Sebanyak 22 ekor lembu disediakan oleh Pemuda UMNO Besut sempena majlis korban perdana yang berlangsung di perkarangan Kilang Pointray di Kawasan Perindustrian Gong Medang,Besut.




Hadir sama ialah Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Perpaduan dan Hal Ehwal Pengguna Negeri, Dr A Rahman Mokhtar yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Besut, ADUN Kota Putera, Muhamad Pehimi Yusof, ADUN Hulu Besut, Nawi Mohamad.ADUN Jabi, Ramlan Ali, Pegawai Daerah Besut, A Rahim Mokhtar dan Yang Dipertua Majlis Daerah Besut (MDB) Ibrahim Mohamad.

Ketua Pemuda UMNO Besut, Mahadi Musa berkata, majlis korban perdana itu mendapat sokongan semua pihak termasuk pergerakan pemuda daripada empat kawasan DUN di Parlimen Besut .


Katanya, kira-kira 500 tetamu yang hadir termasuk golongan fakir miskin turut menerima pengagihan daging korban yang disampaikan oleh Menteri Besar.

Mahadi berkata, program julung kali diadakan itu mendapat sambutan penduduk setempat dan ia satu aktiviti keagamaan yang dianjurkan oleh Pemuda Umno Besut bertujuan memberi peluang kepada golongan miskin turut merayakan Aidiladha lebih meriah.


Mahkamah Syariah selesai 15,000 kes setahun

Oleh; Esah Abdullah

Jabatan Kehakiman Syariah Terengganu (JKST) berjaya menyelesaikan 334 kes sebulan atau lebih 15,000 setahun.

Ketua Hakim Syarie Terengganu, Dato’ Haji Ismail Yahya berkata, JKST telah menggunapakai sistem e-nota bicara bagi mempercepatkan perjalanan sesuatu kes.

Katanya, JKST satu-satunya jabatan kehakiman di negara ini menggunakan sistem berkenaan, hasil penghantaran hakim-hakim mengikuti kursus Perundangan Islam di Riyard, Arab Saudi.

“Kita amalkan sistem telus, di mana hakim dibenarkan mengemukakan soalan kepada kedua-dua pihak yang dibicarakan serta nota bicara yang dicatat hakim ini dapat dilihat secara terus oleh defenden dan plaintif pada skrin yang disediakan di hadapan mereka,”katanya.

“Kita sudah melepasi sasaran bila setiap kes yang dibicarakan dapat diselesaikan dalam tempoh tiga bulan malah ada yang kurang daripada itu,” katanya.

Menurutnya, terdapat sebilangan kecil saja kes yang tertangguh melebihi target jabatan dan perkara ini berpunca daripada masalah peguam dari luar Terengganu.

Tambahnya pengalaman berkursus selama sebulan di Arab Saudi banyak membantu dan membuat penambahbaikan terhadap pelaksanaan kes di negeri ini.

“Dari segi forensif kita lebih baik tetapi dari segi penggunaan teknologi maklumat (ICT) mereka lebih hebat kerana semua bahagian membabitkan perundangan di negara mereka dilaksanakan menggunakan teknologi ICT,” katanya.

 

PBLT komited cungkil bakat baru

Oleh: Suriati Ali Persatuan Lumba Basikal Terengganu (PBLT) komited mencungkil bakat baru khususnya pelumba wanita untuk melahirkan lebih ramai jaguh lemuba trek negara. Jurulatih persatuan itu, Syed Mohd Hussaini Syed Mazlan, berkata setakai ini hanya enam pelumba wanita yang bernaung di bawah PLBT adalah pelapis negeri untuk Sukan Malaysia (Sukma). “Kita sememangnya ketandusan atlet wanita dan mempelawa lebih ramai jaguh basikal seperti Fatehah Mustapa.
“PLBT turut melakukan program pencarian bakat baru dengan menjajah ke kawasan pendalaman di daerah sekitar Terengganu telah bermula di daerah Dungun dan Kemaman,” katanya. Katanya, kini terdapat 60 calon menanti untuk digilap dan diserapkan ke skuad pelapis negeri serta pelapis Sukma. “Antara jaguh basikal negera dilahirkan di Terengganu menerusi program itu, termasuk Azizulhasni Awang, Anuar Manan dam Mohd Hariff Salleh,” katanya.

Tingkat usaha untuk setaraf dengan kemajuan pendidikan antarabangsa

Oleh: Aida Abd Rahman

Laporan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013 – 2025 menunjukkan kita tidak boleh leka dan lalai dengan pencapaian membanggakan dalam keputusan peperiksaan awam tempatan, kerana berbanding dengan tanda aras antarabangsa, masih banyak usaha yang perlu dilakukan untuk berdiri sama tinggi dengan kemajuan pendidikan antarabangsa, demikian kata Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said.

Beliau berkata, semua pihak harus berani menerima hakikat bahawa perbandingan dalaman tidak lagi memadai bagi memastikan daya saing di pentas dunia.

 “Kita harus akur kepada pentaksiran antarabangsa yang telah muncul sebagai satu kaedah perbandingan langsung tentang kualiti keberhasilan pendidikan yang merentas negara dan sistem.

“Inilah cabaran besar warga pendidik dan semua agensi yang berkaitan dengannya di mana semua pelajar, warga pendidik dan warga Jabatan Pelajaran Negeri Terengganu (JPNT)  merupakan mereka yang berada di barisan hadapan dalam perjuangan pendidikan negara dan negeri kita,” katanya di Stadium Negeri, Kuala Terengganu, baru-baru ini.

 Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Sumber Manusia negeri, Dato’ Ahmad Razif Abd Rahman dan Pengarah JPNT, Encik Zakaria Hussin.

Menteri Besar, berkata kerajaan negeri sentiasa bersama golongan barisan hadapan itu dengan menyediakan dan memberi pelbagai sokongan untuk menjayakan misi berkenaan.

Pada masa yang sama, Malaysia kini sedang memasuki fasa 10 tahun terakhir ke arah mencapai Wawasan 2020 di mana kita berhasrat menjadi sebuah negara maju mengikut acuan sendiri.

Katanya, Kementerian dan JPNT memiliki tanggungjawab yang amat besar dalam membangunkan modal insan yang bersifat menyeluruh, progresif, bermoral dan beretika tinggi selain melahirkan modal insan berpengetahuan dan berkemahiran.

Menurutnya, laporan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013 – 2025 telah menggariskan dengan jelas transformasi yang dikehendaki dalam sistem pendidikan negara iaitu keberhasilan dan kemenjadian murid.

“Tranformasi yang dikehendaki ialah kefungsian dan keberkesanan sistem pendidikan itu sendiri untuk menjayakan Model Baru Ekonomi Negara, Program Transformasi Ekonomi dan Program Transformasi Kerajaaan yang menjadi asas perkembangan ekonomi negara dalam persaingan ekonomi global.

 “Saya difahamkan transformasi sistem pendidikan negara untuk tempoh 15 tahun akan datang bermatlamat melengkapkan setiap murid di negara kita dengan segala kemahiran baharu yang diperlukan oleh mereka untuk merebut dan menangani cabaran abad ke-21,” katanya.

Oleh itu, katanya sistem pendidikan negara perlu berupaya melahirkan generasi muda yang berpengetahuan, mampu berfikir secara kritis dan kreatif, mempunyai kemahiran kepimpinan yang mantap dan berupaya berkomunikasi dengan berkesan pada peringkat global.

Katanya, setiap murid perlu diterapkan dengan nilai, etika dan rasa tanggungjawab sebagai warganegara, agar mereka dapat menjelmakan identiti nasional dan membuat pilihan yang tepat untuk diri mereka, keluarga dan negara, serta berupaya mengharungi dan mengatasi cabaran masa depan .

 

Hubungan dua hala guru-murid harus dipertingkatkan

Oleh: Aida Abd Rahman

Guru seharusnya mempertingkatkan hubungan dua hala dengan murid yang tidak terbatas sebagai pengajar semata-mata, sebaliknya perlu menganggap diri mereka sebagai rakan dan pembimbing kepada murid-murid.

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad said, berkata hubungan antara guru dan murid hendaklah dipertingkatkan agar perbincangan guru dengan murid bukan hanya terhad kepada isu-isu pelajaran semata-mata malah lebih luas kepada masalah kehidupan seharian mereka.

“Guru sebagai ejen sosialisasi dalam masyarakat hendaklah merealisasikan tugas mulia pendidik kerana ia dilihat sama penting dengan peranan ibu bapa ke arah melahirkan generasi yang mempunyai kekuatan kecerdasan minda, emosi dan juga spiritual (IQ, EQ dan SQ).

“Sejak sekian lama, institusi pendidikan telah memainkan peranan dalam mencorakkan kualiti moral dan akhlak yang mulia seperti yang dituntut oleh masyarakat,” katanya di Stadium Negeri, Kuala Terengganu, baru-baru ini.

Menteri Besar berkata, melalui sistem pendidikan, murid-murid akan melalui proses sosialisasi moral dan proses pembesaran yang diorientasikan dan diperkukuhkan dengan pelbagai tanggungjawab sosial.

 Katanya, pembangunan serta perubahan sosial dalam masyarakat memerlukan penyesuaian sistem pendidikan di sekolah bagi memenuhi keperluan murid-murid sesuai dengan perkembangan persekitaran.

“Memang tidak dapat dinafikan bahawa menguasai kemahiran intelek merupakan kunci kejayaan individu, namun perkembangan manusia yang sempurna memerlukan penguasaan emosi dan insaniah sejajar dengan kepentingan akademik,” katanya.

 

27 October 2012

Pelajar DUN Jertih dapat basikal dan bag sempena Aidiladha



Oleh: Mohammad Ishak 

Kehadiran Aidiladha tetap menjadi ingatan kepada pelajar di Kawasan Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jertih apabila mereka menerima sumbangan basikal dan bag sekolah.sempena majlis Korban Perdana Peringkat DUN Jertih hari ini.

Majlis yang dirasmikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jertih, Dato’ Seri Idris Jusoh turut dihadiri Timbalan Pengarah Urusan Kumpulan Karangkraf,Mohd Nasir Hamzah.

Pada majlis itu sepuluh ekor lembu yang disediakan Pejabat Pejabat Pelyelaras DUN dan Karangkraf dikorban untuk diangihkan kepada fakir miskin sekitar DUN Jertih

Sempena majlis korban itu,Idris yang juga Pengerusia MARA kemudian menyampaikan basikal dan bag sekolah kepada pelajar terpilih serta mengagigkan daging korban.

Seramai 250 pelajar menerima sumbangan bag sekolah manakala 50 yang lain menerima basikal Selain itu, pelajar fakir miskin juga turut menerima sumbangan wang raya RM50 seorang sempena majlis korban itu.

Majlis yang dianjurkan oleh Pejabat Penyelaras DUN Jertih dengan kerjasama Karangkraf dan Peti Undi Alur Lintah itu adalah kali kedua diadakan di situ selepas program pertama dijayakan dengan kerjasama akhbar Harian Metro pada 2010.

Idris menghargai tanggung jawab sosial yang dilaksanakan oleh rakan Media di negara ini kerana menganjurkan program korban yang membolehkan orang ramai khususnya golongan miskin turut menikmati faedah daripada program terbabit.

Pejabat Mufti Terengganu anjur seminar Fatwa dan Falak

Oleh; Esah Abdullah

Jabatan Mufti Negeri Terengganu akan menganjurkan Seminar Pendidikan Fatwa dan Falak di Dewan Sungai Tarom, Setiu pada 1 November depan.

Seminar itu diadakan dengan kerjasama Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam), Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT), Yayasan Islam Terengganu (YIT), Unit Komunikasi Negeri Terengganu (Ukom) dan Pejabat Daerah Setiu, Majlis Daerah Setiu serta Pejabat Agama Daerah Setiu itu dijangka disertai 1,000 peserta.

Seminar kali kedua pernah diadakan itu antara lainnya akan membincangkan isu-isu semasa yang berkaitan dengan astronomi dalam kerangka metodologi ilmu falak serta menyalurkan maklumat astronomi kepada segenap lapisan masyarakat.

Turut menyentuh tentang kefahaman mengenai isu-isu berhubung fatwa yang telah diputuskan oleh jawatankuasa fatwa dan membantu masyarakat dalam memahami isu akidah yang terpesong dari ajaran Ahli Sunnah Wal Jamaah.

Tiga orang panel pembentang akan dijemput sepanjang seminar berlangsung yang terdiri daripada Penolong Pegawai Fakulti Pengajian Kontemprari Islam, Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Encik Ahmad Taufan Abdul Rashid.

Ahli Jawatankuasa Fatwa Negeri Terengganu, Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri dan Pensyarah Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Ustaz Mohd Nidzam Abdul Kader. Pengersui Jawatankuasa Agama dan Penerangan negeri,

YB Haji Khazan Che Mat dijangka akan melakukan perasmian seminar berkenaan.

 

Datin Paduka Seri Rosmah Mansor bakal rasmi Program Hafazan Muqaddam

Oleh: Suriati Ali

 Kira-kira 1,200 kanak-kanak berusia tiga hingga empat tahun dari Taska Permata Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu (YPKT) di seluruh negeri ini akan menyertai Program Hafazan Muqaddam di Stadium Tertutup, Gong Badak, Kuala Terengganu.

Program yang akan diadakan pada 3 November itu bakal dirasmikan Isteri Perdana Menteri, Datin Paduka Seri Rosmah Mansor.

 Pengarah YPKT, Encik Mohd Safaruddin Mustaffa, berkata, jumlah itu meningkat berbanding 1,012 kanak-kanak yang menyertainya program sama pada tahun lalu.

Katanya, ketika mula diperkenalkan dulu iaitu pada 2007, seramai 250 kanak-kanak saja berjaya menghafaz 23 surah lazim, diikuti 455 orang (2008) dan 594 (2009) dan 753 kanak-kanak pada 2010.

“Jadual waktu hafaz enam kali sehari yang dipraktikkan Yayasan Pembangunan Keluarga (YPK) Terengganu yang mengambil masa lima hingga enam minit setiap sesi bacaan, mendorong peningkatan jumlah kanak-kanak hafaz al-Quran setiap tahun.

 “Setiap hari, antara waktu bemain dan aktiviti pembelajaran lain, mereka akan berehat sekejap untuk membaca Muqaddam dan cara begini diterima baik golongan kanak-kanak berusia tiga dan empat tahun,” katanya.

 Katanya, kanak-kanak berkenaan dipastikan peka dengan amalan itu supaya tidak ketinggalan dan mereka yang menunjukkan minat saja akan terpilih.

 “Ibu bapa disarankan membantu anak-anak menghafaz setiap surah dikehendaki di rumah supaya lebih cepat ingat dan lancar,” katanya.

 Katanya, YPKT mengharapkan jumlah lebih besar boleh dicapai kanak-kanak TPK dalam menghafaz 23 surah lazim pada tahun seterusnya.