Halaman

07 November 2012

Keputusan UPSR diumum 19 November

Keputusan UPSR diumum 19 November Keputusan peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) tahun 2012 akan diumumkan pada 19 November ini.

Lembaga Peperiksaan Kementerian Pelajaran dalam kenyataannya mengumumkan majlis pengumuman analisis keputusan UPSR akan diadakan di Bilik Mesyuarat Utama, Aras 6, Blok E8, Kompleks Kerajaan Parcel E, Putrajaya, pada hari yang sama.

Calon-calon UPSR boleh mendapatkan keputusan peperiksaan masing-masing di sekolah mereka pada hari berkenaan.

Seramai 23,325 calon di seluruh negeri ini menduduki peperiksaan UPSR pada 11 hingga 13 September lalu.

Sebelum ini, Terengganu mencatat sejarah apabila muncul juara bagi peperiksaan UPSR selama 11 tahun berturut-turut. Seramai 517,1289 calon menduduki peperiksaan UPSR di seluruh negara tahun ini melibatkan 8,284 pusat peperiksaan.


Pembangkang sudah terdesak meraih penyokong

Oleh: Mohammad Ishak 

Kenyataan dua pemimpin pembangkang behubung isu orang Melayu dalam politik dan agama mencetuskan rasa kebimbangan dikalangan rakyat negara ini kerana ia akan menjurus kepada usaha untuk melemahkan perjuangan umat Islam negara ini.

Presiden PAS,Datuk Seri Hadi Awang yang menimbulkan isu dengan merestui orang Melayu menyertai parti DAP manakala Naib Presiden PKR Nurul Izzah Anwar pula dengan kenyataan Melayu tidak perlu dipaksa menerima sebarang agama tertentu.

Kenyataan dua pemimpin pembangkang berkenaan sebenarnya mencetuskan kemarahan rakyat negara ini terutama yang beragama Islam kerana pemimpin berkenaan dilihat cuba menjual “Melayu” dalam dunia moden.

Selain Hadi yang dilihat cuba membunuh bangsa Melayu menerusi kenyataan yang bersifat politik Nurul pula berusaha untuk melupuskan umat Islam dengan kenyataan yang dianggap tidak bertanggungjawab.

Pengerusi Veteran UMNO Besut, Yusof Kassim berkata, beliau kecewa dengan kenyataan yang dikeluarkan oleh pemimpin pembangkang terbabit kerana ia boleh mencetuskan kemarahan orang Melayu

Katanya, pemimpin terbabit sebenarnya sudah terdesak untuk mencari pengaruh di kalangan orang Melayu untuk menyokong parti PAS dan PKR sehingga sanggup menjual maruah bangsa sendiri.

Menurutnya, pemimpin pembangkang kini sangup menipu rakyat kerana terlalu taksub untuk berkuasa sehingga melupakan sejarah dan menghina bangsa sendiri.

“Sejak kebelakangan ini pemimpin Melayu dari pembangkang sanggup melakukan apa sahaja kerana mereka ingin mencari pengaruh dan sokongan daripada rakyat biar pun sanggup mengadai maruah,” katanya.

Oleh itu,kata Yusof veteran UMNO berasa terguris dengan dua kenyataan yang dikeluarkan oleh pemimpin pembangkang kerana mereka sebenar tidak bermaruah dan tidak ada perjuangan untuk membela nasib bangsa dan menegakkan agama Islam.

70 penduduk miskin di Setiu dipilih sertai ternakan kambing

Kerajaan Terengganu mengenal pasti 70 penduduk miskin di Pancor Bederu, Setiu untuk menyertai projek ternakan kambing Boer yang akan dimulakan Wilayah Pembangunan Ekonomi Pantai Timur (ECER) Februari depan. Menteri Besar, Dato’ SeriHaji Ahmad Said berkata 30 lagi penduduk dari Projek Perumahan Rakyat Termiskin akan menjalani proses temuduga pada Januari ini sebelum layak menyertai projek itu.
"Projek agropolitan berimpak tinggi itu akan disertai 100 peserta dan dijangka memberi pendapatan kira-kira RM1,000 setiap bulan. "Projek ini sangat unik kerana ECER turut membina 100 buah rumah untuk didiami 100 penduduk miskin tegar bagi memastikan mereka selesa sepanjang bekerja di ladang itu," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Pembangunan ECER (ECERDC) di Pengkalan Gawi di Tasik Kenyir, kelmarin. Projek Agropolitan ternakan kambing Boer itu adalah projek sosioekonomi bersepadu hasil inisiatif ECERDC yang bermatlamat membasmi kemiskinan di Pantai Timur.

06 November 2012

Pembangkang ‘main wayang’

Jelas pihak pembangkang ‘main wayang’ isu Presiden Pas sedia tanding di kawasan Parlimen Pekan, Pahang pada pilihan raya umum akan datang.

 Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim yang ditemui wartawan di lobi Parlimen hari ini menjelaskan kepimpinan Pakatan Rakyat (PR) belum memutuskan untuk meletakkan Dato’ Seri Abdul Hadi Awang untuk bertanding di Parlimen Pekan.

Sebaliknya, beliau pula yang mencabar Perdana Menteri Dato’ Seri Mohd Najib Tun Razak mengikuti langkah Abdul Hadi, untuk menyatakan kesediaan bertanding di Parlimen Marang, yang kini milik Abdul Hadi.

 “Kami belum membincangkan perkara itu ... Hadi kata beliau akan tunduk kepada keputusan PAS, jadi tunggu keputusan parti.

 Abdul Hadi sebelum ini menyatakan kesediaan untuk bertanding di kerusi turun temurun keluarga Najib dalam pilihan raya umum ke-13 akan datang.

Hasratnya itu turut disokong oleh Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Inilah sandiwara pihak pembangkang yang semata-mata bertujuan menghangatkan suasana politik tanah air.

Umno Bahagian cakna DUN Ladang

Oleh: Noraini Jusoh 

Demi bagi memastikan penduduk di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Ladang sentiasa mendapat maklumat yang tepat, UMNO Bahagian Kuala Terengganu tidak memandang ringan terhadap perkara ini.


Justeru, Pegawai Pembangunan Dewan Undangan Negeri (PPD) Ladang, Dato’ Wan Hisham Wan Salleh (gambar), baru-baru ini telah turun padang untuk menjelaskan isu Ladang Gemilang yang sengaja dimainkan pembangkang kepada penghuni pangsapuri terbabit.

Menurutnya, penghuni di pangsapuri Ladang Gemilang tidak seharusnya percaya bulat-bulat apa yang dilontarkan puak pembangkang melalui pelbagai medium komunikasi yang sengaja menimbulkan kebencian rakyat terhadap kerajaan sedia ada.

“Sebenarnya tujuan kerajaan negeri membina pangsapuri ini adalah untuk memberikan keselesaan kepada penduduk dengan mewujudkan satu perkampungan baru yang lebih tersusun.

 “Jika dahulu, penduduk kampung Ladang terpaksa tinggal di rumah yang serba daif dan kebersihan kawasan sekitarnya yang kurang terjamin, sekarang perkara tersebut tidak lagi timbul,” katanya ketika ditemui Teganukita pada program salam sayang anjuran Wanita Umno pangsapuri Ladang Gemilang 1, baru-baru ini.

Katanya, pemberian pampasan yang sepatutnya juga telah diterima penduduk, di mana tapak rumah asal dan tanah mereka diambil untuk pembinaan pangsapuri terbabit.

 “Tidak seperti yang belaku di Pulau Pinang, setelah mendapat tanah penduduk dihalau, Kerajaan Terengganu sangat prihatin dengan membina semula sebuah pangsapuri yang serba lengkap untuk mereka,” ujar beliau.

Beliau turut menasihatkan penghuni di pangsapuri terbabit agar membayar sewa secara teratur dalam tempoh tiga tahun untuk melayakkan mereka menukar rumah dengan syarat sewa beli.

“Syarat sebegini ditetapkan bukan untuk menyusahkan pemilik, tetapi untuk mengelakkan mereka memberi sewa atau menjualnya kepada orang lain.

 “Kerajaan negeri membuat pembangunan di kampung Ladang adalah untuk kepentingan penduduk asalnya dan diharap mereka menghargainya,” ujarnya.

 Menjawab soalan berkaitan program ‘e-Kasih’ yang diutarakan oleh seorang penduduk, katanya, buat masa ini pihaknya sedang mengenal pasti mereka yang betul-betul layak untuk menerima rumah di bawah skim ‘e-Kasih’.

 “Ramai penghuni di sini yang memohon, justeru pihak kami sedang memproses maklumat dengan terperinci agar mereka yang betul-betul memerlukan akan mendapat manfaat,” katanya.

 

Ladang Gemilang 1 selesa

Oleh: Noraini Jusoh

 Cantik, selesa dan moden merupakan tiga perkataan yang boleh menggambarkan pangsapuri Ladang Gemilang 1 yang terletak di tengah-tengah Bandaraya Kuala Terengganu.

 Di bawah pimpinan Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, kerajaan negeri Terengganu telah membelanjakan berjuta-juta ringgit bagi membina kediaman yang lebih selesa khusus untuk penduduk asal Kampung Ladang.

Berpegang kepada prinsip ‘Merakyatkan Pentadbiran dan Pembangunan, kerajaan negeri melalui projek perumahan rakyat telah mengadakan majlis penyerahan kunci kepada penduduk yang layak mendiami pangsapuri terbabit pada pertengahan tahun 2010.

Setelah lebih kurang dua tahun mendiami pangsapuri 16 tingkat tersebut, pelbagai reaksi positif diterima daripada penghuninya. Menurut Khatijah Awang, 56, yang merupakan seorang ibu tunggal berkata, tinggal di pangsapuri terbabit memberikan keselesaan kepadanya sekeluarga.

 “Jika dahulu kami tinggal di rumah kayu yang serba kekurangan, tetapi setelah berpindah ke pangsapuri yang mempunyai tiga bilik ini, segala kemudahan juga lengkap disediakan.

 “Walaupun bayaran sewa RM300 sebulan yang sedikit membebankan saya yang hanya bekerja sebagai tukang sapu, tetapi saya tetap bersyukur kerana keprihatinan kerajaan negeri yang telah menyediakan tempat buat kami berlindung,” katanya kepada Teganukita semasa ditemui di pangsapuri terbabit, baru-baru ini.

Rakannya, Zazawati Hamzah, 33, berkata jika hendak dibandingkan dengan harga sewa sebenar seunit pangsapuri di luar sana yang jauh lebih tinggi, harga seunit pangsapuri yang telah diberikan subsidi oleh kerajaan negeri ini agak berpatutan.

“Saya bersama suami dan seorang anak merupakan antara penghuni terawal mendiami pangsapuri ini. “Sekiranya hendak dibandingkan dengan orang lain, kami agak bertuah kerana masih mempunyai tempat tinggal,” katanya.

 

Ladang gaharu kedua mula dibuka

Oleh; Esah Abdullah

Kerajaan negeri mewujudkan ladang gaharu kedua seluas 50 hektar di kawasan Hutan Simpan Mercang, Marang yang boleh memuatkan 40,000 anak pokok gaharu (karas).


Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani negeri, YB Haji Asha’ari Idris (gambar) berkata, keputusan ini dibuat berdasarkan kemajuan projek pertama yang ditaman sejak enam tahun lalu.

``Projek perintis itu (2005) melibatkan kawasan seluas 47 hektar dengan kira-kira 30,500 pokok berjaya ditanam dan hidup subur,’’ katanya.

Beliau berkata, projek perintis yang dibangunkan oleh Jabatan Perhutanan negeri itu mampu berdaya maju serta berdaya saing kerana permintaan tinggi terhadap pokok ini.

Sehubungan itu pada projek kedua, benih pokok dari spesis `aqilaria malaccensis’ telah ditanam pada awal bulan lalu dan kini kira-kira 20,000 anak pokok selesai ditanam dan bakinya dijangka dapat diselesaikan tidak lama lagi.

Katanya, tanaman ini mampu memberikan pulangan lumayan, walaupun terpaksa menunggu antara enam atau tujuh tahun baharu boleh mendapatkan hasil.

 “Penjagaannya juga tidak rumit malah boleh ditanam dalam skala kecil dan bila mencapai usia lima tahun akan disuntik dengan sejenis cecair atau dipanggil proses `inokulasi’ untuk memberikan kesakitan dan mengeluarkan resin (dammar).

Namun begitu, Jabatan Perhutanan negeri terpaksa menanggung kos yang tinggi untuk mendapatkan cecair bagi kegunaan pokok gaharu,” katanya yang telah mengadakan lawatan ke Vietnam baru-baru ini bagi meninjau penggunaan bahan tersebut di negara berkenaan.

Menurutnya, petani di Vietnam menggunakan cecair untuk kegunaan pokok gaharu dengan harga yang murah dan kini sedang diuji kepada pokok gaharu yang ditanam di negeri ini untuk memastikan tahap kualitinya.

``Jika hasilnya sama, kemungkinan kerajaan negeri akan mengimport cecair tersebut dari Vientam kerana harga yang agak rendah berbanding yang dibeli di negara ini,’’ katanya.

 

LPT 2 dijangka siap akhir 2014

Oleh: Aida Abd Rahman

Projek Lebuh Raya Pantai Timur (LPT) Fasa 2 dijangka dapat dibuka sepenuhnya kepada orang ramai pada akhir 2014.



Sehingga kini, sebanyak 60 hingga 70 peratus daripada projek yang melibatkan 17 pakej itu sudahpun siap dengan dua daripadanya diserahkan tahun ini dan tiga pakej lagi pada tahun depan.


Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Haji Mazlan Ngah, berkata berdasarkan taklimat kemajuan LPT Fasa 2 oleh Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) minggu lalu, kegagalan kontraktor menyiapkan mengikut tempoh ditetapkan dan timbul masalah berkaitan projek menyebabkan dua pakej perlu ditender semula.

“Ada pakej yang sudah siap sepenuhnya dan ada yang sedang rancak disiapkan yang dijangka selesai tahun depan. Dua pakej dijangka akan diserahkan pada November dan Disember tahun ini, manakala tiga pakej lagi dijangka siap pada2013.

“Kita minta pihak LLM dan Jabatan Kerja Raya supaya mana-mana pakej (jajaran) yang berjaya disiapkan dan bersambung itu dibuka kepada orang ramai tanpa perlu menunggu siap sepenuhnya, sebagaimana jalan Kampung Gemuroh-Bukit Besi yang mula dibuka untuk kemudahan umum sejak Ogos tahun lepas,” katanya kepada pemberita, di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu, baru-baru ini.


Dua pakej yang ditender semula membabitkan pakej empat melibatkan laluan sepanjang 7.3 kilometer (km)menghubungkan Stesen Penyelidikan Mardi ke Ladang Cherul, Kemaman serta pakej tujuh sepanjang 13.7 km dari Bukit Mempusi ke Felda Kertih 6, Kemaman.

Katanya, pihaknya berharap pada awal 2013 sebahagian pakej dan jajaran boleh dibuka kepada orang ramai, sekali gus dapat mengurangkan kesesakan trafik di laluan pantai khususnya pada musim perayaan.

“Kemudahan LPT ini menjadi alternatif kepada pengguna untuk mengurangkan kesesakan di jalan pantai (Kuala Terengganu-Kuantan) terutama pada musim perayaan apabila orang ramai bersesak-sesak memasuki dan meninggalkan Terengganu,” katanya.


LPT 1 sepanjang 160 km,menghubungkan Karak ke Kuantan, Pahang siap pada 2004. Sementara LPT 2 sepanjang 185 km bermula dari Jabur dan berakhir di Gemuruh, di bahagian utara Kuala Terengganu.

Infrastruktur yang melibatkan lebuh raya bertaraf tinggi dengan empat -lorong dua hala, dilengkapi dengan pelbagai kemudahan seperti 10 persimpangan bertingkat, kawasan rehat dan rawat, hentian sebelah, lampu jalan dan plaza tol dengan berasaskan kriteria reka bentuk serta pemilihan laluan.

 LPT 2 menjadi perintis kepada pembangunan kawasan pedalaman dan mempercepatkan lagi pertumbuhan tiga negeri Pantai Timur untuk memenuhi objektif kerajaan dalam menyeimbangi pertumbuhan ekonomi di antara semua negeri-negeri di Malaysia.









Kolej Ketengah sedia program latihan diploma guru pra sekolah seluruh negara

Oleh; Esah Abdullah



Kolej Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah) menjadi perintis dalam pengendalian program latihan diploma bagi guru pra sekolah di seluruh negara.


Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Dato’ Seri Mohd Shafie Apdal (gambar) berkata, seramai 100 guru pra sekolah akan terlibat bagi setiap sesi yang akan dilaksanakan dalam masa terdekat.

“Ini merupakan projek perintis di kolej berkenaan dalam usaha melahirkan guru-guru terlatih serta memiliki diploma,” katanya di majlis Menandatangani Kerjasama Persefahaman (MOU) antara Ketengah, MARA dan Kemas di Bandar Al Muktafi Billah Shah Dungun semalam.

Hadir sama, Ketua Pengarah MARA, Dato’ Ibrahim Ahmad; Ketua Pengarah Kemas, Tuan Hassan Mohd Amin dan Pengurus Besar Ketengah, Haji Wan Mat Amin Wan Daud.

Menurutnya, sehingga kini terdapat 3,621 guru-guru Tabika Kemas telah mengikuti kursus Diploma Perguruan Malaysia (DPM) dan seramai 2,148 telah menamatkan pengajian sementara 1,473 masih dalam pengajian.

Katanya, kerjasama Ketengah dan Kemas mampu meningkat pembangunan kemahiran dan pendidikan kepada semua lapisan peringkat umur memandangkan Kemas mempunyai program Pra Sekolah (Tabika dan Taska), literasi komputer, literasi fungsian, pendidikan kesejahteraan keluarga dan pusat sumber.

“Kemas menyediakan pelbagai latihan dan pendidikan melibatkan kemahiran jahitan, masakan,  dandanan, kraftangan dan kemahiran komputer,” katanya.

Sehubungan itu, terdapat 97 buah kelas Tabika di seluruh Wilayah Ketengah dengan bilangan murid 665 orang dan tenaga pengajar 56 orang.

Selain itu di bawah program kesejahteraan keluarga terdapat 148 peserta dengan lima tenaga pengajar, kelas jahitan 17 peserta seorang tenaga pengajar dan program bina insan 30 peserta dan dua tenaga pengajar.





Nafi tohmahan soalan UPSR bocor

Oleh: Suriati Ali

YB Muhammad Ramli Nuh menyampaikan Anugerah Tokoh Murid kepada pelajar Tahun Enam, Wan Aliyah Wan Abd Aziz di SKBC, semalam. 

Kerajaan negeri menafikan tohmahan yang tersebar bahawa kecemerlangan yang dicapai calon Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) di Terengganu disebabkan soalan bocor.

Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Penerangan negeri, YB Haji Muhammad Ramli Nuh, berkata kejayaan Terengganu mengekalkan prestasi terbaik 11 tahun berturut-turut disumbangkan beberapa faktor termasuk kerja keras guru-guru, keprihatinan ibu bapa dan kesungguhan murid.

 "Ini adalah tanggapan negatif masyarakat luar yang tidak tahu betapa seriusnya jabatan dengan kerjasama erat kerajaan negeri mahu menjadikan Terengganu sebagai negeri anjung ilmu dan kuasa baru dalam dunia pendidikan di Malaysia.

“Kerajaan negeri menyediakan peruntukan besar serta memberikan pelbagai kemudahan kepada pelajar di Terengganu bagi memastikan mereka berjaya dalam pelajaran,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Anugerah Cemerlang dan Graduasi Kanak-kanak Pra Sekolah di Sekolah Kebangsaan Bukit Chempaka (SKBC), Batu Rakit, Kuala Terengganu, petang semalam.

 Hadir sama, Guru Besar SKBC Haji Saikh Kamaruden Saikh Ismail dan Pengerusi Ibu Bapa dan Guru, Encik Wan Khairul Arifin Dato’ Wan Ibrahim.


Sebahagian murid cemerlang menunjukkan hadiah yang diperoleh 

YB Haji Muhammad Ramli yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tepoh turut memberitahu bahawa setiap murid yang mementingkan pelajaran akan berjaya dalam kehidupan kelak.

“Jangan jadikan alasan datang daripada keluarga miskin atau susah untuk seseorang itu tidak meneruskan pelajaran ke peringkat lebih tinggi.

“Jika berfikiran seperti itu, kita tidak akan ke mana serta gagal mengubah kehidupan keluarga masing-masing ,” katanya.