Halaman

02 December 2012

Kesetiaan jadi tunjang kekuatan parti

Oleh: Aida Abd Rahman

Kesetiaan terhadap parti menjadi tunjang utama kepada kekuatan Umno dan juga Barisan Nasional (BN) seterusnya mengekalkan pemerintahan pada Pilihan Raya Umum (PRU13).

Maka, bersandarkan kepada perkara pokok itu, Presiden Umno, Dato’ Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak meminta kesemua perwakilan Umno 2012 di PWTC, yang berakhir petang semalam `tepuk dada, tanya selera’ sebaik selesai perhimpunan itu, terhadap soalan cepu emas beliau yang berbunyi “Kalau anda tidak terpilih sebagai calon, adakah anda akan sokong sepenuhnya calon yang dipilih Umno dan BN?”.

Di sebalik soalan itu, beliau seraya menyenaraikan lima kemungkinan jawapan yang sewajarnya dipertimbangkan oleh perwakilan serta ahli Umno, iaitu pertama, akan sokong sepenuhnya calon yang dipilih parti; kedua, sokong, ketiga, tak bekerja; keempat, sabotaj dan kelima, lompat parti.

Menurut Dato’ Seri Najib `survey’ yang tidak perlu dijawab dalam borang, sebaliknya hanya memerlukan jawapan ikhlas dalam jiwa sanubari setiap ahli Umno itu cukup penting sebagai kayu ukur terhadap kesetiaan ahli Umno memperjuangan kedaulatan parti selama ini.

Sekiranya kesemua ahli parti dan perwakilan seia-sekata memilih jawapan `pertama’, pastinya PRU13 BN mampu mempertahankan mandat rakyat sekali gus memenangi dua pertiga kerusi yang dipertandingkan nanti.

Pun begitu, Perdana Menteri turut meluahkan kegusaran pada pilihan raya nanti, bukan kerana kekuatan pembangkang selain beliau turut meletakkan keyakinan bahawa rakyat sudah mampu menilai parti sebenar yang mampu memperjuangkan nasib bangsa dan agama, tidak lain tidak bukan pastinya Umno dan BN serta mampu memihak kepada parti itu.

Sebaliknya, Dato’ Seri Mohd Najib khuatir jika matlamat sebenar dalam memperjuangkan parti dan mempertahankan kedaulatan dan kesucian agama Islam, membela nasib Melayu dan negara terjejas ekoran wujudnya rasa kecewa apabila tidak terpilih sebagai calon.

 “Yang saya khuatir sikit saja, soal kita sesama kita. Katakan dengan penuh yakin dan percaya, katakan dari hati dan jiwa kita, demi Islamdemi Melayu, demi Malaysia, demi bumi bertuah kita, demi anak cucu kita, kita mesti setia pada perjuangan umno demi kedaulatan dan kesucian agam Islam kerana Umno mempertahankan Islam.

 “Kita mesti taat kepada pemimpin parti demi kemenangan parti kerana hanya Umno pembela rakyat,” kata Perdana menteri dalam ucapan penggulungan beliau itu lagi.

Selain itu juga, intipati sebalik ucapan penggulungan beliau semalam turut menyentuh mengenai usaha kerajaan yang bakal menubuhkan institusi Umno dalam tempoh terdekat bagi menyediakan barisan kepimpinan generasi baru parti yang lebih ampuh bagi berdepan cabaran akan datang.

Malah, beliau turut mengumumkan had pinjaman Amanah Ikhtiar Malaysia ditambah sekali ganda menjadi RM100,000, berbanding hanya RM50,000 sebelum ini.

Pada masa yang sama, kerajaan akan mengkaji semula Undang-Undang kebangkrapan yang terlalu ketat serta mencari jalan melepaskan mereka yang diisytiharkan muflis.

 Presiden Umno juga meminta semua ahli Umno lebih celik media sosial berikutan kemajuan dunia tanpa sempadan hari ini menyebabkan segala fitnah dilemparkan terhadap parti menerusi medium berkenaan.


Kolej Ketengah ambil 350 pelajar pertama 2013

Oleh; Esah Abdullah

Kolej Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah) mensasarkan 350 orang pelajar cemerlang bagi pengambilan pertama mulai tahun depan (2013).

 Pengurus Besar Ketengah, Haji Wan Mat Amin Wan Daud berkata, usaha ini dirancang melalui kerjasama strategik antara Ketengah dan MARA untuk pembangunan dalam sektor pendidikan.

“Pelajar terbabit akan melanjutkan pengajian peringkat persediaan A-lever dan International Baccalaureate di kolej ini sebagai persediaan ke universiti terkemuka di luar negara,” katanya.

Katanya, kolaborasi antara dua agensi ini mampu bersaing di peringkat globalisasi di samping membangunkan modal insan yang akan menjadi nadi dalam memacu bidang pendidikan ke tahap global.

“Pendidikan berkualiti bertaraf dunia merupakan satu pelaburan jangka panjang yang berdaya maju dan mampu menyumbang ke arah pengukuhan ekonomi negara,” katanya.

Menurutnya, Kolej Ketengah dilengkapi 16 bilik kuliah, sebuah dewan utama dan auditorium, kompleks sukan serta asrama yang selesa serta tenaga pengajar yang professional dan berpengalaman dari MARA.

“Saya yakin pelajar di kolej ini nanti mampu memberi satu pencapaian ampuh dalam memacu kecemerlangan seperti lain-lain pusat pengajian tinggi di negara ini,” katanya

 

695 kes denggi di Terengganu

Oleh: Noraini Jusoh

Sebanyak 695 kes denggi dilaporkan di seluruh Terengganu untuk tempoh Januari hingga 28 November lalu berbanding 612 kes untuk tempoh yang sama tahun lalu.

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT), Dr Anwa Sulaiman berkata, daripada jumlah tersebut, 649 kes yang direkodkan melibatkan demam denggi dan 46 kes melibatkan demam denggi berdarah.

"Walaupun peningkatan kes sebanyak 13.6 peratus namun untuk tahun ini tiada kes kematian akibat denggi dicatat setakat ini berbanding satu kes kematian berlaku pada tahun lepas.

"Berdasarkan kes denggi yang direkodkan oleh JKNT, Kuala Terengganu mencatatkan jumlah tertinggi dengan 255 kes, diikuti Besut (123), Dungun (103), Kemaman (87), Hulu Terengganu (56), Marang (49), dan Setiu (22),” ujarnya dalam satu kenyataan media baru-baru ini.

Katanya, salah satu cara untuk mengatasi masalah denggi ialah melalui kesedaran dan keprihatinan dalam kalangan masyarakat itu sendiri.

"Orang ramai hanya perlu meluangkan masa seminggu sekali dalam tempoh lebih kurang sepuluh minit dengan melakukan pemeriksaan di rumah, kedai, atau premis masing-masing untuk memastikan tiada tempat pembiakan nyamuk.

"Selain itu, anggota masyarakat juga boleh mengadakan gotong-royong secara berkala mungkin sebulan sekali di taman perumahan atau kawasan pejabat umpamanya demi memastikan kebersihan kawasan terbabit terjamin dan bebas daripada menjadi tempat pembiakan nyamuk,” ujarnya.

Menurut Dr. Anwa, pihaknya akan mengenakan kompaun sebanyak RM500 sekiranya sesuatu premis itu dikenalpasti sebagai tempat pembiakan nyamuk.

Difahamkan, sehingga kini JKNT telah memeriksa 177,783 premis di seluruh Terengganu dan telah mengeluarkan sebanyak 1068 kompaun kepada premis yang didapati ada tempat pembiakan nyamuk dan berisiko membawa wabak denggi.

 

Taat kepada pemimpin demi kemenangan parti – Najib

Analisis berita oleh: Kamarudin Mat Akib

Presiden Umno, Dato’ Seri Mohd Najid mengemukakan soalan cepumas kepada perwakilan Umno 2012 yang berakhir petang semalam, berbunyi “Kalau anda tidak terpilih sebagai calon, adakah anda akan sokong sepenuhnya calon yang dipilih Umno dan BN (Barisan Nasional) ?”.

Secara sinis, beliau mengemukakan lima jawapan kepada soalan tersebut untuk dipetimbangkan jawapannya oleh perwakilan dan semua ahli Umno, iaitu akan sokong sepenuhnya calon yang dipilih, sokong, tak bekerja, sabotaj dan lompat parti.

Dalam hal ini, tentunya jawapan yang paling dikehendaki oleh pucuk pimpinan Umno ialah saya akan sokong sepenuhnya calon yang dipilih walaupun saya tidak menjadi calon pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU 13) nanti.

Presiden parti menjelaskan ada sedikit kebimbangan di hati beliau iaitu masalah sesama ahli Umno, termasuk kemungkinan berlaku sabotaj jika mereka tidak terpilih sebagai calon.

Ini merupakan masalah yang berlaku sejak dulu dan sering menjadi ‘duri dalam daging’ kepada parti setiap kali menghadapi pilihan raya.

Pada ucapan perasmiannya, Perdana Menteri ada menyebut bahawa pilihan raya kali ini luar biasa dan menuntut komitmen penuh daripada pemimpin dan penyokong Umno bagi menafikan hasrat pembangkang menawan Putrajaya.

Setiap pemimpin dan hali Umno perlu menanam dalam hati mereka jawapan “saya akan sokong sepenuhnya calon yang dipilih walaupun saya tidak menjadi calon’” bagi memastikan kemenangan calon-calon Umno dan BN.

Mereka perlu berkorban jiwa dan raga, malah harta benda bagi memastikan kemenangan calon Umno dan BN pada PRU 13.

Bak kata Dato’ Seri Mohd Najib pakatan pembangkang tidak kuat dan beliau yakin pengundi akan memihak kepada Umno dan BN pada pilihan raya akan datang.

Ketiga-tiga sayap parti pula, Wanita, Pemuda dan Puteri telah menyatakan komitmen mereka untuk berjuang hingga ke titisan darah terakhir pada PRU 13 bagi memastikan kemenangan Umno dan BN.

Mereka sanggup berada di barisan depan apabila semboyan dibunyikan bagi memanstikan hasrat pembangkang menguasai Putrajaya tidak akan dicapai.

Sekarang ini terpulang kepada para pemimpin Umno dan penyokong mereka untuk membuat keputusan sama ada memilih jawapan yang boleh memenangkan parti atau menjahanamkan parti selepas nama-nama calon dimumumkan nanti.

Kita yakin pemimpin Umno, khususnya di kalangan mereka yang sudah menjadi wakil rakyat sama ada di peringkat DUN atau Parlimen akan memilih jawapan yang memenangkan parti seandainya nama mereka tidak dicalonkan semula pada PRU 13.

Atas semangat cintakan Umno dan BN, mereka tidak akan tergamak mensabotaj parti jika nama ‘tidak naik’ kali ini.

Jika itu jawapan yang pasti, tidak syak lagi Umno dan BN bukan saja akan menang pada PRU 13, tetapi dapat menguasai majoriti dua pertiga.

Mereka perlu menghayati permintaan Presiden Umno yang berbunyi “Demi Islam, demi Melayu, demi bumi bertuah kita, demi anak cucu kita, kita mesti setia pada perjuangan Umno, demi kedaulatan dan kesucian agama Islam kerana Umno mempertahankan Islam.

Kita mesti taat kepada pemimpin parti demi kemenangan parti kerana hanya Umno membela rakyat,”. Kata-kata keramat ini perlu ditanam dalam setiap hati pemimpin, ahli dan penyokong Umno bagi memastikan Umno dan BN menang dalam pilihan raya akan datang.




PM yakin BN dapat majoriti dua pertiga

Perdana Menteri, Dato’ Seri Mohd Najib Tun Razak berkata Barisan Nasional (BN) yakin akan memperoleh majoriti dua pertiga dalam pilihan raya umum akan datang.

Beliau yang juga Presiden Umno berkata BN, gagasan yang memerintah dengan Umno sebagai tonggak utama, akan berusaha sedaya upaya untuk mencapai matlamat itu.

 "Inilah sasaran kami, untuk mencapai majoriti dua pertiga, dan kami akan berusaha sedaya upaya untuk melaksanakannya," katanya pada sidang akhbar selepas menggulung perbahasan pada hari terakhir Perhimpunan Agung Umno 2012 di Kuala Lumpur, semalam.

Dato’ Seri Mohd Najib menyuarakan keyakinan bahawa momentum dan semangat parti yang terhasil daripada perhimpunan itu akan dapat dikekalkan sehingga pilihan raya umum.

"Momentum adalah baik dan saya pasti, saya amat yakin bahawa mereka (perwakilan Umno) akan membawa pulang semangat perhimpunan ini...mood perhimpunan keseluruhannya amat bertenaga," katanya dan menambah Umno sedia untuk 'berperang'.

Ditanya bagaimana Umno akan menangani sabotaj dalam parti, Najib yakin anggota Umno akan bertindak rasional dan tidak akan merosakkan parti jika mereka benar-benar sayangkan Umno.

"Kalau dalam hati dia sayangkan Umno dan dalam minda dia tahu bahawa sesuatu perbuatan seperti itu boleh merosakkan parti, merosakkan dia juga, saya percaya dia akan bertindak secara rasional," katanya dalam ucapan penggulungannya,

Najib melontarkan soalan 'cepumas' penuh bermakna bagi menguji tahap kesediaan anggota Umno untuk menyokong parti sekiranya mereka tidak terpilih sebagai calon pilihan raya umum ke-13 nanti.

Lima kemungkinan ditawarkan beliau bagi menjawab soalan cepumas yang sarat dengan mesej itu -- sokong sepenuhnya calon dipilih parti; sokong; tidak bekerja; sabotaj; atau lompat parti.

Dalam ucapannya itu, beliau menyebut terdapat kes menteri dan timbalan menteri yang mengkhianati parti kerana gilakan kuasa setelah tidak lagi diberi jawatan.


01 December 2012

Kawat juarai MBC 2012

Oleh: Aida Abd Rahman

Pasukan Kelab Wartawan Terengganu (Kawat) muncul juara dalam cabaran Media Beach Challenge (MBC) 2012 yang berlangsung di pesisir Pantai Batu Buruk, semalam (30 November).

Tempat kedua menjadi milik pasukan Bernama, manakala ketiga Kumpulan Utusan. Kesemua pemenang berjaya membawa pulang hadiah berupa barangan sukan, hamper dan juga plak penyertaan.

Dalam cabaran yang bermula jam 9 pagi dan berakhir tiga jam kemudian itu, kesemua pasukan yang bertanding perlu menyelesaikan lapan tugasan yang menguji ketangkasan fizikal dan minda secara berkumpulan.

Antara tugasan itu seperti menghasilkan replika kapal layar, istana pasir, mencari bola pingpong yang tersembunyi dalam pasir, membawa guli dalam piring secara berhalangan dan makan makanan mentah.

Ketua pasukan Kawat, Haji  Ahmad Redza Arshad, berkata acara itu bukan hanya menguji kemampuan minda dan fizikal mengharungi setiap tugasan, sebaliknya dapat memupuk semangat setiakawan dan muafakat yang tinggi.

“Pertandingan seumpama ini memang jarang dilaksanakan. Bagaimanapun, kami pihak media amat menghargai usaha penganjur melaksanakan acara ini kerana ia bukan sahaja memberi peluang kami menerokai sesuatu pengalaman baru, di luar bidang tugasan media, malahan memanfaatkan keindahan alam semula jadi di Terengganu dengan melakukan aktiviti menyeronokkan,” katanya.

Penyertaan tahun ini meningkat berbanding sejak 2010 apabila 14 pasukan menyahut cabaran menyertai pertandingan anjuran Pejabat Kementerian Pelancongan Malaysia Negeri Terengganu itu.

Antara pasukan media lain yang turut serta adalah Unit Komunikasi Negeri Terengganu, Harian Metro, Media Prima dan Sinar Harian.

Pengarahnya, Encik Mohd Sabri Zakaria menyampaikan hadiah kepada semua pemenang dan peserta bertanding.

Program itu juga bertujuan mempromosikan Kempen 1Malaysia Bersih dan Indah Jelajah Terengganu 2012 yang merupakan antara program utama Kementerian Pelancongan Malaysia.

 

Pemburu haiwan liar diminta patuhi waktu

Oleh; Esah Abdullah

Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) mengingatkan pemburu berlesen atau pemegang permit khas yang memburu haiwan liar, tidak menjalankan aktiviti memburu diluar masa yang ditetapkan.

 Timbalan Pengarah Perhilitan Terengganu, Encik Mohd Hasdi Husin berkata, mengikut Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716) memperuntukkan mana-mana individu, sama ada dia seorang pemburu berlesen atau pemegang permit khas yang memburu haiwan liar pada masa selain masa yang ditetapkan adalah melakukan kesalahan.

“Jika sabit kesalahan mereka boleh didenda tidak melebihi RM30,000 atau di penjara tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya.

Katanya, pemburuan di luar waktu adalah salah. Contohnya pemburu babi hutan hanya boleh diburu pada jam 6.30 pagi hingga 7.30 malam, selain pada waktu itu tidak dibenarkan berbuat demikian dan jika tertangkap boleh didakwa.

Katanya, berhubung dengan pemburuan keluang, Perhilitan mewartakan haiwan itu tidak lagi boleh diburu kerana sebab-sebab pemuliharaan berkuatkuasa 6 Mac lalu.

 “Saya minta kerjasama orang ramai yangmelihat mana-mana individu atau pemburu haiwan pada masa bukan sepatutnya supaya melaporkan kepada jabatan dengan menghubungi talian 09-6221460,” katanya.

Katanya, kerjasama orang ramai dan sikap bertanggung jawab pemburu boleh mengelak berlaku perkara yang tidak diingini termasuk kemalangan yang mengakibatkan kehilangan nyawa.

 

Persiapan rapi hadapi banjir

Oleh: Noraini Jusoh

Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT) melakukan persiapan rapi sebagai persediaan awal menghadapi kemungkinan banjir walaupun belum ada tanda-tanda musim tengkujuh melanda negeri ini.

Pengarah JKNT, Dr. Haji Anwa Sulaiman berkata, pihaknya telah menubuhkan pasukan perubatan dan pasukan kesihatan di setiap daerah bagi melancarkan kerja-kerja membantu mangsa banjir.

“Seramai 324 anggota jabatan telah bersedia laksanakan tugasan masing-masing jika banjir melanda negeri ini.

“Daripada jumlah tersebut, para petugas akan dibahagikan kepada 81 kumpulan iaitu 41 kumpulan pasukan perubatan dan 40 kumpulan pasukan kesihatan dan setiap pasukan akan diwakili oleh empat orang petugas,” ujarnya.

 Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai persiapan banjir di sidang media selepas selesai Majlis Pelancaran Kutipan Derma Kemanusian Palestin 2012, baru-baru ini.

Katanya, pasukan perubatan akan bertanggungjawab menyediakan perkhidmatan kepada mangsa banjir di pusat pemindahan dari sudut pemantauan kesihatan dan menangani kes-kes kecemasan dengan merujuk kepada hospital sekiranya perlu.

 “Manakala, pasukan kesihatan pula akan memberi perhatian terhadap persekitaran pusat pemindahan dengan memastikan segala bekalan air dan makanan sentiasa bersih dan terkawal agar tidak berlaku masalah kesihatan yang lain seperti keracunan makanan dan sebagainya,” ujarnya.

 Dalam pada itu, Dr. Haji Anwar turut menasihatkan orang ramai supaya sentiasa mengawasi anak-anak kecil agar tidak menjadi mangsa banjir.

 “Selain itu, apabila diminta berpindah sementara ke pusat pemindahan yang disediakan, kepada pesakit kronik diingatkan supaya pastikan buku rekod perubatan dan ubat dibawa bersama manakala para ibu yang mengandung pula perlu pastikan keperluan peribadi dan bayi ada bersama mereka,” katanya.

 

Ceria Kabin tawar khidmat terbaik

 Oleh: Suriati Ali 

Pengusaha kabin tersohor Terengganu, Puan Azizah Aziz, 49, mampu melebarkan sayap Ceria Kabin sehingga ke serata negeri walaupun pada awal perniagaan tidak mengenali apa itu kabin.

. Juga tanpa memiliki kelulusan tinggi dan bekalan ilmu berkaitan bidang itu, Puan Azizah kini semakin `gah’ menerima tempahan puluhan kontraktor berjaya, jabatan kerajaan dan agensi kerajaan.

Jabatan Kerja Raya (JKR), Majlis Bandaraya Kuala Terengganu, Yayasan Pembangunan Usahawan Terengganu, Lembaga Pemasaran Pertanian Pesekutuan (Fama) setia menempah produk Ceria Kabin.

 Rata-rata pelanggan mengakui tidak serik berurusan dengan syarikat itu kerana mengetahui produk yang ditawarkan bermutu tinggi, memenuhi citarasa pelanggan, moden dan canggih.

 Pada awal perniagaannya, beliau seakan tidak berani memikul tanggungjawab yang diamanahkan pegawai atasan MBKT bagi membekalkan empat unit kabin ke tapak projek kitar semula

. “Saya bimbang dengan tugasan itu kerana bukan saja tidak mengetahui lokasi pembekal, tiada pekerja, malah tidak mengenali apa itu kabin.

 “Dengan berbekalkan semangat dan dorongan tanpa jemu, keluarga dan suami tercinta, Mohd Zulkifli Nawang, saya nekad melaksanakannya dalam tempoh dua minggu dan pelanggan menerima tanpa runggutan,” kata Puan Azizah.

Bermula dengan tugasan itu, beliau nekad melebarkan sayap perniagaan dengan menawarkan produk yang ada kepada beberapa kontraktor terkenal dan jabatan kerajaan di Terengganu.

 Selepas mendapat kepercayaan pelbagai pihak, Ceria Kabin kini tidak putus-putus menerima tempahan pelanggan tempatan dan luar Terengganu yang menginginkan pelbagai struktur kabin.

Apa yang diminta pelanggan seperti tandas bergerak, kios, chalet, surau dan gerai jualan cuba diusahakan Puan Azizah walaupun ia sukar dilaksanakan.

 Puan Azizah berkata, saban tahun, cita rasa pelanggan sentiasa berubah-ubah, daripada kabin berstrukturkan papan lapis dan kayu kepada aluminium dan pelbagai material moden.

Katanya, apa yang diinginkan pelanggan, dia seboleh-bolehnya cuba usahakan sehingga berjaya memenuhi cita rasa mereka.

“Saya pernah diberikan kepercayaan MBKT untuk menyiapkan tandas kabin Orang Kurang Upaya (OKU), hasil idea dan komitmen pekerja berpengalaman, tandas itu berjaya disiapkan memenuhi cita rasa pelanggan.

 “Apa yang membanggakan, hasil usaha itu turut mendapat perhatian pelanggan luar negara yang meminta Ceria Kabin menyiapkan pondok pengawal di Tasik Kenyir,” katanya.

Bagi mendalami ilmu dan mencari pengalaman dalam pelbagai bidang, pemilik Ceria Kabin itu gemar mengikuti pelbagai program dan aktiviti kemasyarakatan, termasuk kursus hawa dingin, spa dan kecantikan dan seni taman.

 Puan Azizah mengakui melalui pendekatan itu, Ceria Kabin mampu berkembang kerana pelanggan yang dikenali melalui seminar dan kursus banyak membantu mencari pelanggan dan tidak lupa menempah kabin untuk pelbagai tujuan.

 

Tidak adil Pas dakwa Umno murtad - Dr Mahathir

Analisis berita oleh: Kamarudin Mat Akib

Hari ini orang Islam bukan saja tidak bersatu, tetapi pecah seribu dan sering berperang sesama mereka.

Dengan itu mereka menjadi lemah dan mudah dikuasai oleh musuh Islam.

Keadaan ini berlaku kerana ketaksuban pengikut pentafsir-pentafsir agama Islam, begitu keluhan mantan Perdana Menteri, Dato’ Seri Dr Mahathir Mohamad.

Jelas beliau amat kecewa apabila pemimpin Pas menuduh Umno murtad dan mereka juga sanggup mendoakan supaya Umno dan Barisan Nasional (BN) dijahanamkan.

Bukan saja Dr Mahathir, tetapi ramai tokoh agama di negara ini turut mengecam tindakan Pas, termasuk Mursyidul Am, Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat yang mendakwa orang Umno murtad.

Mereka menyifatkan selagi seseorang Islam itu mengucap dua kalimah syahadah dan tidak menyekutukan Allah, dia masih tetap orang Islam.

Bagaimana pula orang Pas boleh menilai seseorang itu murtad sedangkan mereka masih menunaikan perintah Tuhan dan tidak pernah menghalalkan yang haram dan mengharamkan perkara yang halal.

Sudah sampai masanya orang Pas bertaubat dan tidak membuat tuduhan sesuka hati terhadap orang Umno.

Contohilah pemimpin dan pengikut Umno yang sentiasa mendoakan kesejahteraan dan kerahmatan kepada orang Pas walaupun mereka dikecam begitu rupa.

Amalan mulia Umno ini begitu terselrlah ketika Perhimpunan Agung 2012 di Pusat Dagangan Dunia Putra, Kuala Lumpur apabila Timbalan Presiden Umno sendiri mendoakan kesejahteraan kepada Pas dan meminta Allah s.w.t membuka pintu hati pemimpin dan pengikut Pas supaya melakukan kebaikan dan kembali ke pangkal jalan.

Manakala bekas pemimpin nombor satu Umno itu menegaskan Umno tidak akan menghukum Pas kerana banyak salah guna Islam. “Allah s.w.t yang akan hukum mereka,” kata Dr Mahathir.