Oleh: Aida Abd Rahman
Bantuan RM2,000 kepada ibu dan bapa tunggal yang ingin berkahwin semula bermula tahun depan mampu membantu mengurangkan bebanan mana-mana golongan itu yang berhasrat membina kehidupan berumahtangga bersama pasangan masing-masing.
Pengerusi Kelab Ibu Tunggal Dewan Undangan Negeri Wakaf Mempelam, Puan Saidah Salleh, 56, berkata dia tidak pernah terfikir sama sekali kerajaan akan menyediakan bantuan seumpama itu yang dapat menggalakkan golongan ibu atau bapa tunggal untuk berkahwin semula selama bercerai mahupun berpisah mati.
“Sekiranya sudah ada pasangan dan calon pilihan untuk dibuat suami serta isteri, maka dengan bantuan RM2,000 setiap ibu atau bapa tunggal itu mampu menyegerakan impian mendirikan rumahtangga.
“Insiatif kerajaan ini membuktikan kerajaan tidak pernah meminggirkan nasib golongan ibu atau bapa tunggal dalam setiap perancangan dan peruntukan tahunannya selain bajet RM20 juta untuk menjalankan pelbagai program bagi meningkatkan taraf hidup golongan itu,” katanya.
Seorang ibu tunggal dari Kampung Bukit Kubang Jambu, Puan Zulhanita Jusoh, 40, berkata pengumuman kerajaan itu sebagai satu hadiah kepada golongan itu untuk berkahwin dan mempunyai keluarga yang sempurna selepas hidup `membujang’.
“Keputusan kerajaan itu amat tepat pada masanya. Selain membantu golongan yang tidak bernasib baik dan kurang berkemampuan, bantuan itu juga dapat membantu menyegerakan hasrat `membina masjid’ apatah lagi jika sudah berhajat menamatkan zaman bujang masing-masing.
“Bagaimanapun, jangan tergesa-gesa sehingga tersilap memilih pasangan hidup. Sebaliknya, jadikan pengalaman hidup ketika melalui fasa penceraian sebelum ini sebagai pengajaran bagi mengelak masalah yang sama menimpa kita pada kemudian hari,” katanya.
Bermula Januari depan, Kerajaan Terengganu bakal memperuntukkan bantuan sebanyak RM2,000 kepada mana-mana ibu tunggal dan bapa tunggal yang berkahwin semula.
Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Masyarakat dan Wanita negeri, Dato’ Yahya Khatib Mohamad, berkata bantuan julung kali diwujudkan itu bertujuan mengalakkan golongan berkenaan mendirikan rumah tangga semula selepas melalui fasa perceraian.
"Peruntukan RM2,000 berkenaan merupakan inisiatif kerajaan negeri bagi meringankan beban golongan itu untuk meneruskan kehidupan baru bersama pasangan mereka," katanya pada sesi penggulungan pada persidangan DUN, baru-baru ini.
Sehingga kini seramai 21,838 ibu tunggal dan 2,890 bapa tunggal direkodkan di negeri ini.
Selain itu, peruntukan RM20 juta dalam Bajet Terengganu 2013 di bawah program ibu tunggal turut diagihkan kepada golongan bapa tunggal.
"Di dalam Belanjawan 2013 sebanyak RM20 juta disediakan untuk ibu tunggal dan daripada jumlah itu kita akan ambil kira untuk diberi kepada bapa tunggal juga," katanya.
Dato’ Yahya berkata, kerajaan menyediakan pelbagai program di bawah Yayasan Pembangunan Keluarga (YPK) dan Jabatan Pembangunan Wanita Negeri Terengganu bagi membantu meningkatkan taraf hidup ibu tunggal seperti menyediakan bengkel, kursus kemahiran, masakan dan jahitan, bengkel pemantapan pengurusan dan lawatan sambil belajar.