Halaman

26 December 2012

Warga kerja PMINT diminta sokong BN

Oleh: Kamarudin Mat Akib 

Warga kerja Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri Terengganu (PMINT) diminta menyokong calon-calon Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya umum akan datang bagi memastikan usaha berterusan dilaksanakan bagi membangunkan negeri dan membela nasib rakyat negeri ini.



Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, berkata masih banyak agenda Kerajaan BN selepas pilihan raya nanti bagi mencapai tujuan tersebut dan perancangannya akan terbantut jika negeri ini dikuasai parti pembangkang.

“Pemimpin BN akan melaksanakan banyak lagi agenda bagi memacu Terengganu menjadi sebuah negeri maju menjelang tahun 2020. “Oleh itu, warga kerja PMINT perlu menyokong kerajaan sedia ada bagi memastikan kesinambungan usaha-usaha yang dilakukan sekarang ini bagi memajukan negeri dan membela nasib rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Makan Malam dan Penyampaian Anugerah Perkhidmatan Cemerlang PMINT 2012 di Primula Beach Hotel, malam tadi. Hadir sama pada majlis itu,

Pengurus Besar PMINT, Dato’ Osman Muda; isteri Menteri Besar, To’ Puan Seri Norliza Mahmud; Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan, Dato’ Yahya Khatib Mohamad dan pegawai kanan PMINT.

Menteri Besar mengucapkan tahniah kepada pihak pengurusan PMINT kerana berjaya menguruskan organisasi berkenaan dengan cekap sehingga membolehkan ia mencatatkan keuntungan yang lebih tinggi pada tahun ini.

“Saya mahu warga kerja PMINT menunjukkan komitmen yang lebih tinggi bagi membolehkan syarikat ini melaksanakan projek-projek yang lebih besar pada masa depan bagi menambah keuntungan,” tambahnya.

Yayasan Terengganu pastikan pelajar cemerlang terus terbilang

Oleh; Esah Abdullah

Yayasan Terengganu (YT) bertanggung jawab bagi memastikan pelajar cemerlang terus terbilang dan setiap tahun 10 pelajar cemerlang dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) ditaja mengikuti pengajian A-Level di Kolej Yayasan UEM bagi persiapan mengikuti pengajian professional seperti perubatan, farmasi dan bioteknologi di university terkemuka di seluruh dunia.



 Pengarah YT, Encik Zakaria Yusof berkata, sehingga ini telah membelanjakan RM6,708,550 untuk Anugerah Kecemerlangan Pelajar (AKP) membabitkan 31,340 pelajar sejak ia diwujudkan pada 2008 hingga 2012 manakala pemberian biasiswa kecil pula sebanyak RM25,037,966 membabitkan 41,209 pelajar seluruh negeri.

Bagi bantuan Sjil Tinggi Pelajaran Malaysia sebanyak RM10,623,000 membabitkan pelajar 10,623 serta sebanyak RM115,808,497 dibelanjakan dalam pelbagai bentuk bantuan sekolah angkat, makan pelajar sekolah rendah berasrama dan lain-lain.

“Kesemua program ini diadakan untuk memastikan pelajar berjaya serta dapat mengubah sosio ekonomi keluarga mereka apabila berjaya mendapat pendidikan sempurna,” katanya di majlis Penganugerahan Pingat Emas dan Sarjana Terengganu YT kali ke-33 di Taman Tamadun Islam, Pulau Wan Man semalam.

Majlis disempurnakan Menteri Besar Dato’ Seri Haji Ahmad Said. Hadir sama Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Sumber Manusia negeri, Dato’ Haji Ahmad Razif Abdul Rahman; Pengarah Pelajaran negeri, Encik Zakaria Hussin dan Pengarah YT Encik Zakaria Yusof.

Katanya, Penganugerhan Pingat Emas dan Anugerah Sarjana 2012 YT telah membelanjakan RM505,000 bagi meraikan 101 pelajar cemerlang berbanding tahun lalu sebanyak RM230,000 membabitkan 45 pelajar.

Menurutnya Bantuan Persediaan kepada pelajar yang berjaya melanjutkan pengajian ke asrama penuh, matrikulasi,diploma dan ijazah sentiasa meningkat tahun ke tahun.

 “Tahun lalu YT membelanjakan RM17.5 juta membabitkan 24,000 pelajar manakala sembilan bulan pertama tahun ini (Januari-September) sebanyak RM15.6 juta membabitkan 20,756 pelajar,” katanya.

Sanggup pecah-belah akibat taksub Amanat Hadi

Oleh: Aida Abd Rahman

Isu Amanat Hadi yang mengkafirkan Umno 31 tahun lalu terus hangat diperdebatkan oleh pelbagai pihak termasuk di kalangan bekas pemimpin Pas.

Mereka jelas mahu Presiden Pas, Dato’ Seri Abdul Hadi Awang itu menarik balik kenyataan penuh kontroversi tersebut, bagaimanapun sehingga kini empunya badan masih membisu berhubung desakan ramai itu.

Di sebalik isu yang hangat diperkatakan itu, puak pembangkang pula menyifatkan isu berkenaan sudah ` lapuk’ malah tidak mahu mengulas lanjut mengenainya sambil mengambil pendirian sepertimana presiden mereka - mendiamkan diri.

Golongan yang terlampau fanatik, obses dan taksub terhadap pemimpin enggan mengakui kesilapan sendiri, walhal mereka menyedari di sekeliling mereka kini sedang dan mungkin akan berlaku  pelbagai konflik dan polemik yang berpanjangan di kalangan umat Islam akibat `amanat tok guru' mereka itu . 

Antara kepincangan yang ketara akibat Amanat Hadi termasuk solat dua imam, akad nikah dua kali, buang daging korban sembelihan orang Umno, pulau imam pro-Umno, cerai berai dan juga persengketaan keluarga berlainan fahaman politik.

Ketaksuban ahli Pas terhadap amanat itu khususnya penyokong tegar parti berkenaan membawa kepada pelbagai perpecahan dan persengketaan yang sehingga kini perlu kepada penarikan semula amanat itu.

Perkara itu turut didedahkan bekas pemimpin seumur hidup parti itu, Zainon Ismail yang mengatakan puluhan ribu ahli serta pengikut Pas dikesan masih berpegang teguh dengan amanat itu yang sehingga kini masih menganggap Umno kafir.

Dia yang lebih dikenali dengan nama pena C. N. Al-Afghani membongkar wajah sebenar pemimpin Pas dan kesan Amanat Hadi itu terhadap umat Islam menerusi buku `Kafirkah Aku? ‘.

 Bersandarkan pengalaman, bekas guru yang pernah menyandang jawatan Exco Dewan Pemuda Pas Kedah (1991-1997) mahu berkongsi dan menyingkap kisah sebenar dengan pembaca supaya mereka sedar parti yang disanjung segelintir umat Islam itu sudah terpesong jauh dari ajaran Islam.

 Malah, Zainon juga mendedahkan ketaksubannya terhadap Amanat Hadi turut mengakibatkan dia sanggup mengkafirkan saudara kandung sendiri satu masa dahulu.

 Menurutnya, kecaman dan serangan daripada rakan dalam Pas sudah diterima sejak dia bertindak mendedahkan kes penyelewengan Tabung Mangsa Memali lagi .

Malah, dia turut membuat laporan polis akibat diugut sesama mereka. Susulan insiden itu, Zainon dipecat dari Pas.

 Selain penulis berani yang sanggup tampil berjuang menyelamatkan akidah umat Islam seperti Zainon, usaha memulihkan kepincangan itu juga dimainkan pihak berwajib khususnya Majlis Agama Islam dan adat Melayu Kelantan (Maik).

Mufti Kelantan dalam satu kenyataan berkata pihaknya sudah membuat teguran terhadap Amanat Hadi yang dikeluarkan pada 1981 itu menerusi surat rasmi selepas berbincang dalam Mesyuarat Jemaah Ulama Maik yang dipengerusi oleh Mufti Kelantan kelapan (ketika itu).

Mesyuarat jemaah ulama memutuskan bahawa lapan perkara yang dibincangkan tidak benar serta bertentangan dengan ajaran Islam, malah mendatangkan bahaya kepada akidah dan juga perpaduan umat Islam. Lapan perkara itu antara lain menyebut perihal:

1) Tidak sah jika solat di belakang orang Umno
2) Haram dimakan daging sembelihan orang Umno
3) Terfasakh pernikahan antara orang Umno dengan bukan Umno
4) Tidak sah akad nikah oleh imam daripada Umno dan perlu diperbaharui semula
5) Mayat orang Umno tidak boleh dikebumikan di perkuburan Islam
6) Jenazah orang Umno tidak boleh disembahyangkan
7) Orang Umno tidak boleh melakukan sembahyang jenazah terhadap orang bukan Umno
8) Orang Umno tidak perlu sembahyang atau menunaikan Haji kerana amalan tidak diterima Islam.

Abdul Hadi ketika mengeluarkan amanat itu melihat Umno sebagai kafir kerana bekerjasama dengan kaum bukan Melayu dan Islam, selain mendakwa Umno mengekalkan perlembagaan penjajah.

Bagaimanapun, pemimpin Pas itu seakan menjilat ludah sendiri kerana tanpa segan silu `bersaudara’ pula dengan DAP demi menjayakan agenda politik dan menjatuh Umno sekali gus membuktikan mereka juga gagal mempertahankan konsep negara Islam yang diuar-uarkan selama ini.


Belia Felda jangan terpengaruh helah pembangkang

Oleh: Noraini Jusoh

Generasi baru Felda khususnya golongan belia diseru agar tidak terpengaruh dengan helah pembangkang yang cuba menghasut golongan muda Felda supaya menolak kerajaan Barisan Nasional (BN) dan Umno.

Setiausaha Politik kepada Menteri Besar Terengganu, Datuk Haji Wan Ahmad Nizam Wan Abdul Hamid berkata, warga Felda seharusnya bersyukur kerana di bawah pimpinan kerajaan BN dan Umno mereka dapat menikmati kesenangan hidup seperti sekarang.

"Dengan keprihatian pihak kerajaan, kebanyakan warga Felda kini mampu hidup lebih selesa dan menjalani kehidupan yang lebih baik di tanah rancangan Felda yang dulunya dikenali sebagai Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (LKTP).

"Melihat rumah-rumah besar milik warga Felda pada hari ini sudah cukup membuktikan bahawa mereka boleh hidup senang dengan usaha gigih dan sokongan yang berterusan dari pihak kerajaan,” ujarnya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan perasmian mewakili Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, sempena Konvensyen Majlis Belia Felda Negeri Selangor, bertempat di Hotel Felda Residence, Kuala Terengganu, baru-baru ini.

Tegas Datuk Haji Wan Ahmad Nizam, sudah terbukti kerajaan BN dan Umno mengutamakan rakyat dengan mengotakan apa yang dijanji, malah telah menjadi matlamat kerajaan untuk membantu mereka.

Katanya, generasi baru pada hari ini harus berilmu dan bermaklumat serta tidak mempercayai tohmahan pembangkang yang hanya pandai menabur janji, tanpa menyelidik terlebih dahulu sesuatu perkara samada betul atau tidak.

Katanya, beliau percaya generasi baru Felda kini bijak menilai siapa yang patut dipilih untuk menjadi pemimpin pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) tidak lama lagi.

Beliau turut menasihatkan belia Felda yang hadir pada majlis konvensyen tersebut khususnya wakil-wakil dari Majlis Belia Felda (MBFM) Negeri Selangor agar bersatu dan membantu jentera BN dan Umno yang lain untuk kembalikan Selangor ke tangan BN.

Malah, beliau turut meletakkan harapan yang tinggi kepada generasi baru Felda untuk kekalkan kepimpinan kerajaan BN dan Umno di bumi Malaysia khususnya dan di negeri ini amnya.

 

Anak Terengganu berjaya ke 10 universiti terbaik dunia

Oleh; Esah Abdullah

Hari ini anak Terengganu telah berjaya melanjutkan pengajian ke 10 universiti terbaik di dunia dengan pembiayaan kerajaan negeri melalui Yayasan Terengganu (YT).


Menteri Besar Dato’ Seri Haji Ahmad Said berkata, antaranya termasuklah Universitiy of Cambridge, Oxford University, London School of Economics, Imperial College of London, King’s College, Universiti of London dan Queen’s University of Belfast.

“Kita berbangga bila mereka berjaya menempatkan diri bersama pelajar yang datang dari seluruh pelusuk dunia,” . “Saya yakin semua pihak termasuk YT telah melaksanakan usaha yang terbaik untuk mempertingatkan kecemerlangan pelajar negeri ini.

“Kejayaan ini juga adalah berkat disiplin diri pelajar yang disokong dengan komitmen, bimbingan guru-guru yang berkaliber serta doa daripada ibu bapa,”.

Menteri Besar berkata demikian di majlis Penganugerahan Pingat Emas dan Sarjana Terengganu Yayasan Terengganu kali ke-33 di Taman Tamadun Islam (TTI) Pulau Wan Man semalam.

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pendidikan Tinggi, Sains, Teknologi dan Sumber Manusia negeri, Dato’ Haji Ahmad Razif Abdul Rahman; Pengarah Pelajaran negeri, Encik Zakaria Hussin dan
 Pengarah Yayasan Terengganu Encik Zakaria Yusof.


Katanya, rakyat yang berpendidikan dan berkemahiran berpotensi memiliki modal insan yang besar untuk diri sendiri, masyarakat dan negara.


Pada majlis itu dua pelajar iaitu Muhammad Firdaus Hamzah, 18, dan Fatin Hamimi Abdullah menerima Anugerah Pingat Emas 2012, penerima Anuegrah Khas (tiga orang) dan Anuegrah Sarjana (97 orang) yang mendapat Kepujian Kelas Pertama dengan PGNK 3.75 atau 80 peratus keseluruhan.



Penerima Anugerah Pingat Emas masing-masing menerima wang tunai RM5,000, komputer riba, sehelai kot, medal (Pingat Emas) dan sijil penghargaan manakala Anugerah Khas dan Anugerah Sarjana Terengganu masing-masing menerima RM5,000 dan sijil penghargaan.

 

PMINT untung RM22.3 juta tahun ini

Oleh: Kamarudin Mat Akib 

Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri Terengganu (PMINT) mencatat keuntungan sebelum cukai sebanyak RM22.3 juta bagi tempoh sehingga 30 November tahun ini, iaitu meningkat 38.5 peratus berbanding tempoh yang sama tahun lalu.

Pada tahun lalu PMINT mencatat keuntungan sebelum cukai sebanyak RM16.1 juta.


Pengurus Besar PMINT, Dato’ Osman Muda berkata, prestasi bagi tempoh dua suku pertama tahun ini juga telah melebihi anggaran tahunan dengan pencapaian 106%.

“Manakala nilaian aset bersih PMINT pada tahun ini telah bertambah kepada RM579.8 juta berbanding RM493.1 juta pada tahun lepas,” katanya ketika berucap pada Majlis Makan Malam dan Penyampaian Anugerah Perkhidmatan Cemerlang PMINT 2012 di Primula Beach Hotel, malam tadi.

Hadir sama pada majlis itu, Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said dan isteri, To’ Puan Seri Norliza Mahmud; Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan, Dato’ Yahya Khatib Mohamad dan pegawai kanan PMINT.

Dato’ Osman berkata, pihaknya yakin dengan keadaan kewangan yang kukuh dan disusuli dengan pelan perancangan strategik yang komprehensif, PMINT mampu meneruskan peranannya dalam “Merubah lanskap pembangunan Negeri” untuk terus kekal relevan.



“Penceburan baru PMINT di dalam membangunkan projek high rise building seperti PB Square akan menjadi pemangkin kepada PMINT untuk memperhebatkan pembangunan seumpamanya yang dapat menyediakan lebih banyak ruang pejabat, premis perniagaan dan perumahan di dalam kawasan Bandaraya Kuala Terengganu.



“Di samping itu, PMINT perlu bersedia untuk menguruskan bangunan yang tinggi dan menubuhkan unit pengurusan lebih cekap supaya rakyat dapat menikmati kemudahan kelas pertama,” ujar beliau.

Beliau berkata, PMINT akan sentiasa membantu merealisasikan hasrat Kerajaan Negeri untuk meningkatkan kependudukan dan aset Bumiputera di dalam kawasan bandar dengan melaksanakan pembangunan ke atas tanah yang diambilbalik dan yang berpotensi di dalam bandar.

“Kini sebanyak lapan buah lokasi tanah yang dikenalpasti dengan tujuan pengambilanbalik oleh PMINT di kawasan Kuala Terengganu, Kuala Nerus, Dungun dan Kemaman.

“ Selain kaedah pengambilanbalik tanah, PMINT juga turut mengenal pasti kaedah lain di dalam pembangunan projek iaitu dengan menjalankan projek secara usahasama dan kolaborasi dengan syarikat-syarikat swasta,” katanya.


Semangat kerjasama mangsa banjir


Semangat kerjasama yang patut dicontohi

Oleh: Mohammad Ishak 

Mangsa banjir di pusat pemindahan Kampung Bukit Rambutan, Jabi, Setiu membuktikan semanagt kerjasama dan gotong royong apabila mereka beramai-ramai membantu memunggah bahan makanan untuk kegunaan di pusat itu.

Tanpa mengira fahaman politik dan penat penduduk terbabit membuat barisan ketika kerja memunggah bahan makanan yang di hantar oleh Pejabat Daerah Besut (PDB) untuk keperluan mangsa banjir di situ.

Ketika kerja gotong royong itu dijalankan ia turut disaksikan ADUN Jabi, Ramlan Ali dan Pegawai Daerah Besut, A Rahim Jusoh.

Semangat seperti itu patut dicontohi oleh penduduk tempat lain kerana dalam keadaan mereka tinggal di pusat pemindahan tetapi mampu melakukan kerja gotong royong.

Pegawai Daerah Besut, A Rahim Jusoh bangga dengan sikap mangsa banjir berkenaan kerana mereka menunjukkan semangat kerjasama dan perpaduan yang kental ketika berada dalam kesusahan.

Bagi Ramlan, banjir bukan penghalang kepada mangsa terbabit untuk menunjukkan semangat mufakat dan kerjasama kerana mereka adalah dalam satu keluarga kerana sudah lama tinggal di kampung itu.

25 December 2012

Sultan Terengganu melawat mangsa banjir di Besut


Sultan Mizan bersalaman dengan mangsa banjir di Kampung Bukit Rambutan,Jabi.

Oleh: Mohammad Ishak 

Suasana sedih yang menyelubungi mangsa banjir di daerah Besut bertukar kegembiraan apabila nasib malang mereka mendapat perhatian Duli Yang Maha Mulia, Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin.yang berkenan melawat mangsa banjir.

Pusat Pemindahan Banjir Kampung Bukit Rambutan dalam Kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Jabi, menjadi lokasi kunjungan pertama Baginda Sultan melawat mangsa banjir di negeri ini tahun ini.

Keberangkatan tiba DYMM Sultan Mizan diiringi Yang Amat Berhormat, Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Ahmad Said serta Pegawai Daerah Besut, A Rahim Jusoh.

ADUN Jabi,Ramlan Ali bersama pemimpin masyarakat menyambut rombongan Sultan dan Menteri Besar yang tiba kira-kira jam 6 petang tadi.

Penduduk dan mangsa banjir kelihatan gembira dan ceria apabila dikunjungi Baginda Sultan ketika mereka masih lagi tinggal di pusat pemindahan Kampung Bukir Rambutan.

Seramai 30 keluarga dari kampung berkenaan dipindahkan ke pusat pemindahan berkenaan selepas hujan lebat dan air sungai berhampiran melimpah kira-kira jam 6 petang semalam.

Kehadiran Baginda Sultan yang ditunggu rakyat membangkitkan semangat kerana dapat bersua muka dan bersalaman dengan seorang Sultan yang berjiwa rakyat.

Sempena keberangkatan Sultan ke pusat itu, Baginda sempat menyampaikan sumbangan hamper dan makanan kepada mangsa banjir yang berpindah di situ.

Pegawai Daerah Besut, A Rahim Jusoh berkata, walaupun semua kakitangan pejabat bercuti sempena Krismas tetapi mereka tetap menjalankan tugas seperti biasa berikutan banjir yang melanda daerah itu sejak dua hari lalu.

Pengamal media digalak sertai koperasi, tambah sumber ekonomi

Oleh: Aida Abd Rahman

Pengamal media di negeri ini bukan sahaja digalakkan aktif berpersatuan, malah menyertai koperasi sebagai platform membantu menambah pendapatan di kalangan ahli yang dijana menerusi pelbagai sumber.



Ahli Parlimen Kuala Nerus, Dato’ Mohd Nasir Ibrahim Fikri, berkata walaupun terpaksa menunggu sehingga tempoh 30 tahun sejak Kelab Wartawan Terengganu (Kawat) diwujudkan, penubuhan Koperasi Media Terengganu Berhad tetap relevan dan tepat dengan keperluan semasa yang menuntut kepada aktiviti yang dapat mencambah ekonomi.

“Kenapa lama sangat sampai 30 tahun baru dapat ditubuhkan koperasi (media) ini? Bagaimanapun, tidak mengapa koperasi ini akhirnya tetap menjadi kenyataan juga.

 “Saya berharap selain aktif berpersatuan dengan melaksanakan pelbagai aktiviti, penubuhan koperasimen dapat mempelbagaikan sumber-sumber lain bagi membantu di kalangan ahli,” katanya ketika berucap merasmikan Mesyuarat Agung Kawat 2012, di Hotel Tanjong Vista, malam tadi.

Turut hadir, Presiden Kawat, Encik Ayob Mamat dan 81 ahli kelab berkenaan.

Dato’ Mohd Nasir berkata, kejayaan mewujudkan koperasi boleh dilihat dengan mengambil contoh kemajuan yang dikecapi negara Korea.

 “Kita lihat kepada negara yang hampir sama dengan negara kita. Contoh pada zaman 60-an dan 70-an negara Korea sama sahaja dengan Malaysia. Kalau main bola, dia menang, kita juga boleh menang.

“Bagaimanapun, pada zaman 80-an dengan anjakan kemajuan Korea Selatan berjaya menganjurkan Olimpik pada 1988. Akhirnya hari ini Korea sudah bergelar negara maju yang bermula dengan penubuhan koperasi sebenarnya,” katanya.

Beliau berkata, kejayaan itu sepatutnya menjadi contoh dan amalan di kalangan kita demi kemajuan dan pembangunan yang dapat memberi manfaat berterusan kepada ahli.



Sementara itu, dalam pemilihan pucuk pimpinan exco Kawat bagi penggal 2012/2014, Encik Ayob mengekalkan jawatan presiden berikutan kerusi itu tidak dicabar calon lain dan beliau dipilih sebulat suara bagi mengetuai persatuan untuk lima penggal berturut-turut.

Manakala Timbalan Presiden juga kekal disandang Haji Redza Arshad yang juga dipilih sebulat suara tanpa bertanding.

Lapan Ahli Jawatankuasa Kawat bagi penggal yang baru adalah Aida Abd Rahman, Mohd Shuhaimi Ahmad, Baharom Bakar, Hashimah Mohd, Lew I-Ling, Mohd Ishak Ngah, Mohd Lazim Endut dan Suhaila Mohd Daud.

Manakala Nurul Huda Hussin dan Manirah Othman dipilih sebagai pemeriksa kira-kira.

 



Umno desak Amanat Hadi ditarikbalik

Badan Perhubungan Umno Terengganu mendesak pucuk pimpinan Pas, khususnya Presiden parti itu, Dato’ Seri Abdul Hadi Awang bertindak segera menarik balik Amanat Haji Hadi, bagi mengatasi masalah perpecahan di kalangan umat Islam di negeri ini.

Ketua Penerangannya, Dato’ Haji Ahmad Razif Abdul Rahman berkata, pihaknya kesal dengan sikap Abdul Hadi dan pemimpin Pas lain yang tidak mengendahkan gesaan pelbagai pihak terhadap mereka supaya berbuat demikian.

Sebelum ini pelbagai pihak, teramsuk beberapa mufti mendesak Pas supaya menarik balik amanat yang dibuat di Banggol Peradong pada 1981, demi kebaikan semua pihak.

Dato’ Haji Ahmad Razif berkata, beberapa langkah akan turut dilakukan selagi Abdul Hadi masih berdiam diri termasuk menyerahkan memorandum kepada Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin supaya bertindak sewajarnya terhadap amanat tersebut.

“Kita juga akan menggerakkan seluruh Umno Bahagian dan Cawangan Negeri Terengganu agar menjelaskan perkara yang menyebabkan kesesatan umat Islam akibat amanat ini,” katanya.

 Dalam masa sama katanya, pihaknya akan bekerjasama dengan Umno Pusat dan negeri-negeri bagi mendesak Abdul Hadi menarik balik dan memohon maaf kepada mereka yang tersesat akibat amanat terbabit.

Beliau menjelaskan, pihaknya akan turut menerbitkan bahan bacaan dan tontonan berhubung kenapa Amanat Haji Hadi itu dianggap sesat dan memporak-perandakan umat Islam di Terengganu dan beberapa negeri lain.

Menyentuh perkara sama, pihaknya turut menyatakan sokongan terhadap usaha Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) serta Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JaHEAT) agar ‘memerangi’ amanat yang memecahbelahkan umat Islam hingga ke beberapa negeri lain dengan membuat penjelasan wajar.

 “Kita berharap melalui ‘berperang habis-habisan’ dengan mereka yang mempertahankan amanat ini sehingga ia ditarik balik adalah suatu jihad demi memulih akidah dan persaudaraan di kalangan umat Islam.

“Kita menyeru seluruh rakyat negeri dan negara ini yang beragama Islam menolak amanat ini dengan penuh kesedaran dan keinginan untuk melihat umat Islam kembali bertaut dan bersatu di negara ini,” katanya.