Halaman

08 January 2013

Pemuda UMNO Terengganu turun padang


Saiful menyampaikan sumbangan dan diperhatikan YB Nawi serta Mahadi

Oleh: Mohammad Ishak 

Selepas Kemaman dan Dungun Pemuda UMNO Terengganu mengalih lokasi ke Besut pula dalam misi menjejak mangsa banjir untuk diagihkan bantuan kemanusiaan.

Ketika di Besut Pemuda Umno diketuai Saiful Bahari Baharuddin memilik Kampun g La, Hulu Besut, untuk agihan bantuan kepada mangsa banjir semalam.

Kehadiran konvoi Pemuda Negeri Terengganu itu disambut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Hulu Besut,Nawi Mohamad, Ketua Pemuda Besut, Mahadi Musa serta ahli jawatankuasanya.

Sempena kehadiran konvoi itu penduduk Kampung La, yang terpaksa berpindah dua kali dalam kejadian banjir akhir tahun lalu diberikan bantuan berupa pakej makanan.

Seramai 200 mangsa banjir termasuk penyokong Pas menerima sumbangan yang disampaikan oleh Nawi, Saiful dan Mahadi yang bergerak dari rumah ke rumah.

Menurut Saiful, pihaknya sebelum ini sudah mengagihkan 600 kapit makanan kepada mangsa banjir di daerah Kemaman dan Dungun dan kali ini memilih Besut sebagai lokasi bantuan.

Katanya, beliau bangga kerana dapat bertemu secara lansung dengan mangsa banjir terbabit dan dapat mengetahui cerita sebenar yang dialami mereka ketika berpindah dan berada di tempat pemindahan banjir.

Sementara itu,Nawi berkata beliau menghargai usaha yang dilakukan oleh Pemuda Umno yang sentiasa peka kepada masalah rakyat yang ditimpa masalah dengan menghulurkan bantuan kepada mereka yang terbabit dengan bencana banjir baru-baru ini.

UMNO TERENGGANU SIAP SIAGA UNTUK PRU 13

Oleh: Ruslan Abdul Rahman

Umno Terengganu telah siap siaga untuk menghadapi Pilihanraya Umum Ke 13 (PRU 13), kata Setiausaha Badan Perhubungan Umno Negeri Terengganu (BPUNT), Dato’ Tengku Putera Awang.

Beliau menyatakan demikian kepada Teganukita dengan kedudukan tahap siaga itu 85 peratus.

Pada masa ini katanya, kita mempunyai jentera di 1,092 cawangan, 342 Pusat Daerah Mengundi (PDM), 8 Parlimen dan 32 Dewan Undangan Negeri (DUN).

“Jentera di semua peringkat itu sudah siap siaga untuk memastikan Barisan Nasional mendapat mandat berterusan dari rakyat,” katanya.

Katanya, perpaduan dalam parti juga telah berada pada tahap yang cukup baik dan pembangkang jangan mengharapkan untuk menangguk kesempatan dengan mengharapkan perpecahan dalaman parti Umno.

Beliau menyedari bahawa peranan pengundi muda adalah penting dan Pergerakan Pemuda dan Puteri telah memainkan peranan yang cukup berkesan, tegasnya.

Apa yang penting katanya, ahli dan penyokong Umno di semua peringkat hendaklah dipastikan keluar mengundi apabila tiba masanya dan tidak sia-siakan kuasa yang ada dalam menentukan masa depan bangsa dan negara.

“Berdasarkan simulasi pengundian dan perujian ke atas jentera parti, kita amat berpuas-hati dan ini diperakui sendiri oleh pihak Umno pusat terhadap tahap kesiapsiagaan kita,” ujarnya.

 

Orang ramai usah panik ancaman Sonamu

Majlis Keselamatan Negara (MKN) Terengganu meminta orang ramai di beberapa kawasan di Pantai Timur tidak panik dengan khabar angin bahawa ribut tropika Sonamu akan mencetuskan angin kencang.

Laluan ribut tropika Sonamu menghala ke kawasan Pantai Timur. - Foto ihsan.
Setiausaha Keselamatan MKN Terengganu Tajul Ariffin Muhamad berkata keadaan semasa menunjukkan kekuatan ribut yang dijangka membadai negeri-negeri Pantai Timur itu semakin berkurangan apabila menghampiri perairan negara.

"Mengikut ramalan, jika ribut tropika itu melanda, ia boleh menyebabkan banjir besar dan dijangka lebih teruk dari gelombang pertama," katanya ketika dihubungi Bernama, semalam.

Bagaimanapun katanya, pemantauan mendapati ribut tersebut berpusar di tengah laut dan menjauhi kawasan persisiran pantai.

Namun begitu, beliau tetap meminta penduduk terutama yang tinggal di kawasan pantai agar mengambil langkah berjaga-jaga.

Katanya, agensi keselamatan seperti bomba dan penyelamat, polis, Jabatan Pertahanan Awam Malaysia, Jabatan Kebajikan Masyarakat negeri juga telah bersedia untuk menghadapi kemungkinan banjir gelombang ketiga.

Sementara itu, pemantauan Bernama di sekitar daerah ini mendapati sekalipun cuaca mendung, keadaan angin adalah seperti biasa.

Tinjauan Bernama di beberapa lokasi di pesisiran pantai dari Chendering di Kuala Terengganu hingga ke pantai Batu Buruk pula mendapati keadaan ombak adalah seperti biasa dan peniaga serta nelayan tekun meneruskan kegiatan mereka.

Jabatan Meteorologi Malaysia sebelum ini dilapor meramalkan berlaku hujan lebat di negeri-negeri Pantai Timur sepanjang minggu ini akibat ribut tropika Sonamu.


07 January 2013

Penyu,Titans beraksi waktu petang

Oleh: Aida Abd Rahman

Kempen musim baru Liga Super melibatkan Terengganu dan T-Team sedikit `terencat’ apabila mesyuarat terkini jawatankuasa pertandingan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mendapati lampu limpah Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah (SSINS) masih gagal memenuhi tahap sebenar yang diperlukan, sekali gus membantutkan hasrat peminat untuk menyaksikan perlawanan pada waktu malam.


Ketua Pegawai Eksekutif T-Team, Encik Abdul Rasid Jusoh, berkata ini bermakna 'The Titans' terpaksa turun menentang jiran tetangga yang juga juara tiga piala musim lalu, Kelantan, pada sebelah petang Sabtu ini. 



Katanya, pengurusan T-Team dikejutkan dengan berita Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah gagal mendapat kelulusan untuk digunakan waktu malam.

"Kami mengharapkan perlawanan tersebut dapat dilangsungkan waktu malam kerana lebih ramai penyokong akan dapat hadir.

 "Bagaimanapun, kami  tetap bersedia untuk bertarung di bawah panas matahari petang sehinggalah lampu limpah stadium baru dapat disiapkan dalam masa tiga bulan lagi," katanya.

Selain isu lampu limpah, Encik Abdul Rashid berkata pasukan Titans ke Lumut bagi menentang Perak esok juga diiringi berita kurang baik apabila kapten pasukan, Marzuki Yusof, disahkan tidak cergas untuk beraksi dalam perlawanan sulung itu.

Manakala jurulatih kecergasan, Sebastian Knapic, berkata lebih membimbangkan ialah kemungkinan pemain pertahanan itu terpaksa menunggu beberapa minggu lagi untuk beraksi kerana kecederaan lututnya masih belum pulih sepenuhnya.

"Marzuki memang sudah boleh menjalani latihan sekarang ini namun kami tidak mahu mengambil risiko dengan menurunkannya dalam perlawanan kompetitif selain dia pulih seratus-peratus," katanya.

 

Wanita kumpul dana bantu umat Islam di Gaza

Oleh; Esah Abdullah

Tersentuh melihat penderitaan umat Islam di Semenanjung Gaza, Pergerakan Wanita UMNO Perhubungan Negeri Terengganu (PWUPNT) mengambil inisiatif mengumpul dana tujuan meringankan beban masyarakat di sana.
Datuk Hajah Fatimah Hamat menyampaikan replika cek kepada Cik Aslina Abu Bakar  wakil  Kumpulan Media Prima sebagai simbolik kepada penyerahan bantuan kepada umat islam di Gaza
 Ketuanya, Datuk Hajah Fatimah Hamat berkata, sebagai saudara seagama wanita sangat bersimpati terhadap apa yang berlaku di negara berkenaan dan sedia membantu meringankan beban.

“Setiap program yang dijalankan kita minta wanita menderma bagi mengisi tabung untuk disumbangkan kepada umat Islam yang menderita di bumi Gaza,” katanya kepada pemberita di majlis Penyerahan Cek Bantuan Untuk Gaza di Bilik Mesyuarat UMNO Perhubungan Negeri Terengganu hari ini.

Hadir sama, Ketua Wanita (KW) UMNO Kemaman, Senator Hajah Rohani Abdullah; KW Dungun, Hajah Zainun Abu Bakar; KW Marang, Senator To’ Puan Hajah Zaiton Mohd Amin; KW Setiu, Hajah Wan Maznah Nong; KW Besut, Hajah Engku Naimah Engku Taib; Naib KW Kuala Terengganu, Hajah Muni Abdul Kadir dan Naib KW Kuala Nerus Puan Norhayati Ismail.

 “Program yang sering diadakan seperti semarak kasih, tadarus al-Quran, salam sayang dan sebagainya dalam usaha mendekati masyarakat di peringkat akar umbi,” katanya yang juga KW Hulu Terengganu.

Katanya, sebelum ini wanita juga pernah menghulurkan bantuan kepada mangsa tsunami dan juga sentiasa peka dengan penderitaan umat Islam di luar negara yang sering ditindas oleh kaum zionis.

PWPUNT berjaya mengumpul RM13,863 jumlah keseluruhan melalui program dan aktiviti yang diadakan di lapan bahagian wanita yang dimulakan sejak enam bulan lalu.

Datuk Hajah Fatimah kemudiannya telah menyerahkan replika cek RM13,863 kepada wakil Kumpulan Media Prima Berhad Cik Aslina Abu Bakar.

 

YPKT bakal tambah empat TPK

Oleh: Suriati Ali

 Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu (YPKT) merancang membina empat lagi Taska Permata Keluarga (TPK) khusus untuk kanak-kanak berusia tiga dan empat tahun mengikuti program kurikulum Permata Negara.

 Pengarah yayasan itu, Encik Mohd Shafaruddin Mustaffa berkata permohonan taska berkenaan sudah mendapat persetujuan Pusat Anak Permata Negara untuk dibina di Padang Hiliran, Kuala Terengganu, Wakaf Tapai (Marang), Kemaman dan Dungun tahun depan yang membabitkan lebih RM1 juta.

 "Ketika ini, Terengganu paling banyak mempunyai Taska Permata berjumlah 84 buah dan 66 daripadanya dikendalikan Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu (YPKT).


"Semua 32 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) juga mempunyai sebuah taska berkenaan yang dilengkapi kemudahan melibatkan perbelanjaan RM20 juta daripada kerajaan Pusat menerusi Pusat Anak Permata Negara yang dinaungi isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor," katanya.

Katanya, YPKT mendapat persetujuan kerajaan negeri untuk menambah peruntukan membiayai pengurusan dan aktiviti perkembangan awal kanak-kanak TPK berjumlah RM12 juta,

 Katanya, peruntukan itu akan dibelanjakan secara berhemah termasuk membeli pelbagai kelengkapan belajar dan menyediakan kemudahan semata-mata mahu memberi yang terbaik kepada kanak-kanak TPK.

"Sebelum itu, YPKT ada menerima  peruntukan kira-kira RM10 juta untuk membiayai pengurusan dan aktiviti perkembangan awal kanak-kanak TPK.

“YPKT boleh berbangga kerana berjaya melengkapkan pendidikan agama dan hafaz al-Quran di peringkat awal usia kanak-kanak berusia tiga dan empat tahun bermula di Taska Permata,” katanya.

 

TESDEC-UiTM tandatangan MoA tawar kursus perancang pelancongan kepada lepasan graduan

Oleh: Noraini Jusoh

Pusat Pembangunan Kemahiran Negeri Terengganu (TESDEC) hari ini menandatangani memorandum perjanjian (MoA) dengan Universiti Teknologi Mara (UiTM) bagi menawarkan Kursus Perancang Pelancongan kepada lepasan Institut Pengajian Tinggi (IPT) khususnya anak Terengganu.

Perjanjian tersebut ditandatangani oleh Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif TESDEC, Che Razali Adis yang mewakili TESDEC dan Rektor UiTM, Prof Madya Dr Abdol Samad Nawi, mewakili UiTM.

Majlis menandatangani MoA itu turut disaksikan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan negeri, Dato’ Haji Abdul Rahin Mohd Said.

Che Razali berkata, tawaran kursus jangka pendek selama sembilan bulan yang julung kali diadakan itu melibatkan 20 peserta pada peringkat awal yang terdiri daripada lepasan graduan dalam bidang berkaitan pelancongan di peringkat diploma mahupun ijazah.

"Peserta yang terpilih akan mengikuti kelas teori selama empat bulan di TESDEC dan menjalani latihan praktikal di majlis-majlis daerah atau agensi pelancongan selama lima bulan.

"Setiap pelatih turut diberikan elaun sara hidup sebanyak RM500 dan selepas menamatkan kursus ini mereka akan dianugerahkan sijil daripada UiTM,” ujarnya kepada sidang media selepas selesai majlis MoA tersebut di Dewan Ibnu Khaldun, Kolej TESDEC, di sini.

Katanya, kursus ini diharap dapat membantu memberi nilai tambah kepada graduan terbabit dalam melengkapkan diri sebelum menceburi bidang pekerjaan yang sebenar.

"Penawaran kursus ini juga merupakan komitmen TESDEC dalam membantu merealisasikan hasrat kerajaan negeri menarik lebih ramai pelancong sempena Tahun Melawat Terengganu (TMT) 2013 dan bersama-sama meningkatkan pembangunan dan tahap ekonomi rakyat di negeri ini,” katanya.

Sementara itu, Abdol Samad berkata, dengan kepakaran tenaga pengajar dari UiTM terutamanya dalam bidang pelancongan dapat melancarkan lagi proses pembelajaran para pelatih semasa mengikuti kursus ini.

"Program ini lebih kepada pendedahan bagaimana mahu menjadi seorang perancang pelancongan yang mampu mewujudkan satu persekitaran pelancongan serta membangunkan kawasan berkenaan dengan mengenalpasti prospek-prospek pelancongan yang boleh dikomersilkan,” katanya.

Menurut beliau, melalui kerjasama antara TESDEC dan UiTM ini, diharap dapat membantu siswazah yang belum mempunyai pekerjaan menonjolkan potensi diri sekaligus menyakinkan pihak berkaitan untuk mengambil mereka bekerja.

 

Pimpinan BN lawat warga emas

Oleh : Amirullah Othman

“Berat sama dipikul, ringan sama dijinjing”. Begitulah perumpamaan yang harus ada dalam kehidupan kita yang mengamalkan cara hidup bermasyarakat.

Dalam meniti hari-hari yang mendatang, masih ramai golongan yang memerlukan bantuan dan perhatian daripada pemimpin-pemimpin agar kesusahan mereka dapat dikurangkan.

Justeru itu, Pegawai Pembangunan Parlimen Marang, Senator Dato’ Haji Abdul Rahman Bakar bersama-sama Pegawai Pembangunan DUN Bukit Payong, Encik Zaidi Muda serta Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung dalam DUN Bukit Payong telah memilih cara berkunjung dari rumah ke rumah untuk menyampaikan sumbangan kepada lebih 30 warga emas dan pesakit kronik di DUN Bukit Payong.

Dato’ Abdul Rahman Bakar dan Encik Zaidi meluangkan masa bertanya khabar sebelum menyampaikan barangan keperluan harian kepada golongan kurang bernasib baik itu.

Program itu juga bertujuan untuk mendekatkan lagi hubungan kemesraan dan ikatan silaturahim antara pemimpin dengan rakyat.

Antara penerima-penerima bantuan ini adalah dari Kampung Atas Tol, Kampung Surau Panjang, Kampung Belukar Jambu, Kampung Laut, Kampung Bukit, Taman Permint Permai, Kampung Titian Baru dan Kampung Kedai Buluh yang memerlukan bantuan perhatian pemimpin setempat.

Encik Zaidi juga mengambil kesempatan ini untuk turun padang mengunjungi pesakit-pesakit kronik dan warga emas dalam DUN Bukit Payong untuk memastikan golongan ini tidak tercicir menerima bantuan terutamanya bantuan bulanan Jabatan Kebajikan Masyarakat.


Adun Rhu Rendang tidak jenguk jiran uzur

Oleh: Aida Abd Rahman

PRIHATIN...Pegawai Pembangunan Dewan Undangan Negeri (DUN) Rhu Rendang, Haji Nik Dir Nik Wan Ku melawat sambil memberi bantuan kepada warga emas uzur, Puan Endut Kadir, yang tinggal berhampiran rumah Adun Rhu Rendang, Dato'Seri Abdul Hadi Awang tetapi Adun Pas itu tidak cakna rakyat dan tidak pernah sekalipun melawat warga emas uzur itu.
Jarak tempat tinggal seorang warga emas yang sedang uzur dengan rumah Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Rhu Rendang, Dato’ Seri Abdul Hadi Awang hanya terpisah kira-kira 100 meter, bagaimanapun,  seakan ada tembok yang menghalang pemimpin itu untuk mengambil tahu perihal penduduk yang juga jirannya itu.

Wanita malang itu, Puan Endut Kadir, 83, dari Kampung Rusila, Marang sudah beberapa tahun menghidap sakit tua dan hanya mampu duduk sahaja di rumah dengan ditemani keluarga terdekat.

Bagaimanapun, tahap kesihatan yang kian terbantut tidak menjejaskan penglihatan dan ingatan warga emas itu.

Katanya, sepanjang dia sakit, rumahnya yang hanya selang beberapa meter dengan Masjid Rusila dan rumah Adun berkenaan yang juga Ahli Parlimen Marang tidak pernah dilawati Presiden Pas berkenaan, apatah lagi untuk menghulurkan bantuan bagi meringankan bebanan mereka sekeluarga.

Susulan itu, sebagai tanda keprihatinan, Pegawai Pegawai Pembangunan Dewan Undangan Negeri (DUN) Rhu Rendang, Haji Nik Dir Nik Wan Ku melawat warga emas itu bagi bertanya khabar dan menyampaikan sumbangan barangan keperluan serta wang tunai.

 “Terima kasih kepada semua kerana datang menjenguk mak cik yang sudah tua ini. Alhamdulillah, walaupun usia semakin lanjut, tetapi mak cik masih boleh mendengar dan mengenali orang.

 “Hanya Allah s.w.t sahaja boleh membalas jasa baik saudara- saudari yang sanggup ke rumah mak cik dan memberi bantuan ini,” kata warga emas itu.

 

Doktor muslimah matlamat akhir Fatin

Oleh; Esah Abdullah

Cita-cita untuk menjadi seorang doktor muslimah semakin hampir apabila terpilih mengikuti jurusan perubatan di Universiti Iskandariah, Mesir di bawah tajaan Majlis Amanah Rakyat (MARA).

Ibu dan bapa kepada Fatin Hamimi Abdullah menerima anugerah emas pelajar cemerlang bagi pihak anak mereka yang telah berada di Mesir.
Pelajar pintar dari Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Nurul Ittifaq Kuala Besut, Fatin Hamimi Abdullah 19, telah pun berangkat ke Bumi Ambia itu pada September lalu (2012).

Penerima Pingat Emas Yayasan Terengganu (YT) 2012 itu adalah anak pasangan guru Encik Abdullah Ya dan Puan Wan Norshimah Wan Ahmad serta anak kedua daripada enam beradik .

Kecemerlangannya dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM 2011) iaitu semua A+ dalam 11 matapelajaran Fizik, Kimia,Biologi, Matematik Tambahan, Matematik Moden, Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Sejarah, Pendidikan Al-Sunnah dan Al-Quran, Pendidikan Syariah dan Bahasa Arab Tinggi melayakkan beliau memburu cita-cita bergelar doktor muslimah suatu hari nanti.

Seorang lagi penerima pingat emas iaitu Muhammad Firdaus Hamzah 19 (gambar), yang cemerlang sejak peringkat Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) dengan memperolehi 5A serta 9A dalam peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) dan 11A dalam SPM 2011.

Beliau merupakan anak kebanggaan pasangan Encik Hamzah Kammapu yang mengendalikan perniagaan hartanah dan Puan Che Ruhana Mustafa pengusaha ‘homestay’ serta anak keempat daripada enam beradik.

Bekas pelajar Sekolah Menengah Imtiaz itu turut cemerlang dalam hafazan apabila berjaya menghafaz 30 juzuk dengan memperolehi pangkat Mumtaz dalam Ujian Syahadah Al-Quran Sekolah-sekolah Menengah Imtiaz Yayasan Terengganu.

Bercita-cita menjadi seorang saintis suatu hari nanti kini Muhammad Firdaus sedang mengikuti program Foundation di University of Nottingham Kampus Malaysia di bawah tajaan YT untuk dihantar menyambung pelajaran ke universiti terbaik dunia.