Halaman

10 January 2013

UMT dirombak bagi kecemerlangan pendidikan

Oleh: Noraini Jusoh

Universiti Malaysia Terengganu (UMT) melakukan rombakan secara menyeluruh bagi membolehkan institusi pendidikan itu terus cemerlang dan kekal unggul dalam sistem pendidikan negara.

Naib Canselornya, Prof. Emeritus Dato’ Dr. Ibrahim Komoo, berkata pihaknya kini dalam proses menstruktur semula pengurusan dan pentadbiran UMT serta melakukan transformasi terhadap program-program yang ditawarkan di universiti tersebut.

"Buat masa sekarang, pihak pendaftar dan bendahari sedang sibuk menyusun semula pusat-pusat yang dapat menyokong aspek akademik, penyelidikan, infrastruktur dan tenaga pengajar supaya tenaga kerja di peringkat sokongan dapat memberikan sokongan kepada pengajaran dan pembelajaran dengan lebih efektif.

"Rombakan di peringkat pentadbiran dibuat bertujuan untuk memperkukuhkan sistem sokongan yang menjadi nadi kepada kelancaran pengurusan sesebuah institusi,” ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada sidang media selepas majlis penghargaan kepada mantan Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UMT, Prof Dr Yahaya Ibrahim, di Primula Beach Hotel, Kuala Terengganu, malam tadi.

Dato’ Dr Ibrahim berkata, pihaknya juga melakukan transformasi terhadap bidang akademik bagi meneliti semula keberkesanan program akademik yang ditawarkan di UMT.

"Program di peringkat diploma mahupun ijazah akan dikaji semula dan sekiranya bagus akan terus diperkukuh dan program yang tidak relevan akan dimansuh dan diperkenalkan program baru,” katanya.

Tambah beliau, UM T juga bakal memperkenalkan program di peringkat antarabangsa yang akan melibatkan tenaga pengajar dari luar negara bagi membawa institusi tersebut ke peringkat lebih tinggi.

 

Bantuan persekolahan RM100 akan dibayar minggu depan

Oleh: Kamarudin Mat Akib 

Bantuan persekolahan RM100 bagi setiap pelajar sekolah menengah dan rendah di seluruh negara akan dibayar pada 15 Januari ini (minggu depan) bagi membantu keluarga berpendapatan rendah dan sederhana menguruskan persekolahan anak masing-masing.

Ini merupakan kali kedua Kerajaan Pusat menyediakan peruntukan khas kewangan bagi membantu rakyat, tanpa mengira ideologi dan fahaman politik, demi bagi membantu anak-anak di bangku sekolah.

Bagi tujuan tersebut Kerajaan Pusat akan membelanjakan RM540 juta bagi membiayai bantuan kepada 5.4 juta pelajar seluruh negara.

Tahun lalu, boleh dikatakan hampir kesemua pelajar yang layak mengambil bantuan tersebut di sekolah masing-masing, termasuk pelajar yang ibu bapa mereka memaki hamun dan mencaci pemimpin Kerajaan Pusat.

Malah, ibu bapa yang menjadi penyokong kuat pembangkang juga tidak segan silu untuk berjumpa dengan guru kelas anak masing-masing bagi mengambil bantuan tersebut.

Pemimpin Kerajaan Pusat, khususnya Perdana Menteri, Dato’ Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak berfikir siang dan malam untuk merangka program-program yang boleh memberi kesejahteraan kepada rakyat, khususnya bagi golongan berpendapatan rendah dan sederhana.

Banyak sudah program yang diperkenalkan beliau sejak menerajui pentadbiran negara, teramsuk bantuan persekolahan sebanyak RM100 bagi setiap pelajar.

Sepatutnya rakyat negara ini berterima kasih kepada pemimpin Barisan Nasional (BN) khususnya Perdana Menteri yang sentiasa prihatian terhadap nasib mereka, bukannya ‘mengigit tangan yang memberi’.

Islam sendiri menyarankan umatnya supaya bersyukur dengan nikmat dan rahman yang diberi oleh Allah kepada mereka dan berterima kasih kepada mereka yang memberi bantuan.


Primula sedia 30 menu istimewa sempena TMT

Menu istimewa tempatan yang disediakan pihak Primula Beach Resort Kuala Terengganu sempena Tahun Melawat Terengganu 2013.
Oleh; Esah Abdullah

 Primula Beach Hotel (PBH) Kuala Terengganu akan menyediakan lebih 30 menu istemewa tempatan sempena kempen Tahun Melawat Terengganu 2013 (TMT2013).

Pengurus Jualan dan Pemasaran PBH, Puan Tina Surinda Karim berkata, menu istimewa tersebut akan disajikan pada setiap hari Sabtu bagi sajian minum petang dengan menawarkan harga istimewa.

“Kita memperkenalkan menu istimewa Terengganu untuk dicuba para pelancong terutama yang menginap di sini dan mereka juga tidak perlu bersusah payah untuk mencari sajian ini di tempat lain,” katanya.

Menurutnya, menu yang disediakan termasuklah laksa, laksam, rojak betik, rojak katih, bekang telur, apam, ikan celup tepung, lompat tikam dan ketupat sotong.


 “Tidak ketinggalan menu wajib, nasi dagang dan keropok lekor serta pelbagai lagi hidangan masyarakat tempatan yang jarang ada dipasaran terbuka,” katanya.

Katanya, selain menikmati hidangan istimewa, pengunjung juga akan dihiburkan dengan persembahan kebudayaan tradisional negeri ini.

 

09 January 2013

Perpustakaan digital mudahkan pelajar UMT

Oleh: Noraini Jusoh

Pelajar Universiti Malaysia Terengganu (UMT) bakal menikmati kemudahan perpustakaan digital yang mungkin boleh digunakan dalam tempoh dua atau tiga tahun lagi.

Naib Canselornya, Prof. Emeritus Dato’ Dr. Ibrahim Komoo, berkata transformasi yang dibuat itu adalah untuk mewujudkan sistem ‘e-learning’ dengan lebih berkesan sekaligus memudahkan pelajar untuk membuat rujukan dan menyiapkan tugasan.

"Sekarang pelajar perlu ke perpustakaan untuk meminjam buku tetapi apabila siap kelak, mereka boleh gunakan kecanggihan teknologi dengan membuat urusan pinjaman buku secara dalam talian sahaja.

"Kerja-kerja pemindahan data manual kepada sistem digital sudah bermula dan semua pensyarah juga sedang menyiapkan modul pembelajaran untuk tujuan itu,” ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada sidang media selepas selesai majlis penyampaian sumbangan wang zakat Bank Rakyat kepada anak-anak yatim sekitar UMT, di Masjid Kampung Mengabang Telipot, Kuala Terengganu, semalam.

Katanya, bagi melancarkan operasi pelaksanaannya, kemungkinan UMT akan bekerjasama dengan syarikat-syarikat swasta yang berminat untuk merealisasikan penubuhan perpustakaan digital tersebut.

 

DPPCT sertai kempen TMT

Oleh; Esah Abdullah

Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Terengganu (DPPCT) akan memperkenalkan tempat menarik, makanan tradisional dan budaya peranakan cina kepada pelancong bersempena Tahun Melawat Terengganu 2013 (TMT2013).

Pengerusi DPPCT, Dato’ Low Kian Chuan berkata, antara tempat yang akan ditonjolkan adalah kawasan Kampung Tiruk iaitu perkampungan yang didiami masyarakat cina sejak sekian lama dan Kampung Cina yang terletak dalam kawasan bandaraya Kuala Terengganu

Katanya, jika di bandingkan dengan negeri-negeri lain, Terengganu terlebih dahulu didatangi orang cina dan mempunyai pelbagai makanan yang istimewa tetapi kurang menonjol.

“Selain Kampung Cina, Kampung Tiruk turut didiami orang cina tetapi mengamalkan cara hidup seperti orang Melayu sehingga ada kalangan mereka yang boleh membaca dan menulis dalam tulisan jawi.

“Pelbagai makanan tradisional dan berbudaya peranakan cina seperti keropok ikan parang, roti paung dan pulut lepa juga perlu diperkenalkan kepada pelancong tempatan dan luar negara bersempena dengan TMT2013,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media bersempena dengan Majlis Makan Malam DPPCT ‘Tourism Resource Development Fund’ yang diadakan di Bilik Mesyuarat DPPCT, Kuala terengganu baru-baru ini.

Menurutnya, DPPCT merancang mengadakan majlis makan malam di Ri-Yaz Heritage Marina Resort & Spa pada 2 Februari ini yang akan dirasmikan oleh Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said. Beliau juga menyarankan agar kerajaan negeri dapat menyediakan perkhidmatan penerbangan terus dari Singapura ke Terengganu bagi menggalakkan pelancong datang ke sini.

Katanya,sekarang pelancong dari negara tersebut perlu mendarat di Kuala Lumpur terlebih dahulu sebelum datang ke Terengganu.

 

Lima daripada 127 Taska seluruh negeri belum daftar

Oleh; Esah Abdullah

 Lima buah taska daripada 127 taska beroperasi di seluruh Terengganu masih belum berdaftar manakala lima lagi masih dalam proses mendapat kelulusan.

Penyelaras Taska Jabatan Kemajuan Masyarakat (JKM), Encik Mohamed Abdan Ishak berkata, dijangkakan semua Taska terbabit akan berdaftar tahun ini kerana prosesnya kini menjadi semakin mudah.

Katanya, syarat pendaftaran kini tidak perlu lagi mendapat sokongan atau kelulusan daripada agensi teknikal seperti Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), Jabatan Bomba dan Penyelamat dan Jabatan Kesihatan namun jika ada adalah lebih baik.

Beliau berkata demikian dalam satu perjumpaan bersama pengusaha-pengusaha Taska di Dewan Seminar Perbadanan Perpustakaan Awam Terengganu (PPAT) baru-baru ini.

Menurutnya, syarat-syarat asas yang lain masih perlu dipatuhi oleh para pengusaha, seperti nisbah pengasuh dengan kanak-kanak mencukupi, iaitu di bawah umur tiga tahun 1:5, tiga hinga empat tahun 1:10 dan kanak-kanak Orang Kurang Upaya (OKU) 1:4.

“Syarat lain pengasuh mesti warganegara Malaysia dan berumur 18 tahun ke atas, telah hadir dan lulus Kursus Asas Asuhan Kanak-Kanak (KAAK), memantuhi nisbah kanak-kanak dengan ruang lantai iaitu 3.5 meter persegi bagi seorang kanak-kanak,” katanya.

Katanya, pihak pengusaha Taska juga perlu menyedia dan mempamerkan jadual menu makanan yang seimbang dan jadual aktiviti harian mengikut peringkat umur kanak-kanak.

Selain mempunyai kemudahan peralatan dan perabot sesuai, selamat dan mencukupi bagi keperluan kanak-kanak, menyedia dan menyelenggara rekod-rekod di Taska.

“Kebersihan dan keselamatan dalam dan di luar premis Taska, bayaran pendaftaran dikenakan sebanyak RM50 dan apa-apa syarat lain yang difikirkan patut dan sesuai,” katanya.

 

UMNO tonggak perjuangan bangsa Melayu

Oleh: Mastura Jamaluddin 

Ketua Penyelia APMT DUN Kuala Berang, Tuan Razilah Said Mohd menegaskan untuk mencintai parti, orang Umno perlu kenal sejarah parti, sama ada yang tersurat, mahupun yang tersirat, bagi menjiwai prinsip serta falsafah perjuangannya.

Beliau berkata, telah termaktub dalam sejarah Umno bertanggungjawab menguburkan Malayan Union dan menggantikannya dengan sistem Persekutuan Tanah Melayu serta menyelamatkan kedudukan Raja-Raja Melayu, bangsa Melayu dan kesucian agama Islam.

Katanya, orang Melayu bernasib baik kerana wujudnya Umno yang membela mereka selama 66 tahun dan perjuangan parti itu membolehkan rakyat negara ini hidup dalam keadaan aman, damai dan selesa tanpa rasa takut.

"Kita juga bernasib baik kerana adanya Umno yang boleh berfikir memperjuangkan nasib orang-orang Melayu untuk meneruskan kehidupan mendatang dengan selamat bersama anak-anak cucu.

"Oleh itu, kita perlu bangkit menentang 'makhluk tidak boleh berfikir'(parti pembangkang ) demi bagi menyelamatkan orang Melayu dan negara kita dari dijajah kembali,” katanya.

Beliau melontarkan persoalan bagaimana nasib yang akan melanda jika kita dijajah semula, jika Umno sudah hilang kuasa.

“Siapa yang akan membela syiar Islam? Siapa yang mampu membela hak umat dan agenda orang Melayu? Siapa pula yang dapat terus memuliakan Raja-Raja kita? Tepuklah dada, tanyalah jawapan,” katanya ketika di temui Teganukita selepas Majlis Penyerahan Penceramah Gerak Tumpu di Rest House Kuala Berang, hari ini.


Umat Islam dijemput hadir program Multaqa Sehari Bersama Ilmuan Islam

Oleh: Suriati Ali

 Kerajaan negeri akan menganjurkan program `Multaqa Sehari Bersama Ilmuan Islam Dalam Pemantapan Solat’ di Masjid Al-Muktakafi Billah Shah, Kuala Terengganu, pada 19 Januari ini.

 Program yang diadakan dengan kerjasama lembaga pengurusan masjid itu, akan dirasmikan Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Haji Mazlan Ngah.

 Penolong Setiausaha Kerajaan (Agama dan Penerangan, Encik Abu Bakar Jusoh, berkata pihaknya mengalu-alukan umat Islam di Terengganu terutama yang tinggal berdekatan dengan masjid supaya hadir pada majlis ilmu itu.

Katanya, tidak lupa juga kepada mana-mana jabatan kerajaan disaran mewakilkan sekurang-kurangnya 20 kakitangan.

 “Pelbagai pengisian program diatur, temasuk kuliah perdana dan halaqah dengan pelbagai tajuk iaitu `Kaifiat Solat Rasulullah’; `Permasalahan Masbuk dan Muafiq’ dan Perspektif Sains dan Kesihatan.

 “Penceramah tersohor dan berpengalaman daripada pelbagai jabatan dijemput khas untuk menjayakan program sehari itu,”katanya.

Antaranya, Dr Abdul Rasit Abdul Rahman , Pensyarah dari Jabatan Syariah, Kolej Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra; Dr Kamarudin Awang Mat (Pensyarah Jabatan Syariah Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) dan Dr Danial Zainal Abidin (Pengamal Perubatan Islam dan juga penulis buku berkaian al-Quran dan sains).

  

106 anak yatim terima zakat RM10,600

Oleh: Noraini Jusoh

Seramai 106 anak yatim yang tinggal di kawasan sekitar Universiti Malaysia Terengganu (UMT) menerima sumbangan wang zakat sebanyak RM100 seorang bagi meringankan beban memasuki sesi baru persekolahan.

Naib Canselornya, Prof. Emeritus Dato’ Dr. Ibrahim Komoo berkata, UMT mengambil tanggungjawab sosial menyampaikan sumbangan wang zakat berjumlah RM10,600 yang diterima daripada Bank Rakyat Cawangan Gong Badak untuk diagihkan kepada anak yatim.

"Atas dasar keprihatinan dan memenuhi tanggungjawab sosial universiti (USR), pihak kami telah memilih anak-anak yatim dari keluarga yang kurang berkemampuan untuk diagihkan wang zakat berkenaan.

"Mereka terdiri daripada pelajar sekolah rendah dan menengah berhampiran universiti ini yang berumur dalam lingkungan tujuh hingga 15 tahun,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap pada Majlis Penyampaian Sumbangan Wang Zakat Bank Rakyat kepada anak-anak yatim sekitar UMT, di Masjid Kampung Mengabang Telipot, Kuala Terengganu, semalam.

Katanya, dengan pemberian sedikit sumbangan tersebut diharap dapat menampung kos perbelanjaan buku serta kelengkapan sekolah anak-anak yatim terutamanya di awal musim persekolahan ini.

Tambah beliau, uniknya program yang diadakan dengan kerjasama Bank Rakyat itu adalah kerana ia diadakan di masjid dan melibatkan komuniti terdekat dengan universiti.

"Pemberian sumbangan wang zakat kepada anak-anak yatim yang memerlukan itu merupakan inisiatif memperluaskan tanggungjawab sosial kedua-dua pihak dan kerjasama yang terjalin mampu mewujudkan situasi memang-menang kepada pihak UMT dan Bank Rakyat,” ujarnya.

 

Terowong Jalan Kemajuan sudah dibuka

Oleh: Suriati Ali

Penduduk setempat terutama pelajar sekolah berdekatan mengakui lega kerana terowong di Jalan Kemajuan, Kuala Terengganu yang dibina awal Mac tahun lalu sudah dapat digunakan.

Kemudahan bernilai RM2.6 juta itu merupakan jalan pintas untuk ke pelbagai destinasi, termasuk ke Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Cina Chung Hwa Wei Sin, Sekolah Kebangsaan Gong Kapas, Jalan Bukit Kecil dan Pulau Kampung.

Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Pulau Kambing, Encik Elias Jantan,berkata keputusan Jabatan Kerja Raya (JKR) membenarkan orang ramai menggunakan terowong itu sangat dihargai walaupun belum siap sepenuhnya.


Katanya, pegawai atasan JKR dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bandar, Dato' Toh Chin Yaw sudah memantau keadaan terowong itu dan membenarkan orang ramai melaluinya bermula 1 Januari lalu.

“Kebenaran itu dianggap berita paling mengembirakan terutama bagi pelajar yang baru memulakan sesi persekolahan 2013 .

 “Kami tidak perlu lagi bimbang mengenai keselamatan anak-anak dan penduduk kampung yang ingin melintasi jalan itu di mana sebelum ini sentiasa bedepan dengan risiko kemalangan,” katanya ketika dihubungi Teganukita.

 Ketua Penolong Pengarah (Jalan) Jabatan Kerja Raya Terengganu, Encik Ibrahim Awang, berkata pembinaan terowong berjalan kaki bernilai RM2.6 juta itu sebenarnya sudah lama dirancang untuk kemudahan pelajar dan penduduk setempat.

 Katanya, terowong 98 peratus siap itu, dibuka kepada kepada orang ramai pada 1 Januari lalu,. “Hanya kerja asas saja belum dapat disiapkan, termasuk memasang lampu jalan, landskap dan meratakan laluan kaki lima” katanya.

 Pelajar Tingkatan Empat SMK (Cina) Chung Hwa Wei Sin, Muhammad Lylia Zokarnain Rohaimi, berkata dia dan rakan lain mengucapkan jutaan terima kasih kepada kerajaan kerana sudi membina terowong itu.

 “Apabila ianya siap kelak, tiada lagi risiko berlaku kemalangan dan didenda guru akibat lewat datang sekolah,” katanya.