Halaman

14 January 2013

HAJI HADI PERLU TARIK BALIK HUJAHNYA YANG MEMBENARKAN KALIMAH ALLAH DIGUNAKAN OLEH PENGANUT AGAMA LAIN DAN BAGAIMANA KEDUDUKAN TAFSIRANNYA BERKAITAN AYAT AL-QURAN SURAH ALI-IMRAN AYAT 64 YANG MENJADI SANDARAN SEBELUM INI?

Oleh: Ruslan Abdul Rahman

Rakyat pastinya tertanya-tanya bagaimana dengan kenyataan Presiden PAS, Abdul Hadi Awang yang sebelum ini keputusannya dan hujahnya membenarkan penggunaan kalimah Allah oleh bukan Islam, tiba-tiba ulamak Pas membuat keputusan lain pula.

Dengan keputusan terbaru majlis ulamak Pas itu, jelas ia bertentangan sama sekali dengan keputusan dan hujah Haji Hadi dalam sidang akhbar bersama Dato’ Seri Anwar Ibrahim dan Lim Kit Siang sebelum ini.
Hujah dan pendapat Haji Hadi bertentangan sama sekali dengan keputusan terbaru Dato’ Nik Aziz dan Datuk Harun Din.

Nik Aziz dan Harun Din yang mengetuai majlis ulama Pas, memutuskan kalimah itu tidak boleh diterjemahkan ke dalam mana-mana bahasa dunia kerana tidak menepati kehendak sebenar dari kalimah ini.

Demikian juga tidak boleh kalimah asing hendak diterjemahkan kepada kalimah Allah.

"Oleh kerana itu, menterjemah kalimah God atau Lord dari mana-mana kitab agama bukan Islam kepada perkataan Allah tidak dibolehkan kerana ianya salah dari segi makna dan salah guna, tidak menepati kehendak sebenar yang boleh membawa kekeliruan yang nyata.

"Oleh kerana itu ia hendaklah dicegah," kata kenyataan rasmi Majlis Syura Ulamak yang bermesyuarat malam tadi (13 Januari 2013).

Selain pertentangan dengan pendapat Haji Hadi dalam perkara ini, nampak jelas Nik Aziz yang menyokong Haji Hadi dalam isu ini pada sebelum ini menjilat kembali ludahnya.

Nik Aziz sebelum ini menyokong Haji Hadi mengizinkan penggunaan nama Allah oleh bukan Islam berkata:
“Penggunaan kalimah Allah itu mampu merungkai kekeliruan dalam masyarakat Malaysia pada waktu ini.
"Sekarang ni rakyat keliru, Allahpun Tuhan, Nabi Isa pun Tuhan, kubur keramat pun Tuhan, jadi hak mana sebenarnya Tuhan, tapi kalau kita pakai satu nama Allah sahaja, yang mereka tertanya-tanya tu, kita sedia bagi penjelasan yang mana satu tuhan sebenarnya," ujarnya pada sidang media di Majlis Ramah Mesra Warga Orang Kurang Upaya (OKU) di Perdana Resort 27 Mac 2010.

Turut hadir di majlis waktu itu, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan,Belia, Sukan dan NGO negeri, Abdul Fatah Mahmood dan Pengarah Urusetia, Abdul Aziz Yunus, Setiausaha Sulit khas, Rosdi Abdullah dan Setiausaha Akhbar Menteri Besar, Ustaz Ahmad Fadhli Shaari.

Bahkan Nik Aziz menyokong pendapat Haji Hadi supaya dalam Rukun Negara diubah Tuhan Kepada Allah kerana ia adalah bersamaan.

Haji Hadi sebelum ini, bahkan sejak Januari 2010 berkata, Islam tidak menghalang penganut agama lain menggunakan kalimah 'Allah' dalam amalan mereka, walaupun tidak mencapai maksud asal bahasa al-Quran.

“Oleh itu penganut Islam berbagai bangsa tetap menyebut perkataan Allah (tanpa terjemahan) apabila menterjemah Al-Quran dalam bahasa masing-masing dan ketika beribadat,” katanya pada sidang media selepas Mesyuarat Pimpinan Pakatan Rakyat.

 Allah oleh kalangan bukan Islam dengan penjelasannya dalam surah Ali-Imran ayat 64:
“Katakanlah (Wahai Muhammad): “Wahai ahli kitab, marilah kepada satu kalimah yang bersamaan antara Kami dengan kamu, iaitu kita semua tidak menyembah melainkan Allah, dan kita tidak sekutukan sengannya sesuatu jua pun; dan jangan pula sebahagian dari kita mengambil akan sebahagian yang lain (Para paderi, sami dan pemimpin ) untuk dijadikan orang-orang yang dipuja dan didewa-dewakan selain dari Allah”.

Kemudian jika mereka (Ahli Kitab itu) berpaling (enggan menerimanya) maka katakanlah kepada mereka: “Saksikanlah kamu bahawa sesungguhnya kami adalah orang-orang Islam.” (Ali-Imran:64)

Jadi sekarang ini, di manakah hujah Haji Hadi ini diletakkan...?? Penulis menyarankan supaya Haji Hadi menarik balik semula pendapat, hujahnya berlandaskan al-Quran membenarkan penggunaan nama Allah oleh penganut agama lain!! Bagaimana pula kedudukan surah Ali-Imran ayat 64 yang menjadi sandaran Haji Hadi sebelum ini membenarkan orang bukan Islam menggunakan nama Allah??

Haji Hadi perlu mengakui dia telah tersalah membuat tafsiran terhadap ayat suci al-Quran itu .
Atau adakah Haji Hadi akan mencari ayat al-Quran surah lain pula untuk menyatakan tidak boleh kembali penganut agama lain menggunakan nama Allah?

Sekarang terbukti, terang lagi berseluruh, dengan jelas Haji Hadi sebelum mencipta huraian mengenai ayat al-Quran ini untuk membenarkan hujahnya bahawa Islam membenarkan penggunaan nama Allah oleh penganut agama lain dan sekarang bagaimana pula beliau hendak tafsirkan ayat al-Quran untuk mengatakan penganut agama lain tidak boleh pula menggunakan nama Allah ??


RM1.3 juta baik pulih bangunan Dewan Undangan Negeri

Oleh; Esah Abdullah



Bangunan Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu yang sedang dibaik pulih, membabitkan perbelanjaan keseluruhan kira-kira RM1.3 juta.

Yang Dipertua DUN Terengganu Dato’ Haji Tengku Putera Tengku Awang berkata proses baik pulih yang bermula November lalu itu dijangka siap sepenuhnya pada Mac depan.

“Baik pulih meliputi ukiran tembaga atau 'peleh' pada bahagian bumbung di mana sebelum ini bangunan berkenaan di baiki di bahagian dalam yang membabitkan peruntukan RM1.1 juta,” katanya.

Menurutnya, bangunan yang digunakan sejak tahun 1982 itu sudah dua kali melalui proses membaik pulih. Beliau berkata demikian pada majlis perkahwinan anak perempuannya Tengku Nur Hakimah, 23, dengan Mohamad Izuddin Ismail, 24, di kediamannya.

 Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin berkenan berangkat ke majlis itu yang diiringi Setiausaha Kerajaan Datuk Haji Mazlan Ngah.

Majlis turut dihadiri Menteri Belia dan Sukan Dato’ Seri Ahmad Shabery Cheek; Ahli-ahli Mesyuarat Kerajaan negeri serta bekas Menteri Besar Dato’ Seri Idris Jusoh yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Jerteh.

Kira-kira 10,000 tetamu daripada pelbagai golongan hadir memeriahkan perkahwinan anak ketiga hasil perkongsian hidup dengan isteri To’ Puan Hajah Halijah Ali.

Tengku Nur Hakimah merupakan seorang peguam yang bertugas di Kuala Lumpur, manakala pasangannya Mohamad Izuddin, Pegawai Teknologi Maklumat (IT) yang juga anak bongsu kepada Pegawai Pembangunan Dun (PPD) Bukit Tunggal, Haji Ismail Nik.

 



Kepimpinan BN dan Umno perlu tingkatkan program bersama golongan sasar

Oleh: Noraini Jusoh

Kepimpinan Barisan Nasional (BN) dan Umno perlu memperbanyakkan program bersama golongan sasar agar mudah mendapat kepercayaan mereka untuk menghadapi Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) kelak.

Ketua Umno Bahagian Kuala Terengganu, Dato’ Wan Ahmad Farid Wan Salleh berkata, bagi parlimen Kuala Terengganu sendiri, pihaknya kini mengurangkan program yang hanya melibatkan kalangan ahli sahaja.

"Sekarang, kita lebih banyak mengadakan program yang melibatkan orang ramai terutama pengundi muda serta pengundi pertama kali.

"Selain itu, kecanggihan teknologi juga diaplikasikan untuk mendekati golongan muda khususnya kerana mereka lebih senang menggunakan Facebook, Twitter dan pelbagai laman sosial lain untuk berhubung,” ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada Teganukita selepas selesai menyempurnakan majlis penyampaian sumbangan bantuan persekolahan anjuran Yayasan Taqwa dengan kerjasama Kelab Sukan dan Rekreasi Tabung Haji Kuala Terengganu, di Dewan Seri Budi, baru-baru ini.

Katanya, kepimpinan BN dan Umno perlu peka dengan kehendak golongan muda dan tahu menggunakan kecanggihan teknologi untuk berhubung dengan golongan ini sekaligus dapat mengeratkan hubungan antara pemimpin dan rakyat.

"Apabila parlimen dibubarkan, mandat akan diserahkan kepada rakyat dan merekalah yang berhak membentuk kerajaan yang akan memerintah negara ini,” ujarnya.

Justeru, hubungan yang baik antara kepimpinan BN dan Umno dengan golongan sasar harus dijaga agar kerajaan BN dan Umno akan terus kekal memerintah negara tercinta.

 

Lautan 10,000 penyokong bangkit semangat Titans

Oleh: Aida Abd Rahman

Sokongan padu kira-kira 10,000 penyokong yang membanjiri Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu kelmarin ternyata menjadi kunci kebangkitan T-Team untuk mengalahkan Kelantan selaku pemegang status juara trebel musim lepas. 



Kejayaan membenam The Red Warriors di gelanggang sendiri dengan jaringan 1- 0 itu sudah cukup memberi motivasi dan menyuntik semangat anak buah Peter James Buttler bagi memungut tiga mata berharga pada perlawanan berikutnya.

Ketua Pegawai Eksekutif T-Team, Encik Abdul Rashid Jusoh, berkata The Titans kini menanam tekad untuk terus melakar kemenangan menentang finalis Piala Malaysia yang lalu, ATM pada perlawanan di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Negeri Sembilan, selasa ini (15 Januari).

Mengulas perlawanan kelmarin, beliau berkata atas usaha keras dan semangat jitu barisan kejurulatihan, pemain-pemain, pengurusan serta semua pihak yang terlibat terutama para penyokong berjaya menterjemahkan apa yang diidamkan pasukannya terutama memungut tiga mata di laman sendiri .

“Tidak siapa menduga Titans kini memiliki peminat melebihi 10,000 orang. Sejak penubuhannya lima tahun lalu, cuma beberapa ratus sahaja penyokong yang hadir menonton setiap kali pasukan bermain di gelanggang sendiri.

“Bagaimanapun, kini semuanya berubah kerana walaupun tiket sudah habis dijual, peminat masih berlegar di kawasan stadium sehingga sanggup masuk walaupun terpaksa berdiri di tepi pagar untuk menyaksikan aksi pemain baru T-Team," katanya.

Encik Abdul Rasid berkata, kecuali pemain impot, George Boateng dan Caleb Folan, dan bekas pemain Terengganu, Marzuki Yusof dan Mazlizam Mohamad, tiada pemain ternama ataupun berpengalaman dalam pasukan Titans musim ini.

 Bagaimanapun, katanya  itu semua tidak menghalang peminat bola sepak tempatan untuk datang menyokong T-Team dan kebangkitan itu memberi motivasi kepada pemain muda untuk membalas sokongan peminat dengan mempamerkan persembahan terbaik.

 "Kalau dulu kami tidak merasakan apa kelebihan walaupun bermain di tempat sendiri, kini semuanya sudah bertukar dan pemain kami menjadi lebih bersemangat untuk memberikan persembahan terbaik untuk penyokong mereka.

“Dalam perlawanan itu, terbukti pemain telah berjaya mengikut skrip yang direncanakan oleh Ketua Jurulatih,     selain dibantu pemain import yang menepati ciri-ciri dikehendaki pasukan,” katanya.

Beliau berkata, walaupun Titans tidak digelar pasukan bintang, anak buahnya akan terus memberi tentangan sengit dan mencabar mana-mana pasukan lawan biarpun penyandang juara berganda pada musim lalu.







13 January 2013

Hutan Lipur Sekayu paling popular

Oleh: Aida Abd Rahman

Seramai 398,048 pengunjung direkodkan melawat 11 hutan lipur dan Hutan Taman Negeri Terengganu sepanjang tahun lalu.

Daripada jumlah itu, Hutan Lipur Sekayu menjadi lokasi paling popular dan menerima kedatangan pengunjung tertinggi apabila merekod jumlah 122,985 orang membabitkan 121,930 (tempatan) dan 1,055 (luar negeri).

Pengerusi Jawatankuasa pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan negeri, Datuk Abdul Rahin Mohd Said, berkata selain Hutan Lipur Sekayu (Hulu Terengganu), Hutan Lipur Lata Tembakah pula mencatat jumlah pengunjung kedua tertinggi iaitu 109,095 diikuti ketiga, Hutan Lipur Belatan seramai 91,572 orang.

“Selain itu, Hutan Lipur Cemerong (Dungun) turut menjadi pilihan ramai pelawat dari dalam dan luar Terengganu, iaitu 55,440 pengunjung, diikuti Rimba Bandar Bukit Bauk seramai 11,362 orang pelawat.

“Tidak terkecuali, lokasi hutan lipur dan Hutan Taman Negeri Terengganu, Hutan lipur Air Menderu (4,454 pelawat), Hutan Lipur Lata Payung (1,578 pelawat) dan Hutan Lipur Jambu Bongkok (1,177 orang),” katanya.

 Datuk Abdul Rahin berkata, kerajaan negeri akan melihat keperluan dari aspek kemudahan dan fasiliti yang perlu diselenggara serta ditambahbaik bagi memenuhi keperluan pengunjung sekali gus menjadikan destinasi itu sebagai pilihan ketika musim cuti persekolahan dan hari minggu.

 

Adun Tepoh seru pelajar ILP bina kemahiran

Oleh: Noraini Jusoh

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tepoh, Haji Muhammad Ramli Nuh menyeru pelajar baru Institut Latihan Perindustrian (ILP) Kuala Terengganu membina kemahiran sepanjang menuntut di pusat kemahiran terbabit.

Beliau yang merangkap Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Penerangan negeri berkata, pelajar ILP tidak seharusnya mensia-siakan peluang yang telah diberikan kepada mereka untuk meneruskan pengajian.

"Para pelajar tidak perlu berasa rendah diri walaupun tidak dapat menyambung pengajian di universiti kerana tidak semestinya kurang cemerlang dalam akademik bermakna kita tidak mampu berjaya.

"Malah, berbekalkan kemahiran yang diperolehi semasa mengikuti pengajian di ILP, para pelajar mampu berdikari contohnya dengan membuka perniagaan sendiri, sedangkan ramai pelajar universiti yang menganggur kerana hanya mengharapkan dapat bekerja dengan kerajaan,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap di majlis perasmian penutup minggu suaikenal sesi Januari 2013 di Dewan Kuliah Utama, ILP Kuala Terengganu, hari ini.

"Dengan kemahiran juga mampu jadikan kita orang hebat dan selari dengan Wawasan 2020, negara perlukan orang yang mempunyai kemahiran seperti anda (pelajar ILP) dalam melahirkan tenaga kerja yang lebih berdaya saing,” katanya.

Katanya, para pelajar juga perlu menghormati tenaga pengajar dan pensyarah agar pembelajaran mereka sentiasa diberkatiNya.

 

Program 1JKKK 1Polis bantu kurang jenayah

Oleh; Esah Abdullah


Program Satu Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (1JKKK) Satu Polis (1Polis) dan Satu Masjid (1Masjid) Satu Polis (1Polis) yang diperkenalkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) Terengganu telah membantu mengurangkan kadar jenayah kerana masyarakat terus berhubung dengan pihak keselamatan.

Ketua Polis Terengganu, Dato' Jamshah Mustapa berkata, pelaksanaan program ini bersifat komuniti dan lebih dekat kepada masyarakat merupakan langkah alternatif dalam usaha untuk mengurangi kadar jenayah di negeri ini.

“Yang jelasnya, kadar jenayah menurun sejak kita mempergiatkan program komuniti kepolisan dengan turun bertemu masyarakat dan kita harap ia terus memberikan impak yang positif, sekaligus mewujudkan suasana yang harmoni serta bebas dari gejala jenayah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui dalam Program Jom Kayuh Cegah Jenayah Komuniti Kepolisan Polis DiRaja Malaysia (PDRM) Terengganu di Kampung Gong Lingai, Batu Rakit semalam.

Hadir sama ke majlis berkenaan, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Batu Rakit yang juga Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Penerangan negeri, YB Haji Khazan Che Mat.

Katanya, program komuniti kepolisan seperti Jom Kayuh Cegah Jenayah dan Hari Kesedaran Jenayah yang sedang giat dilaksanakan bertujuan untuk mendapatkan keyakinan masyarakat bahawa polis bukan sekadar mencegah jenayah semata-mata.

 “Tanpa sokongan dan kerjasama masyarakat adalah mustahil sesuatu jenayah itu dapat dikesan secara menyeluruh kerana komuniti berperanan menyalurkan maklumat kepada pihak berkuasa,” katanya.

Sementara itu, seramai 160 peserta mengambil bahagian dalam program Jom Kayuh Basikal yang baru diperkenalkan itu membabitkan anggota polis, badan Ngo dan masyarakat tempatan.

 

Sokongan rakyat terhadap BN makin kuat

Oleh: Suriati Ali

 Sokongan rakyat terutama peringkat akar umbi di negeri ini dilihat semakin kuat kerana mereka menyedari keupayaan Barisan Nasional (BN) yang telah membawa satu anjakan pembangunan kepada Terengganu berbanding masa lalu.

 Tanggapan pihak tertentu kononnya rakyat di negeri ini semakin menolak UMNO khususnya Barisan Nasional (BN) disifatkan satu kenyataan yang tidak berasas dan menyimpang dari fakta yang sebenar.

Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Penerangan negeri yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Batu Rakit, YB Haji Khazan Che Mat, berkata pihaknya menyifatkan kenyataan seperti ini hanyalah cubaan pihak-pihak tertentu yang semakin gelisah dengan arus sokongan semasa BN yang terus bersemarak.

"Malah dengan keupayaan BN yang ditunjangi UMNO mentadbir negeri dan membela nasib rakyat secara menyeluruh membuatkan golongan yang tersepit ini tidak senang duduk sehingga memaksa mereka mencipta dakyah palsu sedemikian rupa.

 “Kita menafikan sekeras-kerasnya pelbagai dakwaan karut yang datang daripada pembangkang, mereka gemar menidakan apa yang dilaksanakan kerajaan kerana mahukan perhatin,” kata ketika berucap di satu majis baru-baru ini.

 Katanya, pembangkang bimbang bantuan dan kebajikan yang ditaburkan kepada rakyat akan memberi kesan negatif terhadap puak itu.

 “Kita percaya rakyat di negeri ini akan menilai rekod pentadbiran kerajaan yang ada sekarang berbanding fitnah yang dilemparkan.

 "Sebab itu kita tidak hairan dengan fitnah dan dakwaan tanpa asas yang dilemparkan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab ini,” katanya.

 YB Khazan yakin selagi BN berjaya mentadbir dengan baik dan peka terhadap tuntutan rakyat, segala tohmahan yang dilemparkan tidak akan meninggalkan kudis.

 

Yayasan Taqwa belanja RM21,500 untuk bantuan persekolahan

Oleh: Noraini Jusoh

Yayasan Taqwa membelanjakan RM21,500 bagi program penyampaian sumbangan persekolahan kepada pelajar yang kurang berkemampuan dalam parlimen Kuala Terengganu yang diadakan di Dewan Seri Budi, semalam.

Majlis yang dianjurkan Yayasan Taqwa dengan kerjasama Kelab Sukan dan Rekreasi Tabung Haji tersebut melibatkan 100 pelajar sekolah rendah termasuk anak yatim piatu di parlimen itu.

Pengerusi Kelab Sukan dan Rekreasi Tabung Haji Terengganu, Tuan Haji Adnan Salleh berkata, sumbangan tersebut merupakan keprihatian Yayasan Taqwa yang merupakan agensi di bawah Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) dalam membantu pelajar yang kurang bernasib baik.

"Diharap pelajar yang mendapat sumbangan ini dapat menggunakannya sebaik mungkin,” ujarnya ketika berucap dalam majlis tersebut.

Turut hadir, Ketua Umno Bahagian Kuala Terengganu, Dato’ Wan Ahmad Farid Wan Salleh.

Difahamkan, setiap pelajar yang terpilih menerima bantuan bernilai RM215 dalam bentuk pakaian sekolah, kasut serta alat tulis.

Sementara itu, Dato’ Wan Ahmad Farid berkata, peranan untuk membantu golongan yang memerlukan dan membuat kebajikan bukan setakat tanggungjawab kerajaan semata-mata.

"Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO), agensi-agensi berkaitan hendaklah memainkan peranan masing-masing dalam membantu meringankan beban golongan yang kurang bernasib baik,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut memuji usaha yang dilakukan Yayasan Taqwa dan Kelab Sukan dan Rekreasi Tabung Haji dalam menganjurkan program yang memberi makna yang besar kepada ibu bapa yang kurang berkemampuan bagi menampung kos persekolahan anak-anak.

 

Kerugian hampir RM 1 Juta Kebakaran kedai di Kampung Alur Lintang,Besut



Oleh: Mohammad Ishak 

Sederet enam kedai di Kampung Alur Lintang, Besut,musnah dalam kebakaran awal pagi menyebabkan kerugian ditaksirkan hampir RM1 juta.

Kedai terbabit ialah kedai komputer, kedai menjual mesin jahit, bengkel membaiki motosikal dan rumah kediaman.

Kejadian itu berlaku kira-kira jam 3.10 malam tadi menyebabkan semua premis berkenaan musnah dalam kebakaran yang dianggap terbesar di Besut tahun ini.

Timbalan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Terengganu,Nor Mahathir Mohamad ketika ditemui di tempat kejadian berkata pihak bomba menerima panggilan menerusi talian 999 daripada orang awam yan g memaklumkan kejadian itu.

Katanya, empat jentera bomba dari balai bomba Kampung Raja dan Permaisuri bergegas ke tempat kejadian sebaik menerima panggilan bagi mengawal kebakaran berkenaan.

Bagaimanapun,katanya, kejadian itu tidak membabitkan kehilangan nyawa keranaa semua penghini dipercayai tinggal di rumah berasingan.

Nor Mahathir berkata, kejadian itu dipercayai litar pintas dari sebuah bengkel motosikal dan siasatan lanjut sedang dilakukan oleh pasukan bomba.