Halaman

19 January 2013

SPR akan terbit buku kecil tangkis fitnah

Oleh: Suriati Ali

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan menerbit dan mengagihkan buku kecil kepada orang ramai sebagai langkah menangkis dakwaan dan fitnah yang dilemparkan kepada suruhanjaya itu.

 Pelbagai isu berserta jawapan ringkas akan dimuatkan ke dalam buku yang bakal diterbitkan akhir bulan ini, supaya mudah difahami pembaca.

 Pengerusi SPR Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof, langkah itu dianggap penting bagi membersih kembali nama SPR daripada terus tercalar akibat fitnah oleh pihak tidak bertanggungjawab.

“Sebagai contoh, ada yang mendakwa, ramai bilangan pengundi tinggal dalam satu rumah, cerita sebaliknya mereka yang berkaitan gemar mengemukakan alamat di lokasi sama supaya mudah untuk urusan surat-menyurat.

 “Saya kesal dengan dakwaan seumpama ini kerana menuduh tanpa usul periksa, apabila terbukti ia tidak benar, ia lain pula akan timbul,” katanya.

Tan Sri Abdul Aziz turut memberitahu, pihaknya akan mengenal pasti kira-kira 46,000 orang belum lagi mendaftar sebagai pemilih di Terengganu walaupun mereka layak berbuat demikian.

“Orang ramai boleh berurusan dengan SPR atau mana-mana agen yang dilantik untuk mendaftar sebagai pemilih sepanjang musim, dalam waktu pejabat.

 “Semakan daftar pemilih pula boleh dibuat di ibu pejabat SPR di talian 03-8885 6565 atau mana-mana pejabat SPR negeri mulai jam 8 pagi hingga 5 petang, setiap hari sepanjang bulan ini,” katanya.

 Katanya, mereka juga boleh melayari laman sesawang SPR di www.spr.gov.my bagi membuat semakan dan mendapatkan keterangan mengenai tempat mengundi.

 “Daripada statistik yang dikeluarkan SPR sebelum ini, didapati kira-kira 3.7 juta orang masih belum berdaftar di seluruh negara belum mendaftar sebagai pemilih, tetapi jumlah di Terengganu adalah yang paling sedikit,” katanya.

 

18 January 2013

TNB sasar kutipan bayaran bil 4.5 peratus

Oleh; Esah Abdullah

Tenaga Nasional Berhad (TNB) Terengganu mensasarkan kutipan pembayaran bil elektrik dapat ditingkatkan kepada 4.5 peratus pada tahun ini.

Pengurus Besar TNB negeri, Encik Md Yuslan Md Yusof berkata kutipan itu meningkat 0.5 peratus berbanding pada tahun 2010 iaitu 4 peratus.

 “Peningkatan kutipan pembayaran itu berdasarkan pertambahan penggunaan bekalan oleh pengguna termasuk dalam penggunaan barangan elekrik dan kemudahan lain.

``Pada masa ini pengguna elektrik di seluruh negeri adalah 312,000 akaun atau 99 peratus telah menikmati kemudahan tersebut dengan penggunaan kapasiti bekalan sebanyak 425 megawatt,’’ katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran Program TNB Bersama Pelanggan TNB 2013 Peringkat Negeri di Pusat Khidmat Pelanggan (PKP) TNB Kuala Terengganu.

Pelancaran telah dilakukan oleh Ketua Bahagian Perolehan Pembelian dan Perkongsian TNB, Ir Nor Azli Shari yang diadakan serentak di seluruh semenanjung mebabitkan 120 PKP..

Katanya negeri ini mempunyai sembilan PKP terlibat yang menawarkan pelbagai promosi istiemwa kepada pelanggan yang mengungjungi PKP di seluruh negeri.

Beliau menambah, pengguna juga boleh membuat semakan bil di samping mendapatkan info terkini mengenai kemudahan serta perkhidmatan yang ditawarkan oleh TNB.

Difahamkan sebanyak RM71 juta telah dibayar kepada 7.4 pelanggan TNB di seluruh semenangjung bagi tujuan itu.

Program yang pertama kali diperkenalkan oleh TNB itu adalah untuk mendekatkan lagi TNB dengan pelanggan di samping memberi peluang kepada pengguna mendapatkan maklumat perkhidmatan TNB.

Jumlah pelancong menginap di Terengganu meningkat

Oleh: Kamarudin Mat Akib 


Jumlah pelancong yang menginap di Terengganu semakin meningkat dari semasa ke semasa di mana keadaan ini amat baik bagi pengusaha hotel dan chalet di seluruh negeri.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Negeri, Dato’ Haji Abdul Rahin Mohd Said, berkata data yang diperolehi daripada Persatuan Hotel Malaysia menunjukkan sejak awal 2012 hingga Ogos lalu, purata penginapan di negeri ini ialah 53.60 peratus.

“Sementara sebanyak 48.22 peratus sahaja purata penginapan direkodkan sepanjang tahun 2011,” katanya.

Beliau berkata, peningkatan kadar penginapan tersebut amat baik dan pihaknya yakin angka itu akan terus meningkat pada tahun ini memandangkan jumlah pelancong juga dijangka bertambah.

Dato’ Haji Abdul Rahin berharap Kempen tahun Melawat Terengganu 2013 yang sedang rancak dijalankan sekarang ini akan memberi impak yang besar kepada industri pelancongan di negeri ini dan juga Malaysia.

“Kesinambungan Kempen Tahun Melawat Terengganu 2013 dengan 34 acara-acara pelancongan sepanjang tahun ini adalah bertepatan dengan tahun Melawat Malaysia 2014.

“Ini akan membolehkan kerjasama yang lebih jitu di antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri dalam sama-sama mempromosikan produk dan destinasi pelancongan di negeri Terengganu dan di Malaysia amnya,” tambah beliau.

 

Bantuan persekolahan RM100 besar nilainya

Oleh: Noraini Jusoh

Biarpun hanya bernilai RM100, sumbangan Bantuan Khas Awal Persekolahan besar nilainya kepada ibu bapa dan pelajar terutama yang datang dari keluarga yang kurang berkemampuan.

Menerusi pembentangan Bajet 2013, Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak telah meluluskan peruntukan sejumlah RM540 juta untuk membiayai bantuan tersebut kepada 5.4 pelajar seluruh negara.

Seramai 200 pelajar Kolej Vokasional Kuala Terengganu (KVKT) turut menerima keistimewaan itu dalam satu majlis yang diadakan di sekolah terbabit, semalam.

Seorang pelajar KVKT yang dulunya pernah dikenali sebagai Sekolah Menengah Teknik Wakaf Tembusu, Nur Aliyah Nadhirah Mohamad, 17, berkata sumbangan tersebut sangat bermakna buatnya dalam menampung keperluan persekolahannya.

"Alhamdulillah, duit ini dapat saya guna untuk bayar yuran asrama dan beli peralatan sekolah yang lain.

"Bantuan ini juga dapat ringankan sedikit beban ibu bapa dalam menyediakan keperluan persekolahan saya,” ujar anak kepada Mohamad Sulong,47, dan isterinya Ariani Yahya,46.

Sementara itu, seorang penjaga yang ditemui, Nadia Ghazali, 22, dari Manir berkata, bantuan RM100 besar nilainya kepada dia dan adiknya Muhammad Farhan Ghazali,17, kerana segala keperluan sekolah Muhamad Farhan diuruskan sendiri olehnya.

"Saya hanya tingga berdua dengan adik setelah kematian ibu dan tidak tinggal bersama bapa.

"Justeru, bantuan ini beri makna yang besar buat saya untuk menampung kos membeli keperluan persekolahan seperti buku dan alat tulis adik,” ujarnya yang hanya bekerja sendiri.

 

Peniaga istimewa Pasar Payang terima kerusi roda elektrik

Oleh: Aida Abd Rahman

Kerajaan negeri menyumbang sebuah kerusi roda elektrik bernilai RM8,800 untuk kegunaan seorang peniaga `istimewa’ di Pasir Kedai Payang, Kuala Terengganu untuk kemudahannya menjalani kehidupan seharian.

Peniaga Orang Kelainan Upaya (OKU), Kamariah Abdul Ghani, 49, kudung kedua-dua tangan dan kaki sejak lahir sudah menjalankan perniagaan menjual pelbagai jenis makanan tradisional, kacang dan asam di pasar itu lebih 20 tahun lalu.

Sumbangan kerusi roda menerusi Tabung Darul Iman itu diserahkan Menteri Besar, Dato’ Seri haji Ahmad Said, selepas Mesyuarat Mingguan Exco, di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu, semalam (16 Januari).

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Perpaduan dan Hal Ehwal pengguna negeri, Dr A Rahman Mokhtar dan Pengerusi Jawatankuasa Perindustrian, Perdagangan dan Alam Sekitar negeri, Dato’ Toh Chin Yaw.

Sementara itu, Kamariah bersyukur kerana ada pihak yang sudi menghulurkan bantuan bagi meringankan bebannya selama ini yang terpaksa menghabiskan banyak wang untuk menyediakan sendiri kerusi roda elektrik bagi berulang-alik dari rumahnya di Kampung Tanjung Paya untuk ke pasar setiap hari.

 “Saya gembira dan rasa bersyukur kerana ada pihak yang prihatin dengan nasib saya. Saya akan menggunakan bantuan kerajaan ini dengan sebaik yang mungkin,” katanya.

 

SPR yakin PRU ke-13 yang terbaik

Oleh: Suriati Ali 

 Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yakin proses Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13 adalah yang terbaik biarpun timbul pelbagai spekulasi kurang menyenangkan daripada pelbagai pihak.

 Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof, keyakinan itu berdasarkan pelbagai langkah,perubahan dan pembaharuan yang dilakukan, termasuk kerap kali mengemaskini data.

 Katanya, pembaharuan itu antaranya penggunaan dakwat kekal, undi awal, wujudnya akses media bagi parti-parti politik, pemerhati antarabangsa dan syarat pemakaian pas untuk memasuki pusat-pusat mengundi.

 
“Manakala petugas media dibenarkan mengundi pos dan kelonggaran kepada golongan orang kurang upaya (OKU) yang boleh ditemani rakan berbanding hanya saudara mara, sebelum ini,” katanya kepada media, semalam.

Tan Sri Abdul Aziz berkata, SPR menjangka pemilih berdaftar yang kini berjumlah 13.1 juta akan bertambah kepada 13.3 juta sekiranya senarai pemilih baharu, iaitu 295,173 orang termasuk 51,421 pemilih yang bertukar alamat pada suku terakhir 2012, dimasukkan ke dalam senarai daftar pemilih.

 Katanya, SPR menetapkan 21 Januari ini sebagai tarikh mendaftar permohonan undi pos membabitkan pelajar dan pekerja rakyat Malaysia di luar negara yang sebelum ini sudah mendaftar sebagai pengundi.

 “Untuk permohonan pengundian pos dalam negara, iaitu untuk anggota polis, tentera selain petugas media dan SPR, permohonan hanya boleh dibuat selepas Parlimen dibubarkan,” katanya.

 

Bantuan khas awal persekolahan mula diagih di Kemaman

Oleh: Nurul Aziela Mohd Saberi 

Seramai 900 penerima daripada murid Tahun 1 hingga Tahun 6 dari Sekolah Kebangsaan Pusat Kemaman menerima Bantuan Khas Awal Persekolahan RM100 semalam.

Bantuan diserahkan oleh Setiausaha UMNO Bahagian Kemaman, Encik Rosli Ahmad yang mewakili Ketua Wanita UMNO Kemaman, YB Senator Hajah Rohani Abdullah kepada ibu bapa pelajar dan sekaligus merupakan kumpulan pertama yang menerima bantuan di Parlimen Kemaman.

Rosli Ahmad yang juga Peyelia KEMAS Daerah Kemaman berkata, Kerajaan Pusat sudah menunaikan janjinya untuk meneruskan lagi bantuan itu sepertimana yang diumumkan dalam Belanjawan 2013 baru-baru ini.

Beliau berkata Bantuan Khas Awal Persekolahan RM100 terbukti mampu meringankan beban ibu bapa yang berpendapatan rendah kerana memerlukan perbelanjaan yang banyak di awal persekolahan.

Mungkin bagi sesetengah mereka RM100 hanya jumlah yang kecil namun bagi mereka yang kurang berkemampuan dan mempunyai ramai anak memasuki alam persekolahan, jumlah itu banyak membantu terutama membeli peralatan tulis dan pakaian sekolah.

Suri rumah Maziah Ibrahim, 49 yang mempunyai 4 orang anak yang masih bersekolah berasa sangat bersyukur dan berterima kasih kepada Kerajaan Pusat atas bantuan yang diberikan ini.

“Wang yang diterima ini akan disimpan dalam akaun bank masing-masing untuk simpanan mereka kelak dan akan digunakan apabila diperlukan untuk persekolahan mereka,” katanya selepas menemani anaknya semalam.


17 January 2013

RM900 juta bina loji air di Kemaman dan Kuala Terengganu Utara

Oleh; Esah Abdullah

Kerajaan negeri merancang membina dua loji rawatan air baru di daerah Kemaman dan Kuala Terengganu Utara bagi menampung permintaan yang semakin meningkat dari pengguna industri dan domestik.



Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said berkata, kerajaan sedar isu-isu bekalan air yang paling kritikal dihadapi penduduk di daerah Kemaman dan Kuala Terengganu Utara dan memerlukan tindakan segera kerajaan.

“Peruntukan keseluruhan bagi pembinaan dua loji berkenaan berjumlah RM900 juta,” katanya dalam sidang media selepas merasmikan Sambutan Hari Kualiti Syarikat Air Terenganu Sdn Bhd (SATU) di Wisma Darul Iman hari ini.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Dato Haji Mazlan Ngah; Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Infrastruktur dan Kemudahan Awam negeri, Datuk Haji Za’abar Mohd Adib; Ahli lembaga Pengarah SATU YB Haji Alias Abdullah dan Ketua Pegawai Eksekutif SATU, Haji Husain Embong.

“Kemaman merupakan kawasan perindustrian dan pertumbuhan yang pesat selain loji baru juga memerlukan satu kawasan tangkungan air bagi menampung keperluan pengguna di daerah itu dengan kos RM500 juta.

“RM400 juta bagi pembinaan loji di Kuala Terengganu Utara yang turut mengalami limpahan pembangunan kerana akan diisytiharkan sebagai daerah baru tidak lama lagi,” katanya.

Menurut Menteri Besar, setakat ini kerajaan telah melantik perunding bagi menyediakan rekabentuk terperinci dan penyediaan kontrak bagi emmpercepatkan pelaksanaannya yang dijangka siap pada 2017.

“Kita juga sedang membuat perundingan dengan pihak Permodalan Aset Air Berhad (PAAB) bagi menentukan pembiayaan modal bagi projek-projek infrastruktur bekalan air ,” katanya.

 

Negara luar kagum pendidikan Terengganu

Oleh: Kamarudin Mat Akib

Kesungguhan Kerajaan Terengganu membangunkan bidang pendidikan, termasuk memperkenalkan Kelas Maya dan penggunaan e-Book di sekolah-sekolah rendah mendapat pujian banyak negara luar.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Sains & Teknologi dan Sumber Manusia negeri, Dato’ Haji Ahmad Razif Abdul Rahman, berkata pujian itu disampaikan kepada dua wakil Jabatan Pelajaran Negeri (JPN) yang menghadiri persidangan pendidikan peringkat antarabangsa baru-baru ini.

“Pada persidangan tersebut ramai wakil dari luar negara melahirkan kekaguman mereka terhadap usaha kerajaan negeri memperkenalkan Kelas Maya di sekolah-sekolah rendah bagi meningkat mutu pendidikan di Terengganu.

“Malah, mereka juga amat tertarik dan kagum dengan langkah kerajaan memberikan e-Book secara percuma kepada semua pelajar dari Tahun Empat hingga Tahun Enam di sekolah-sekolah rendah di seluruh Terengganu,” katanya ketika ditemui di Primula Beach Resort, kelmarin.

Dato’ Haji Ahmad Razif berkata, ada antara wakil dari luar negeri menyatakan minat mereka untuk datang ke Terengganu dan melihat sendiri apa yang dilakukan kerajaan negeri bagi memajukan bidang pendidikan.

“Ini merupakan satu penghargaan yang besar kepada pemimpin Barisan Nasional (BN) yang telah bertungkus lumus mencari idea dan memperkenalkan program bagi meningkatkan mutu pendidikan anak-anak negeri ini,” tambahnya.

Sehingga September 2012, sebanyak 124 Kelas Maya telah dibuka di 41 sekolah rendah di seluruh negeri Terengganu.

Katanya, sejak e-Book diperkenalkan pada tahun 2009, seramai 113,922 murid telah mendapat kemudahan berkenaan secara percuma.

“Pada tahun ini kerajaan negeri menyediakan peruntukan RM3.2 juta bagi membuka lebih banyak Kelas Maya di negeri ini,” katanya.

 

200 pelajar KVKT terima bantuan khas awal persekolahan

Oleh: Noraini Jusoh

Seramai 200 orang pelajar Kolej Vokasional Kuala Terengganu (KVKT) hari ini menerima Bantuan Khas Awal Persekolahan berjumlah RM100 seorang.


Sebanyak RM20,000 diperuntukan kerajaan melalui Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) untuk diagihkan kepada pelajar terpilih di kolej terbabit yang dulunya pernah dikenali sebagai Sekolah Menengah Teknik Wakaf Tembusu.

Pegawai Pembangunan DUN Bukit Tunggal, Haji Ismail Nik berkata, pemberian sumbangan tersebut merupakan keprihatinan kerajaan dalam membantu meringankan beban perbelanjaan persekolahan yang ditanggung ibu bapa terutamanya di awal musim persekolahan.

"Nilai RM100 sangat besar ertinya kepada pelajar terutamanya yang datang dari keluarga kurang berkemampuan.

"Saya harap pemberian ini dapat membantu menampung kos perbelanjaan ibu bapa dalam menyediakan keperluan persekolahan anak-anak,” ujarnya ketika berucap di Majlis Penyerahan Bantuan Khas Awal Persekolahan, di kolej tersebut, hari ini.

Turut hadir, Pengarah Kolej Vokasional Kuala Terengganu, Haji Hussin Yusof.

Sementara itu, menurut Haji Hussin, di bawah Bajet 2013 yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak 28 September lalu telah meluluskan peruntukan sejumlah RM540 juta bagi Bantuan Khas Awal Persekolahan RM100.

"Justeru, semua murid Tahun 1 hingga Tingkatan 5 bagi sesi persekolahan tahun 2013 yang memenuhi syarat layak menerima bantuan ini,” katanya.