Halaman

19 January 2013

Tuah Khadijah selepas 30 tahun berkhidmat

Oleh: Aida Abd Rahman

Genap 30 tahun berkhidmat dengan jabatan kerajaan memberi tuah kepada Puan Khadijah Jusoh, 52, apabila memenangi hadiah utama berupa sebuah motosikal Yamaha LC 135 berharga RM6,400 sempena cabutan bertuah Majlis Hari Keluarga Wisma Darul Iman (WDI), di Dewan Besar WDI, hari ini.



Lebih manis apabila nama kakitangan Unit Pinjaman Kerajaan di Pejabat Perbendaharaan itu diumumkan oleh pengacara majlis selepas Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said membuat cabutan untuk tiga pemenang hadiah utama.

Menteri Besar kemudiannya menyampaikan hadiah kepada tiga pemenang berkenaan.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Haji Mazlan Ngah; Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pembangunan), Dato’ Haji Mat Razali Kassim dan Pengarah Tanah dan Galian (PTG), Dato’ Tuan Mamat Tuan Ngah.

 “Alhamdulillah selepas 30 tahun berkhidmat, saya mendapat hadiah utama yang cukup bernilai buat kami sekeluarga ini.

"Sebelum ini saya hanya mendapat hadiah yang tidak seberapa dan nampaknya pada awal 2013 memberi tuah pula kepada saya dan pastinya motosikal ini untuk kegunaan sendiri dan juga suami, Mohd Nasaruddin Hamzah,” katanya.



Hotel baru meningkat 20 peratus sempena TMT

Oleh: Aida Abd Rahman

Kerajaan negeri menjangkakan pertambahan sebanyak 20 peratus bilik penginapan di Terengganu berikutan pembinaan beberapa hotel baru yang dijangka beroperasi menjelang suku kedua tahun ini.

Kemudahan penginapan itu sebagai persiapan kerajaan negeri menyambut kehairan pelawat dari dalam dan luar Terengganu yang mendadak sempena Tahun Melawat Terengganu (TMT) 2013.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan negeri, Datuk Abdul Rahin Mohd Said, berkata perkembangan itu menjadikan keseluruhan jumlah bilik hotel melebihi 10,000 unit tahun ini berbanding sekitar 8,000 unit tahun lalu.

“Bagaimanapun, jumlah pertambahan ini hanya di Bandar Raya Kuala Terengganu dan tidak termasuk di daerah lain.

 “Pembinaan kesemua hotel berkenaan juga tidak termasuk inap desa dan hotel bajet yang pastinya akan memberi keselesaan dan mengelakkan masalah kekurangan hotel di Terengganu sempena TMT tahun ini,” katanya di Majlis pelancaran Kalendar Aktiiti Pelancongan 2013, Sempena TMT 2013 di Hotel Tanjong Vista, kelmarin (17 Januari).

Hadir sama, Ketua Sekretariat TMT 2013, Encik Ahmad Fathil Abd Ghani. Datuk Abdul Rahin berkata, dua hotel bertaraf tiga bintang dan satu hotel biasa yang baru siap dibina di bandar ini sedang dalam proses terakhir sebelum memulakan operasi.

Selain itu, katanya kerajaan negeri juga meluluskan pembinaan satu hotel bajet pada minggu lalu, yang akan dibina tahun ini di atas tapak bekas panggung wayang di tengah pusat bandar oleh pihak swasta.

Dua hotel bertaraf tiga bintang berkenaan, ialah Hotel Prinz Park di Kuala Ibai dan Hotel Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) berhampiran Masjid Abidin atau dikenali Masjid Putih. 

Manakala satu lagi hotel yang baru siap dibina dan dalam proses pengisian katil serta peralatan ialah berhampiran Pasar Payang yang dijangka beroperasi dalam masa terdekat ini.

 

Penguatkuasa MBKT kawal persisir pantai

Oleh; Esah Abdullah

Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) menempatkan penguatkuasa bertugas di menara tinjau bagi mengawal persisiran pantai Batu Burok bermula awal Januari lalu.

Setiausaha MBKT, Encik Samiun Salleh berkata, dua buah menara tinjau yang dibina oleh MBKT kira-kira dua tahun lalu adalah bagi tujuan keselamatan.

Katanya, sebelum ini rondaan dan kawalan dibuat hanya pada waktu-waktu tertentu terutama pada musim tengkujuh untuk mengawal pantai memandangkan kawasan tersebut merupakan lokasi kunjungan ramai.

“Sekarang kita menempatkan dua pembantu penguatkuasa yang bertugas dari jam 8 pagi hingga 5 petang sejak awal Januari lalu, dengan bertugas secara bergilir-gilir atau syif,” katanya.

Menurutnya, sebelum ini menara tinjau yang dibina dengan anggaran kos lebih RM10 ribu setiap satu dikawal hanya pada waktu-waktu tertentu sahaja terutama ketika musim tengkujuh kerana kekurangan kakitangan.

Tambahnya, keadaan tersebut menyebabkan ada kalangan mereka yang tidak bertanggungjawab mengambil kesempatan dengan menjadikan lokasi tersebut sebagai tempat untuk bermadu asmara dan juga melakukan perkara yang tidak sepatutnya.

Katanya, pengunjung tempatan mungkin telah mengetahui tentang pantai ini yang tidak boleh mandi, tetapi bagi pelancongn atau pengunjung luar tidak mengetahui tentang keadaan sebenar pantai di sini.

Selain itu, pihaknya turut bekerjasama dengan Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (Jaheat) untuk mencegah perkara perkara-perkara tidak diingini terutama pada waktu malam.
 

EPIC Properties dan TM jalin kerjasama

Oleh: Noraini Jusoh

Eastern Pacific Properties Sdn Bhd (EPIC Properties) akan menjalin kerjasama dengan Telekom Malaysia Berhad (TM) bagi menjayakan projek Penyediaan Perkhidmatan Infrastruktur Jalur Lebar Berkelajuan Tinggi (UniFi).

Pengurus Divisyen, Perhubungan Awam Korporat EPIC Properties, Adliza Abdullah berkata, satu majlis menandatangani memorandum perjanjian (MoA) di antara EPIC Properties dan TM akan diadakan di Wisma Darul Iman, 23 Januari ini.

"Perjanjian yang akan dimenterai merupakan kerjasama julung kali antara kedua-dua pihak yang menawarkan perkhidmatan UniFi kepada penyewa yang berpangkalan di Pangkalan Bekalan Kemaman (KSB).

"Sebanyak 250 syarikat yang telah beroperasi di KSB yang menyediakan perkhidmatan sokongan kepada industri minyak dan gas,” ujarnya.

Katanya, Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said dijangka hadir menyaksikan MoA antara Pengerusi EPIC, Dato' Haji Mazlan Ngah dan Pengurus Besar TM Terengganu, Hamidun Ismail.

 

BN mampu ‘tawan’ Parlimen Marang

Oleh: Kamarudin Mat Akib dan Amirullah Othman 

Barisan Nasional (BN) mampu merampas kembali kerusi Parlimen Marang pada Pilihan Raya Umum Ke-13 daripada parti Pas jika semua pihak bekerja gigih bagi ‘menawan’ kerusi berkenaan.

Pegawai Pembangunan Parlimen Marang, Dato’ Haji Abdul Rahman Bakar berkata, berdasarkan senario politik semasa, beliau yakin BN mampu mengulangi saat manis memenangi kerusi tersebut pada PRU 13.

“Justeru itu, pihak kami sedang merangka pelbagai strategi dan program bagi merealisasikan impian banyak pihak untuk ‘menawan’ semula kerusi Parlimen Marang,” katanya ketika ditemui di pejabat Perhubungan Umno Negeri, semalam.

Beliau berkata, antara program yang dicadang di Parlimen Marang dalam masa yang terdekat ialah membawa mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, untuk menyampaikan amanat kepada semua lapisan masyarakat di kawasan tersebut, pada 23 Februari depan.

Katanya, majlis anjuran panel Perundingan Pertbubuhan Bukan Kerajaan (NGO) Negeri Terengganu dengan kerjasama kerajaan negeri itu dijangka dihadiri 3,000 orang mewakili jabatan kerajaan, pertubuhan kebajikan dan NGO di kawasan berkenaan.

“Saya percaya dengan sentuhan Dr Mahathir yang terkenal dengan ucapan bernas dan penuh fakta itu, hasrat menawan kerusi Marang pada pilihan raya umum akan datang menjadi lebih mudah.

“Kita mahu memberi peluang yang seluas-luas kepada Dr Mahathir untuk membicarakan mengenai kepentingan BN memerintah negara ini pada PRU 13,” katanya.

Dato’ Haji ’Abdul Rahman sendiri pernah menang kerusi Parlimen Marang sebanyak dua kali iaitu pada tahun 2004 dan 1986 di mana beliau dilantik menjadi timbalan menteri.

Keupayaannya menewaskan Presiden Pas, Dato’ Seri Haji Abdul Hadi Awang pada 1986 menyebabkan beliau diberi gelaran “giant killer” dan dilantik sebagai timbalan menteri.

Dato’ Haji Abdul Rahman berkata, dengan kemenangannya sebanyak dua kali di kawasan itu, tidak mustahil calon BN mampu mengulanginya pada PRU 13 nanti.

 

SPR akan terbit buku kecil tangkis fitnah

Oleh: Suriati Ali

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan menerbit dan mengagihkan buku kecil kepada orang ramai sebagai langkah menangkis dakwaan dan fitnah yang dilemparkan kepada suruhanjaya itu.

 Pelbagai isu berserta jawapan ringkas akan dimuatkan ke dalam buku yang bakal diterbitkan akhir bulan ini, supaya mudah difahami pembaca.

 Pengerusi SPR Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof, langkah itu dianggap penting bagi membersih kembali nama SPR daripada terus tercalar akibat fitnah oleh pihak tidak bertanggungjawab.

“Sebagai contoh, ada yang mendakwa, ramai bilangan pengundi tinggal dalam satu rumah, cerita sebaliknya mereka yang berkaitan gemar mengemukakan alamat di lokasi sama supaya mudah untuk urusan surat-menyurat.

 “Saya kesal dengan dakwaan seumpama ini kerana menuduh tanpa usul periksa, apabila terbukti ia tidak benar, ia lain pula akan timbul,” katanya.

Tan Sri Abdul Aziz turut memberitahu, pihaknya akan mengenal pasti kira-kira 46,000 orang belum lagi mendaftar sebagai pemilih di Terengganu walaupun mereka layak berbuat demikian.

“Orang ramai boleh berurusan dengan SPR atau mana-mana agen yang dilantik untuk mendaftar sebagai pemilih sepanjang musim, dalam waktu pejabat.

 “Semakan daftar pemilih pula boleh dibuat di ibu pejabat SPR di talian 03-8885 6565 atau mana-mana pejabat SPR negeri mulai jam 8 pagi hingga 5 petang, setiap hari sepanjang bulan ini,” katanya.

 Katanya, mereka juga boleh melayari laman sesawang SPR di www.spr.gov.my bagi membuat semakan dan mendapatkan keterangan mengenai tempat mengundi.

 “Daripada statistik yang dikeluarkan SPR sebelum ini, didapati kira-kira 3.7 juta orang masih belum berdaftar di seluruh negara belum mendaftar sebagai pemilih, tetapi jumlah di Terengganu adalah yang paling sedikit,” katanya.

 

18 January 2013

TNB sasar kutipan bayaran bil 4.5 peratus

Oleh; Esah Abdullah

Tenaga Nasional Berhad (TNB) Terengganu mensasarkan kutipan pembayaran bil elektrik dapat ditingkatkan kepada 4.5 peratus pada tahun ini.

Pengurus Besar TNB negeri, Encik Md Yuslan Md Yusof berkata kutipan itu meningkat 0.5 peratus berbanding pada tahun 2010 iaitu 4 peratus.

 “Peningkatan kutipan pembayaran itu berdasarkan pertambahan penggunaan bekalan oleh pengguna termasuk dalam penggunaan barangan elekrik dan kemudahan lain.

``Pada masa ini pengguna elektrik di seluruh negeri adalah 312,000 akaun atau 99 peratus telah menikmati kemudahan tersebut dengan penggunaan kapasiti bekalan sebanyak 425 megawatt,’’ katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran Program TNB Bersama Pelanggan TNB 2013 Peringkat Negeri di Pusat Khidmat Pelanggan (PKP) TNB Kuala Terengganu.

Pelancaran telah dilakukan oleh Ketua Bahagian Perolehan Pembelian dan Perkongsian TNB, Ir Nor Azli Shari yang diadakan serentak di seluruh semenanjung mebabitkan 120 PKP..

Katanya negeri ini mempunyai sembilan PKP terlibat yang menawarkan pelbagai promosi istiemwa kepada pelanggan yang mengungjungi PKP di seluruh negeri.

Beliau menambah, pengguna juga boleh membuat semakan bil di samping mendapatkan info terkini mengenai kemudahan serta perkhidmatan yang ditawarkan oleh TNB.

Difahamkan sebanyak RM71 juta telah dibayar kepada 7.4 pelanggan TNB di seluruh semenangjung bagi tujuan itu.

Program yang pertama kali diperkenalkan oleh TNB itu adalah untuk mendekatkan lagi TNB dengan pelanggan di samping memberi peluang kepada pengguna mendapatkan maklumat perkhidmatan TNB.

Jumlah pelancong menginap di Terengganu meningkat

Oleh: Kamarudin Mat Akib 


Jumlah pelancong yang menginap di Terengganu semakin meningkat dari semasa ke semasa di mana keadaan ini amat baik bagi pengusaha hotel dan chalet di seluruh negeri.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Negeri, Dato’ Haji Abdul Rahin Mohd Said, berkata data yang diperolehi daripada Persatuan Hotel Malaysia menunjukkan sejak awal 2012 hingga Ogos lalu, purata penginapan di negeri ini ialah 53.60 peratus.

“Sementara sebanyak 48.22 peratus sahaja purata penginapan direkodkan sepanjang tahun 2011,” katanya.

Beliau berkata, peningkatan kadar penginapan tersebut amat baik dan pihaknya yakin angka itu akan terus meningkat pada tahun ini memandangkan jumlah pelancong juga dijangka bertambah.

Dato’ Haji Abdul Rahin berharap Kempen tahun Melawat Terengganu 2013 yang sedang rancak dijalankan sekarang ini akan memberi impak yang besar kepada industri pelancongan di negeri ini dan juga Malaysia.

“Kesinambungan Kempen Tahun Melawat Terengganu 2013 dengan 34 acara-acara pelancongan sepanjang tahun ini adalah bertepatan dengan tahun Melawat Malaysia 2014.

“Ini akan membolehkan kerjasama yang lebih jitu di antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri dalam sama-sama mempromosikan produk dan destinasi pelancongan di negeri Terengganu dan di Malaysia amnya,” tambah beliau.

 

Bantuan persekolahan RM100 besar nilainya

Oleh: Noraini Jusoh

Biarpun hanya bernilai RM100, sumbangan Bantuan Khas Awal Persekolahan besar nilainya kepada ibu bapa dan pelajar terutama yang datang dari keluarga yang kurang berkemampuan.

Menerusi pembentangan Bajet 2013, Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak telah meluluskan peruntukan sejumlah RM540 juta untuk membiayai bantuan tersebut kepada 5.4 pelajar seluruh negara.

Seramai 200 pelajar Kolej Vokasional Kuala Terengganu (KVKT) turut menerima keistimewaan itu dalam satu majlis yang diadakan di sekolah terbabit, semalam.

Seorang pelajar KVKT yang dulunya pernah dikenali sebagai Sekolah Menengah Teknik Wakaf Tembusu, Nur Aliyah Nadhirah Mohamad, 17, berkata sumbangan tersebut sangat bermakna buatnya dalam menampung keperluan persekolahannya.

"Alhamdulillah, duit ini dapat saya guna untuk bayar yuran asrama dan beli peralatan sekolah yang lain.

"Bantuan ini juga dapat ringankan sedikit beban ibu bapa dalam menyediakan keperluan persekolahan saya,” ujar anak kepada Mohamad Sulong,47, dan isterinya Ariani Yahya,46.

Sementara itu, seorang penjaga yang ditemui, Nadia Ghazali, 22, dari Manir berkata, bantuan RM100 besar nilainya kepada dia dan adiknya Muhammad Farhan Ghazali,17, kerana segala keperluan sekolah Muhamad Farhan diuruskan sendiri olehnya.

"Saya hanya tingga berdua dengan adik setelah kematian ibu dan tidak tinggal bersama bapa.

"Justeru, bantuan ini beri makna yang besar buat saya untuk menampung kos membeli keperluan persekolahan seperti buku dan alat tulis adik,” ujarnya yang hanya bekerja sendiri.

 

Peniaga istimewa Pasar Payang terima kerusi roda elektrik

Oleh: Aida Abd Rahman

Kerajaan negeri menyumbang sebuah kerusi roda elektrik bernilai RM8,800 untuk kegunaan seorang peniaga `istimewa’ di Pasir Kedai Payang, Kuala Terengganu untuk kemudahannya menjalani kehidupan seharian.

Peniaga Orang Kelainan Upaya (OKU), Kamariah Abdul Ghani, 49, kudung kedua-dua tangan dan kaki sejak lahir sudah menjalankan perniagaan menjual pelbagai jenis makanan tradisional, kacang dan asam di pasar itu lebih 20 tahun lalu.

Sumbangan kerusi roda menerusi Tabung Darul Iman itu diserahkan Menteri Besar, Dato’ Seri haji Ahmad Said, selepas Mesyuarat Mingguan Exco, di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu, semalam (16 Januari).

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Perpaduan dan Hal Ehwal pengguna negeri, Dr A Rahman Mokhtar dan Pengerusi Jawatankuasa Perindustrian, Perdagangan dan Alam Sekitar negeri, Dato’ Toh Chin Yaw.

Sementara itu, Kamariah bersyukur kerana ada pihak yang sudi menghulurkan bantuan bagi meringankan bebannya selama ini yang terpaksa menghabiskan banyak wang untuk menyediakan sendiri kerusi roda elektrik bagi berulang-alik dari rumahnya di Kampung Tanjung Paya untuk ke pasar setiap hari.

 “Saya gembira dan rasa bersyukur kerana ada pihak yang prihatin dengan nasib saya. Saya akan menggunakan bantuan kerajaan ini dengan sebaik yang mungkin,” katanya.