Halaman

24 January 2013

3,000 pengakap sertai Perkhemahan Maulidur Rasul

Oleh: Kamarudin Mat Akib 

Kira-kira 3,000 pengakap dari seluruh negara akan menyertai Perkhemahan Maulidur Rasul peringkat kebangsaan di Kem Pengakap Tengku Muhammad Ismail, selama tiga hari mulai 1 Februari ini.

Program itu yang julung kali diadakan di negara ini bertujuan mendekatkan ahli-ahli Pengakap dengan program bercorak keagamaan serta menyemarakkan perayaan menyambut ulangtahun kelahiran Nabi Muhammad s.a.w.

Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains & Teknologi dan Sumber Manusia Negeri, YB Dato’ Haji Ahmad Razif Abd Rahman, berkata pihaknya berbesar hati untuk menjadi tuan rumah program ini dan sedia menghulurkan pelbagai bantuan bagi menjayakannya.

“Program ini diadakan bagi memupuk komitmen yang tinggi di kalangan pemimpin dan ahli pengakap dalam menyokong sebarang aktiviti keagamaan yang boleh mendorong kepada perpaduan ummah.

“Pada masa yang sama ia juga bertujuan memberi pendedahan kepada mereka betapa perlunya kita menyokong usaha membentuk kemantapan kerohanian dan mentaati rasul dan pemimpin,” katanya ketika ditemui di Wisma Darul Iman, petang semalam.

Dato’ Haji Ahmad Razif berkata, pengisian perkhemahan tersebut termasuk pengurusan jenazah, amalan selawat, aktiviti penyembelihan dan riadah mengikut sunnah akan dijalankan sepanjang program tersebut.

Beliau berkata, kemuncak bagi program berkenaan ialah Ceramah Maulidur Rasul pada sebelah malam 2 Februari di mana Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin, berkenan untuk berangkat ke majlis berkenaan.

Pada sebelah pagi hari berkenaan semua peserta perkhemahan akan menyertai program perarakan sempena sambutan Maulidur Rasul yang melibatkan laluan sekitar tapak perkhemahan.


Pas, PKR tidak sehaluan

Oleh: Kamarudin Mat Akib 

Belum pun tiba musim pilihan raya, dua parti dalam Pakatan Rakyat (PR), iaitu Pas dan Parti Keadilan Rakyat (PKR), sudah tidak sependapat dan kini membawa haluan masing-masing.

Pemimpin kedua-dua parti tersebut kini sudah bertelagah pendapat mengenai isu penggunaan kalimah Allah kepada masyarakat bukan Islam.

Tidak mustahil kudis yang sedikit ini akan membengkak dan bernanah di mana akhirnya akan mengeluarkan bau busung yang sangat busuk.

Penasihat PKR, Dato’ Seri Anwar Ibrahim, pada sidang media semalam menegaskan pakatan pembangkang yang turut dianggotai DAP kekal dengan pendirian membenarkan bukan Islam menggunakan kalimah Allah.

Manakala Mursyidul Am Pas, Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat, pula dilaporkan berkata pihaknya tetap mempertahankan keputusan Majlis Syura Pas bahawa kalimah Allah tidak boleh digunakan bagi orang bukan Islam, termasuk dalam Bible versi bahasa Melayu.

Pemerhati politik berpendapat selepas ini banyak lagi pertelingkahan bakal berlaku antara Pas dan PKR kerana kedua-dua parti itu memang sepatutnya ‘tidak boleh duduk semeja’.

Walaupun sejak kebelakangan ini Pas sudah banyak menyeleweng daripada perjuangan asal parti itu bagi menjaga hati PKR dan DAP, ia masih terikat dengan beberapa perkara berkaitan hukum hakam dan masih ada rasa segan silu untuk mengambil tindakan yang terang-terang menyalahi kehendak agama.

Bagaimanapun, keadaan ini jauh berbeza dengan PKR di mana semua orang tahu latar belakang pemimpinnya yang juga Ketua Pembangkang, yang tidak pernah mengambil kisah mengenai halal haram.

Apa yang penting bagi pemimpin PKR itu ialah menjaga hati DAP dan mereka sanggup melakukan apa saja bagi memastikan hasrat beliau menjadi Perdana Menteri akan tercapai.

Dalam hal ini, lebih banyak episod akan dapat disaksikan selepas ini apabila pemimpin-pemimpin DAP, terutamanya Karpal Singh yang merupakan penentang nombor 1 agama Islam, membuat komen yang lebih pedas berhubung isu berkenaan dan pendirian terbaru Pas mengenainya.

Ini baru satu babak berkaitan isu penggunaan kalimah Allah. Bagaimana pula nanti bila Pas mengungkit kembali untuk melaksanakan hukum hudud bila tiba muism kempen pilihan raya sebagai modal untuk memancing undi, adakah pemimpin DAP akan berdiam diri?

Dan bila saat Parlimen dibubarkan nanti, sudah tentu akan berlaku pula perebutan kerusi antara DAP, Pas dan PKR kerana sehingga ini belum ada keputusan muktamad mengenai pembahagian kerusi di kalangan parti-parti komponen PR.

Keadaan ini jauh berbeza dengan Barisan Nasional (BN) di mana part-parti komponennya sentiasa sepakat dalam apa jua isu serta permasalahan, termasuk pembahagian kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN).

Persepakatan inilah yang menjadi kunci kejayaan BN memerintah negara ini sejak merdeka hingga sekarang.

Justeru itu, rakyat negeri ini tidak ada pilihan lain, melainkan mengundi calon-calon BN pada pilihan raya umum kali ini bagi memastikan pemerintahan negara dan politik Malaysia terus stabil.


Umat Islam perlu bersatu

Oleh: Suriati Ali

‘Wasatiyyah Tonggak Kesatuan Ummah’ bukan bermaksud sama rata, tetapi adalah pendekatan kasih sayang, kesejahteraan dan perpaduan yang dikongsi bersama-sama tanpa mengira bangsa dan agama.



 Menteri Besar Dato’ Seri Haji Ahmad Said, berkata ia juga bukan berada ditengah-tengah tanpa pendirian, tetapi bertujuan mengutamakan dan menjaga perkara-perkara dasar.

 Katanya, oleh itu, nikmat yang dikurniakan kepada kita hendaklah disyukuri, malah kita sepatutnya membuka mata dan melihat bagaimana negara-negara lain kecundang di sebalik kemenangan.

“Sesungguhnya cabaran bagi umat Islam amatlah besar, perpecahan merupakan satu cabaran utama umat Islam hari ini.

 “Semua umat Islam perlu bertanggungjawab dalam memainkan peranan ke arah menyatukan umat,” katanya ketika berucap sempena Sambutan Ambang Maulidur Rasul di Masjid Bukit Chempaka, Batu Rakit Kuala Terengganu, petang semalam.



Kira-kira 400 jemaah hadir untuk bersama-sama Dato’ Seri Haji Ahmad, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Haji Mazlan Ngah; Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Penerangan Negeri, YB Haji Khazan Che Mat dan penolong Pesuruhjaya (Imam Besar), Encik Aizi Saidi solat Maghrib dan Isyak secara berjemaah.

Penceramah bebas yang sering muncul di kaca televesyen, Ustaz Badli Shah Alauddin, turut menyampaikan ceramah berkaitan bagaimana menjadi umat Islam sejati, sebagaimana yang diamalkan Rasulullah.

 Dato’ Seri Haji Ahmad turut memberitahu, perkembangan semasa hari ini menuntut umat Islam bersatu demi menjamin masa depan umat dan generasi akan dating. Tiada kerugian jika umat Islam bersatu.

“Melalui kesatuan ummah, Allah akan memberi rahmat. Sebaliknya perpecahan akan mengundang petaka dan penderitaan,” katanya.

 






LKIM belanja RM9.5 juta bina rumah nelayan

Oleh; Esah Abdullah

Sejumlah RM9.5 juta telah dibelanjakan untuk projek khas perumahan nelayan di negeri ini bagi baikpulih dan bina baru 1,068 buah rumah nelayan sepanjang tahun lalu.

 Pengarah Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM)cawangan Terengganu, Encik Mohd Saffe Mohd berkata, peruntukan yang besar ini dibelanjakan tujuan memberi keselesaan kepada golongan itu yang sebahagian besar dalam kategori miskin.

“Peruntukan maksimun baiki rumah adalah RM10,000 manakala rumah bina baru sebanyak RM40,000,” katanya dalam sidang media di majlis Penyerahan Bantuan Sara Hidup Nelayan di Perpustakaan Awam Terengganu baru-baru ini.

Katanya, nasib golongan nelayan sentiasa di bawah pemerhatian pihak LKIM serta berusaha untuk meningkatkan pendapatan keluarga nelayan termasuk memiliki kediaman yang selesa.

Menurutnya, peruntukan projek baiki dan bina rumah untuk tahun ini masih dalam perbincangan dan akan diputuskan dalam sedikit masa lagi.

“Kalau boleh semua nelayan boleh duduk di rumah sendiri yang selesa dan melalui projek penempatan semula nelayan yang dirancang mampu menangani masalah berkenaan,” katanya.

 

Usia belasan tahun sudah jadi nelayan

Oleh: Nurul Aziela Saberi 

Sejak berusia 12 tahun Wan Mohd Napi Wan Mohamad telah bergelumang dengan laut dan sehingga kini beliau tegar mencari rezeki untuk menyara keluarganya dengan bergantung kepada hasil laut.

Beliau yang amat berterima kasih kepada pihak kerajaan yang selama ini tidak pernah bosan memberi bantuan kepada warga nelayan sepertinya.

Bagaimanapun, Wan Mohd Napi tekad tidak mahu anak-anaknya nanti menjadi nelayan sepertinya dan dia bertekad mahu mengubah nasib keluarganya dengan memberikan mereka pendidikan tinggi.

Sungguhpun begitu, dia tidak pernah menyesal menjadi seorang warga nelayan, sebaliknya berbangga kerana mampu menyara keluarganya sehingga kini walaupun dalam keadaan sederhana.

“Kami warga nelayan yang hanya bergantung kepada hasil laut kebanyakannya menghadapi kesusahan menjelang musim tengkujuh kerana tidak dapat memungut sebarang hasil, namun dengan keprihatinan pihak kerajaan sedikit sebanyak dapat meringankan kami semua,” katanya yang mempunyai lima tanggungan.

Setiap bulan warga nelayan akan menerima bantuan RM200 yang diperuntukkan dari Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) dan bagi sesiapa yang mempunyai E-Nelayan akan menerima subsidi minyak.



Sekitar 240 warga nelayan Kijal menerima bantuan sebanyak RM100 dan keperluan dapur yang disampaikan sendiri oleh Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said di Dewan Nelayan, Kijal petang kelmarin.





23 January 2013

MB lawat pesakit barah tulang di HSNZ

Oleh: Noraini Jusoh



Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, meluangkan masa melawat adik Muhammad Danial Iskandar Mohd Nazrul,11, yang menderita penyakit barah tulang di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) Kuala Terengganu, hari ini.
Menteri Besar menghulurkan sumbangan peribadi kepada adik Muhammad Danial Iskandar
Beliau begitu bersimpati dengan nasib anak sulung daripada lima orang adik beradik yang menyedari menghidapi penyakit tersebut apabila menerima rawatan di HSNZ, selepas terjatuh ketika menunggang basikal semasa pulang dari sekolah, tujuh bulan yang lalu.

Dato’ Seri Haji Ahmad berkata, kerajaan negeri menyediakan peruntukan khas bagi membiayai penyakit kronik seperti yang dihidap Muhammad Danial Iskandar.

"Masalah yang dihadapi mangsa akan dirujuk kepada pihak berkenaan untuk mendapatkan sumber kewangan bagi meringankan beban yang ditanggung keluarganya.

"Kepada rakyat negeri ini yang menghadapi masalah penyakit kronik, saya nasihatkan agar segera memberitahu pihak tertentu seperti Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) agar kerajaan negeri dapat menghulurkan bantuan secepat mungkin, ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada sidang media selepas melawat Muhammad Danial Iskandar di HSNZ, di sini.

Beliau turut menasihatkan rakyat negeri ini agar segera ke hospital untuk mendapatkan rawatan dengan doktor yang bertauliah daripada berjumpa bomoh bagi memastikan penyakit yang dialami dapat dirawat dengan cara yang betul.

 



Epic labur RM3.2j lengkapi HSSB di KSB, Kemaman

Menteri Besar bersama SUK Terengganu menyaksikan pertukaran MoU antara Epic dan TM.
Oleh: Aida Abd Rahman 

Syarikat  Eastern Pacific Properties Sdn Bhd (Epic) melabur RM3.2 juta bagi menyediakan perkhidmatan Kemudahan Jalur Lebar Berkelajuan Tinggi (HSSB) di Pangkalan Bekalan Kemaman (KSB) di Teluk Kalong, Kemaman, yang dijangka beroperasi Februari ini.

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, berkata perkhidmatan secara bersepadu dan pertama seumpamanya di negara ini dibangunkan dengan kerjasama Telekom Malaysia Berhad (TM) bakal memberi kemudahan kepada 250 syarikat yang berpangkalan di kawasan perindustrian itu.

“Tahniah kepada Epic dengan TM yang telah menjalinkan perkongsian pintar bagi menyediakan Kemudahan Jalur Lebar Berkelajuan Tinggi di kawasan pelabuhan Kemaman itu.

 “Ini merupakan pelabuhan pertama di negara kita yang dilengkapi kemudahan UniFi TM ini sebagai usaha memberi perkhidmatan terbaik kepada para pelanggan yang berada dalam KSB di mana banyak syarikat minyak beroperasi selain pembekal yang berkaitan dengannya,” katanya di sidang akhbar selepas Majlis Menandatangani Perjanjian antara Eastern Pacific Properties Sdn Bhd (Epic) dengan Telekom Malaysia (TM ) Berhad.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Haji Mazlan Ngah; Ketua Pegawai Eksekutif Epic, Encik Ramli Shahul Hameed dan Pengurus Besar TM Terengganu, Encik Hamidun Ismail.

Menteri Besar berharap TM dapat menyediakan perkhidmatan terbaik kepada kesemua syarikat yang terlibat dalam usaha memenuhi keperluan komunikasi yang semakin maju dan bertahap tinggi khususnya melibatkan syarikat luar negara.

 “Semua pengguna perkhidmatan itu dikenakan bayaran (kepada TM) dan segala keuntungan adalah secara perkongsian melibatkan tiga pihak, iaitu kerajaan negeri dan Epic sebagai pelabur dan juga TM, selaku pembekal perkhidmatan itu.

 “Adanya UniFi ini akan membolehkan pelbagai syarikat yang terlibat dengan perniagaan antarabangsa di kawasan itu beroperasi dengan lancar, selain meningkatkan operasi dan produktiviti mereka khususnya dalam menghantar maklumat, barangan dan sebagainya,” katanya.

 Menurutnya, bukan sahaja melancarkan operasi antara syarikat di KSB dengan luar negara, kemudahan itu juga memberi imej yang baik sejajar dengan tahap kemajuan dan penggunaan kemudahan komunikasi berteknologi tinggi yang dimiliki syarikat berkaitan di luar negara.


Guru silat terima ganjaran RM1,200 seorang

Oleh: Aida Abd Rahman

Semua guru silat di negeri ini bakal menerima ganjaran wang tunai daripada kerajaan negeri berjumlah RM1,200 seorang bermula tahun ini.

Bantuan one-off itu bakal diagihkan kepada 134 guru silat yang berdaftar di bawah Persatuan Seni Silat Negeri Terengganu.

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, berkata bantuan itu sebagai tanda penghargaan dan pengiktirafan kerajaan terhadap sumbangan mereka mewarisi seni mempertahankan diri serta sudah banyak mengharumkan nama negeri dan juga negara di bidang itu selama ini.

“Mesyuarat exco membuat keputusan untuk memberikan sedikit sumbangan kepada guru silat di negeri kita secara one-off sebanyak RM1,200 seorang kepada 134 orang.

“Sumbangan kepada guru silat yang berdaftar di bawah Persatuan Seni Silat Terengganu itu sebagai tanda penghargaan dan memberi suntikan semangat kepada mereka.

 “Kerajaan negeri pernah menyediakan bantuan seumpama itu sebelum ini dan ia diteruskan semula di mana kita bersetuju untuk memberikannya sekali setahun bermula tahun ini,” katanya selepas Majlis Menandatangani Perjanjian antara Eastern Pacific Properties Sdn Bhd (Epic) dengan Telekom Malaysia (TM ) Berhad.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Haji Mazlan Ngah; Ketua Pegawai Eksekutif Epic, Encik Ramli Shahul Hameed dan Pengurus Besar TM Terengganu, Encik Hamidun Ismail.

Menteri Besar berkata, kerajaan negeri bertanggungjawab dan prihatin dalam memenuhi tuntutan kumpulan itu sebagaimana permohonan yang pernah dikemukakan mereka menerusi persatuan sebelum ini.
 
 

KESAN AMANAT HADI: KERANA DITUDUH KAFIR, IMAM UMNO DIUSUNG KETIKA MENGIMAMKAN SOLAT

Sama ada mahu percaya atau tidak, tetapi inilah kenyataan dan peristiwa yang benar-benar berlaku.

Ingat Dok Lagi?

Akibat percaya dan berpegang teguh kepada Amanat Haji Hadi bahawa orang Umno itu terbatal Keislamannya atau jelasnya kafir maka Imam yang disyakki berfahaman Umno yang sedang mengimamkan solat pun diusung keluar dari mengimamkan solat.

Kejadian ini berlaku ketika solat Maghrib di Kampung Laut Kuala Terengganu pada bulan Mei 1991. (lihat laporan Berita Harian 29 Mei 1991).

Imam Umno yang sedang mengimamkan solat Magrib berjemaah diangkat/usung oleh sekumpulan pengikut taksub Pas untuk memberi laluan kepada Imam Pas menggantikannya. Siapakah Imam Pas yang diberi laluan menggantikan Imam masjid itu yang dikatakan Umno...

sila tunggu pendedahan seterusnya.

 

Bantuan bulanan OKU perlu dikaji - Dato' Mohd Nasir

Oleh; Esah Abdullah

Sudah tiba masanya kerajaan perlu menilai semula pemberian bantuan bulanan kepada orang kurang upaya (OKU) kepada kadar yang lebih munasabah.

Ahli Parlimen Kuala Nerus, Dato’ Haji Mohd Nasir Ibrahim Fikri berkata, dalam arus pembangunan yang pesat masa kini sudah tentu perbelanjaan sara hidup urut meningkat.

“Mereka juga memerlukan kehidupan yang selesa seperti insan lain,” katanya kepada pemberita di majlis Perjumpaan dan Ramah Mesra bersama keluarga dan pelajar Pusat Dalam Komuniti (PDK) Seberang Takir di Restoran Makanan Segera, Batu Buruk hari ini.

Hadir sama Penyelias PDK Seberang Takir, Puan Nor Hashima Ariffin 80 pelajar beserta ibu bapa dan penjaga masing-masing.

Katanya, setakat ini pelajar yang tinggal di PDK menerima bantuan bulanan RM150 seorang manakala yang tinggal di rumah menerima RM50.

Menurutnya, terdapat tiga buah PDK dalam Parlimen Kuala Nerus iaitu PDK Manir dan Mengabang Telong dan Seberang takir dengan jumlah pelajar 180 orang dan bakal bertambah sebuah lagi di Wakaf Tembesu bagi menampung keperluan masyarakat setempat.

 “Saya berharap projek PDK di Wakaf Tembesu dapat disegerakan kerana ramai ibu bapa yang mempunyai anak OKU merungut PDK sedia ada terlalu jauh dari tempat mereka.

Belaiu seterusnya menyeru ibu bapa yang mempunyai anak-anak istimewa tidak merasa malu dengan anugerah ini sebaliknya berilah mereka pendidikan dengan menghantar ke pusat-pusat yang disediakan.
 Di situ mereka diajar mengurus diri dan tentu dapat meringankan beban keluarga bila mereka meningkat dewasa.

Setakat ini katanya pelajar di PDK berusia antara empat hingga 31 tahun dan tinggal di pusat serta ada yang datang dihantar keluarga pada waktu belajar sahaja.

Katanya, kerajaan tidak pernah meminggirkan golongan ini dan setiap PDK menerima geran pengurusan dan pentadbiran daripada kerajaan sebanyak RM100,000 setahun.