Halaman

25 January 2013

36 bayi permata Maulidur Rasul lahir di HSNZ

Oleh: Noraini Jusoh

Seramai 36 bayi yang lahir di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) bergelar ‘Bayi Permata Maulidur Rasul’ apabila lahir pada 12 Rabiul Awal bersamaan tarikh kelahiran Nabi Muhammad s.a.w.

Rata-rata ibu bayi bertuah tersebut menyatakan perasaan gembira dan bersyukur kerana melahirkan anak pada hari kebesaran umat Islam, dimana seluruh negara menyambut Maulidur Rasul, semalam.
 
Ketika umat Islam sibuk mengadakan pelbagai persiapan bagi memperingati hari kelahiran baginda Rasulullah s.a.w. detik jam 7.33 malam kelmarin, seorang bayi lelaki seberat 2.6 kilogram yang merupakan bayi pertama lahir pada 12 Rabiul Awal selamat dilahirkan di hospital berkenaan.

Ibu bayi terbabit, Nurul Syazira Che M.Azmi, 24,(gambar) nyata gembira dengan kelahiran anak keduanya yang lahir pada detik bersejarah iaitu pada tarikh kelahiran Nabi Muhammad s.a.w.

Nurul Syazira yang merupakan seorang suri rumah dan isteri kepada Mohd Syukri Hairudin, 26, berazam membesarkan anaknya dengan memberikan pendidikan yang sempurna supaya anaknya menjadi insan yang berguna apabila dewasa nanti.

"Tidak dapat digambarkan perasaan saya apabila anak yang dijangka lahir pada 31 Januari lahir awal seminggu dan lebih menggembirakan selain lahir pada12 Rabiul Awal tarikh kelahirannya juga sama dengan tarikh lahir saya.

"Saya bersyukur dengan anugerah ini dan akan menjaganya sebaik mungkin,” katanya ketika menerima kunjungan Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Perpaduan dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Dr Haji A. Rahman Mokhtar, di wad bersalin HSNZ, semalam.



Dalam lawatan itu, Dr Haji A. Rahman turut menyampaikan sumbangan kerajaan negeri dalam bentuk wang tunai dan hamper kepada ibu yang melahirkan anak sempena hari Maulidur Rasul.

Menurut Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu, Dr. Anwa Sulaiman seramai 20 bayi lelaki dan 16 bayi perempuan dilahirkan sempena Maulidur Rasul tahun ini di HSNZ.

 



Pusat Minda Besut Seminar Pembangunan Kerjaya

Oleh: Mohammad Ishak

Pelajar lepasan SPM dan remaja di daerah Besut berpeluang menyertai Seminar Kerjaya yang menyaksikan pelbagai profesion menarik untuk golongan berkenaan.

Seminar sehari yang akan berlangsung pada 1 Februari di Bangunan Baitul Ehsan, Jertih, membuka peluang kepada pelajar untuk mengetahui bidang kerjaya yang mereka minanti atau sesuai untuk diterokai.

Antara kerjaya menarik yang dianjurkan oleh pihak terbabit ialah, kewartawanan, fotografi, perubatan, pelancongan dan pengurusan bank.

Pengerusi Pusat Minda Besut, Toh Puan Seri Kamariah Che Zakaria berkata, pihaknya sudah menyediakan panel penceramah dalam bidang berkaitan untuk seminar yang pertama kali dianjurkan oleh pusat berkenaan.

Katanya, seminar itu bertujuan memberi kefahaman dan kemahiran kepada peserta terutama pelajar lepasan SPM serta remaja yang berminat dalam kerjaya berkaitan.

Menurutnya, pihak penganjur mengenakan caj RM15 kepada setiap peserta yang ingin berkongsi pengalaman sepanjang seminar itu berlangsung.

Menurutnya, mereka yang berminat menyertai seminar itu boleh mendaftarkan diri di Pusat Minda Besut di Bangunan Umno Bahagian Besut pada hari seminar diadakan.

Beliau berharap, pelajar dan remaja daerah itu merebut peluang menyertai seminar itu kerana ia amat berguna dan memberi manfaat kepada semua peserta.

Promosi Tasik Kenyir di luar negara

Oleh: Kamarudin Mat Akib 

Kerajaan Terengganu akan mula mempromosikan Tasik Kenyir sebagai destinasi pelancongan utama di negeri ini di luar negara bagi tujuan menarik pelancong asing ke tasik berkenaan.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan negeri, Dato’ Abdul Rahin Mohd Said, berkata mengikut perancangan Tasik Kenyir akan mula beroperasi sebagai kawasan bebas cukai pada Ogos tahun depan.

“Oleh itu, amat sesuai promosi Tasik Kenyir di luar negara dimulakan sekarang ini, sekali dengan promosi Tahun Melawat Terengganu 2013,’ katanya ketika ditemui di Wisma Darul Iman, semalam.

Pada tahun ini, kerajaan negeri menyediakan peruntukan sebanyak RM8 juta bagi mempromosi pelancongan di Tasik Kenyir.

Manakala peruntukan RM44.4 juta pula disediakan bagi membiayai projek infrastruktur seperti membangunkan dan menambahbaik kemudahan awam di pulau-pulau peranginan termasuk Pulau Bebas Cukai Tasik Kenyir.

Bagi tujuan itu, katanya, pegawai-pegawai yang berkaitan akan dihantar ke negara-negara tertentu bagi mempromosikan Tasik Kenyir sebagai destinasi pelancongan keluarga yang menawarkan pakej menarik.

“Pada peringkat awal ini kita menghantar pegawai untuk membuat promosi kerana pemimpin kerajaan sedang menumpukan kepada persiapan menghadapi pilihan raya umum,” katanya.

Dato’ Abdul Rahin berkata, promosi Tasik Kenyir perlu dilakukan lebih awal bagi membolehkan ia dikenali di kalangan agen-agen pelancongan dan pusat-pusat penerangan pelancongan di luar negara.

“Kita perlu ada satu ‘blue print’ untuk Tasik Kenyir bagi memudahkan usaha-usaha menarik pelancong ke situ selepas semua projek infrastruktur untuk pelancongan di situ,” tambahnya.

Mengenai TMT 2013, beliau berkata, pihaknya sedang berkerjasama dengan Kementerian Pelancongan bagi mempromosikan Terengganu di seluruh negara.


PPNT sedia bantu kerajaan negeri jayakan TMT 2013

Oleh: Noraini Jusoh

Persatuan Pelancongan Negeri Terengganu (PPNT) bersedia memberikan komitmen dan sepenuh sokongan kepada kerajaan negeri dalam merealisasikan dan menjayakan TMT 2013.

Pengerusinya, Haji Wan Supian Dato’ Wan Ishak berkata, pihaknya bersedia membantu Sekretariat Tahun Melawat Terengganu (TMT) 2013 mengadakan program atau aktiviti bagi menarik lebih ramai pelancong ke negeri ini.

"Sebagai ejen pelancongan, pihak kami sedia untuk bekerjasama dengan agensi berkaitan dalam membantu kerajaan negeri mempromosikan produk pelancongan yang terdapat di negeri ini.

"Sebagai contoh, PPNT telah bekerjasama dengan Persatuan Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA) menganjurkan seminar dan bengkel bagi membangunkan produk-produk pelancongan sedia ada dalam usaha merancakkan lagi sektor pelancongan di negeri ini,” ujarnya ketika dihubungi Teganukita, baru-baru ini.

Katanya, sempena TMT 2013 juga, pihaknya memohon kerjasama kerajaan negeri menghidupkan kembali ‘Payang Walk’ yang merupakan salah satu produk pelancongan yang boleh dibangunkan.

"Pihak kami tiada masalah mengurus tadbir ‘Payang Walk’ tetapi memerlukan kerjasama kerajaan negeri kerana ia merupakan produk baru yang mungkin mengambil sedikit masa untuk mendapat tempat dihati pengunjung,” katanya.

 

300 peserta sertai Tebu Mountain Challenge 2013

Kira-kira 300 peserta, termasuk dari luar negara akan menyertai Tebu Mountain Challenge 2013 yang bertujuan mempromosikan lokasi pelancongan di kawasan tersebut, pada 23 Februari depan.

Setiausaha Persatuan Pemandu Pelancong Alam Semulajadi Negeri Terengganu, Mohd Khairul Abu Bakar, berkata pada tahun ini program tersebut akan melibatkan penyertaan dari luar negara, selari dengan Tahun Melawat Terengganu 2013 (TMT 2013).

Beliau berkata, pihaknya sudah mengadakan promosi melalui web-site bagi menarik penyertaan dari luar negara bagi menambah daya tarikan terhadap lokasi pelancongan di sekitar daerah Besut dan Setiu.

Selain Gunung Tebu, lokasi pelancongan di kawasan itu ialah Hutan Lipur Lata Belatan, Lata Tembakah, La Hot Spring dan beberapa kawasan perkelahan pesisir pantai.

Beliau berkata, antara objektif program berkenaan ialah mempelopori aktiviti sukan lasak dan riadah di kalangan rakyat tempatan dan luar Terengganu.

Pada tahun 2010 seramai 180 peserta menyertai program itu dan jumlahnya meningkat kepada 250 penyertaan pada tahun lalu.

“Pihak kami menyediakan hadiah lumayan kepada peserta luar negara dan dalam negeri yang menyertai program anjuran kerajaan negeri ini,” katanya.

 

Puteri UMNO Hulu Terengganu sedia hadapi PRU13

Oleh: Mastura Jamaluddin 

Di seluruh negara, jentera gerak gempur pilihan raya UMNO sudah mula digerakkan oleh para pemimpin parti bagi memastikan anggota-anggota sayap UMNO bersiap siaga pada tahap yang efisien bagi menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU 13).

Puteri perlu bekerja keras menarik lebih ramai ahli baru dan seterusnya memastikan mereka menjadi pengundi bagi menjamin kemenangan Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya itu.

Bagi ahli Puteri, inilah masa terbaik untuk mematangkan diri dalam politik sebelum mereka beranjak kepada Wanita UMNO satu hari nanti serta mampu memikul tanggungjawab tersebut dan sentiasa bersemangat menjayakan perjuangan parti dalam mengangkat martabat bangsa.

Inilah perjuangan yang telah dipertaruhkan oleh Ketua Pergerakan Puteri Umno Bahagian Hulu Terengganu,Puan Zurina Abdul Rahman semenjak Puteri UMNO ditubuhkan.

”Saya yakin program-program politik yang dijalankan oleh Puteri mampu mengenal pasti dan menarik lebih ramai orang muda untuk bersama-sama UMNO dan BN.

Perang politik hari ini bukan lagi berbentuk tradisional atau kerahan tenaga tapi sekarang ia lebih kepada perang idea dan pendapat, serta bagaimana kita menangani isu-isu yang diutarakan pihak lawan. Kita mahu hasilkan ahli Puteri yang berkualiti, bukan setakat ramai dari segi bilangan sahaja,” kata Zurina ketika ditemui Teganukita baru-baru ini selepas bengkel jentera pilihanraya Pemuda dan Puteri UMNO Bahagian Hulu Terengganu..

Zurina berkata, dengan lahirnya ahli-ahli Puteri yang mampu berkomunikasi dan bijak mengutarakan pendirian parti, banyak isu yang dimainkan pembangkang akan dapat ditangkis dengan mudah terutama melalui media baru

Menurut beliau, perlu ada usaha untuk membetulkan semula kenyataan berunsur fitnah dalam blog-blog yang tidak bertanggungjawab itu.

Ada pendapat yang menyatakan jika kita layan pemilik blog, ia bermakna kita memberi kredibiliti (kepada penulis blog) kerana ada pihak yang memberikan maklum balas.

Namun pada masa yang sama terdapat juga pandangan yang menyatakan dengan tidak memberikan maklum balas, pemilik blog akan mengeluarkan lebih banyak kenyataan yang tidak betul,” katanya.

Zurina turut menegaskan, revolusi teknologi maklumat di negara ini sepatutnya adalah untuk mendidik masyarakat dan mengurangkan jurang maklumat antara penduduk, bukannya mendedahkan orang ramai dengan fitnah seperti yang terdapat dalam sesetengah blog.

 

Exxonmobil iktiraf 30 guru

Oleh: Suriati Ali

 Bagi mengiktiraf peranan guru di Terengganu dalam memacu serta memartabatkan bidang pendidikan, Syarikat Exxonmobil memperuntukkan RM45,000 sebagai ganjaran kepada 30 guru pelbagai sekolah seluruh Terengganu sempena Majlis Makan Malam syarikat korporat itu, di Hotel Primula Beach, malam kelmarin.

 Majlis anugerah anjuran syarikat cari gali minyak dan gas terkemuka itu turut dihadiri Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said yang menyampaikan hadiah wang tunai RM1,500, sijil dan plak kepada setiap pemenang.

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains & Teknologi dan Sumber Manusia negeri, YB Haji Ahmad Razif Abd Rahman; Pegawai Kewangan Negeri, Dato’ Haji Abdul Razak Ismail dan Ketua Sektor Pengurusan Akademik, Pejabat Pelajaran Terengganu, Haji Zubir Embong.

 Kesemua 17 guru wanita dan 13 guru lelaki daripada 29 sekolah rendah dan menengah itu terpilih selepas menjalani saringan dan proses temuduga daripada 100 permohonan awal kepada syarikat itu.

 Pengerusi Subsidiari ExxonMobil, Mr J Hunter Farris, berkata majlis penganugerahan itu bertujuan memberi pengiktirafan dan mennghargai perkhidmatan golongan pendidik yang berjaya menunjukkan pencapaian serta prestasi cemerlang dalam memperkasa pendidikan anak negeri ini.

 "Exxonmobil sentiasa menyokong usaha kerajaan negeri dalam meningkatkan kesedaran kepada rakyat mengenai kepentingan pendidikan yang baik. Malah, kita percaya pendidikan yang cemerlang lahir daripada guru yang unggul," katanya.

 

Magis dua Syuhada

Oleh: Aida Abd Rahman

Kekurangan pada diri sejak dilahirkan kadangkala menjadi penghalang bagi kebanyakan individu untuk mengecap rutin hidup yang sempurna, apatah lagi meraih sesuatu kejayaan sebagaimana insan normal yang lain.

Tidak bagi dua sahabat baik, Alia Syuhada Aziz dan Nur Syuhada Izani, masing-masing 15 tahun dari Sekolah Menengah Tengku Mizan, Kuala Terengganu apabila mencipta magis tersendiri sebagai pelajar biarpun kedua-dua mereka dilahirkan dengan mengalami masalah pendengaran dan juga pertuturan.

Berbekalkan keyakinan dan semangat yang kental, Alia yang mengalami cacat pendengaran sejak lahir berjaya mengatasi keupayaan pelajar normal apabila muncul satu-satunya Calon Berkeperluan Khas (CBK) di negeri ini yang memperolehi 8A dalam keputusan Penilaian Menengah Rendah (PMR), baru-baru ini.

Anak kedua daripada lima beradik, pasangan suami isteri Aziz Ismail, 45 dan Zalina Mat Lazim, 44, jika dilihat pada mata kasar adalah seorang yang normal, namun realiti sebenar, dia berdepan masalah pendengaran.

Bercerita lanjut mengenai kekurangan diri yang juga dikategorikan sebagai orang kurang upaya selain dibesarkan dalam keluarga yang serba kekurangan berikutan pekerjaan bapa sebagai buruh di kilang batu-bata dengan hanya berpendapatan sekitar RM800 sebulan, Alia terpaksa bergantung kepada alat bantuan pendengaran sejak berusia 12 tahun lagi.

 “Saya mula menggunakan alat (bantuan pendengaran) semasa Tahun Enam, memandangkan ketika itu mahu mengambil peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah. Alhamdulillah, walaupun begitu, saya tetap memperolehi keputusan 5A dalam peperiksaan itu.

“Dalam kelas, saya perlu berada di kedudukan paling depan bagi memastikan apa yang guru ajar dapat didengar dan difahami dengan baik. Bagaimanapun, dengan kekurangan saya ini, saya lebih rapat dengan buku berbanding dengan guru kerana saya lebih memahami setiap apa yang diajar menerusi pembacaan dan juga bahan rujukan,” katanya.

Pelajar yang lahir tanggal 11 November 1997 itu tidak mengamalkan kaedah khusus untuk mentelaah pelajaran, sebaliknya mempraktikkan cara yang sama sahaja sebagaimana dilakukan rakan yang lain.

Dia yang berulang-alik dengan berbasikal sejauh tiga kilometer dari rumahnya di Kampung Padang Kemunting untuk ke sekolah hanya memberi sepenuh tumpuan terhadap pelajaran ketika di kelas, selain menggandakan doa dan solat tahajud serta hajat bagi memohon keberkatan dari Allah s.w.t.

 Alia merupakan antara 124 CBK yang menduduki PMR di 39 pusat peperiksaan seluruh Terengganu, mendapat mendapat 6A 2B ketika peperiksaan percubaan PMR, berhasrat meneruskan kecemerlangan dalam Sijil Pelajaran Malaysia dua tahun lagi serta menyambung pengajian ke peringkat tertinggi bagi menggapai impian menjadi doktor.

Bagi Nur Syuhada yang mengalami sumbing sejak lahir, bagaimanapun dia tidak dikategorikan sebagai CBK, kekurangan pada dirinya hanyalah pada fizikal dan wajah semata-mata , malah tidak menjejaskan moralnya untuk bersaing dengan rakan normal yang lain.

Menurut pelajar yang tinggal di Kampung Kubur Timah, Batu Rakit, dia nekad belajar dengah gigih serta tidak mempedulikan tanggapan dan pandangan serong orang lain terhadapnya.

Walaupun kecacatan anak kedua daripada lima beradik itu sedikit menjejaskan pertuturan yang mana pada satu-satu ketika ia sukar difahami, Syuhada tetap menganggap ada hikmah yang tersembunyi dan memberinya lebih motivasi bagi mencipta lebih banyak kejayaan. “Saya berhasrat menjadi arkitek satu masa nanti dan mahu mengubah nasib keluarga. Saya nekad mahu membahagiakan ibu bapa, Fatimah Abd Aziz, 40 dan Izani Abdullah, 42, yang selama ini sudah banyak berkorban untuk kami.

 “Sekurang-kurangnya kesusahan ayah mencari rezeki sebagai peniaga ikan dengan pendapatan yang tidak menentu selama ini terbayar dengan kejayaan kami anak-anak dalam pelajaran dan juga kerjaya masing-masing kelak,” katanya.

 Sementara itu, guru kelasnya, Encik Akla Su, 45, turut berbangga dengan potensi dan pencapaian kedua-dua pelajar bernama Syuhada itu, malah menyifatkan pencapaian luar biasa kedua-dua pelajar yang berkarektor pendiam itu mampu menjadi perangsang pelajar normal lain supaya dapat mencapai kejayaan yang sama.

 “Disebabkan dia (Alia) OKU (cacat pendengaran), dia minta supaya ditempatkan di barisan paling depan dalam kelas bagi memastikan setiap apa yang guru ajar lebih jelas didengar.

 “Sebagai guru kelas dan turut mengajar subjek Kemahiran Hidup, saya tidak meminggirkan dia, malah memberi tumpuan sama rata sebagaimana juga pelajar saya yang lain,” katanya.

 

Tarian tradisional mampu promosi Terengganu

 Oleh: Suriati Ali 

 Pengemar seni muzik di awal 1970 an, pasti mengenali penggiat seni Wan Salmah Wan Sulaiman, 68 dan Wan Habsah Jusoh, 65 yang setia mengangkat martabat lagu dan tarian tradisional Terengganu.

 Tarian ulek mayang, rodat, anak burung baniong dan gamelan yang diperkenalkan penggiat seni ketika itu terus tersohor sehingga ke serata negara. Kebanyakan tarian yang berkisarkan kehidupan, budaya dan adat masyarakat Melayu itu mampu menaikkan imej dan keunikan Terengganu.

Penggiat seni, Wan Salmah, berkata dia masih bersedia mengajar mana-mana pihak atau individu yang ingin mengetahui secara mendalam mengenai tarian Terengganu.

Katanya, dia sudi berbuat demikian kerana sayang dan bimbang asal-usul pelbagai tarian, termasuk ulek mayang hilang keaslian tarian dan lagunya di mana satu ketika dahulu dicipta dan diperkenalkan Haji Mazlan Embong.

“Tarian lain seperti , rodat, anak burung baniong dan gamelan wajar dikekalkan kerana mempunyai keunikan tersendiri berbanding tarian yang dimiliki dan diperkenalkan negeri lain.

“Sebagai contoh, tarian ulek mayang iaitu bentuk asalnya adalah sebuah tarian memuja semangat. “Penarinya akan menggunakan mayang pinang dan mengoncangkannya semasa menari sehinggalah ia merasakan mayang pinang tersebut bergoncang dengan sendirinya sebelum dilepaskan kepada penari yang lain.

 “Tarian ini kebiasaannya diamalkan untuk memuja semangat laut. Namun pada hari ini, kepercayaan atas semangat itu sudah hilang, sebaliknya tarian ini cuma tinggal sebagai bentuk hiburan sahaja,” katanya.

Seorang lagi penggiat seni veteran, Wan Habsah, berkata tarian tradisional Terengganu jelas dapat menaikkan imej Terengganu bukan saja dalam negara malah di peringkat antarabangsa.

“Saya dan beberapa rakan seangkatan sekitar 1980an seakan tidak menang tangan mempromosi Terengganu di beberapa negara tersohor seperti Eropah, Singapura, Filipina dan sebagainya melalui tarian tradisional Terengganu,”katanya

Seramai 9,448 orang sertai perarakan

Oleh: Suriati Ali



Sebanyak 278 pasukan daripada lima kategori dengan jumlah penyertaan seramai 9,448 orang menyertai perarakan sempena sambutan Majlis Maulidur Rasul peringkat Terengganu di Stadium Negeri, Kuala Terengganu, semalam.

 Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin berkenan merasmikan majlis yang turut dihadiri Menteri Besar Dato’ Seri Haji Ahmad Said itu.

Hadir sama,  Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Haji Mazlan Ngah dan Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri, Dato’ Tengku Putera Tengku Awang.

Sambutan Maulidur Rasul yang bertemakan `Wassatiyah Tonggak Kesatuan Ummah’ itu turut diserikan dengan bacaan ayat suci al-Quran, persembahan nasyid, bacaan rawi dan syair.

Pasukan Majlis Amanah Rakyat (MARA) cawangan Terengganu, dinobatkan sebagai juara bagi kategori Jabatan Kerajaan Persekutuan dan Badan Berkanun Persekutuan.

 Manakala Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) diumumkan sebagai juara Kategori Jabatan Kerajaan Negeri dan Badan Bukan Berkanun.

 Juara kategori lain, Tenaga Nasional Berhad (syarikat swasta dan syarikat terpilih lain) dan Sekolah Menengah Sains Sultan Mahmud (pasukan sekolah menengah, IPTA/IPTS).

 Manakala Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Laut menang bagi kategori JKKK. Kesemua pasukan itu berjaya membawa pulang wang tunai RM3,000.