Halaman

07 February 2013

Kewujudan KUT, buat peniaga gembira

Oleh: Suriati Ali dan Aida Abd Rahman 

 Pendekatan Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU) menwujudkan Kompleks Usahawan Terengganu (KUT) bernilai RM21 juta di Kubang Jela, Manir nyata mengembirakan golongan peniaga dan penduduk setempat.

 Ia bakal menjadi pemangkin kewujudan pusat pertumbuhan baru di kawasan itu dengan kedudukannya yang strategik berhampiran jalan baru menghubungkan Losong, Kubang Jela, Jeram dan Gemuruh.

 Bangunan tiga tingkat itu akan menempatkan 70 usahawan tempatan khususnya dalam industri kraf seperti batik dan songket serta produk berasaskan Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT).

Ketua Pegawai Eksekutif YPU, Haji Azmi Razik, berkata kompleks ini bakal beroperasi seperti sebuah 'mall' dan dapat membantu pengusaha tempatan dari segi penjenamaan dan pemasaran produk mereka.

"Inisiatif ini diharapkan dapat membantu usahawan tempatan dalam menangani masalah mendapatkan premis yang sesuai untuk mereka serta meningkatkan daya maju.

“Gunakan peluang yang diberi ini sebaik mungkin kerana ia mampu memberi pulangan lumayan kepada peniaga jika bijak memikat pelanggan,” katanya pada sidang media baru-baru ini.

Katanya, sebilangan pengusaha yang memulakan perniagaan pada pertangahan tahun lalu mula menampakkan hasil kerana mampu memperoleh pendapatan bulanan yang agak lumayan.

“Ini diakui pemilik Al Bakry T' Cafe yang menawarkan hidangan nasi Arab. di mana kini dapat mengutip hasil jualan harian kira-kira RM1,000 sehari,” katanya.

 

Bukan Pas kuat, tapi rakyat tidak kenang budi : MB

Oleh: Aida Abd Rahman

Pembangkang berjaya menawan kerusi Dewan Undangan Negeri Manir (DUN) pada pilihan raya umum (PRU) sejak lima penggal lalu, bukan kerana wakil rakyat Pas berjaya memenuhi kehendak rakyat di kawasan itu, bagaimanapun akibat wujudnya `gunting dalam lipatan’ di kalangan penyokong Barisan Nasional (BN) dan Umno sendiri, kata Menteri Besar, Dato' Seri Haji Ahmad Said.

“Ada golongan yang mendapat habuan dan nikmat daripada apa yang sudah kerajaan BN laksanakan selama ini tetapi tidak mensyukuri nikmat itu.

“ Kebanyakan mereka mendapat kesenangan kerana dasar dan apa yang dilakukan oleh BN dan Umno, namun atas sebab satu dua perkara yang mereka tidak puas hati, mereka bertindak mensabotaj parti sendiri serta tidak mengundi calon BN pada PRU,” katanya.

Menteri Besar yang juga Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri Terengganu berkata demikian ketika berucap di Majlis Jentera Jalinan Rakyat Wanita dan Penggerak Kemad DUN Manir, di Dewan Komuniti DUN Manir, baru-baru ini.

Dato’ Seri Haji Ahmad, berkata BN mampu menawan semula kerusi DUN itu pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) nanti sekiranya semua pengundi di kawasan itu di kalangan mereka yang tahu bersyukur dengan apa yang sudah mereka nikmati dan perolehi selama ini.

 Antara usaha Pegawai Pembangunan DUN (PPD) berkenaan, Encik Yusof Awang Hitam, yang tidak pernah dilaksanakan di kawasan lain, menurut Menteri Besar adalah Klinik Rawatan Masyarakat Yusof Awang Hitam yang menyediakan rawatan secara percuma kepada penduduk kawasan itu, tanpa mengira latar belakang politik.

“Saya bercakap dengan Perdana Menteri (Dato’ Seri Mohd Najib Tun Razak) dan Timbalan Perdana Menteri (Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin) sebelum ini, saya secara peribadi tidak pernah melihat seorang yang bukan wakil rakyat, dilantik sebagai PPD bekerja begitu kuat dan melaksanakan macam-macam kemudahan untuk penduduk kawasannnya.

“Malah, sepanjang saya menjadi Menteri Besar dan Exco, saya tidak pernah tahu mengenai kawasan yang menyediakan khidmat seperti itu (Klinik Rawatan Masyarakat). Maknanya beliau mengambil inisiatif untuk memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat. Apa lagi yang orang Manir mahukan, kecuali jika masyarakat di sini sememangnya dilahirkan sebagai golongan yang tidak mengenang hati budi orang lain,” katanya.

Beliau berkata, pemimpin pembangkang gagal dan tidak pernah melakukan sebarang pembangunan dan kemudahan untuk penduduk kawasan itu walaupun majoriti pengundi memihak parti itu pada setiap kali PRU lebih 20 tahun lalu.

Menurutnya, tiada sebab lagi penduduk Manir berterusan memilih Pas yang gagal memperjuangkan nasib mereka, malah PRU13 adalah penentu terbaik untuk penduduk DUN itu supaya mengenang jasa kerajaan BN bagi memastikan kesinambungan pembangunan dan bantuan kebajikan dapat terus disalurkan kepada mereka.


Akademik muda lebih ramai di UMT

Oleh; Esah Abdullah

Universiti Malaysia Terengganu (UMT) memperkenakan Pusat Pengurusan Bakat Akademik (PPBA) bertujuan memberi perhatian yang serius dalam membangunkan potensi ahli akademik

Naib Censelor UMT, Prof Emeritus Dato’ Dr. Ibrahim Komoo berkata, mereka ini merupakan sumber kepakaran yang menjadi nadi kepada kecemerlangan akademik.

“Sebelum ini urusan pembangunan kerjaya ahli akademik diurus Bahagian Sumber Manusia khususnya dalam konteks pengambilan, cuti belajar, prestasi tahunan, latihan dan kenaikan pangkat,” katanya dalam sidang media di pejabatnya baru-baru ini.

Menurutnya, UMT mempunyai ramai ahli akademik yang memiliki PhD dan lebih 50 peratus adalah berusia 40 tahun ke bawah.

“Kita akan memberi perhatian kepada pembangunan bakat setiap ahli akademik supaya potensi kesarjanaan mereka terserlah dan dapat dimanfaatkan oleh UMT dan negara,” katanya.

Pada masa yang sama katanya, melalui Pejabat Pendaftaran perlu pengukuhan pembangunan sumber manusia sokongan atau bukan akademik.

 “Usaha untuk meningkatkan kualiti dan prestasi tinggi, sistem latihan dan sangkutan perlu diperkemaskan lagi bagi memenuhi sasaran,” katanya.

Sehubungan itu, pihaknya akan memperbaiki skim perkhidmatan kakitangan sokongan dan pentadbiran dan teknikal supaya terus berdaya maju serta mendorong mereka bekerja dengan semangat yang tinggi.

BN yakin mampu tawan lima kerusi pembangkang

Oleh: Kamarudin Mat Akib 

Kerajaan Barisan Nasional (BN) yakin dapat menawan semula lima daripada lapan kerusi di Terengganu yang pernah dimenangi pembangkang sebelum ini pada Pilihanraya Umum ke-13 (PRU-13).

 Pengerusi BN Terengganu yang juga Menteri Besar, Dato' Seri Haji Ahmad Said, berkata keyakinan ini berdasarkan sambutan luar biasa rakyat terhadap program yang dianjurkan oleh Umno atau BN di kawasan berkenaan selepas PRU Ke-12.

 “Kita yakin dapat menawan empat atau lima kerusi Dun yang dimenangi pembangkang dulu pada pilihan raya kali ini. BN yakin mampu tawan lima kerusi pembangkang.


“Jika melebihi bilangan tersebut, ia merupakan satu bonus kepada BN,” katanya kepada sidang media sempena Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Parlimen Kemaman pagi ini.

 Pada PRU Ke-13, lapan daripada 32 Dun dimenangi oleh pembangkang iaitu Manir, Batu Burok, Rhu Rendang, Wakaf mempelam, Ladang, Sura, Bukit Tunggal dan Bukit Payong.

Dato’ Seri Haji Ahmad turut memberitahu dari segi persiapan untuk menghadapi PRU Ke- 13, Umno dan BN sudah lama bersiap sedia.

Beliau berharap setiap Dun dapat memperkemaskan jentera parti masing-masing, bagi memastikan hasrat BN untuk kekal merintah Terengganu akan tercapai.

 

Lebih 40,000 sertai perarakan Maulidur Rasul di Kemaman

Oleh: Kamarudin Mat Akib 



Menteri Besar Dato’ Seri Haji Ahmad Said mengetuai perarakan sempena Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Parlimen Kemaman pagi ini yang disertai lebih 40,000 penduduk tempatan dan pelbagai pertubuhan.



Sebanyak 399 kontinjen terdiri daripada pertubuhan umno, Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) dan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) serta bagi memeriahkan sambutan Maulidur Rasul tersebut.

 Menteri Besar melahirkan kegembiraan kerana sambutan Maulidur Rasul itu yang diadakan di setiap parlimen mendapat samburan luar biasa daripada pelbagai lapisan masyarakat.

Tutut hadir  Pegawai Daerah Kemaman, Encik Mohamad Kamil Othman, ketua-ketua jabatan dan pemimpin setempat.

Dato’ Seri Haji Ahmad berkata, sambutan luar biasa yang menyertai perarakan kali ini tiada kena mengena dengan Pilihanraya Umum ke-13 (PRU-13) tetapi sebaliknya rakyat setia memberi sokongan padu kepada kerajaan Barisan Nasional (BN).



“Tahun lalu, kita juga pernah menganjurkan perakan seperti tetapi masyarakat juga keluar beramai-ramai menyemarakkan sambutan maulud yang dianjurkan kerjan BN,” katanya ketika berucap pada sambutan itu.

 

Pelajar cemerlang DUN Ladang terima insentif kerajaan negeri

Oleh: Noraini Jusoh

Seramai 244 pelajar cemerlang Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Penilaian Menengah Rendah (PMR) 2012 dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Ladang menerima insentif daripada kerajaan negeri, hari ini.

Sebanyak RM32,320 dibelanjakan kerajaan negeri melalui Yayasan Terengganu sebagai tanda penghargaan kepada pelajar cemerlang di mana daripada jumlah tersebut, RM20,160 untuk 168 pelajar yang mendapat 5A dan RM12,160 untuk 76 pelajar cemerlang yang mendapat 8A atau 9A dalam PMR.

Pegawai Pembangunan DUN Ladang, Dato’ Haji Wan Hisham Wan Salleh berkata, pelajar zaman sekarang beruntung kerana pelbagai bantuan disediakan pihak kerajaan kepada mereka.

"Jika dibandingkan zaman dahulu, tidak banyak bantuan yang disediakan pihak kerajaan dan menyebabkan ramai pelajar tercicir bukan disebabkan tidak pandai tetapi kerana ibu bapa yang tidak mampu menyediakan keperluan persekolahan mereka.

"Justeru, melalui pendemokrasian dalam sistem pendidikan, kita tidak mahu lagi kemiskinan ibu bapa menafikan hak pelajar bagi mendapat pendidikan sempurna,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap di Majlis Penganugerahan Hadiah Kecemerlangan Pelajar Yayasan Terengganu Kepada Pelajar-Pelajar Cemerlang Dalam Peperiksaan UPSR dan PMR 2012 Kali Ke-34 Tahun 2013 DUN Ladang di Dewan Tunku Abdul Rahman, Kuala Terengganu, hari ini.


Katanya, pelbagai bantuan persekolahan disediakan kerajaan pusat mahupun negeri seperti Bantuan Khas Awal Persekolahan, bantuan pakaian sekolah dan sebagainya bagi membantu meringankan beban ibu bapa dalam menyediakan keperluan persekolahan anak-anak.

Pada majlis tersebut, beliau turut menyempurnakan pemberian hadiah kecemerlangan berupa wang tunai sebanyak RM120 bagi peperiksaan UPSR dan RM160 untuk PMR kepada pelajar yang cemerlang dalam kedua-dua peperiksaan tersebut tahun lalu.

 

Kerajaan BN berada di landasan betul

Oleh; Esah Abdullah

Kerajaan Barisan Nasional (BN) sudah berada di landasan yang betul dan Perlembagaan Negara sebenarnya tidak bercanggah dengan kehendak Islam.

Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Penerangan negeri, YB Haji Khazan Che Mat berkata, negara kita mengamalkan sikap sederhana dalam semua hal.

“Apa yang kerajaan BN buat selama ini adalah betul dan selari dengan Islam,” katanya di majlis Penyampaian Bantuan Pentadbiran Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (Dun) Batu Rakit di kediaman beliau semalam.

Hadir sama, Ketua Polis Balai Batu Rakit, Sarjan Mejar Haji Mat Zin; Penghulu Mukim Batu Rakit, Encik Khairul Anwar Hashim dan Pengerusi JKKK, Ketua Wanita, Pemuda dan Puteri dari 32 kampung dalam Dun Batu Rakit.

Beliau yang juga Adun Batu Rakit berkata, kita bertuah menjadi rakyat dalam negara yang dipimpin oleh seorang pemimpin yang bijak dan berwawasan.

 “Saya minta semua ketua-ketua kampung main peranan untuk mengekalkan keharmonian yang ada dan pertahankan kerajaan BN demi masa depan anak cucu kita,” katanya.

Katanya, kita tidak perlu percaya dengan janji yang belum pasti kerana hari ini telah merasai nikmat kehidupan aman damai, saling berbaik dengan orang bukan Islam serta bebas mencari rezeki .

Dalam Majlis berkenaan 32 buah JKKK dalam Dun Batu Rakit menerima bantuan pentadbiran sebanyak RM5,000 setiap JKKK yang disampaikan sendiri oleh YB Haji Khazan.
 

DIA ADALAH ISTERI SAYA YANG SAH :YB ZAKARIA, ADUN PAKA

Oleh: Ruslan Abdul Rahman

 “Saya tidak membuat kesalahan, saya berkahwin secara sah dan bukannya ditangkap khalwat, melarikan isteri orang atau anak dara orang atau mencari pelacur,” demikian kata Ahli Dewan Undangan Negeri Paka, Zakaria @ Ariffin Abdullah sebagai mengulas laporan beberapa blog dan akhbar tempatan mengenai perkahwinan ketiganya serta tuntutan cerai dari isteri kedua beliau baru-baru ini.

.
 “Saya bukan berkhalwat dengan isteri orang sampai tiga pagi atau skandal dengan Cina Doll atau berkhalwat di bilik 121...tapi dia adalah isteri saya yang sah sejak beberapa tahun lalu,” sambungnya lagi.

Ditanya mengenai soal dakwaan isteri keduanya yang mengemukakan permohonan cerai dan hal-hal berkaitan dengannya beliau berkata “itu biarlah saya selesaikan, hal rumahtangga’.

Apa yang penting katanya, beliau telah berkahwin secara sah dan apa yang dipaparkan di majalah tentang perkahwinan ketiga beliau itu, sekalipun ia tidak dirancang tetapi harus diterima secara positif untuk hebahan bagi mengelak fitnah.

 “Sebagai wakil rakyat yang mewakili parti saya, saya perlu elak dari difitnah, saya bukan muda remaja yang baru hendak berkahwin untuk membuat jamuan walimatul urus, tetapi siaran di majalah itu boleh diterima sebagai kaedah untuk menghebahkan perkahwinan bagi mengelak fitnah”.

 Katanya, ‘ kalau ada oang hendak cuba fitnah saya bila melihat wanita itu bersama saya...orang akhirnya tahu itu adalah isteri saya yang sah”. 

Baginya perkahwinan bukanlah suatu isu kerana adalah perkara yang diharuskan oleh syarak, itu yang perlu difahami oleh semua sama ada di pihak lelaki atau wanita, sama ada orang politik atau orang biasa. 

Beberapa blog pembangkang termasuk sebuah akhbar harian tempatan cuba membangkitkan isu perkahwinan ketiga Adun Paka itu sebagai suatu perbuatan salah Adun berkenaan.

Blog pembangkang cuba dan akhbar berkenaan mengeksploitasi perkahwinan yang sah ini menjadi suatu kesalahan dengan menggunakan dakwaan-dakwaan pihak tertentu yang tidak berpuas-hati dengan perkahwinan sah itu untuk memburukkan suasana dan cara ini amat bertentangan dengan Islam dengan melaga-lagakan untuk kehancuran rumah tangga orang lain.


Kerajaan negeri peruntukan RM1.2 juta untuk pasukan hoki negeri

Oleh: Noraini Jusoh

Kerajaan negeri telah bersetuju untuk memberi peruntukan sebanyak RM1.2 juta kepada pasukan hoki negeri apabila mesyuarat Exco semalam memutuskan pasukan hoki negeri akan mewakili Terengganu untuk bertanding dalam Liga Hoki Kebangsaan bagi musim ini.

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said berkata, pasukan hoki negeri merupakan pasukan berstatus negeri pertama yang akan beraksi dan akan bersaing dengan pasukan berstatus kelab seperti Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan Maybank.

"Kita dapati ramai pemain kita tidak bermain dimana-mana pasukan, justeru dengan adanya peruntukan oleh kerajaan negeri ini akan memberikan peluang untuk mereka beraksi.

"Kita sebenarnya sudah ada pemain yang terdiri daripada pemain dalam dan luar negeri,” ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melawat projek perumahan rumah pangsa mampu milik di Kampung Batin, semalam.

Katanya, selain pemain dalam dan luar negeri pasukan hoki negeri juga turut mendapatkan khidmat pemain import.

Menurut beliau, peruntukan yang diberikan kerajaaan negeri itu adalah untuk gaji pemain serta pengurusan dan selebihnya pasukan akan mencari tajaan sendiri.

 

Kerajaan negeri sasar bina 10000 unit rumah mampu milik

Oleh: Noraini Jusoh

Kerajaan negeri menyasarkan untuk membina 10000 unit rumah mampu milik, kata Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said.

Menurut beliau, sehingga kini 8000 lebih rumah telah dibina dan projek perumahan akan diteruskan bagi mencapai sasaran yang telah ditetapkan.

"Kita akan membina rumah mampu milik di setiap Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi membantu golongan berpendapatan rendah tinggal di rumah yang lebih selesa.

"Projek perumahan rumah pangsa mampu milik di Kampung Batin, Kuala Terengganu ini merupakan inisiatif kerajaan dalam membantu mereka yang belum memiliki rumah sendiri dan berpendapatan di bawah RM3000 memiliki rumah.

"Sama seperti pangsapuri Ladang Gemilang, bagi tiga tahun pertama mereka bayar sewa dan selepas itu jika tiada aduan, bantahan serta tiada penyelewengan, mereka boleh membeli rumah tersebut kerana kerajaan menetapkan tiga tahun pertama sebagai bayaran permulaan kepada sewa beli rumah itu sebagaimana yang telah dijelaskan,” ujarnya kepada pemberita selepas melawat tapak perumahan rumah pangsa mampu milik di Kampung Batin, semalam.

Katanya, beliau berharap rumah pangsa mampu milik Kampung Batin yang mempunyai tiga bilik tidur dan dua bilik air dengan nilai setiap unit kira-kira RM140,000 yang belum diberi subsidi oleh kerajaan itu akan siap sepenuhnya antara April hingga Jun nanti.

Menurut beliau, kadar sewa rumah pangsa mampu milik berkenaan akan ditetapkan kemudian dimana terdapat 722 unit rumah di 19 blok bangunan yang dibina dengan ketinggian empat tingkat setiap satunya.

Dalam pada itu, beliau turut mengingatkan penduduk yang bakal mendiami rumah pangsa berkenaan tidak melakukan proses jual beli rumah tersebut kerana projek perumahan rakyat yang dibina oleh kerajaan negeri adalah untuk keselesaan rakyat dan bukannya untuk diniagakan.

Katanya, kerajaan negeri juga merancang untuk membina sebuah masjid baru di tapak yang telah dikenalpasti bersebelahan projek perumahan itu bagi menampung kariah masjid Kampung Banggol Pauh yang mungkin akan bertambah apabila peduduk mula mendiami rumah pangsa terbabit.

Difahamkan, projek perumahan rumah pangsa mampu milik Kampung Batin juga turut memiliki kemudahan dewan dan surau untuk kegunaan penduduk di situ apabila projek perumahan tersebut siap sepenuhnya nanti.