Halaman

17 February 2013

Ukom dianggap agen masyarakat

Oleh: Suriati Ali 

“Unit Komunikasi Negeri (Ukom) boleh dianggap sebagai `agen’ dalam menyampaikan ilmu, terutama berkaitan pembangunan di Terengganu kepada masyarakat luar.

“Pada masa sama, Ukom melalui akhbar Teganukita sewajarnya meneruskan atau perbanyakkan berita yang boleh menangkis pelbagai isu negatif yang sering dibangkitkan pihak tidak bertanggungjawab,” kata Imam Besar /Penolong Pengurus Masjid Kristal, Ustaz Mohd Zaki Mat Yakim.

 Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ceramah pada Kursus Peningkatan Prestasi dan Transformasi Budaya Kerja di Sutra Beach Resort, Merang, Setiu, semalam.

Menurutnya, kakitangan unit itu juga diminta sentiasa menjalinkan kerjasama antara pelbagai pihak supaya tugas yang diarahkan majikan menjadi mudah dan tidak terabai.



“Selain itu, perlu ada sikap tolenrasi, bermaufakat dan rendah diri antara rakan sekerja.

“Elakkan sikap `berpuak-puak’ walaupun seseorang itu sudah lama bertugas atau mempunyai pangkat yang lebih tinggi.

“Jika apa yang diperkatakan ini wujudkan dalam satu organisasi, ia dianggap tidak cemerlang dan setiap tugas itu menjadi tidak sempurna `dek’ sikap yang diamalkan itu,” katanya.

Katanya, setiap tugas perlu dilaksanakan sebaik mungkin, walaupun tugas itu dianggap kecil seperti menjawab panggilan talefon.

“Setiap sikap yang diamal dan ditonjolkan melambangkan imej Ukom. Oleh itu, kita perlu sentiasa bermuhasabah diri dan apa yang penting jangan tinggal perkara wajib, termasuk solat lima waktu,” katanya .

 




TMT saji 34 acara pikat pelancong

Sempena Tahun Melawat Terengganu (TMT) 2013, wartawan TEGANUKITA, Aida Abd Rahman mewawancara Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan negeri, Datuk Abdul Rahin Mohd Said.

DATUK ABDUL RAHIN MOHD SAID
S: Tahun Melawat Terengganu 2013 baru sahaja membuka tirai. Apakah fokus dan acara teras yang bakal mewarnai kalendar TMT 2013 ?

J: Pelancaran TMT 2013 baru sahaja disempurnakan Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said di Stadium Tertutup Gong Badak, Kuala Terengganu pada 4 Januari lalu, di mana kita berjaya mencapai objektif penganjuran berdasarkan kekuatan acara dan kehadiran pengunjung yang mahu menyaksikan Maharaja Lawak Mega.Terengganu dipilih sebagai destinasi pertama rancangan itu bersiaran di luar Stadium Shah Alam.

Sektor pelancongan negeri memberi tumpuan kepada tiga aspek utama, iaitu keunikan dan kekuatan acara, destinasi dan produk pelancongan serta jumlah tarikan pengunjung.

Sebanyak 34 acara diatur termasuklah Pelancaran TMT 2013, Festival Permainan Tradisional Terengganu, di Kemaman (25 – 27 Januari), Pesta Tahun Baru Cina, di Kampung Cina (15-16 Februari), Cabaran Gunung Tebu Antarabangsa 2013 (1 hingga 2 Mac) dan Le Tour de-Langkawi 2013 28 Februari hingga 2 Mac yang melibatkan seluruh daerah di negeri ini.

 Kesemua acara teras dalam kalendar TMT itu bertaraf kebangsaan, antarabangsa dan tidak terdapat di negeri lain yang pastinya mengundang publisiti meluas serta tarikan pengunjung dari dalam dan luar Terengganu.

Malah, selain acara utama itu, pelbagai acara sampingan juga bakal mewarnai sambutan TMT 2013, sekali gus menyuntik kekuatan dan mencapai sasaran empat juta pelancong sepanjang tahun ini.

S:  Terengganu pernah menganjurkan TMT pada 1997 dan 2008. Apakah usaha-usaha yang dilakukan bagi memastikan penganjuran TMT kali ini turut mencipta magis dan kenangan manis?

J: Sebagaimana kejayaan penganjuran TMT 2008, kerajaan negeri menerusi Sekretariat TMT 2013 giat mengatur pelbagai promosi dalam dan luar negara sejak awal tahun lalu dengan menyertai pelbagai festival, forum dan ekspo peringkat kebangsaan dan juga antarabangsa.

Pada masa yang sama, kita juga memaparkan keindahan dan keunikan Terengganu yang terkenal dengan jolokan `Negeri Cantik, Budaya Menarik, Orang Baik-Baik’ menerusi sebaran dalam media massa sama ada elektronik serta media cetak.

Rancangan Teganukita di TV3 yang memasuki musim ketiga, Program Kenali Terengganu di Terengganu FM dan Manis FM, RTM, Astro antara platform bagi mempromosi, selain hebahan melalui majalah tempatan dan antarabangsa seperti KL Vision, Gaya, Traveller’s Digest, Santai, Libur dan MAS Going Places Inflight Magazine.

Kerajaan juga giat menjual nama Terengganu dalam dan luar negara termasuk menyertai Asean Tourism Forum, Vientiane Loas; International Tourism Base, Berlin; Travel Malaysia Fair, Singapura; Arabian Travel Market, Dubai; JATA Tourism. Promosi domestik dan pameran seperti Matta Travel Fair di Kuala Lumpur, Pulau Pinang dan Johor Bahru, pakej khas TMT 2013, Showcase Kenali Terengganu, penjelajahan ke seluruh negeri, kuiz dan pertandingan, pesta serta karnival.

Terbaru, kita melantik Zizan Raja Lawak sebagai duta TMT 2013 atas faktor populariti dan kemasyhuran anak jati Terengganu itu yang dijangka dapat `menjual’ dan membantu mempromosi secara meluas dan berkesan kepada pelancong luar Terengganu.


Ilmu al-Quran halang tafsiran mengelirukan

Oleh: Aida Abd Rahman

Setiap usaha kerajaan bagi membudayakan al-Quran di kalangan masyarakat negeri ini bukan sahaja mampu mendatangkan kebaikan dan keberkatan kepada negeri, malah turut meningkatkan kefahaman agama serta mewujudkan kesejahteraan di kalangan masyarakat.

Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Penerangan negeri, Haji Khazan Che Mat, berkata dengan lahirnya masyarakat yang memahami al-Quran dengan cara yang betul pasti mampu menghalang golongan tertentu melakukan kekeliruan menerusi pandangan dan tafsiran yang tersendiri demi kepentingan peribadi atau politik mereka.

“Oleh itu, hari ini apabila lahir ramai golongan ulamak dan mereka yang mengetahui mengenai agama yang berada di pelbagai jabatan dalam negara kita, mereka mengajar di sana-sini, maka kefahaman agama semakin meningkat, hari ini semakin banyak perubahan dalam bidang agama tanah air.

 “Kalau dahulu dengan mudah ayat al-Quran dibaca dan ditafsirkan dengan cara mendesak, maka dengan peningkatan ilmu hari ini ditafsir dengan cara yang sebenar berdasarkan pendapat ulamak,” katanya di Majlis menghafaz al-Quran peringkat negeri Terengganu, di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu, baru-baru ini.

Haji Khazan berkata, menerusi usaha kerajaan mewujudkan lebih ramai golongan ilmuwan dalam bidang agama dan al-Quran itu sudah cukup memberi kefahaman kepada orang ramai bahawa apa yang dilaksanakan oleh kerajaan itu menepati tuntutan agama.

Beliau berkata, jika dahulu dengan mudah orang menganggap sesiapa yang tidak menjalankan hukum Allah s.w.t tergolong dalam golongan kafir, jika kerajaan tidak melaksanakan hukum hudud juga dianggap kafir dan orang yang menyokong kerajaan juga dianggap kafir.

Bagaimanapun, katanya dengan perubahan masa apabila ramai yang berpengetahuan agama dan mengetahui tafsiran al-Quran maka tuduhan kafir itu dapat diperbetulkan maksud dan pengertiannya.

“Ayat (mengenai kafir) itu ada tafsirannya, sesiapa yang tidak melaksanakan hukum agama dengan mengingkari barulah dia kafir.. kafir apabila dia tidak melaksanakan atas sebab-sebab yang lain tanpa dia mengingkari, maka ini boleh jadi mereka fasik atau dosa besar dan sebagainya

“Inilah tafsir yang sebenar dan apa yang kita mahukan daripada masyarakat kita. Inilah juga apa yang kerajaan usahakan menerusi pelbagai program pendidikan termasuk Pintar al-Quran, program hafazan al-Quran di Sekolah imtiaz dan Majlis Hafazan al-Quran di peringkat negeri,” katanya.

Menurutnya, dengan kefahaman agama, hadis dan al-Quran yang sebenar akan mewujudkan masyarakat yang mampu memenuhi tuntutan agama serta hidup dalam keadaan aman, selain memperolehi keberkatan di dunia dan juga akhirat.


DI MANAKAH ZANA KINI.....GADIS 26 TAHUN YANG DAPAT KONTRAK KAWASAN BALAK 6,500 EKAR (Tahun 2003)

Di manakah kau kini Zana.... 

Zana yang ketika itu adalah seorang gadis cantik, berusia 26 tahun tiba-tiba menjadi ‘glamour’ apabila terbongkar kerajaan Terengganu pada waktu itu meluluskan kepada beliau kawasan balak melalui sebuah Yayasan milik Kerajaan Terengganu seluas 6, 500 ekar!

Zana gadis berasal dari Hulu Terengganu dengan tiba-tiba mempunyai syarikat yang didaftarkan ditubuhkan pada 10 Julai 2003 dengan jenis perniagaan Pembalakan dan Menjual Kayu.

Gadis ini adalah pekerja di sebuah kilang papan di Wakaf Tapai yang dimiliki bukan Melayu, kroni parti pemerintah waktu itu.

Zana adalah anak saudara kepada orang kuat parti tertentu di kawasan itu. Kawasan balak yang diberikan kepada gadis ini seluas 6 500 ekar atau 2 600 hektar...teramatlah luas, terletak di Merang, Setiu Terengganu.

Nilai kawasan ini pada waktu itu tidak kurang dari RM5juta atau RM6 juta atau lebih.

Kelulusan kawasan balak kepada Zana ini tidak dibuat melalui tender terbuka.

Pengerusi Pelaburan yayasan milik kerajaan Terengganu waktu itu adalah merupakan pemimpin kanan dalam parti terbabit, begitu juga pengerusinya pemimpin utama parti berkenaan.


 

Bidang sains marin dalam kerangka akademik UMT

Oleh; Esah Abdullah

Usaha membangunkan lagi bidang Sains Marin dalam kerangka akademik dan penyelidikan dengan penglibatan universitii-universiti adalah wajar memandangkan keperluan yang tinggi serta prospek yang luas yang ada pada bidang ini.

Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) Universiti Malaysia Terengganu (UMT) Prof. Dr. Noor Azhar Mohamed Shazili berkata, tidak dinafikan perkembangan terkini bidang sains dan teknologi di negara kita banyak menyentuh aspek Sains Marin.

“Pertumbuhan negara melalui eskplorasi petroleum dan gas sangat berkait rapat dalam bidang ini,” katanya dalam sidang media selepas majlis perasmian Bengkel Sains Marin dan Ekosistem di Ri-Yaz Heritage Pulau Duyong hari ini.

Hadir sama, Ketua Penolong Setiausaha Direktorak Osenografi Kebangsaan (NOD), Haji Shahruddin Yusof; Pengarah Institut Oseanografi dan Sekitaran (INOS), Prof. Dr. Mohd Lokman Hussain dan Prof. Dr V.R. Vijayan dari Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia serta wakil-wakil dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dan Universiti Malaysia Perlis (UNIMAP).

Katanya, bidang ini bukan saja keperluan negara tetapi pasaran kerjaya adalah tinggi permintaannya di seluruh dunia selain dari perubahan iklim dunia termasuk Tsunami banyak kaitannya dengan bidang Sains Marin.

Menurutnya, kepakaran dalam bidang ini khususnya untuk ramalam iklim dunia masih belum mencukupi untuk memenuhi kehendak dan keperluan semasa negara kita.

Katanya, INOS adalah antara institut penyelidikan marin oseanografi yang tertua dan mantap di mana penubuhannya adalah untuk menjadi pusat penyelidikan serantau yang terkemuka di negara ini.

“Kini INOS telah menjadi salah satu Pusat Kecemerlangan Pengajian Tinggi (HiCoE) yang ke tujuh di negara ini yang menfokuskan bidang sains marin dan oseanografi,” katanya.

Bengkel yang berlangsumg dua hari berakhir esok ini dihadiri 50 peserta tediri daripada penyelidik UIA, UKM, UNIMAP, UMT serta jabatan kerajaan dan agensi berkaitan sains marin bertujuan menonjolkan bidang kepakaran dan fasiliti sokongan Sains Marin yang terdapat di IPT di negara ini.
 

Terengganu Bina Litar Lumba RM30 juta

Oleh: Fauzi Mohd dan Suriati Ali

Kerajaan negeri bercadang membina sebuah litar perlumbaan motosikal bernilai kira-kira RM30 juta di kawasan seluas 30 ekar pada tahun depan.



 Menteri Besar Dato’ Seri Haji Ahmad Said berkata, kos pembinaan kompleks itu akan dimasukkan dalam bajet negeri 2014.

 “Buat masa sekarang kerajaan negeri masih mengenal pasti lokasi bersesuaian di sekitar Kuala Terengganu termasuk satu kawasan di Batu Rakit dan Lembah Bidong di Setiu.

“Ada cadangan supaya ia dibina di Kuala Berang, Hulu Terengganu dan tanah sudah ada. Tapi, memandangkan jaraknya agak jauh dari sini, kerajaan merasakan lokasinya tidak sesuai,” katanya.

 Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Majlis Santai Menteri Besar Bersama Skuad Sukarelawan Bermotor di Kediaman Seri Iman, Batu Burok, Kuala Terengganu, malam tadi.

 Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Haji Mazlan Ngah; Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan negeri, YB Rozi Mamat dan Presiden Pertubuhan Permotoran Bersatu Malaysia (Rider United), Encik Wazi Abdul Hamid.

 Program itu dihadiri lebih 1,600 Skuad Sukarelawan Bermotor termasuk Kelab Motor 69,71 dan 99 serta dimeriahkan dengan kehadiran ikon Riders United seperti Zizan Razak, Intan Ladyana dan Sari Yanti.



 Dato’ Seri Haji Ahmad turut memberitahu, kompleks yang akan dibina mengikut spesifikasi litar bertaraf profesional itu membolehkan peminat sukan khususnya golongan muda membuktikan kebolehan mereka di lapangan sebenar.

 “Saya berharap akan lahir anak Terengganu yang mampu pergi jauh dalam bidang berkenaan kerana litar khas itu akan diseliakan oleh tenaga pengajar profesional yang akan mengawal aktiviti di samping mengatur program untuk pengguna litar.

 “Terengganu berjaya lahirkan pasukan lumba basikal profesional iaitu Terengganu Pro Cycling Team (TSG) dan tidak mustahil akan muncul ikon sukan permotoran di kalangan anak Terengganu,” ujarnya.

 Sementara itu, Encik Wazi dalam ucapannya berkata, Rider United akan menjelajah ke setiap daerah di Terengganu bagi mencari bakat baru yang boleh digilap menjadi jaguh permotoran.

“Budaya menunggang motosikal secara berhemah dan selamat akan ditekankan secara serius sepanjang jelajah itu dengan harapan agar indek kemalangan jalan raya dapat dikurangkan.

“Saya yakin tempoh tiga tahun bermula tahun ini sudah cukup untuk kami berusaha melahirkan ikon dalam sukan permotoran ini kerana Terengganu sudah mempunyai nama tersendiri dalam melahirkan jaguh sukan,” katanya.

 






16 February 2013

Anggota ATM patut terima kasih kepada kerajaan


Zahid Hamidi bertemu anggota TUDM Gong Kedak

Oleh: Mohammad Ishak 

Anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) patut berterima kasih kepada kerajaan kerana sudah banyak membantu anggota dan ahli keluarga bagi meningkatkan taraf hidup dan sosial anggota.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, kerajaan sudah banyak melaksanakan tranformasi dalam ATM dan sudah sampai masanya semua anggota tentera membalas budi baik kerajaan.

Katanya, cara untuk membalas jasa kerajaan hanya dengan menyokong kerajaan Barisan Nasional (BN) kerana terbukti ia sebuah kerajaan berwibawa dan bertanggungjawab.

"Anggota tentera juga diingatkan jangan mendengar ceramah pembangkang di luar kem kerana mereka hanya pandai menabur fitnah terhadap pemimpin dan kerajaan,” katanya ketika bertemu anggota TUDM Gong Kedak, dekat Jertih hari ini.

Pada majlis Ramah Mesra itu ia turut dihadiri ADUN Jertih, Datuk Seri Idris Jusoh,ADUN Kota Putera, Muhamaf Pehimi Yusof, Ahli Parlimen Besut, Datuk Seri Dr Abdullah Md Zin dan Pegawai Daerah Besut, A Rahim Jusoh.

Beliau berkata, kira-kira 3,000 anggota ATM yang bersara daripada perkhidmatan setiap tahun berpeluang mendapatkan pekerjaan baru dalam pelbagai sektor hasil usaha kerajaan dan swasta mewujdkan bidang kerja untuk mereka.

Berikutan itu,katanya, anggota yang bakal bersara terpaksa diberi latihan selama tiga tahun sebagai persediaan untuk bersara dan menjalani kehidupan sebagai orang awam.

Zahid Hamidi: Ahli UMNO diingat jangan ulangi perbuatan lama


Jentera BN Besut berikhrar patut kepada keputusan Pemimpin UMNO

Oleh: Mohammad Ishak

Ahli Umno akar umbi diingatkan jangan mengulangi sejarah lama dengan bertindak menutup operasi peti undi apabila mengetahui calon pilihan mereka tidak disenaraikan parti dalam pilihan raya umum ke 12.

Naib Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, tindakan itu menyebabkan parti kehilangan lebib banyak kerusi kerana ahli protes terhadap calon lain yang dipilih oleh parti.

Katanya, perbuatan seumpama itu jika diulangi pada PRU13 ia akan merugikan parti dan membuka laluan kepada parti pembangkang.

Menurutnya, pada PRU12 ada 20 Pusat Daerah Mengundi (PDM) ditutup oleh ahli Umno yang tidak puas hati dengan calon yang diputuskan oleh pucuk pimpinan menyebabkan kawasan terbabit kecundang dan dimenangi pembangkang.

“Jangan terlalu mengira dengan calon sebaliknya memberi kepercayaaan kepada pucuk pimpinan menentukan siapa yang layak bertanding di sesuatu kawasan,” katanya ketika melancarkan Gerak Kerja Jentera Barisan Nasional (BN) Parlimen Besut di Dewan MDB Gong Kemuntong, di sini hari ini.

Hadir sama Ketua Umno Bahagian Besut, Datuk Seri Idris Jusoh, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jertih, Timbalan Ketua Umno Bahagian, Nawi Mohamad (ADUN Hulu Besut), Naib Ketua Bahagian, Muhamad Pehimi Yusof (ADUN Kota Putera) dan Bendahari Bahagian, Datuk Seri Dr Abdullah Md Zin yang juga Ahli Parlimen Besut.

Pada majlis itu kira-kira 2,000 jentera parti empat peringkat diketuai Ketua Pemuda, Mahadi Musa menghadiri majlis pelancaran dan melafaz ikhrar taat setia dan menerima apa sahaja keputusan pucuk pimpinan parti terutama memilih calon untuk bertanding.pada PRU13.

Ahmad Zahid kagum dan bangga dengan semangat yang ditunjukkan ahli Umno Bahagian Besut yang sudah lama melengkapkan diri untuk menghadapi Pilihan Raya Umum.  

SPR Terengganu sedia hadapi PRU Ke-13

Oleh: Suriati Ali

 Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) Terengganu sudah lama bersiap sedia bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-13.

 Pengarahnya, Encik Fakhrul Razi Ab Wahab, berkata pihaknya sudah melakukan persiapan awal bagi membolehkan proses pengundian di seluruh negeri ini dilakukan apabila Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) dibubarkan.

 “Seramai 10,821 petugas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) di Terengganu akan menjalankan tanggungjawab di 354 pusat mengundi,” katanya pada satu majlis di Kuala Terengganu, baru-baru ini.

Menurutnya, berdasarkan bilangan daftar pemilih terbaru yang disahkan sehingga Disember tahun lalu, seramai 678,642 orang daripada keseluruhan 718,999 penduduk di negeri ini yang layak mengundi, telah mendaftar sebagai pemilih.

 “Hanya 40,357 atau 6.0 peratus daripada penduduk di Terengganu yang genap berusia 21 tahun dan layak mengundi, masih belum mendaftar sebagai pemilih,” katanya.

 Beliau berkata, berdasarkan perangkaan SPR penduduk Terengganu paling tinggi dari segi peratusan menunaikan tanggungjawab mereka untuk mendaftar sebagai pemilih.

 

Penduduk Wakaf Mempelam terima BR1M 2.0 fasa satu RM1.96j

Oleh: Aida Abd Rahman

Seramai 3,922 penduduk di Dewan Undangan Negeri (DUN) Wakaf Mempelam turut mendapat tempias hasil keprihatinan Kerajaan Pusat apabila menerima Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) 2.0 yang diagihkan sepanjang dua hari bermula 12 Februari lalu.

Pengawai Pembangunan DUN Wakaf Mempelam, Haji Wan Mahyuddin Wan Ngah, berkata pegagihan fasa pertama yang berjumlah RM 1.96 juta yang dijalankan di Sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Ahmad berjalan lancar sebagaimana dijadualkan.

“Ini baru fasa pertama, selepas ini akan diikuti fasa kedua dan seterusnya yang akan diselesaikan secepat mungkin sebelum menjelangnya Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).

“Kita akan memastikan semua pemohon dan mereka yang layak dapat menikmati bantuan ini tanpa mengira latar belakang mereka kerana kita telus dan bertanggungjawab membantu rakyat yang memerlukan pembelaan,” katanya.

Sehubungan itu, beliau meminta semua penerima BR1M 2.0 menilai semula bantuan yang diterima sejak tahun lalu itu dan membalas segala kebaikan kerajaan Barisan Nasional hanya dengan menyokong parti itu pada PRU13 nanti sebagai kesinambungan pembangunan sedia ada.