Tahun Melawat Terengganu 2013 baru sahaja membuka tirai. Apakah fokus dan acara teras yang bakal mewarnai kalendar TMT 2013 ?
Pelancaran TMT 2013 baru sahaja disempurnakan Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said di Stadium Tertutup Gong Badak, Kuala Terengganu pada 4 Januari lalu, di mana kita berjaya mencapai objektif penganjuran berdasarkan kekuatan acara dan kehadiran pengunjung yang mahu menyaksikan Maharaja Lawak Mega.Terengganu dipilih sebagai destinasi pertama rancangan itu bersiaran di luar Stadium Shah Alam.
Sektor pelancongan negeri memberi tumpuan kepada tiga aspek utama, iaitu keunikan dan kekuatan acara, destinasi dan produk pelancongan serta jumlah tarikan pengunjung.
Sebanyak 34 acara diatur termasuklah Pelancaran TMT 2013, Festival Permainan Tradisional Terengganu, di Kemaman (25 – 27 Januari), Pesta Tahun Baru Cina, di Kampung Cina (15-16 Februari), Cabaran Gunung Tebu Antarabangsa 2013 (1 hingga 2 Mac) dan Le Tour de-Langkawi 2013 28 Februari hingga 2 Mac yang melibatkan seluruh daerah di negeri ini.
Kesemua acara teras dalam kalendar TMT itu bertaraf kebangsaan, antarabangsa dan tidak terdapat di negeri lain yang pastinya mengundang publisiti meluas serta tarikan pengunjung dari dalam dan luar Terengganu.
Malah, selain acara utama itu, pelbagai acara sampingan juga bakal mewarnai sambutan TMT 2013, sekali gus menyuntik kekuatan dan mencapai sasaran empat juta pelancong sepanjang tahun ini.
S: Terengganu pernah menganjurkan TMT pada 1997 dan 2008. Apakah usaha-usaha yang dilakukan bagi memastikan penganjuran TMT kali ini turut mencipta magis dan kenangan manis?
J: Sebagaimana kejayaan penganjuran TMT 2008, kerajaan negeri menerusi Sekretariat TMT 2013 giat mengatur pelbagai promosi dalam dan luar negara sejak awal tahun lalu dengan menyertai pelbagai festival, forum dan ekspo peringkat kebangsaan dan juga antarabangsa.
Pada masa yang sama, kita juga memaparkan keindahan dan keunikan Terengganu yang terkenal dengan jolokan `Negeri Cantik, Budaya Menarik, Orang Baik-Baik’ menerusi sebaran dalam media massa sama ada elektronik serta media cetak.
Rancangan Teganukita di TV3 yang memasuki musim ketiga, Program Kenali Terengganu di Terengganu FM dan Manis FM, RTM, Astro antara platform bagi mempromosi, selain hebahan melalui majalah tempatan dan antarabangsa seperti KL Vision, Gaya, Traveller’s Digest, Santai, Libur dan MAS Going Places Inflight Magazine.
Kerajaan juga giat menjual nama Terengganu dalam dan luar negara termasuk menyertai Asean Tourism Forum, Vientiane Loas; International Tourism Base, Berlin; Travel Malaysia Fair, Singapura; Arabian Travel Market, Dubai; JATA Tourism.
Promosi domestik dan pameran seperti Matta Travel Fair di Kuala Lumpur, Pulau Pinang dan Johor Bahru, pakej khas TMT 2013, Showcase Kenali Terengganu, penjelajahan ke seluruh negeri, kuiz dan pertandingan, pesta serta karnival.
Terbaru, kita melantik Zizan Raja Lawak sebagai duta TMT 2013 atas faktor populariti dan kemasyhuran anak jati Terengganu itu yang dijangka dapat `menjual’ dan membantu mempromosi secara meluas dan berkesan kepada pelancong luar Terengganu.