Halaman

25 February 2013

‘SAYA RASA TERTIPU, TANAH TAK DAPAT, DUIT LESAP”

“Saya rasa tertipu, tunggu dan tunggu tanah yang dijanjikan tak dapat pun, tapi duit mereka dah ambil,” demikian rintih RuzilawatiChe Seman, seorang mangsa penipuan tanah di zaman kerajaan Pas Terengganu.

Ruzilawati surirumah sepenuh masa itu melahirkan rasa kesal dan rasa tertipu setelah wang yang dibayarnya sebanyak permulaan RM980 dan tambahan sebanyak RM320 setelah diberitahu jika membayarnya barulah diberikan tanah.

Beliau masih ingatkan kata-kata Menteri Besar ketika itu, Haji Hadi bahawa itu adalah tanah untuk generasi kedua. “Saya nak balik duit saya tu, dapat balik semula duit tak apa dah, walaupun tak dapat tanah,” katanya dengan nada sedih.

Katanya, beliau orang susah, suami bekerja sendiri dengan pendapatan tidak seberapa, terpaksa pinjam duit orang untuk jelaskan bayaran itu dengan harapan mendapat tanah.

Seorang lagi surirumah, Puan Zuraini berkata, beliau amat berharap duit itu dapat dipulangkan semua. “Saya datang ke sini, ke balai polis ini untuk meminta siasatan dibuat ke atas duit kami yang hilang begitu sahaja,” katanya yang sewaktu memohon dulu baru berusia 25 tahun.

Kedua-dua mereka antara 1,080 yang ditipu untuk mendapatkan tanah dan wang yang mereka bayar kepada sebuah syarikat yang diarahkan dimaskukkan secara ‘bank in” oleh Jawatankuasa Syura Rakyat (JSR) dan wakil rakyat Dun Paka waktu itu.

Ditemui di Balai Polis Ketengah Jumaat lalu (22 Feb 2013) bersama-sama beberapa orang yang membuat laporan polis bagi kes penipuan yang membabitkan Kerajaan Pas Terengganu (Feb 2004).

Wang bayaran pendahuluan untuk mendapatkan tanah telah dibuat oleh seramai 1,080 orang terbabit dalam Rancangan Tanah Berkelompok kira-kira 9 tahun lalu.

Dalam laporan polis yang dibuat oleh salah seorang mangsa, Mohamad Rosdi Fauzi pada 22 Februari 2013 di Balai Polis Ketengah Jaya mencatatkan, majlis undi lot peserta RTB Bandar Ketengah Jaya, Mukim Rasau, diadakan pada 17 Februari 2004 di Padang Astaka Ketengah Jaya.

Setiap peserta telah diminta untuk membayar sebanyak RM1,300 kepada akaun bank syarikat tertentu yang dilantik di nombor akaun 13020017601056 sebelum 1 Mac 2004.

Penduduk mendakwa, bayaran itu diminta Jawatankuasa Syura Rakyat (JSR) dan Pejabat ADUN Paka pada waktu itu.

Menurut Seksyen 67 dan 68 Kanun Tanah Negara, bayaran Lesen Menduduki Sementara (LMS) untuk RTB hanya RM10 setahun dan RM5 untuk pendaftaran. “Bukan seorang atau dua orang yang tertipu, jumlahnya 1,080 peserta, melibatkan jutaan ringgit.

Selepas pilihanraya umum pada 2004, Pengerusi JSR juga tidak dapat dikesan,” dakwa mereka.

“Kembalikan Duit Kami ! itulah laungan mereka bersama spanduk yang menuntut keadilan.

Turut menjadi mangsa peserta RTB Kawasan Beril, Mukim Kuala Paka dimana temuduga untuk peserta RTB berkenaan diadakan di Pejabat ADUN Paka, pada 1 Julai 2002.

Majlis penyampaian surat kelulusan dan undi lot RTB itu diadakan pada 11 Mac 2004 di Tebing Tembah, Paka. Mangsa memberitahu, nombor lot tanah ada dilampirkan.

 

Penduduk Hulu Besut terputus hubungan


Keadaan air Jambatan Sungai Jerbung di Hulu Besut.

Oleh: Mohammad Ishak 

Hujan lebat yang berterusan sejak tiga hari lalu terutama di kawasan pedalam Hulu Besut menyebabkan penduduk kawasan berkenaan terputus hubungan apabila Sungai Jerbung dekat Pasir Akar melimpah dan hanya boleh dilalui kenderaan berat sahaja.

Jambatan Sungai Jerbung dinaiki air kira-kira jam 5 petang ini menyebabkan lalu Jertih-Hulu Besut itu hanya boleh dilalui kenderaan berat sahaja.

Pihak berkuasa sudah meletakkan papan tanda amaran dan pemberitahuan mengenai laluan berkenaan yang menjadi penghubung penting kepada penduduk Hulu Besut dengan Bandar Jertih.

Berikutan hujan lebat tidak berhenti-henti sejak tiga hari lalu penduduk terutama yang tinggal di pinggir Sungai Besut kini dalam keadaan berjaga-jaga kerana khuatir akan berlaku banjir.

Keadaan bertambah membimbangkan penduduk apabila paras air Sungai Besut hampir melimpah tebing dan terdedah kepada berlakunya banjir.

Tinjuan mendapati hampir seluruh kawasan rendah sekitar daerah Besut sudah dinaiki air tetapi Bilik Gerakan masih belum dibuka kerana keadaan masih terkawal.

Apa rasional pembangkang tolak ikrar intergriti pilihan raya?

Oleh: Kamarudin Mat Akib 

Ramai pihak hairan dan tertanya-tanya apa rasional parti pembangkang tidak mahu menandatangani ikrar intergriti pilihan raya sedangkan Perdana Menteri, Dato’ Seri Mohd Najib Tun Razak, selaku ketua Kerajaan Barisan Nasional (BN) awal-awal lagi sudah berbuat demikian.

Sepatutnya, pemimpin pembangkang yang selama ini gemar melemparkan pelbagai tuduhan berhubung sistem perjalanan pilihan raya di negara ini, menjadi antara mereka yang terawal menandatangani ikrar berkenaan.

Ikrar berkenaan bukan dikendalikan oleh Kerajaan BN, tetapi ia digerakkan Transparency International (Malaysia) (TI-M), sebuah Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO), global yang tidak mempunyai sebarang kepentingan politik.

Ketua Pembangkang, Dato’ Seri Anwar Ibrahim yang begitu lantang bercakap mengenai gejala rasuah dalam proses pilihan raya di negara ini enggan menandatangani ikrar berkenaan manakala Presiden Pas, Dato’ Seri Abdul Hadi Awang, juga enggan berbuat demikian dengan alasan apa yang lebih penting ialah niat dalam hati.

Beginilah gambaran keegoan pemimpin pembangkang yang dicanang-canang bakal menjadi Perdana Menteri jika Pakatan Rakyat (PR) memerintah negara ini selepas Pilihan raya Umum (PRU 13) nanti.

Mungkinkah pemimpin pembangkang enggan menandatangani ikrar tersebut kerana khuatir ia akan memerangkap mereka?

 Atau pemimpin pembangkang merasakan diri mereka terlalu kotor untuk menandatangani ikrar yang bertujuan membateras gejalan rasuah di negara ini?

 Inilah antara persoalan-persoalan yang perlu dijawab oleh pemimpin pembangkang manakala rakyat perlu menilai keikhlasan mereka sebagai pemimpin.

Mengapa pemimpin pembangkang tidak mengikut jejak langkah Perdana Menteri yang tidak gentar menandatangani ikrar berkenaan sebagai komitmen kerajaan untuk membanteras rasuah?

Rakyat perlu rasional memilih pemimpin, sama ada mahu pemimpin yang komited dalam melaksanakan apa jua tugasan atau mereka yang gemar bermain tarik tali dalam semua hal, termasuk isu-isu penting kerana kepentingan politik.

 

'Tuan Guru' jangan hina rakyat.

Oleh; Esah Abdullah

Sebagai orang yang ada ilmu dan beragama Islam, tidak sepatutnya meletakkan martabat saudara seagama mereka sama dengan haiwan.

 Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Penerangan negeri, YB Haji Khazan Che Mat berkata, sebagai orang berilmu bergelar ‘Tuan guru’ tidak wajar menggunakan contoh-contoh yang berbaur menghina.

“Bukan sampai tahap itu metaliti masyarakat kita, datang ke majlis hanya bila ada sesuatu dan kalau pun betul terlahan itu janganlah sampai disamakan masyarakat dengan lembu dan ayam,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Menteri Besar Kelantan, Dato’ Nik Aziz Nik Mat yang menyifatkan penerima Bantuan Rakyat 1Malaysia (BRIM) seumpama haiwan.

Hadiar sama, Timbalan Pesuruhjaya Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT), Haji Omar Musa dan Pengarah Yayasan Islam Terengganu (YIT), Haji Md. Kamaru Al-Amin Ismail.

Turut serta wakil dari Persatuan Darul Fitrah, Persatuan India Muslim Terengganu, Malaysia Chinesse Muslim Association (MACMA), Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim) Terengganu dan Persatuan Islam Saudara Baru Terengganu.

Katanya, pemberian kerajaan merupakan amanah dan tanggung jawab untuk membantu rakyat,” katanya kepada pemberita di majlis Hi-Tea dengan Badan Bukan Kerajaan (NGO) Dakwah Terengganu di Permai Inn petang semalam.

“Kerajaan sangat mengambil berat dan menjaga kebajikan rakyat serta akan terus menghulurkan bantuan dalam pelbagai bentuk wang atau barangan untuk memastikan kebajikan rakyat terpelihara,” katanya.

Sehubungan itu katanya, usaha menyemarakan syiar Islam juga bukan saja terletak kepada pihak kerajaan tetapi menjadi tanggung jawab bersama termasuk NGO dakwah di negeri ini.

“Badan dakwah yang mewakili kaum Cina dan India tentu ada agenda sendiri bagi menyebarkan syair Islam kalangan mereka dan apa saja aktiviti yang dijalankan perlu diselaraskan dengan tuntusan Islam,” katanya.

YB Haji Khazan kemudiannya menyerahkan sumbangan bantuan pentadbiran sebanyak RM2,000 kepada setiap NGO dakwah berkenaan.

 

Kekal `barisan', jangan buat `bulatan' : MB

Oleh: Aida Abd Rahman dan Nurul Aziela Saberi

Buat pertama kalinya, penerima Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) menerima wang bantuan itu tanpa perlu beratur panjang dan berdiri lama apabila mereka hanya menunggu di tempat duduk dan menuntut wang selepas nama mereka diumumkan.

Inisiatif Pejabat Umno Dewan Undangan Negeri (DUN) Kijal itu sebagai usaha meringankan beban dan melancarkan proses pengagihan kepada penerima terutama golongan warga emas dan uzur ketika melakukan penyerahan itu, di Pusat Latihan Antarabangsa (ITC), TATiUC, Teluk Kalong, Kemaman, semalam.

Seramai 1,876 penerima BR1M 2.0 bagi fasa kedua di DUN Kijal menerima bantuan RM500 yang disampaikanoleh Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said.

Dato' Seri Haji Ahmad yang juga Adun Kijal, berkata langkah itu bagi memastikan kebanyakan penerima BR1M yang sudah tua dan uzur berasa lebih selesa tanpa perlu bersusah-payah menunggu serta berdiri lama untuk menuntut wang itu.

“Kita sediakan yang terbaik dan memberikan keselesaan untuk rakyat. Oleh itu, saya harap semua penerima BR1M hari ini dapat bersabar dan beratur mengikut `barisan’ kerana cara ini lebih baik dan menguntungkan.

"Jangan pintas-memintas kerana pihak pengurusan akan mengagihkan wang akan memastikan proses berjalan lancar. Kekalkan barisan yang ada, jangan pula buat `bulatan’ kerana nanti jadi huru-hara pula,” kata beliau sebelum menemui penerima BR1M dan mengumumkan nama mereka seorang demi seorang mengikut barisan tempat duduk masing-masing.


Sukarnya yakinkan PM - Datin Paduka Seri Rosmah

Oleh; Esah Abdullah

 “Sukarnya untuk menyakinkan Perdana Menteri ketika mula-mula melaksanakan Program Permata sebaliknya terpaksa mengunakan orang tengah untuk pujuk dia,” kata Datin Paduka Seri Rosmah Mansor.

Katanya, beliau mengambil masa dua bulan untuk pujuk PM bagi laksana program itu tetapi gagal dan jalan terakhir terpaksa minta tolong seorang professor bagi menceritakan rasionalnya Program Permata demi perkembangan minda kanak-kanak di negara ini.

“Dia (PM) tidak indahkan cakap saya malah tidak yakin dengan apa yang saya kata,” katanya ketika berucap merasmikan Taska Permata Yayasan Pembangunan Keluarga di Serdang Baru, Bukit Tunggal Kuala Terengganu.

Sehubungan itu katanya, jangan percaya tohmahan sesetengah pihak bahawa PM dengar cakap isteri dan jangan ingat saya boleh control dia,” katanya yang juga Penaung Program Permata Negara.

Datin Paduka Seri Rosmah berkata, kerana pertolongan professor itulah maka PM beri persetujuan untuk mengeluarkan peruntukan bagi melaksanakan program Permata.

“Saya bangga kini terdapat 654 buah Taska di seluruh negara telah menggunakan Program Permata bagi mendidik kanak-kanak seawal usia tiga tahun,” katanya

Katanya, YPKT menerima peruntukan RM18 juta untuk membina 65 buah Taska Permata di negeri ini serta mempunyai jumlah terbanyak berbanding negeri lain.
 

Projek sawit Lubuk Dalam 4 berpotensi tinggi

Oleh: Aida Abd Rahman

Projek tanaman sawit Lubuk Dalam 4, Kijal, Kemaman dikenalpasti sebagai ladang kelapa sawit paling berpotensi tinggi yang dimajukan Felcra Berhad di negara ini, berikutan jangkamasa singkat menguruskan tanaman itu dengan waktu menuai hasil.

Berbanding projek Felcra yang lain, ladang tanaman sawit berkenaan hanya mengambil masa tiga tahun untuk mengeluarkan hasil selepas ia mula ditanam pada November 2010.

Pengurus Besar Felcra Berhad Wilayah Timur Encik Sauddi Sitor, berkata faktor tanah yang berpotensi tinggi dan sesuai dengan tanaman itu, tiada penyakit serta masalah musuh tanaman terutama babi hutan dan gajah melancarkan pertumbuhan tanaman itu.

 “Sebenarnya projek tanaman paling luas diusahakan oleh Felcra serakat ini amat berpotensi tinggi dan hanya terdapat masalah kecil yang tidak menjejaskan perkembangan tanaman.

 “Projek lain kebanyakannnya mengambil masa lima hingga enam tahun masih juga tidak memberi hasil berikutan masalah serangan musuh tanaman seperti gajah dan babi hutan,” katanya kepada pemberita sempena Majlis Penuaian Hasil Buah Tandan Segar (BTS) Sawit, di Projek Felcra Bhd Lubuk Dalam 4, Kijal, Kemaman, semalam.

Majlis dilancarkan Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said. Hadir sama, Naib Ketua Umno Bahagian Kemaman, Datuk Wan Ahmad Nizam Wan Abd Hamid; Pegawai Daerah Kemaman, Haji Mohamad Kamil Othman dan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kemaman, Haji Mustafar Khalid.

Dalam perkembangan lain, Felcra juga akan membangunkan projek yang sama melibatkan kawasan seluas 500 hektar di Setiu, tidak lama lagi.

Katanya, penyampaian geran tanah oleh kerajaan negeri bagi memajukan tanah berkenaan akan disempurnakan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah bulan depan.

Encik Sauddi berkata, Felcra sentiasa bersedia untuk memajukan tanah terbiar dan ladang komoditi di negeri ini dengan sebaik mungkin sekiranya kerajaan negeri memberi tanggungjawab itu kepada pihaknya.

 “Kita bersedia jika kerajaan negeri mahu kita majukan tanah yang sesuai untuk penanaman kelapa sawit termasuk di sekitar Lubuk Dalam 4 (Kijal) ini.

“Bagaimanapun, kita akan terus memajukan tanah yang dipertanggungjawabkan setakat yang kita ada, memandangkan kerajaan negeri mahu tanah berkenaan diuruskan oleh anak syarikat sperti Ladang rakyat,” katanya.

Rakyat yakin keupayaan BN

Oleh: Suriati Ali

“Saya yakin Barisan Nasional (BN) Terengganu akan memperoleh kemenangan besar pada pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU 13) akan datang berdasarkan sokongan padu dan positif yang dipamerkan rakyat.

“Sokongan rakyat terutama peringkat akar umbi dilihat semakin kuat kerana mereka menyedari keupayaan BN yang telah membawa satu anjakan pembangunan kepada Terengganu berbanding masa lalu,” kata Mantan Ahli Parlimen Marang, Senator Dato’ Abdul Rahman Bakar.

Beliau berkata demikian kepada pemberita di Pusat Media Kelab Wartawan Terengganu (Kawat), semalam. Katanya, berdasarkan potensi itu, dia yakin BN Terengganu mampu memperoleh tujuh daripada lapan kerusi Parlimen pada Pilihan Raya Umum Ke-13.

“Manakala di Dewan Undangan Negeri pula, mensasarkan 30 kerusi dan dua lagi kerusi dianggap sebagai kelabu,” katanya..

 Katanya, rakyat mula meluat dengan tindakan Pas di mana sudah tersasar jauh daripada perjuangan asalnya apabila terpaksa menuruti kehendak DAP.

 “DAP sebelum ini telah menyatakan tidak akan menyokong penubuhan negara Islam di negara ini seperti yang dimahukan Pas. “Bagi mengelak parti untuk bangkit, orang Melayu perlu bersatu pada pilihan raya nanti dengan memilih pemimpin yang boleh memimpin negara,” katanya.

 

24 February 2013

Ibu tunggal dapat keutamaan usaha ladang sawit

Oleh: Aida Abd Rahman

Kerajaan negeri komited membantu ibu tunggal apabila mengutamakan golongan berkenaan yang kurang berkemampuan dan memiliki anak ramai untuk mengusahakan projek tanaman sawit seluas hampir 600 hektar di Lubuk Dalam 4, Kijal, bagi membantu menambah pendapatan golongan itu, tidak lama lagi.

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, berkata pengusaha tanaman yang juga peserta projek itu akan dipilih secara berperingkat-peringkat mengikut kriteria ditetapkan sebelum mereka ditempatkan di kawasan tanaman yang dijangka akan dituai sepenuhnya enam bulan dari sekarang.

“ Peserta yang akan mengusahakan projek ini di kalangan orang tempatan dan sebahagiannya kita agihkan kepada golongan ibu tunggal yang memiliki anak ramai, sekurang-kurangnya dapat menambahkan pendapatan serta mengurangkan bebanan mereka.

“Mereka mungkin akan mengusahakan tanaman seluas dua hingga tiga hektar bagi setiap peserta,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Penuaian Hasil Buah Tandan Segar (BTS) Sawit Projek Felcra Bhd Lubuk Dalam 4, Kijal, Kemaman, hari ini.

Hadir sama, Naib Ketua Umno Bahagian Kemaman, Datuk Wan Ahmad Nizam Wan Abd Hamid; Pegawai Daerah Kemaman, Haji Mohamad Kamil Othman dan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kemaman, Haji Mustafar Khalid.

Berdasarkan perkembangan tanaman yang tidak berdepan masalah serius terutama serangan bintang, Menteri Besar berkata, projek yang diuruskan Felcra sejak November 2010 itu antara yang berpotensi baik apabila hanya memakan masa tiga tahun untuk mengeluarkan hasil dan dapat dituai.

Menurutnya, projek berkenaan menelan kos yang agak tinggi iaitu kira-kira RM10,000 setiap hektar kerana melibatkan pembinaan parit untuk manfaat pada jangka masa panjang.

Sempena majlis itu, Dato’ Seri Haji Ahmad turut memotong tandan kelapa sawit sebagai gimik perasmian dan menyampaikan sumbangan wang tunai bantuan one-off RM500 dan selimut kepada 200 mangsa banjir di Dewan Undangan Negeri Kijal.

 

Yakin BN Menang

Oleh: Suriati Ali 

 Mantan Ahli Parlimen Marang, Senator Dato’ Abdul Rahman Bakar yakin bahawa Barisan Nasional (BN) mampu merampas kembali kerusi Parlimen Marang dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Rhu Rendang serta Bukit Payong pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) nanti.

 Katanya, keyakinan itu berdasarkan, BN kian diterima rakyat selepas pelbagai transformasi kepimpinan di bawah Perdana Menteri, Dato’ Seri Mohd Najib Tun Razak yang mengutamakan kebajikan menyebabkan rakyat merasa tidak terpinggir.

 Pada masa yang sama, peranan Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said yang mengetuai kepimpinan BN dan Umno peringkat negeri pula sentiasa turun padang dan bersama rakyat tanpa mengira waktu dan tempat.

“Asas dan pendekatan itu turut meruntun jiwa rakyat tanpa mengira latar belakang, malah mereka di atas pagar juga mula menyebelahi kepimpinan beliau, sekali gus akan bersama-sama menyokong kerajaan,” katanya kepada pemberita di Rumah Kawat, Kuala Terengganu, hari ini.

Dato’ Abdul Rahman turut memberitahu, Pusat Bandar Marang dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Rhu Rendang merupakan antara bandar yang paling ketinggalan di segi pembangunan sejak 30 tahun lalu kerana berada di bawah pemerintahan pembangkang.

 Katanya, Rhu Rendang antara kawasan yang paling ketinggalan dalam arus pembangunan dan segala yang dikecapi penduduk hari ini merupakan `ehsan’ daripada Kerajaan Pusat.

 “Peruntukan dari aspek bantuan dan menyediakan kemudahan yang disediakan kerajaan negeri kepada rakyat mungkin sama sebagaimana kawasan lain, tetapi banyak pembangunan yang mahu dilaksanakan Kerajaan Pusat seperti Kolej Matrikulasi yang diluluskan sebelum Pilihan Raya Umum (PRU )Ke-12, terbengkalai selepas Parlimen Marang jatuh ke tangan Pas,” katanya.