Halaman

01 March 2013

Umno guna jentera parti pasang bendera

Umno menggunakan jentera partinya bagi memasang bendera Barisan Nasional (BN) sebagai persiapan menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU 13).

Sehubungan itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Jabi, YB Ramlan Ali, berkata tidak timbul isu Umno menggunakan khidmat anak-anak yatim Asrama Perkaya bagi melakukan kerja-kerja tersebut.

Beliau berkata, tuduhan itu sengaja ditimbulkan oleh pihak Pas bagi mencuri perhatian dan mahu menjatuhkan imej Umno.

 “Kita guna pekerja kita sendiri untuk pasang bendera di semua kawasan di DUN Jabi. Kita tak perlu guna anak yatim kerana tenaga kita cukup untuk pasang bendera,” katanya bagi menjawab tuduhan Pengarah Majlis Tindakan Pas DUN Jabi, Dr Azman Ibrahim yang mendakwa Umno menggunakan anak yatim Perkaya bagi memasang bendera.

YB Ramlan menjelaskan batang-batang kayu bagi kegunaan memasan bendera diletakkan di kawasan asrama Perkaya di Jabi bagi mengelakkan ia dicuri pihak tidak bertanggungjawab.

“Sebelum ini kita letak di luar tetapi dicuri orang. Jadi bagi mengelakkan kejadian itu berulang, kita tumpang sementara kayu-kayu tersebut dalam asrama Perkaya,” katanya.

RM10 juta untuk Tadika YIT

Oleh; Esah Abdullah

Yayasan Islam Terengganu (YIT) akan membina tiga buah lagi Tadika baru dengan peruntukan RM10 juta tahun ini

Pengarahnya, Haji Md. Kamaru Al-Amin Ismail berkata, kelulusan berkenaan telah diperolehi daripada kerajaan negeri bagi membina tiga bangunan Tadika iaitu di Losong, Kuala Terengganu, Renek dan Permaisuri Setiu.

“Di Losong dan Renek merupakan pembinaan baru manakala di Permaisuri adalah bangunan lama yang akan dinaiktaraf,” katanya.

Katanya, setiap bangunan Tadika ini dijangka menelan kos antara RM3 hingga RM4 juta di mana pembinaan baru dijangka dimulakan dalam masa terdekat manakala kerja naiktaraf dijangka pada hujung tahun ini.

Menurutnya, setakat ini YIT mempunyai 18 bangunan Tadika dengan 131 kelas membabitkan 4,000 kanak-kanak seluruh negeri.

 “Daripada jumlah itu kita dapati menerima pertambahan 800 orang daripada tahun lalu ini berikutan pembukaan tiga buah Tadika baru di Kijal, Kemaman, Seberang Takir , Kuala Terengganu dan Bandar Al Muktafi Billah Shah, Dungun.

Katanya, sambutan ibu bapa amat memberangsangkan dan tahun depan jumlah kanak-kanak di Tadika YIT akan meningkat apabila siapnya tiga bangunan yang dirancangkan.

 

Sambutan meriah kepada peserta lumba basikal LTDL di Bandar Jertih


Peserta perlumbaan tiba di Bandar Jertih jam 9.20 pagi ini.

Oleh: Mohammad Ishak

Ribuan penduduk sekitar daerah Besut membanjiri Bandar Jertih untuk menyaksikan perlumbaan basikal Le Tour de Langkawi (LTdL) peringkat kesembilan dari Tanah Merah,Kelantan ke Kuala Berang, hari ini.

Orang ramai berkumpul sejak awal pagi untuk menyaksikan jaguh lumba basikal yang melalui jalan utama Jertih-Kuala Terengganu.

Peserta perlumbaan yang berlepas dari Tanah Merah,Kelantan tiba di Bandar Jerih kira-kira jam 9.20 pagi dan diberi sambutan meriah oleh penduduk daerah itu.

Lokasi yang menjadi tumpuan ialah di hadapan Replika 1Malaysia raksaksa yang diletakkan di hadapan Pejabat UMNO Bahagian Besut yang turut menempatkan khemah kenamaan.

Kehadiran peserta perlumaan di tengah bandar ini menceriakan suasana dengan keadaan cuaca yang amat baik dan panas ketika program berkenaan berlangsung.

Cuti hujung minggu pada hari Jumaat memberi peluang orang ramai keluar untuk menyaksikan perlumbaan yang sememangnya ditunggu-tunggu oleh penduduk tempatan.

BN optimis tawan 28 kerusi

Oleh: Aida Abd Rahman

Barisan Nasional (BN) Terengganu optimis mampu menawan 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Terengganu pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) termasuk merampas semula empat kerusi dimenangi pembangkang pada PRU lalu.

Pengerusi Perhubungan Umno Negeri Terengganu, Dato’ Seri Haji Ahmad Said berkata, berdasarkan kajian dan prestasi semasa, empat hingga enam kerusi DUN yang dimenangi pembangkang dijangka dapat ditawan semula terutama di Ladang, Bukit Payong, Bukit Tunggal dan Manir.

“Melalui kajian dibuat, BN Terengganu yakin dapat merampas balik empat hingga enam kerusi yang kita kalah pada PRU12 lalu. Kita jangka dapat mengambil semula Ladang, Bukit Payung, Bukit Tunggal dan Manir.

 “Hanya kerusi di (DUN) Wakaf Mempelam dan Rhu Rendang agak ‘kritikal’. Kita kalah di Ladang pada PRU 2008 hanya majoriti 31 undi disebabkan masalah teknikal apabila satu beg undi pos tidak dibuka. 

“Sebab itu, sewaktu Pilihan Raya Kecil Parlimen Kuala Terengganu pada 2009, di DUN Ladang, BN menang majoriti 570 undi. Manakala tiga kerusi lagi, kalah dengan majoriti kecil, sebab itu kita yakin dapat kembali kerusi DUN itu,” katanya.

 Pada PRU12, BN menang dengan 24 kerusi, manakala Pas pula menang lapan kerusi termasuk DUN Sura dan Batu Buruk.


Manifesto PR umpama `gula-gula’

Oleh: Suriati Ali

Pergerakan Pemuda Umno Terengganu menyifatkan manifesto yang diumumkan Pakatan Rakyat baru-baru ini tidak masuk akal umpama `gula-gula’ untuk meraih undi rakyat.

 Pengerusinya, Encik Saiful Bahri Baharuddin, berkata ini kerana sehingga sekarang pembangkang masih tidak melaksanakan janji untuk memberi pelbagai faedah dan manfaat kepada rakyat di negeri-negeri yang mereka kuasai selepas Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-13.

 “Janji pembangkang dalam manifesto itu, memberikan pendidikan percuma bermula dari prasekolah sehingga ke menara gading jika menguasai Putrajaya adalah bersifat tidak realistik.


“Jika ikhlas ingin mebantu rakyat, tidak payah tunggu memberikan pendidikan percuma sekiranya menguasai Putrajaya, buat dulu di negeri yang ditadbir mereka bagi membuktikan kesungguhan dan kemampuan, terutama di Selangor dan Kedah,” katanya kepada Teganukita.

 Katanya, banyak janji yang dibuat kerajaan negeri pimpinan Parti Keadilan Rakyat di Selangor pada pilihan raya umum lepas tidak ditunaikan dan sekarang rakyat mula bangkit menuntut hak mereka di mahkamah.

 Manifesto bertema "Manifesto Rakyat Pakatan Harapan Rakyat" yang dibentang pakatan pembangkang baru-baru ini antara lain berjanji untuk menghentikan serta-merta operasi kilang nadir bumi Lynas dan membatalkan pelaksanaan Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) jika mereka memenangi pilihan raya umum ke-13 (PRU13).

 Encik Saiful turut meminta rakyat negeri tersebut agar tidak terpedaya dengan janji manis atau janji `gula-gula’ pembangkang dalam manifesto itu yang pastinya tidak akan ditunaikan selepas memerintah.

 "Janji ini bukanlah janji baru tapi janji sama yang muncul setiap kali menjelang pilihan raya umum," katanya

 

Mangsa rumah hanyut di Kampung La mendapat perhatian pemimpin.


Dr Abdullah menyampaikan sumbangan kepada mangsa rumah hanyut Zakaria Ibrahim

Oleh: Mohammad Ishak 

Penderitaan mangsa rumah hanyut di Kampung La, Hulu Besut yang dilanda banjir, selasa lalu mendapat perhatian pemimpin daerah Besut apabila mereka turun padang melawat mangsa terbabit.

Ahli Parlimen Besut, Datuk Seri Abdullah Md Zin yang juga Penasihat Agama Perdana Menteri serta isteri Puan Seri Wan Naimah Abdul Latif, adalah yang pertama tiba dilokasi rumah hanyut terbabit. Ia diikuti

Ketua UMNO Bahagian Besut, Datuk Seri Idris Jusoh yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jertih dan ADUN Hulu Besut, Nawi Mohamad.

Kehadiran ketiga-tiga pemimpin terbabit membangkitkan semangat tiga mangsa banjir itu yang kehilangan rumah apabila arus deras menghanyutkan sebahaagian daripada masing-masing.

Seorang daripada mangsa terbabit, Zakaria Ibrahim, 47, berkata beliau amat terharu dengan kehadiran pemimpin berkenaan yang sudi hadir melawat mereka ketika dalam kesusahan.

Katanya, banjir yang melanda kampung itu tahun ini paling teruk dan sama dengan kejadian 2000 menyebabkan tiga rumah dihyanyutkan air bah.

Sementera itu, Idris berkata pihaknya akan berusaha untuk membantu membaiki rumah yang terjejas dengan bencana itu.

28 February 2013

UMT rancang bina pelabuhan untuk kapal komersial

Oleh; Esah Abdullah

Universiti Malaysia Terengganu (UMT) akan memulakan projek penyediaan kemudahan baru untuk pengajaran dan penyelidikan maritim dan sains marin dengan anggaran kos RM20 juta mulai tahun ini.

 Naib Canselor UMT, Prof Emeritus Dato’ Dr Ibrahim Komoo berkata, pembangunan kemudahan Pelabuhan Pengajaran dan Penyelidikan (PPP) itu akan dibangunkan dengan kerjasama kerajaan negeri.

 “Projek ini akan dilaksanakan di Kampung Seberang Pak Abu, Mukim Kuala Nerus dan akan melalui tiga fasa membabitkan anggaran kos keseluruhan RM20 juta,” katanya.

Katanya, fasa pertama membabitkan kos antara RM800,000 hingga RM1 juta merupakan dana dalaman universiti dan tahun depan akan memohon peruntukan dengan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) untuk laksanakan fasa seterusnya.

Menurutnya, dalam fasa pertama (2013-2015) tumpuan akan diberi kepada penyediaan pelabuhan dan makmal asas untuk pengajaran.

“Fasa kedua dan ketiga pula akan melibatkan kos yang lebih tinggi serta bercadang untuk membina jeti kegunaan kapal komersial sementara jeti nelayan yang boleh memuat 20 hingga 30 bot pada satu-satu masa,” katanya.

Dalam hal ini katanya, Fakulti Pengajian Maritim dan Sains Marin (FMSM) dan Makmal Berpusat diberi tanggung jawab untuk menyediakan kertas konsep pembangunan kemudahan tersebut.

Katanya, apabila semuanya siap, PPP ini dapat menyediakan kemudahan pelabuhan untuk kapal penyelidik UMT, makmal pembelajaran dan penyelidikan dan kemudahan jeti untuk nelayan, ruang inkubator bagi menjayakan inovasi melalui jaringan university dan industri.

 

Veteran Umno lancar pelekat ‘Keluargaku Pengundi BN’

Oleh: Noraini Jusoh

Kelab Veteran Umno Malaysia telah melancarkan pelekat ‘Keluargaku Pengundi BN’ sebagai tanda sokongan kepada parti Barisan Nasional (BN) dan Umno sempena Pilihan Raya Umum ke -13 (PRU-13).


Setiausaha Badan Perhubungan Umno Negeri Terengganu, Dato’ Haji Tengku Putera Tengku Awang berkata, inisiatif yang dilakukan oleh Sekretariat Veteran Umno Malaysia itu menandakan semangat yang masih tinggi di kalangan ahli veteran dalam memperjuangkan parti.

"Pengagihan pelekat akan diedarkan kepada setiap rumah dan diharap ia akan ditampal di tempat sepatutnya sebagai tanda kebanggaan setiap ahli.

"Selain itu, bagi menyemarakkan semangat perjuangan parti kita dalam memperoleh majoriti dua pertiga dalam PRU-13 kelak, golongan veteran juga perlu bersama-sama membantu kerajaan dengan memastikan setiap ahli keluarga menyokong dan mengundi BN pada hari pilihan raya nanti,” ujarnya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Majlis Pelancaran Keluargaku Pengundi BN peringkat negeri di Hotel Prinzpark, hari ini.

Katanya, setakat ini terdapat kira-kira 45,000 ahli veteran di seluruh negeri.

Beliau yang juga merangkap Yang Di-Pertua Dewan Undangan Negeri Terengganu yakin, dengan pelbagai bantuan dan tranformasi yang dilakukan kerajaan, rakyat akan terus memberi sokongan padu kepada parti BN dan Umno.

 

Terengganu jadi tumpuan dunia

Oleh: Aida Abd Rahman



Terengganu sekali lagi menjadi perhatian dunia sebagai hos lokasi perlumbaan Le Tour de Langkawi (LTdL) 2013 apabila pelumba memulakan kayuhan peringkat kelapan dari Kuala Terengganu hingga Tanah Merah, pagi ini.



Seramai 132 pelumba yang mewakili 22 pasukan dari seluruh dunia berkampung di depan Pasaraya Maiden Mall, Kuala Terengganu bagi meneruskan kayuhan sejauh 164.5 kilometer (km).

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Warisan negeri, Dato’ Abdul Rahin Mohd Said menyempurnakan majlis pelepasan kira-kira jam 10 pagi tadi.

Pelumba yang melewati pantai di tiga daerah Kuala Terengganu-Setiu-Besut sebelum memasuki sempadan Kelantan bagi menamatkan peringkat ketiga terakhir itu yang mengambil masa hampir empat jam.

Sementara esok (1 Mac) menyaksikan persaingan di peringkat kesembilan yang melibatkan jarak 123.6km dari Pasir Putih ke Kuala Berang, sebelum menutup tirai pada 2 Mac untuk peringkat kesepuluh, Tasik Kenyir-Kuala Terengganu (114.8km)








Teganukita 74