Halaman

17 March 2013

MB umum inisiatif 1Malaysia Komuniti Perwani

Dato' Seri Haji Ahmad said
Oleh: Aida Abd Rahman

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said mengumumkan satu inisiatif terbaru Strategi Lautan Biru iaitu 1Malaysia Komuniti Perwani bersempena program 1Million Women Purple Walk yang diadakan serentak seluruh negara, hari ini.

 “Inisiatif ini bertujuan mewujudkan 100,000 kumpulan Perwani seluruh negara dengan setiap kumpulan terdiri daripada 10 hingga 20 yang akan bertindak sebagai ejen transformasi komuniti.


“Hasrat ini boleh dicapai menerusi persatuan-persatuan sedia ada seperti persatuan penduduk, Persatuan Suri dan Anggota Wanita Perkhidmatan Awam Malaysia (Puspanita), Persatuan Keluarga Polis (Perkep), Badan Kebajikan Keluarga Angkatan Tentera (Bakat), Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) dan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) yang mewakili kaum wanita dan ibu tunggal,” katanya ketika berucap di program 1Million Women Purple Walk 2013, di Dataran Shahbandar, Kuala Terengganu, hari ini.

Turut hadir, isteri Menteri Besar, To’ Puan Seri Norliza Mahmud; Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri, Dato’ Tengku Putera Tengku Awang; Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Haji Mazlan Ngah dan Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Masyarakat dan Wanita negeri, Dato’ Yahya Khatib Mohamad.

Lebih 30,000 wanita dari pelbagai agensi dan persatuan di seluruh Terengganu menyemarakkan acara berjalan kaki yang bermula dari Taman Awam Batu Buruk ke Dataran Shahbandar, Kuala Terengganu yang melibatkan jarak kira-kira dua kilometer.

Menteri Besar berkata, Perwani boleh menganjurkan pelbagai aktiviti dan program kepada masyarakat terutama wanita yang menjurus kepada kesahteraan dan perpaduan seperti literasi undang-undang, penjagaan kesihatan dan kebajikan keluarga, keusahawanan serta tuisyen di rumah.

“Selain itu, kumpulan Perwani boleh bertindak sebagai penghubung masyarakat dengan pihak berkuasa bagi melaporkan atau memberi maklum balas berhubung sebarang prasarana awam yang memerlukan perhatian atau penambahbaikan,” katanya.

Dato' Seri Haji Ahmad berkata, di Terengganu, kerajaan menjaga rakyat dari buaian hingga ke liang lahat serta memberikan keprihatinan yang luar biasa kepada semua tanpa mengira bangsa, agama mahupun fahaman politik.

Menurutnya, pelbagai program untuk membantu rakyat dicontohi di peringkat nasional kerana ia membawa kesejahteraan, mengurangkan bebanan kewangan keluarga, terutama keluarga miskin dalam bidang pendidikan dan kesihatan.

Beliau berkata, usaha membantu rakyat akan diteruskan selari dengan agenda kerajaan untuk Merakyatkan Pentadbiran dan Pembangunan di mana Rakyat Didahulukan dan Pencapaian Diutamakan.

Katanya, hanya kerajaan yang bertanggungjawab mampu memberi perkhidmatan yang terbaik kepada rakyatnya.




Jentera parti perkukuh kerjasama

Oleh: Suriati Ali

Jentera parti diingatkan membuat persiapan lebih rapi bagi merebut semula kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Ladang yang tewas tipis kepada pembangkang pada PilihanRaya Umum lalu.

 Pegawai Pembangunan Dewan Undangan Negeri (DUN) Ladang Dato' Wan Hisham Wan Salleh, berkata perlaksanaan gerak kerja sempurna selain usaha bersungguh-sungguh akan menjamin perkembangan positif kepada parti.

 Katanya, apa yang penting, semua pihak perlu menyedari DUN Ladang bukanlah kawasan kubu kuat pembangkang. “Saya harap perkara ini jangan dipandang ringan supaya mudah untuk kita hadapi cabaran dengan cara terbaik,” katanya.

Menurutnya, dia meminta jentera parti memperkuatkan kerjasama antara satu sama lain tanpa menyalahkan mana-mana pihak.

 “Kita perlu belajar melalui kesilapan lalu memadangkan BN sudah pun berdepan cabaran hebat kerana pernah tewas kepada pembangkang.

 “Setiap jentera arti perlu bijak menawan hati pengundi dengan turun padang dan bertanya khabar supaya BN memperoleh kemenangan selesa,” katanya.

 Katanya, pihaknya berharap, pengalaman lalu diambil sebagai penganjaran berguna untuk membaikinya secara menyeluruh.

 “Apa yang kurang di mata rakyat, kita akan usahakan seboleh yang mampu, yang sudah elok, kita akan tambah supaya jadi lebih sempurna,” katanya.

 

Pemuda yakin rakyat setia kepada BN

Oleh: Suriati Ali 

 Pergerakan Pemuda Umno Terengganu yakin rakyat negeri ini, termasuk di kawasan pembangkang akan terus setia bersama Barisan Nasional (BN) kerana mereka pernah melalui pengalaman perit di bawah pemerintahan pembangkang suatu ketika dulu.

 Ketuanya, Encik Saiful Bahari Baharuddin, berkata penduduk tempatan tidak akan lupa pemeritahan Kerajaan Pas pimpinan Dato’ Seri Abdul Hadi Awang yang hanya bercakap dan berceramah sepanjang masa, tetapi tidak melaksanakan apa yang termaktub di dalam manifesto yang dijanjikan.

 “Jika mereka melaksanakan amanah dan melunaskan segala janji, takkan rakyat khususnya pengundi menukar kerajaan negeri dalam sekelip mata sahaja dan mereka hanya memerintah sepenggal,” katanya kepada Teganukita.

Katanya, komitmen kerajaan negeri pimpinan Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said yang cukup prihatin dengan nasib rakyat, tentunya menyukarkan lagi tugas pembangkang pada pilihan raya umum nanti.

 Menurut beliau, pihaknya bukan mahu mendabik dada malah jauh sekali untuk bersikap angkuh, namun itulah hakikat sebenar yang mana kerajaan pimpinan BN mengambil sikap bertanggungjawab terhadap amanah yang dipikul.

 “Dari sudut golongan muda pula, kerajaan negeri hari ini cukup mesra sama sekali. Pelbagai program dilaksanakan oleh kerajaan negeri menerusi agensi mereka termasuklah, menerusi sayap parti turut mengambil pendekatan yang sama.

 “Dengan kata lain, golongan muda di negeri ini cukup bertuah. Begitu juga golongan lain, mereka sama sekali tidak pernah dipinggirkan kerajaan negeri,” katanya.

 Pergerakan Pemuda Umno negeri ini akan terus memperhebatkan gerakan dan strategi untuk mendekati golongan muda dalam usaha meyakinkan mereka terhadap BN sebagai peneraju negara.

 Beliau berkata, bagi tujuan itu, program serampang dua mata yang sebelum ini telah dilaksanakan dengan jayanya akan terus dipergiatkan kerana ia menunjukkan kejayaan memberangsangkan.

 “Pelbagai program seperti Kelab Permotoran di setiap Parlimen, program kebajikan, kesukanan serta lain-lain program yang menepati cita rasa golongan muda akan diteliti sebaik mungkin.

 “Pendekatan itu penting dalam usaha mendekati anak-anak muda yang merupakan penentu kepada Pilihan Raya Umum akan datang,” katanya.

 

JR-lebihkan gula dalam senyuman


Oleh; Esah Abdullah

Jentera wanita Jalinan Rakyat (JR) perlu menjaga tata susila dan sentiasa bermuka manis bila berdepan dengan pengundi dari setiap pelusuk kampung.

 “Selaku petugas JR tentu akan berdepan dengan pelbagai ragam masyarakat yang datang dari pelbagai latar belakang, jadi perlu banyak sabar dan lebihkan gula dalam senyuman,” kata Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Batu Rakit, YB Haji Khazan Che Mat.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Penerangan negeri berkata demikian dalam majlis Perjumpaan Wanita Ku Sayang bersama Adun Batu Rakit di Dewan Sebaguna Kampung Maras Batu Rakit petang semalam.

Hadir sama isteri beliau Hajah Nik Aini Nik Soh dan Ketua Penerangan Wanita Umno Perhubungan Terengganu yang juga Ketua Pergerakan Wanita Umno Bahagian Setiu merangkap Pengerusi Penyelaras Wanita Batu Rakit, Hajah Wan Maznah Wan Nong.

Katanya, JR perlu bekerja keras bagi memastikan kejayaan Barisan Nasional (BN) serta kesinambungan masa depan generasi akan datang.

 “Masyarakat di kampung-kampung perlu mendapat penjelasan yang sewajarnya mengenai isu-isu berbangkit dan JR mempunyai ruang sangat luas mendekati golongan sasar kerana wanita dikenali dengan sikap lemah lembut,” katanya.

Katanya, pemimpin Pas dan perjuangan parti itu sudah jauh menyimpang dari landasan agama yang diuwar-uwarkan oleh pemimpin mereka terdahulu dan hari ini ramai penyokong tegar mereka bertindak keluar dan membongkarkan kepincangan pemimpinnya.

“Saya yakin wanita mampu menjadi ‘perayu’ yang baik dan mampu memberi keyakinan kepada rakyat bahawai BN merupakan pilihan terbaik jika mahu terus berada dalam aman dan harmoni,” katanya.

Pada majlis itu, YB Haji Khazan telah menyerahkan bahan kempen pilihanraya kepada Pengerusi Wanita di tujuh Pusat Daerah Mengundi (PDM) dalam Dun Batu Rakit.

 

Lebih 30,000 wanita Terengganu semarakkan 1Million Women Purple Walk

Oleh: Aida Abd Rahman

Lebih 30,000 wanita dari pelbagai agensi dan persatuan di Terengganu menyemarakkan acara berjalan kaki serentak di seluruh negara sempena program `1Million Women Purple Walk 2013’, bermula dari Taman Awam Batu Buruk ke Dataran Shahbandar, Kuala Terengganu, hari ini.

Sebahagian 30,000 wanita menjayakan Program `1Milion Women Purple Walk 2013'  peringkat negeri Terengganu dari Taman Awam Batu Buruk ke Dataran Shahbandar.
Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said dan isteri To’ Puan Seri Hajah Norliza Mahmud menyempurnakan acara pelepasan peserta di Taman Awam Batu Buruk, kira-kira jam 9 pagi.

Semua peserta berhimpun dan menyertai senamrobik sebelum berjalan kaki beramai-ramai dalam cuaca baik, sejauh kira-kira dua kilometer menghala ke garisan penamat di Dataran Shahbandar.


Majlis di Dataran Shahbandar, kemudiannya disusuli lintas langsung ucapan pelancaran 1Malaysia Komuniti PERWANI oleh Perdana Menteri Dato’ Seri Mohd Najib Tun Razak, dari Dataran Putrajaya, kira-kira jam 9.30 pagi.

Sebaik selesai ucapan aluan oleh Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Masyarakat dan Wanita, Dato’ Yahya Khatib Mohamad, Menteri Besar kemudiannya menyampaikan ucapan pelancaran peringkat negeri.


Dato’ Seri Haji Ahmad turut menyempurnakan gimik pelancaran dan diakhiri dengan acara sampingan di pentas utama termasuk persembahan artis popular tanah air, Aizat.

Program 1Milion Women Purple Walk diadakan serentak dengan Pelancaran 1Malaysia Komuniti PERWANI seluruh negara , selain sambutan Hari Wanita Antarabangsa yang diadakan 8 Mac setap tahun.


MB Ulangi Jangan Hina Penerima BR1M

Oleh FAUZI MOHD

KEMAMAN 16 Mac - Tohmahan pembangkang bahawa Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) yang disalurkan oleh Kerajaan Pusat sebagai rasuah jelas menghina orang miskin dan golongan berpendapatan rendah.



Menteri Besar, Dato' Seri Ahmad Said berkata, ia membuktikan pembangkang sudah ketandusan modal cuba meraih simpati masyarakat untuk menyokong mereka pada Pilihan Raya Umum Ke-13 nanti.

"Saya ulang kembali, dakwaan itu satu penghinaan pembangkang terhadap orang miskin dan golongan berpendapatan rendah.

Kita tidak boleh menghina orang ramai kerana menerima BR1M. “BR1M adalah bantuan kebajikan yang disalurkan Kerajaan Pusat untuk meringankan beban mereka berpendapatan rendah dan ia bukan rasuah seperti yang didakwa oleh pembangkang", katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyampaikan bantuan BR1M di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kijal, di sini hari ini.

Seramai 2,187 orang menerima BR1M di DUN berkenaan untuk siri pertama manakala 132 lagi diagihkan dalam siri kedua.

Sejurus selepas itu, Menteri Besar turut merasmikan Dewan Terbuka Ibai Penunjuk yang diguna buat pertama kalinya untuk majlis tersebut.



Mengulas lanjut, Ahmad yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Kijal berkata, rakyat seharusnya tidak terpengaruh dengan tohmahan pembangkang itu.

Sebaliknya, menurut beliau, rakyat perlu menilai dengan bijak bantuan oleh kerajaan adalah untuk membantu semua masyarakat tanpa mengira kaum, agama dan pegangan politik masing-masing.

“Bantuan ini sebagai bukti keprihatinan kerajaan terhadap nasib golongan miskin dan berpendapatan rendah di negara ini,” katanya.

Katanya, pembangkang langsung tidak berusaha membantu meringankan beban hidup rakyat khususnya golongan berpendapatan rendah.

“Kita lihat pembangkang menghulurkan bantuan seperti beras satu kampit dan makanan lain tetapi tidak menyeluruh kepada golongan berpendapatan rendah,” katanya.

Sehubungan itu, katanya bantuan tersebut membuktikan keupayaan ekonomi negara serta pemimpinnya yang cekap mampu memberi kesejahteraan kepada golongan berpendapatan rendah.


 





Jentera BN Dinasihat Ikut Saluran Undang-Undang, Lapor Polis Untuk Siasatan

Oleh: Fauzi Mohd 

KEMAMAN 16 Mac - Menteri Besar, Dato' Seri Ahmad Said mengingatkan semua petugas jentera keselamatan Barisan Nasional (BN) di negeri itu supaya bersabar dengan provokasi parti pembangkang yang melakukan pelbagai perkara termasuk membuang bendera parti BN menjelang Pilihanraya Umum ke-13.



Beliau yang juga Pengerusi BN negeri sebaliknya mahu petugas parti mengikut saluran undang-undang dengan membuat laporan polis dan menyerahkan kepada pihak berkuasa untuk siasatan lanjut.

"Saya ada terima laporan bendera parti kita dibuang dan dicampak ke dalam semak, paya dan sungai termasuk di Kampung Bukit Anak Dara dan beberapa tempat lain di Kijal.

"Saya lihat sendiri ada banyak bendera parti kita dilonggokkan di persimpangan Bukit Anak Dara, saya ingat bendera tu baru nak pasang, rupa-rupanya kena buang oleh pihak tidak bertanggungjawab.

Saya sudah beritahu petugas kita supaya membuat laporan polis mengenai hal ini, katanya.



Beliau berkata demikian kepada pemberita dalam sidang media selepas merasmikan pelancaran Jentera Keselamatan BN Parlimen Kemaman di perkarangan Pejabat Ahli Parlimen Kemaman hari ini.

Unit yang diketuai Mustafa Abdul Rahman itu terdiri daripada 1,400 petugas di parlimen itu yang akan mengadakan kawalan keselamatan kepada penceramah, pengundi dan perayu undi yang berkempen dari rumah ke rumah sepanjang PRU 13 ini.

Turut hadir, ADUN Air Putih, Wan Abdul Hakim Wan Mokhtar, Naib Ketua UMNO Bahagian, Datuk Wan Ahmad Nizan Wan Abdul Hamid dan Ketua Wanita UMNO Bahagian, Senator Rohani Abdullah.

Ahmad bagaimanapun berkata, petugas jentera keselamatan itu dinasihat supaya tidak menggunakan kekasaran dan bertindak agresif terhadap mana-mana pihak yang cuba mencetus provokasi kerana keutamaan mereka adalah memastikan aset dan bendera parti tidak dimusnahkan.

"Jentera keselamatan BN yang menaiki kenderaan pacuan empat roda, skuad bermotosikal itu juga akan melakukan pemantauan bagi mengenal pasti siapa dalang yang melakukan perbuatan mencabut dan membuang bendera parti itu, sebelum melaporkannya kepada pihak polis.

"Bagi kes yang berlaku di Kijal itu, saya sudah mengarahkan laporan polis dibuat. Begitu juga dengan beberapa tempat di daerah lain seluruh Terengganu termasuk di Marang," katanya.

 





16 March 2013

Menteri Besar melawat pesakit

Oleh : Fauzi Mohd


KEMAMAN 16 Mac - Menteri Besar, Dato' Seri Ahmad Said hari ini meluangkan masa menziarahi Tikah Kadir, 57 yang merupakan ibu kepada bekas kapten pasukan bola sepak T-Team, Zairo Anuar Zalani di rumahnya di Kampung Ibai Penunjuk, Kijal.



Tikah yang mengidap penyakit strok dan kencing manis sejak sebulan lalu juga merupakam bekas pembantu makmal di Sekolah Menengah Kebangsaan Kijal, dekat sini.

Kehadiran Menteri Besar yang juga ADUN Kijal disambut Zairo yang kini merupakan pemain pasukan Red Warrior serta bapanya, Zalani Awang.

Turut serta dalam kunjungan kira-kira 20 minit itu, Ketua Wanita UMNO Kemaman, Senator Rohani Abdullah.


11 Klinik 1Malaysia di Terengganu


Oleh FAUZI MOHD

Terengganu akan mempunyai 11 Klinik 1Malaysia apabila sebanyak tiga buah lagi klinik berkenaan akan dibuka di negeri ini dalam masa terdekat.



Menteri Besar, Dato' Seri Ahmad Said berkata, terdapat lapan buah klinik berkenaan telah beroperasi pada masa kini termasuk Klinik 1Malaysia Bukit Kuang, Kemaman yang baru dirasmikan petang tadi.

Katanya, tiga lagi Klinik 1Malaysia sedang dalam persiapan terakhir untuk dibuka di tiga daerah iaitu Besut, Hulu Terengganu dan Dungun.

"Idea Perdana Menteri mewujudkan klinik itu dapat memberi manafaat kepada masyarakat berpendapatan rendah mendapat akses kesihatan yang cepat dan selesa tanpa menunggu lebih lama," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran Klinik 1Malaysia Bukit Kuang di Teluk Kalong, Kemaman petang tadi. Turut hadir, Pengarah Kesihatan negeri, Dr. Anwa Sulaiman.

Tujuh lagi Klinik 1Malaysia yang beroperasi di seluruh negeri ialah di Kampung Nyior Tujuh di Daerah Besut, Bukit Payong (Marang), Batu 6 (Dungun), Binjai (Kemaman) dan selebihnya di Kuala Terengganu iaitu Wakaf Tembesu, KP Perdana Kubang Parit serta Taman Adis Indah.

Tambah Ahmad, sambutan orang ramai terhadap perkhidmatan di klinik berkenaan adalah baik dengan purata kedatangan sehari tertinggi dicatatkan di Klinik 1Malaysia Bukit Payong seramai 88 orang.



"Paling rendah pun sekitar 40 orang sehari (purata) seperti di Taman Adis Indah, KP Perdana Kubang Parit dan Batu 6 di Dungun.

"Dengan caj rawatan serendah RM1, kewujudan klinik ini mampu menampung kekurangan klinik kesihatan di kawasan operasi khususnya di luar bandar", jelasnya.



Pas tidak mampu perintah negara

Oleh: Kamarudin Mat Akib dan Amirullah Othman

 Pengundi di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Payong diingatkan bahawa Pas tidak mampu memerintah negara kerana melalui Pakatan Rakyat (PR) Pas hanya diberi kuota yang kecil dalam pembahagian kerusi Parlimen pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU 13).

 Pegawai Pembangunan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Payong, Encik Zaidi Muda, berkata Pas dijangka memperolehi antara 50 hingga 60 kerusi Parlimen saja manakala Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP akan membolot bilangan kerusi yang jauh lebih besar.

 “Oleh itu, pemimpin Pas tidak boleh ‘bermimpi di siang hari’ untuk mengetuai Kerajaan Pusat sekiranya pembangkang menang pilihan raya,” katanya ketika berucap pada majlis pembahagian hamper Program “1 Rumah 1 Hamper” anjuran DUN Bukit Payong di Balai Raya Kampung Belukar Jambu, baru-baru ini.

Beliau berkata, jika pengundi memilih calon-calon PR mereka akan ditimpa bala besar kerana PR yang sebahagian besarnya didokong pemimpin bukan Islam dan Melayu akan menindas masyarakat Islam di negara ini.

 “Pada waktu itu kita menangis hingga kering air mata pun tidak ada guna lagi. Oleh itu, sebelum ‘nasi menjadi bubur’, marilah kita sama-sama mempertahankan Kerajaan Barisan Nasional (BN) yang telah terbukti membela nasib umat Islam dan masyarakat Melayu di negara ini,” katanya.

Encik Zaidi berkata, pemimpin BN sentiasa mengambil berat kebajikan penduduk di kawasan Bukit Payong walaupun ia dikuasai parti pembangkang.

 “Macam-macam kita bagi kepada penduduk kawasan ini. Semua bantuan yang diterima penduduk kawasan lain seperti bantuan persekolahan anak-anak, BR1M, sumbangan hari raya dan bantuan dari Jabatan Kebajikan masyarakat, kita dapat juga,” katanya.

Justeru itu, beliau meminta pengundi kawasan berkenaan supaya memilih calon BN pada pilihan raya kali ini supaya mereka dapar terus menikmati bantuan yang diterima selama ini.

 Sementara itu, kira-kira 180 ketua keluarga di kampong berkenaan menerima sumbangan hamper daripada Encik Zaidi, sebagai tanda sokongan mereka kepada Kerajaan BN selama ini.