Halaman

31 March 2013

WANITA UMNO TUBUH PASUKAN HADAPI HURU HARA PRU 13 CETUSAN PEMBANGKANG

Oleh : Ruslan AR

Umno Terengganu adalah negeri yang begitu berpengalaman dalam menghadapi suasana huru hara yang dicetuskan oleh pembangkang.

Tindakan pihak pembangkang menghalang pengundi-pengundi BN dari membuang undi amatlah ternyata dan jelas sekali dengan menggunakan samseng-samseng mereka.

Kalau dilihat dari sudut keadilan, demokrasi dan nilai-nilai Islam, pihak pembangkang telah sama sekali menolak keadilan, demokrasi dan nilai-nilai Islam hanya kerana mahukan kemenangan dengan apa jua cara sekali pun. (lihat video ini).



Pada 13 Mac lalu, Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mendakwa bahawa daripada maklumat beberapa dokumen yang boleh dipercayai, pembangkang dipercayai merancang untuk menggagalkan PRU 13 dengan mewujudkan keadaan porak peranda kerana gementar dengan sokongan rakyat kepada BN yang sudah mula meningkat. Muhyiddin bagaimanapun enggan mendedahkan maklumat dokumen yang didakwanya itu.

Sementara itu Wanita Umno akan menubuhkan satu pasukan gerakan bagi menghadapi huru-hara yang didakwa akan dicetuskan oleh pihak pembangkang. Ketuanya Datuk Seri Shahrizat Abd Jalil mendakwa, berdasarkan maklumat yang diperoleh, huru-hara itu dilakukan bertujuan untuk menakutkan orang ramai agar tidak keluar mengundi pada pilihan raya umum akan datang.

 "Oleh kerana pembangkang takut dengan BN, maka mereka telah buat perancangan tetapi sudah dibongkar oleh media. "Pada hari nak mengundi nanti, mereka (pembangkang) akan wujudkan keadaan huru-hara supaya penyokong BN takut untuk keluar mengundi.

"Jadi Wanita menubuhkan task force bagi memberitahu pengundi supaya keluar secara aman pada hari mengundi. Dan (pasukan) ini akan ada di semua peti undi," dakwanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan perasmian semasa merasmikan Majlis Yayasan Kebajikan Negara (YKN) bersama warga perumahan PDRM Desa Tasik sempena Hari Polis ke-206 hari ini di ibu negara.

Sehubungan itu, ketika ditanya adakah huru-hara yang dimaksudkannya adalah perkara sama yang disebut Muhyiddin, Shahrizat berkata, beliau hanya mengetahui tentang perkara itu daripada media dan "cakap-cakap ahli pembangkang".

"Media dan kita (Wanita Umno) adalah mata dan telinga rakyat di peringkat akar umbi.

Oleh kerana rakyat sokong Datuk Seri Najib (Razak) dan BN maka pembangkang takut.

Kita dapat tahu ini pun dari cakap-cakap ahli mereka juga.

Dan bila media lapor, jadi kita tau ini akan berlaku.

"Kita Wanita tidak gentar. Kita akan jadi benteng.

Dan pengundi mesti tahu bahawa ini kerja pembangkang yang nak bawa unsur-unsur ganas dan reformasi semasa hari membuang undi dan mereka akan mula dari awal," katanya lagi.


 

PEMIMPIN PAS TERENGGANU PERLU BERJAGA-JAGA DENGAN PENGUMUMAN ANWAR IBRAHIM INI!!

Oleh: Ruslan AR 


Pimpinan Pas Terengganu perlu berjaga-jaga dengan pengumuman Anwar Ibrahim bahawa Azan Ismail akan bertanding di Terengganu.

Azan adalah Pengerusi PKR Terengganu sekarang ini. Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata Datuk Fauzi Abdul Rahman akan menggantikan penyandang Azan Ismail yang bakal bertanding di Terengganu. Pengerusi Perhubungan PKR Pahang Datuk Fauzi diumum sebagai calon parti itu bagi kawasan Parlimen Indera Mahkota pada pilihan raya umum ke-13 ini menggantikan YB Azan Ismail.

 "Fauzi adalah sahabat lama saya dan kita memutuskan beliau akan bertanding di Indera Mahkota," katanya ketika berceramah di Balok Makmur, dekat Kuantan malam tadi.

Pada pilihan raya umum 2008, PKR memenangi kerusi kawasan itu menerusi Azan yang mengalahkan calon BN Salamon Ali Rizal Abdul Rahman dengan kelebihan 1,027 undi.

Dimanakah azan akan bertanding? Di Dun atau Parlimen.....kalau di Parlimen, parlimen mana, Kuala Nerus atau Kuala Terengganu.

Kalau di Parlimen Kuala Terengganu ia akan mengenepikan calon-calon popular iaitu Datuk Raja Baharin, Wahid Endut, Dr Syed Azman dari Pas.

Kalau di Parlimen Kuala Nerus,,,ke mana Pengerusi Pas Kuala Nerus, Sukrimun Shamsuddin yang juga bekas Ahli Parlimen Kuala Nerus akan bertanding.

Sukrimun tewas kepada calon BN dalam PRU lalu hanya seribu undi lebih sahaja.

 

PAKLAH KATA SOAL PEMBUBARAN PARLIMEN BUKAN ISU KERANA NAJIB MEMPUNYAI JANGKA MASA TERTENTU UNTUK PRU 13 DAN PAK LAH YAKIN BN MENANG BESAR.

Oleh: Ruslan AR



Mantan Perdana Menteri, Tun Abdulah Haji Ahmad Badawi berkata, pembubaran Parlimen,satu isu kerana Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mempunyai jangka masa tertentu untuk berbuat demikian.

Bekas Perdana Menteri itu amat yakin dengan keupayaan BN untuk menang besar pada pilihan raya umum ke-13 (PRU-13).

Beliau berkata ini berikutan BN telah berusaha keras membawa perubahan besar kepada negara dan rakyat menerusi pelbagai perancangan dan program transformasi.

"Nak kerajaan yang kuat perlu menang dua pertiga kerusi Parlimen dan saya yakin BN boleh dapat kerana mereka telah bekerja keras.

"Saya harap mereka (rakyat) akan terus bagi sokongan (kepada BN) supaya segala program transformasi dan perancangan dapat diteruskan pada masa hadapan. Itu semua adalah untuk rakyat juga," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Jiwa Murni KD Sri Pinang bersama masyarakat Permatang Sintok di Kepala Batas semalam.

Pada program sehari itu, seramai 75 anggota pasukan simpanan sukarela Tentera Laut Diraja Malaysia bersama penduduk kampung membaiki rumah orang miskin dan Orang Kurang Upaya (OKU), menjalankan kerja gotong royong dan aktiviti membersih rumah di kawasan itu.


 

SABAR MENUNGGU PRU 13...

Oleh: Ruslan AR 


Mutakhir ini masyarakat di mana-mana sahaja bercakap mengenai Pilihanraya Umum Ke 13 yang akan menjelang tiba.

Pilihanraya bolehlah disifatkan sebagai proses penglibatan rakyat dalam memilih wakil mereka untuk memperolehi mandat kuasa bagi membuat keputusan, membentuk dasar dan undang-undang mengikut kehendak masyarakat majoriti.

Pilihanraya di bawah sistem Parlimen seperti di Malaysia bertujuan untuk memilih ahli-ahli Parlimen di Dewan Rakyat di peringkat Persekutuan dan ahli-ahli Dewan Undangan Negeri di peringkat negeri, seterusnya membentuk kerajaan.

Ia adalah suatu proses yang sungguh murni dan di negara kita ia telah berlangsung sekian lama dan kini bakal diadakan bagi kali ke 13.

Pilihan raya adalah suatu wadah dalam melaksanakan kebebasan membuat pilihan menerusi proses sistem pemerintahan demokrasi.

Kebebasan bukan bermakna untuk menukar sesuka hati mengikut selera, tetapi kebebasan juga bermakna untuk mengekalkan yang sedia ada, memberi mandat semula kepada kerajaan sedia ada, yang telah menunjukkan prestasi yang baik untuk kesejahteraan rakyat.

Melalui pilihan raya juga rakyat dapat memilih tokoh atau parti politik yang telah terbukti kewibawaannya, yang mereka percaya dapat meneruskan kemajuan dan transfromasi sejajar dengan kerangka program pembangunan negara yang telah sekian lama dibuat.

Kita tidak boleh menafikan pilihanraya umum atau negeri di negara kita dikendalikan oleh sebuah Suruhanjaya Pilihanraya – satu badan bebas yang diakui kewibawaannya.

Malah ada sesetengah negeri di menangi parti pembangkang yang membawa makna bahawa perjalanan pilihanraya di negara kita berjalan dengan telus adil dan saksama: menolak sama sekali tuduhan pihak tertentu yang mempertikaikan kewibawaan proses pilihanraya di negara ini.

Antara fungsi, tugas dan tanggungjawab suruhanjaya ini ialah mengendali, mengawasi, memantau dan memastikan setiap pilihanraya berjalan dengan sempurna, aman, lancar tanpa sebarang kejadian yang melanggar undang-undang.

Kewibawaan suruhanjaya ini sudah terbukti dan diakui dunia sejak ia mengendalikan pilihanraya pertama di negara ini pada tahun 1952.

Janganlah hendaknya ada usaha untuk membuat huru-hara di masa pilihanraya umum negara kita yang bakal diadakan tidak lama lagi.

Biarlah proses pilihanraya berjalan dengan baik mengikut lunas dan peraturan yang telah ditetapkan.

Janganlah hendaknya ada campur tangan pihak asing yang disokong oleh pihak tertentu untuk menghancurkan kerajaan dan negara yang telah terbukti membawa keamanan dan kesejahteraan untuk rakyat.

Sebagai rakyat yang sentiasa cintakan keamanan dan perpaduan sudah tentu kita mahu pilihanraya bebas dari sebarang gejala negatif.

Sama ada penyokong kerajaan mahu pun pembangkang, janganlah menjadikan pilihanraya sebagai medan untuk berseteru dan berkelahi sesama sendiri.

Marilah kita meningkatkan semangat perpaduan dan kasih sayang sesama kita, tanpa meletakkan perbezaan fahaman politik sebagai penghalang kemesraan dan persaudaraan.

Kita yakin dengan kemampuan pihak polis atau pasukan keselamatan kita bagi memastikan perjalanan pilihanraya tidak dicemari dengan insiden-insiden jenayah atau yang boleh menggugat ketenteraman awam.

Namun begitu peranan semua pihak juga adalah penting untuk memberi kerjasama bagi mencegah dari berlaku huru-hara dan suasana yang mengancam keselamatan.

Biarlah proses pilihanraya dapat berjalan dalam suasana yang aman damai tanpa mengganggu rutin kehidupan seharian masyarakat.

Dengan cara inilah kita akan dapat meneruskan perjalanan hidup dan berusaha membentuk sebuah masyarakat yang maju, harmonis dan bersatu dalam melangkah ke alaf baru yang semakin mencabar.

Hargailah keamanan dan kesejahteraan negara yang kita sedang nikmati sekarang ini.

Nilai sebuah keamanan ini amatlah tinggi dan tidak boleh diperjudikan sama sekali dengan perasaan ingin mencuba dan sebagainya.

Keamanan dan kesejahteraan ini bukan datang dengan begitu sahaja, melainkan adalah hasil usaha bersama kita semua dan kebijaksanaan pemerintah dalam mengurustadbir negara ini.


 

JAYAKAN TAHUN MELAWAT TERENGGANU 2013

Oleh: Ruslan AR 

Kerajaan Terengganu telah bersetuju menjadikan tahun ini sebagai Tahun Melawat Terengganu.

Tujuannya tidak lain dan tidak bukan ialah untuk meningkatkan usaha bagi memanfaatkan sepenuhnya sektor pelancongan kerana negeri Terengganu mempunyai banyak kelebihan dan keunikan untuk tarikan pelancong.

Kita dapati kedatangan pelancong ke negeri ini semakin bertambah dari tahun ke tahun.

Misalnya pada tahun 2011, jumlah pelancong yang mengunjungi Terengganu ialah 3.17 juta berbanding tahun sebelumnya 2010 hanya 2.82 juta.

Bagaimanapun kalau hendak dibandingkan dengan Melaka, kita masih jauh ketinggalan. Negeri itu mencatatkan kedatangan pelancong di antara 9 hingga 10 juta orang setahun.

Bagaimana pun Terengganu tetap mempuyai potensi besar dalam sektor pelancongan dengan menyumbang lebih dari RM2 billion kepada ekonomi negeri setiap tahun. Bahkan kerajaan negeri mengisytiharkan setiap tahun adalah Tahun Melawat Terengganu.

Justeru itu, peruntukan pembangunan pelancongan sentiasa ditambah. Tahun ini diperuntukkan sebanyak RM186.74 juta dan tahun lalu diperuntukkan RM138.85 juta untuk pembangunan pelbagai projek pelancongan.

Tasik Kenyir akan dibangunkan sebagai pusat pelancongan keluarga bertaraf antarabangsa.

Tumpuan utama adalah ke arah menjadikan tasik itu sebagai kawasan bebas cukai.

Adalah diyakini dengan usaha-usaha yang diberikan kepada sektor pelancongan, akan menjadikan ia berkembang maju di masa akan datang.

Kesan dari peningkatan jumlah kemasukan pelancong ini amat terasa.

Meskipun terpaksa berdepan dengan suasana kesesakan yang agak luar biasa di jalan-jalan utama menuju ke pusat bandaraya, khususnya pada hujung minggu dan cuti umum, seperti cuti sekolah pada masa sekarang, namun itulah realiti sebenar yang kita lihat bahawa Terengganu terus gemilang di sektor pelancongan.

Kita tidak boleh menafikan perkembangan pesat sektor pelancongan juga turut membawa limpahan manfaat besar bukan sahaja kepada pengusaha hotel dan produk pelancongan, bahkan penarik beca, penjual kraftangan, pemandu teksi, pengusaha restoran atau pun peniaga warung turut menerima pulangan yang lumayan hasil dari usaha yang dijalankan.

Selain itu, masyarakat sewajarnya memberi fokus pada faktor yang menjurus pada usaha menarik dan menjayakan industri pelancongan.

Sambutlah kehadiran pelancong ke tempat kita dengan baik dan ramah dengan kemahiran komunikasi secara interpersonal yang menjadi elemen asas dan dorongan untuk memastikan bahawa sektor pelancongan berkembang secara maju.

Sejajar dengan kempen yang dijalankan setiap tahun yang bertemakan ‘Budi bahasa budaya kita’, dan kita di Terengganu yang mempromosikan slogan negeri cantik, budaya menarik dan orangnya baik-baik- perlulah merealisasikan slogan tersebut.

Kita harus mempraktikkan budaya tersebut sejak kecil.

Ibu bapa, terutamanya, harus menyemai budaya ketimuran, mesra dan baik hati dalam jiwa anak-anak sejak kecil, seperti kata peribahasa Melayu, ‘melentur buluh biarlah dari rebungnya’.

Faktor atau peranan masyarakat dari semua lapisan dalam konteks pelancongan adalah berhubung kait dengan perkhidmatan dan layanan yang memuaskan.

Perkhidmatan yang penuh kemesraan dan berkualiti tinggi mencerminkan keperibadian kita yang mulia.

Jangan sekali-kali mengambil kesempatan untuk mengaut keuntungan besar dalam jangkamasa singkat tetapi jujurlah dalam perkhidmatan, termasuk pengusaha-pengusaha kedai makan, penginapan dan sebagainya, pastikan harga yang berpatutan.

Di samping itu, kita harus menjaga kebersihan dan keindahan persekitaran.

Keadaan persekitaran yang bersih akan menyebabkan pelancong tertarik dan selesa.

Contohnya, negara yang berkembang maju seperti Jepun dan Singapura menitikberatkan faktor kebersihan di negara masing-masing.

Oleh itu kita wajar mencontohi daya usaha mereka dengan mengutamakan soal kebersihan alam sekeliling.

Semoga Tahun Melawat Terengganu 2013 mencapai sasaran dan diharapkan pencapaian negeri ini dalam sektor pelancongan terus meningkat.

Yang memperolehi keuntungan dari limpahan kedatangan pelancong itu bukan orang lain, tetapi adalah masyarakat dan kita semua.

 

Saya dan anak-anak redha - Puan Rosiah

Oleh; Esah Abdullah

Saya dan anak-anak redha dengan pemergiannya dan menganggapnya ia sudah ketentuan Allah s.wt.,” kata Puan Rosiah Dahlan,52, balu ACP Ibrahim Lebar yang terkorban dalam insiden di Lahad Datu pada awal bulan ini.

 “Kematian itu adalah pasti dan sebab musababnya hanya Allah yang menentukannya dan sebagai isteri anggota pasukan keselamatan kita sentiasa bersedia menghadapi segala kemungkinan yang berlaku dan hadapinya dengan penug redha,” katanya.

Katanya, biarpun Allahyarham sudah tiada namun beliau sering mendoakan anggota keselamatan yang sedang bertugas di Lahad Datu beroleh kejayaan dan sentiasa dalam perlindungan Allah s.w.t.

“Kepada para isteri yang ditinggalkan, restuilah perjuangan suci mereka serta jangan putus berdoa untuk keselamatan suami yang sedang berjuang demi pertahankan kedaulatan dan keamanan negara,” katanya dalam nada sebak.

Beliau ditemui ketika menjadi tetamu Badan Amal dan Kebajikan Isteri Wakil-wakil Rakyat Negeri Terengganu (Serikandi) hadir bersama anak bongsunya, Amira Shahida 17.

Serikandi telah menyerahkan sumbangan wang tunai masing-masing RM5,000 kepada Puan Rosiah dan juga ibu kepada Allahyarham ASP Zulkifli Mamat, Puan Khadijah Ismail yang disampaikan oleh Menteri Besar Dato’ Seri Haji Ahmad Said di kediaman Seri Iman semalam.

Puan Rosiah mengucap ribuan terima kasih kepada Serikandi terutamanya To’ Puan Seri Hajah Norliza Mahmud di atas keperihatinan beliau dan berharap mendapat keberkatan dunia dan akhirat.

“Saya dan anak-anak akan sentiasa berkunjung ke negeri ini untuk mengeratkan ikatan kekeluarga dengan keluarga Allahyarham yang tinggal di Jabi sepertimana yang dilakukannya ketika Allahyarham masih ada,” katanya.

Selain Amira Shahida, dua lagi anak Puan Rosiah ialah Amirul Syafiq, 21, sedang menuntut di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Segamat, Johor dan Amira Shahila, 20, sedang menuntut di Mesir.

Sedia RM12 juta, ganti paip bocor

Oleh: Suriati Ali 

Kerajaan negeri memperuntukkan sebanyak RM12 juta bagi melaksanakan projek-projek penggantian paip yang mengalami masalah kebocoran tahap kritikal tahun ini.

 Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said berkata, pelaksanaannya terpaksa digerakkan secara berperingkat-peringkat kerana melibatkan peruntukan yang besar.

 Katanya, masih terdapat 1,700 kilometer paip-paip jenis asbestos cement (AC) daripada 8,000 kilometer jaluran paip di negeri ini yang perlu diselenggara ekoran telah melebihi tempoh hayatnya.

"Pada tahun 2010, Syarikat Air Terengganu (Satu) terpaksa menanggung kos penyelenggaraan paip air sebanyak RM2.1 juta dan meningkat kepada RM4.9 juta (2011), seterusnya kepada RM6.2 juta (2012).

"Kos-kos ini terpaksa dibelanjakan setiap tahun walaupun tinggi bagi memastikan pengguna mendapat bekalan yang selesa, selain meminimumkan gangguan bekalan dan menurunkan kadar kehilangan air tanpa hasil (NRW)," katanya pada satu majlis baru-baru ini.

 Dato’ Seri Haji Ahmad berkata, melalui penyelenggaraan paip-paip bermasalah itu, beliau yakin kadar NRW dapat dikurangkan, sekali gus sasaran kerajaan negeri menurunkannya kepada 32 peratus tercapai.

Menurut beliau, kualiti air terawat di negeri ini antara yang terbaik dan dari segi bekalan, Terengganu mempunyai bekalan air mentah yang mencukupi untuk tempoh 30 tahun akan datang dengan sungai-sungainya yang masih terpelihara daripada pencemaran.

“Kerajaan negeri turut mencadangkan supaya semua operator air di seluruh negara berkongsi maklumat, kaedah, pengalaman dan teknologi serta mencari penyelesaian terbaik bagi mengatasi isu NRW dengan bantuan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) sebagai fasilitator.

 “Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air perlu menyediakan peruntukan mencukupi bagi pelaksanaan program atau projek berkaitan NRW memandangkan peruntukan kerajaan negeri amat terhad,” katanya.

 

Hargai kerajaan yang utamakan kebajikan : Wan Mahyuddin

Haji Wan Mahyuddin (kiri) menyampaikan hadiah kepada pemenang Pertandingan Memancing Ikan Air Tawar Belia 4B Kampung Kubang Parit, Kuala Terengganu.
Oleh: Aida Abd Rahman

Penduduk di Dewan Undangan Negeri (DUN) Wakaf Mempelam diminta sentiasa bersyukur dengan nikmat yang diperolehi hari ini hasil keprihatinan Kerajaan Barisan Nasional (BN) yang mengutamakan kebajikan rakyat dan tidak berjanji palsu sepertimana pembangkang.

Pegawai Pembangunan DUN, Haji Wan Mahyuddin Wan Ngah, berkata terlalu banyak bantuan dan kemudahan yang disediakan Kerajaan BN untuk memastikan rakyat hidup dalam sejahtera dan selesa.


“Tinggalnya, kerajaan hanya mahu rakyat memanfaatkan setiap bantuan dan tidak sesekali terikut dengan desakan mahupun hasutan pihak yang tidak tahu bersyukur dengan nikmat yang ada ini.

 “Apabila tiba hari mengundi, yang akan berlangsung tidak lama lagi, sebagai rakyat yang bertanggungjawab, kita semua harus memikul amanah dan keluar membuang undi. Pilihlah kerajaan yang benar-benar berkebajikan dan bukan sekadar melaungkan janji-janji mahupun manifesto yang ternyata mereka gagal laksanakan sepanjang diberi peluang mentadbir,” katanya ketika merasmikan majlis penutup Pertandingan Memancing Ikan Air Tawar Belia 4B Kampung Kubang Parit, Kuala Terengganu, semalam.

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung (JKKK) Kubang Parit, Encik Rusli Bidi, semua AJK JKKK kampung dan lebih 200 penduduk.


Pertandingan yang julung kali dilaksanakan di parit tali air kampung itu disertai 60 peserta di kalangan penduduk kampung berkenaan yang berusia 10 hingga 60 tahun.

Selain itu, Haji Wan Mahyuddin berkata, keamanan dan kesejahteraan di kalangan penduduk dengan persekitaran yang harmoni membolehkan program santai seperti pertandingan memancing itu dilaksanakan dengan jayanya, malah ia harus dipertahankan sampai bila-bila.

ENCIK RUSLI
Sementara itu, menurut Encik Rusli, pertandingan itu bukan sahaja memupuk semangat perpaduan, malah mengajar generasi muda erti mencintai dan menghargai alam sekitar termasuk tidak mengotorkan sumber air yang menjadi habitat pelbagai spesies ikan air tawar.

“Program ini bukan sahaja berjaya menghimpunkan generasi muda, pertengahan dan orang lama yang saling bergandingan bagi menjayakan matlamat penganjuran, malah mereka yang lebih muda terdidik untuk lebih mementingkan kebersihan alam sekitar terutama parit tali air yang wujud nenek moyang mereka lagi.

 “Selain itu, apa yang penting semua peserta seronok , walaupun ada sebahagiannya pulang tangan kosong tanpa berjaya menaikkan ikan, sekurang-kurangnya penyertaan mereka satu pengalaman baru selain dapat berkumpul bersama keluarga pada hujung minggu dalam aktiviti yang santai,” katanya.


Disebalik kejayaan suami berdirinya seorang isteri-To' Puan Seri Norliza

Oleh; Esah Abdullah

Badan Amal dan Kebajikan Isteri Wakil-wakil Rakyat negeri Terengganu (Serikandi) bersikap prihatin terhadap semua golongan yang memerlukan bantuan.

 “Dengan kudrat serta sedikit sumber kewangan yang ada kami bersatu hati bergerak seiringan melakukan kebajikan,” kata Yang Dipertuannya To’ Puan Seri Hajah Norliza Mahmud.

Katanya, setiap tahun Serikandi menyumbang RM10,000 kepada 40 buah Pusat Pemulihan dalam Komuniti (PDK) yang terdapat di negeri ini.

“Sata turut merasa bangga kerana PDK negeri ini telah berjaya mendapat johan kategori duet dan tempat kedua kategori tarian dalam Pertandingan Bakat Istimewa Semai Bakti Piala Perdana Menteri Peringkat Kebangsaan yang diadakan baru-baru ini,” katanya.

Isteri Menteri Besar itu berkata demikian di majlis Perasmian Mesyuarat Agung Serikandi ke-26 dan Himpunan Badan-badan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) di Kediaman Seri Iman semalam.

Mesyuarat agung kali ini telah dirasmikan oleh Menteri Besar Dato’ Seri Haji Ahmad Said.

Sebagai isteri wakil rakyat katanya, Serikandi sentiasa menjalankan tanggungjawab untuk menyumbang kepada kemakmuran negeri yang perlu digalas bersama, ibarat bukit sama didaki dan lurah sama dituruni.

“Saya berharap para suami sentiasa menghargai pengorbanan dan penat lelah seorang isteri serta tidak mudah bagi kami untuk berpaling tadah atau bertukar arah jika hati tidak dilukai,” katanya.

Katanya, semua harus menerima hakikat, bahawa disebalik kejayaan seorang lelaki dibelakangnya berdiri seorang wanita dan disebalik kejayaan suami dibelakangnya seorang isteri yang sentiasa menyokong kerjaya suami.

Pada majlis itu,Serikandi telah menyampaikan sumbangan berupa wang tunai masing-masing RM5,000 kepada balu dua orang anggota keselamatan dari negeri ini yang terkorban dalam peristiwa di Lahad Datu.

17 buah Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) Wanita turut menerima sumbangan berjumlah RM34,000 antaranya Persatuan Pandu Puteri, Persatuan Ibu Tunggal, Perkumpulan Wanita (WI), Persatuan Anggota dan Kakitangan Wanita Penjawat Awam Kerajaan Negeri (Puspanita) dan Lembaga Kebajikan Perempuan Islam (LKPI) yang masing-masing menerima RM2,000.

Turut mendapat perhatian Serikandi ialah lapan buah Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) di lapan Parlimen yang masing-masing menerima RM1,000. Semua sumbangan disampaikan oleh Menteri Besar.

Kerajaan BN Kotakan janji

Oleh: Noraini Jusoh


Sebagai sebuah kerajaan yang mementingkan kesejahteraan rakyat, Kerajaan Barisan Nasional (BN) dan Umno sentiasa menjaga kebajikan dan mengotakan janji yang dibuat.

Ahli Parlimen Kuala Nerus, Dato’ Haji Mohd Nasir Ibrahim Fikri berkata, kerajaan BN melalui program Jelajah Janji Ditepati ilham Perdana Menteri, Dato’ Sri Mohd Najib Tun Razak sentiasa memastikan setiap yang dibuat sampai kepada rakyat.

"Tidak seperti pembangkang yang hanya pandai berjanji tetapi tidak pernah mengotakannya, hal ini kita boleh lihat sendiri semasa Pas memerintah Terengganu antara 1999 hingga 2004 kerana tiada apa yang di buat untuk rakyat.

"Di Parlimen Kuala Nerus sendiri contohnya, tidak ada apa yang dibuat untuk rakyat ketika itu melainkan sebuah rangka masjid yang tidak siap,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Program Sepakat Komuniti 1Malaysia, Kenali Jiran Kita Peringkat Daerah Kuala Terengganu di Padang Bola Kampung Tok Jiring, semalam.

Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tepoh, YB Haji Muhammad Ramli Nuh serta Pegawai Pembangunan Dun (PPD) Bukit Tunggal, Haji Ismail Nik.

Dato’ Haji Mohd Nasir berkata, pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) tidak lama lagi, pengundi di Parlimen Kuala Nerus khususnya diharap tidak tertipu dengan janji-janji manis pembangkang dan membuat pilihan yang tepat.

"Bagi memastikan BN menang pada PRU13 nanti, kita perlu bersama-sama kerja kuat termasuk pemuda dan puteri Umno untuk melenyapkan cita-cita pembangkang bertapak di Kuala Nerus,” katanya.

Tambah beliau, sekiranya BN terus diberi mandat untuk memerintah Terengganu selepas PRU13 nanti, pelbagai pembangunan dan keistimewaan bakal dinikmat oleh warga Kuala Nerus.