Halaman

04 April 2013

Kerjasama semua pihak bentuk kerajaan baru selepas PRU13

Dato' Tengku Putera Tengku Awang (bersongkok) ketika membuat sidang akhbar di Wisma Darul Iman.
Oleh: Aida Abd Rahman

Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri Terengganu, Dato’ Tengku Putera Tengku Awang berharap seluruh rakyat Terengganu dapat memberi kerjasama bagi menjayakan pembentukan kerajaan baru selepas Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13).

“Terengganu sebagai negeri di bawah Persekutuan, kita mempunyai panduan yang lengkap mampu diurus dengan baik sepanjang tempoh PRU ini dan harap semua dapat memberi kerjasama bagi menjayakan pembentukan kerajaan baru selepas PRU13,” katanya kepada pemberita di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu, hari ini.

Hadir sama, Pengarah SPR Terengganu, Encik Fakhrul Razi Ab Wahab dan Setiausaha DUN negeri, Haji Azhar Jusoh.

Dato’ Tengku Putera sepanjang tempoh sebaik pembubaran sebelum pelantikan kerajaan baru, Menteri Besar dan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri masih berfungsi sebagai `caretaker government’, manakala keputusan kerajaan berjalan seperti biasa dan tidak akan melibatkan perubahan besar.

Selain itu, beliau turut mengucapkan terima kasih dengan kerjasama baik dan komitmen seluruh Ahli Dewan Undangan Negeri, pegawai kerajaaan, kakitangan DUN, wartawan dan semua pihak yang berjaya memastikan sepanjang empat tahun 10 bulan dan tiga hari DUN Terengganu Ke-12 berjalan dengan sempurna dan baik.

 “Semua pihak yang terlibat di DUN Terengganu berjaya menunaikan tanggungjawab kepada rakyat dan juga negeri dengan sempurna dan baik sepanjang tempoh itu, sebanyak 15 persidangan melibatkan 49 hari, lebih dari sebulan itu,” katanya.


Manifesto BN Terengganu akan umum dalam tempoh terdekat

Semua janji dari tahun 2008 hingga tahun 2012
telah ditunaikan Kerajaan Barisan Nasional
Oleh: Suriati Ali

 “Manifesto Barisan Nasional (BN) Terengganu yang bakal diumumkan dalam tempoh terdekat nanti, sebagai
tambahan kepada manifesto BN Pusat yang dibuat berdasarkan keupayaan kewangan Kerajaan Pusat, bukan janji kosong seperti yang dilakukan part-parti pembangkang dan Pakatan Rakyat (PR).

“Pengumuman mengenainya akan dibuat selepas manifesto BN pusat dilancarkan nanti, “kata Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said yang juga Pengerusi BN Terengganu.

Pada Pilihan Raya Umum (PRU) 2008, BN menang dengan lebih dua pertiga majoriti kerusi dalam DUN Terengganu dan menguasai tujuh kerusi Parlimen manakala Pas hanya memenangi lapan kerusi Dun dan satu kerusi Parlimen.

Bagaimanapun pada pilihan raya kecil Parlimen Kuala Terengganu pada 17 Januari 2009, Pas menang kerusi itu, menjadikan ia kini menguasai dua kerusi Parlimen manakala BN menguasai enam kerusi Parlimen.

Pada PRU 2004 dan 2008, BN menguasai negeri Terengganu, selepas negeri itu jatuh kepada Pas pada PRU 1999.

 Dato’ Seri Haji Ahmad turut memberitahu rakyat perlu memberi mandat kepada Perdana Menteri, Dato’ Seri Najib Tun Abdul Razak dan Kerajan BN untuk terus menerajui kepimpinan negara.

“Tiada alasan untuk rakyat menidakkan kemampuan Perdana Menteri sepanjang empat tahun menerajui kepimpinan negara. Bukan saja patut diberi mandat sepenggal lagi malah lebih banyak penggal.

 “Perdana Menteri perlu diberi mandat untuk lebih banyak penggal kerana beliau masih muda, kuat bekerja, berwawasan dan berkebolehan serta berkemampuan memimpin dan memacu negara ke arah terbaik,” katanya..

Katanya, patut berbangga dengan kedudukan dan pencapaian negara sekarang yang melalui pelbagai proses tranformasi di bawah pimpinan Najib, terutama di bidang ekonomi dan pembangunan,” katanya.

 “Terlalu banyak beliau beri, Bantuan Rakyat Satu Malaysia (BR1M), Kedai Rakyat 1Malaysia (KR1M), dan Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA), Baucer Buku 1Malaysia dan pelbagai bantuan lagi demi faedah rakyat,” katanya.



DUN Terengganu dibubar secara rasmi berkuatkuasa semalam

Dato’ Tengku Putera menyerahkan notis pembubaran DUN Terengganu kepada Pengarah  SPR bagi meneruskan urusan proses PRU13.
Oleh: Aida Abd Rahman

 Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu Ke-12 dibubarkan secara rasmi berkuatkuasa semalam, (3 April) selepas Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said mendapat perkenan Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin, di Istana Badariah, Kuala Terengganu, jam 8 malam tadi.

Sehubungan itu, bermula hari ini 32 kerusi DUN seluruh negeri terbubar secara automatik dan kosong selepas watikah pembubaran itu mendapat perkenan baginda.

Yang Dipertua DUN, Dato’ Tengku Putera Tengku Awang, berkata pembubaran itu dilaksanakan bagi membolehkan proses Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) dijalankan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR).

 “Jadi, pada hari ini saya mengistiharkan Dewan Undangan Terengganu ke-12 terbubar dengan sendirinya dan memberi laluan kepada untuk SPR mengadakan Pilihan Raya Umum di peringkat Dewan Undangan Negeri Terengganu dengan Persekutuan sebagaimana Perlembagaan.

 “Duli Yang Maha Mulia Tuanku (Sultan Mizan) membubarkan DUN ini berdasarkan kepada Peruntukan 44 (2) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Terengganu Darul Iman,” katanya kepada pemberita di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu, hari ini.

 Hadir sama, Pengarah SPR Terengganu, Encik Fakhrul Razi Ab Wahab dan Setiausaha DUN negeri, Haji Azhar Jusoh.

 Susulan itu, Dato’ Tengku Putera menyerahkan notis pembubaran DUN Terengganu kepada Pengarah SPR bagi meneruskan urusan proses PRU13.


DUN Terengganu dibubarkan malam tadi

Oleh: Fauzi Mohd

Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu dibubarkan malam tadi selepas mendapat perkenan daripada Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin.

 Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said berkata, Sultan Mizan telah menurunkan tandatangan memberi perkenan pembubaran selepas beliau menghadap baginda kira-kira pukul 7.40 malam.

 "Pagi esok Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri, Dato’ Tengku Putera Tengku Awang akan menyerahkan watikah pembubaran kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR)," katanya ketika berucap melancarkan Jentera Pilihan Raya Dewan Undangan Negeri (DUN) Sura di sini malam tadi.

Menteri Besar turut mengumumkan beliau akan mempertahankan DUN Kijal manakala Dat0’ Toh Chin Yaw mewakili MCA kekal bertanding di DUN Bandar dalam Pilihan Raya Umum Ke-13.

 Pada majlis itu, beliau menyampaikan watikah kepada para Pengerusi Portfolio Pilihan Raya melibatkan parti-parti komponen Barisan Nasional (BN).

Sementara itu, ketika bercakap kepada pemberita, beliau menjelaskan, dua kerusi itu diumumkan lebih awal untuk mengelakkan spekulasi tidak menyenangkan termasuk dirinya yang dikatakan tidak dicalonkan oleh pucuk pimpinan manakala MCA merupakan kerusi tunggal bagi parti itu di negeri ini.

 "Nama-nama lain tidak boleh diumumkan selagi tidak menyerahkan borang pencalonan kepada Pegawai Pilihan Raya," ujarnya.

-

03 April 2013

Usah fikir panjang lagi...undi BN

Analisis berita oleh: Kamarudin Mat Akib 

Dato' Seri Mohd Najib ketika mengumumkan pembubaran Parlimen.
Debaran banyak pihak, terutama mereka yang berangan-angan untuk menjadi calon atau ‘tok wakil’ makin kencang bila Perdana Menteri, Dato’ Seri Mohd Najib Tun Razak, mengumumkan Parlimen dibubarkan berkuatkuasa hari ini.

Dengan pengumuman itu, bermakna selesai sudah fasa pertama bagi pilihan raya umum kali ini iaitu pembubaran Dewan Rakyat bagi memberi laluan Pilihan Raya Umum Ke-13 diadakan dalam tempoh 60 hari.

Mengikut kebiasaannya, proses pengundian akan diadakan dalam tempoh terdekat, mungkin dalam bulan ini juga.

Selepas ini, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan mengadakan mesyuarat bagi menetapkan tarikh penamaan calon, diikuti dengan tarikh mengundi bagi memilih calon-calon di peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Parlimen.

Bagi orang biasa, debaran menunggu pengumuman pembubaran Parlimen telah pun berakhir, mereka hanya perlu tunggu siapa yang akan dipilih sebagai calon dan seterusnya mengundi pada hari yang telah ditetapkan.

Biarlah mereka yang berangan-angan menjadi calon terus berdebar sama ada nama mereka ‘naik’ atau sebaliknya sebagai calon pada pilihan raya ini.

Dato'Seri Haji Ahmad Said
Buat masa ini, rakyat biasa yang layak mengundi hanya perlu membulatkan tekad mereka untuk memilih calon-calon yang mampu membela nasib mereka di masa depan.

Mereka perlu membuat penilaian secara wajar, tanpa dipengaruhi oleh unsur-unsur luar yang sentiasa meniupkan api kebencian rakyat kepada Kerajaan dan pemimpin Barisan Nasional (BN).

Mereka perlu membebaskan minda daripada diracuni janji-janji palsu pihak pembangkang yang langsung tidak masuk akal.

Pengundi perlu memikirkan secara mendalam pesanan Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, yang selalu diingatkan pada majlis-majlis beliau, iaitu “berkasih pada yang sayang dan meminta pada yang ada”.

Beliau mengingatkan rakyat Terengganu supaya bermanja dan meminta bantuan kepada Kerajaan BN yang sentiasa mengambil berat dan cakna nasib mereka.

Jadi, usah lagi berfikir panjang, tekadkan hati untuk memilih calon-calon BN yang terbukti membela rakyat selama ini.

Biar bakal-bakal ‘tok wakil’ terus berdebar, tetapi rakyat Terengganu tekad pilih BN kini, dulu dan selama-lamanya....

BN akan terus bela nasib rakyat

Oleh: Suriati Ali

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said menegaskan Barisan Nasional (BN) akan meneruskan kesinambungan perjuangan membela nasib rakyat jika terus diberi mandat mentadbir Terengganu pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13).

Dato' Seri Haji Ahmad ketika membuat sidang media
selepas mesyuarat exco di Wisma Darul Iman.
Katanya, rakyat di negeri ini tidak wajar menolak tuah pada pilihan raya nanti kerana BN sudah banyak berjasa kepada rakyat dalam pelbagai aspek. 

“Cukup tidak adil dan boleh dianggap zalim jika seseorang itu memilih pembangkang yang belum tentu boleh memberi kebajikan dan kesejahteraan.

“Terengganu kini semakin maju, ditambah pula, kita yakin mampu menarik pelabur dari luar negara dengan jumlah pelaburan RM25 bilion menerusi industri besi waja di Kemaman dalam tempoh lima tahun akan datang,” katanya.

Beliau yang ditemui selepas mempengerusikan Mesyuarat Mingguan EXCO terakhir di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu, tengah hari tadi. Dato’ Seri Haji Ahmad turut memberitahu projek itu termasuk pembinaan kompleks besi bernilai RM15 bilion dan kilang besi bernilai RM10 bilion.

“Melalui kedua-dua projek ini dijangka dapat membuka peluang 5,000 pekerjaan kepada anak tempatan,” katanya. 

Katanya, BN mampu mempertahankan negeri Terengganu daripada jatuh ke tangan pembangkang berikutan rakyat mula mempercayai apa yang dilaksanakan parti itu.


“Kita mampu kembalikan keyakinan dan kepercayaan rakyat terhadap BN bukan sahaja kepada mereka yang tinggaldi kawasan kubu kuat BN malah di Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dijajah pembangkang,” katanya.

 



Pembangkang rasa terancam, wujud Ameerah saingi Puteri Umno

Oleh: Aida Abd Rahman

Kebangkitan generasi muda wanita yang menyokong Umno dilihat sebagai satu ancaman besar kepada pembangkang apabila turut mewujudkan Ameera, satu pergerakan yang menyamai fungsi Puteri Umno.

Ketua pergerakannya, Puan Nordiana Shafei (gambar) menyifatkan pembangkang yang merasa Puteri Umno menjadi aset dan kekuatan kepada kejayaan Umno dan Barisan Nasional (BN) di negara ini dan Terengganu, amnya bertindak menubuhkan Ameerah sebagai usaha menyaingi Puteri Umno.

“Saya rasa setiap kali PRU Puteri Umno akan menjadi sasaran pembangkang. Pembangkang jika tidak rasa ada persaingan dengan Puteri Umno, mereka tidak akan menubuhkan satu lagi sayap wanita mudanya dikenali sebagai Ameerah.

 “Kewujudan Ameerah itu bagi menarik perhatian golongan muda kerana jika kita lihat menerusi Facebook, Ameerah erdiri dari golongan yang sebaya Puteri Umno, gaya pemakaian dan cara berkempennya pun lebih kurang Puteri Umno juga, cuma pakaiannya ditukar kepada biru muda dengan latar belakang hijau,” katanya kepada pemberita ketika mengunjungi Pusat Media Kelab Wartawan Terengganu, Kuala Terengganu, hari ini.

Hadir sama, Ketua Puteri Bahagian Kuala Nerus, Puan Aida Azam; Ketua Puteri Bahagian Marang, Puan Marina Endut dan Ketua Puteri Bahagian Hulu Terengganu, Puan Zurina Abd Rahman.

Puan Nordiana berkata, pembangkang mahu mengalih perhatian golongan muda termasuk melakukan perang psikologi di alam siber menggunakan Ameerah sebagai wadah bagi menguar-uarkan manifesto Pakatan Rakyat.

“Jika Pakatan Rakyat tidak merasa Puteri Umno sebagai ancaman kepada mereka, pasti Ameerah tidak ditubuhkan. Tetapi, apabila dia cuba mewujudkan pergerakan yang sama menyerupai Puteri membuktikan bahawa sayap bongsu parti Melayu ini menjadi ancaman yang menggugat sokongan golongan muda kepada mereka,” katanya.

Sehubungan itu, Puan Nordiana berkata sambuatan luar biasa program Himpunan Gagasan Aspirasi Wanita Muda di Stadium Negeri, pada 23 Mac lalu membuktikan golongan muda wanita di Terengganu ini kekal dan semakin padu menyokong kepimpinan Umno dan BN.

 “Perkembangan dan kebangkitan yang ditunjukkan generasi muda wanita itu satu perkara yang amat merunsingkan pembangkang,” katanya.



Kerajaan taja guru ikuti seminar di USA

Oleh; Esah Abdullah

Terengganu satu-satunya negeri di negara ini yang menaja guru-gurunya mengikuti Seminar Confratute di Universiti Connecticut Amerika Syarikat (USA).

 Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pendidikan Tinggi, Sains Teknologi dan Sumber Manusia negeri, Dato’ Haji Ahmad Razif Abd. Rahman berkata, usaha ini akan berterusan pada masa-masa akan datang dalam bagi meningkatkan pengetahuan guru dan keterbilangan murid.

“Setakat ini seramai 86 guru telah dihantar ke seminar tersebut,” katanya ketika berucap di majlis Apresiasi dan Resepsi Kecemerlangan Pendidikan Terengganu Negeri Anjung Ilmu, di Stadium Tertutup Kompleks Sukan Terengganu Gong Badak semalam.

Katanya, kerajaan juga menaja Persatuan Pendidikan Bestari Negeri Terengganu (T-Confra) sejak 2005 yang dianggotai kumpulan warga pendidik dari sekolah menengah dalam semua mata pelajaran.

“Ia bertujuan melatih guru-guru dalam model Pembelajaran Schoolwide Enrichment Model (SEM) dalam usaha melonjakkan prestasi pendidikan di negeri ini.

Beliau kemudiannya menyeru semua warga pendidik terus memanfaatkan bahan berkualiti tinggi yang telah dihasilkan bagi meneruskan agenda kecemerlangan generasi pewaris yang akan merealisasikan Terengganu Negeri Anjung Ilmu.

“Saya menyanjung tinggi segala usaha, perjuangan dan pengorbanan para guru yang telah berjaya meletakkan Terengganu dalam peta kecemerlangan pendidikan negara,” katanya.

Selain itu katanya, jangan cepat berpuas hati dan selesa dengan kejayaan yang telah dicapai kerana masih ada ruang dan lompang yang perlu dibaiki dan kerjasama dalam pasukan mesti diteruskan untuk mencapai kejayaan yang cemerlang.

 

Empat tahun Najib tabur bakti kepada Rakyat 1Malaysia

Oleh: Kamarudin Mat Akib 

Hari ini genap sudah empat tahun Dato’ Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak menerajui negara sebagai Perdana Menteri yang keenam.

Melalui prinsip Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan, beliau melakukan pelbagai program dan perancangan bagi kesejahteraan rakyat Malaysia.

Dalam tempoh tersebut terlalu banyak jasa ditabur beliau kepada rakyat yang sememangnya dekat di hati pemimpin nombor satu negara itu.

Berikut antara perkara yang dilakukan Perdana Menteri dalam tempoh empat tahun mentadbir negara:

1. Amanah Saham 1Malaysia (AS1M).

2. Klinik 1Malaysia

3. Tabung Penyelenggaraan 1Malaysia (TP1M)

4. 1AZAM (Akhir Zaman Miskin)

5. Program Susu 1Malaysia

6. Skim Keselamatan Makanan 1Malaysia (SK1M)

7. Klinik Bergerak 1Malaysia

8. Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M)

9. Transformasi Kedai Runcit (TUKAR)

10. Menu Rakyat 1Malaysia

11. Kedai Rakyat 1Malaysia (KR1M)

12. Skim Latihan 1Malaysia (SL1M)

13. Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA)

14. Kedai Ikan Rakyat 1Malaysia (KIR1M)

15. Puat Bersalin Berisiko Rendah 1Malaysia

16. Bantuan Buku 1Malaysia

17. Skim Amanah Rakyat 1Malaysia

18. Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC)

19. Program Kebajikan Rakyat 1Malaysia (KAR1SMA)

20. Rawatan Perubatan Percuma Bagi Warga Emas

21. Interaktif Tuisyen 1Malaysia (i-TR1M)

22. Teksi Rakyat 1Malaysia (TR1M)

23. Pusat Transformasi Bandar (UTC)

24. Kedai Kain 1Malaysia (KK1M)

25. Kad Diskaun Pelajar 1Malaysia

26. Inisiatif Kembali Ke Sekolah

27. Pasar Bergerak 1Malaysia

28. Bantuan Lesen 1Malaysia (BL1M)

Begitu banyak program dan bantuan yang dilaksanakan hasil pemikiran kreatif Dato’ Seri Mohd Najib yang begitu menitikberatkan rakyat pelbagai lapisan masyarakat dan kaum di negara ini.

Terlalu banyak rakyat negara ini terhutang budi kepada Perdana Menteri dan Kerajaan Barisan Nasional (BN).

Bagi masyarakat Malaysia yang masih mengamalkan budaya timur yang sentiasa mengenang budi dan jasa pemimpin, rasanya tidak berat untuk mereka menterjemahkannya rasa terima kasih dan bersyukur itu melalui undi pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13).

Ingatlah pesan Perdana Menteri sewaktu mengumumkan pembubaran Dewan Rakyat pagi tadi, “Pilihlah kerajaan yang mampu membela nasib rakyat”.

Taktik kotor Pas tarik orang ramai dengar ceramah

Taktik kotor pembangkang didedahkan Pergerakan Puteri Umno negeri.
Oleh: Aida Abd Rahman

Demam Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) yang semakin memuncak turut mengheret kepada pelbagai tindakan tidak berasas pembangkang dalam usaha meraih undi rakyat supaya memihak kepada mereka demi merampas kuasa pemerintahan.

Dalam sibuk berkempen, pembangkang didakwa menggunakan taktik kotor apabila menyebarkan poster ceramah di Kampung Pujuk, Manir tidak lama lagi dengan tertera ahli panel sebagai `bekas Ketua Puteri Umno’ sebagai usaha menarik perhatian orang ramai.

Ketua Pergerakan Puteri Umno negeri, Puan Nordiana Shafei, berkata`bekas Ketua Puteri Umno’ berkenaan, Puan Rusni Hassan cuba mengaburi orang ramai dengan `menjual’ dirinya sebagai mantan ketua dalam sayap bongsu Umno itu, sedangkan dia hanya pernah memegang jawatan Ketua Penaja Puteri Cawangan Banggol Donas pada 2001 lalu sebelum jawatan itu diambil alih Puteri yang lain setahun kemudian.

“Untuk makluman bekas Ketua Puteri Umno Kuala Nerus dari zaman (Ketua) Penaja hingga sekarang tidak bertukar lagi, iaitu Puan Aida Azam. Saya tidak tahu Puan Rusni ini dia mendapat jawatan daripada mana.Saya pun tidak mengenali (siapa) Puan Rusni ini.

 “Saya harap pihak pembangkang yang mengeluarkan poster ini dan mendakwa Puan Rusni sebagai bekas Ketua Puteri (Umno) ini supaya janganlah mengelirukan orang ramai dengan dakwaan sebegitu,” katanya kepada pemberita ketika mengunjungi Pusat Media Kelab Wartawan Terengganu, Kuala Terengganu, hari ini.

 Hadir sama, Ketua Puteri Bahagian Kuala Nerus, Puan Aida Azam; Ketua Puteri Bahagian Marang, Puan Marina Endut dan Ketua Puteri Bahagian Hulu Terengganu , Puan Zurina Abd Rahman.

Puan Nordiana yang juga Ketua Puteri Bahagian Kuala Terengganu, tidak menolak tindakan pembangkang mengaitkan Puteri Umno itu sebagai sandaran mereka bagi meraih sokongan orang ramai supaya datang mendengar ceramah dan menyokong mereka.

“Saya rasa inilah taktik kempen kotor yang diamalkan oleh pembangkang ketika PRU13 yang semakin hampir.

"Jadi kita nasihatkan pembangkang berkempen dengan cara yang betul dan tidak mengaitkan nama Puteri Umno dalam siri kempennya kerana ini mengelirukan orang ramai, cuba menarik golongan muda supaya hadir untuk mendengar sendiri kononnya, wanita berkenaan sebagai bekas Ketua Puteri (Umno),” katanya.

Sebelum itu, Rusni pernah menggunakan taktik serupa pada 2012 menyebabkan laporan polis dibuat oleh Puan Aida (Ketua Puteri Kuala Nerus) bagi menghentikan perbuatan itu, selain membersihkan penyalahgunaan gelaran oleh Rusni ketika itu yang mendakwa sebagai `mantan Ketua Puteri Kuala Nerus’.

Katanya, kali ini, wanita yang berasal dari Negeri Sembilan serta berkahwin dengan lelaki tempatan dan menetap di Banggol Donas itu sekali lagi bertindak menggelarkan dirinya sebagai bekas Ketua Puteri Umno’.

Sementara itu, Puan Aida berkata pihaknya yakin Rusni bertindak demikian disebabkan tidak berpuas hati dengan kaedah pengagihan kurma dan air zam-zam sumbangan Kerajaan Terengganu yang tidak mengikut kemahuannya dan berkaitan isu gantian balik tanah kediamannya yang terlibat dengan projek pembinaan lebuh raya di Jeram, Manir.

 “Rusni mungkin tidak berpuas hati apabila dipindahkan di kawasan lebih jauh berbanding di kawasan tempat tinggal asalnya. Hanya kerana ketidakpuasan hati beliau terhadap beberapa perkara termasuk soal pengagihan kurma, dia keluar daripada Puteri Umno dan menyertai Pas.

"Tindakan keluar Umno itu atas sebab peribadi, bukan agenda Puteri atau hal yang berkait dengan politik semasa pada ketika itu.

 “Harapan saya sebagai Ketua Puteri Bahagian Kuala Nerus saya menasihartkan Puan Rusni menghentikan segera dalam siri ceramahnya yang sentiasa menyalahkan Puteri dan juga ahli politik di kawasan Kuala Nerus serta Adun Teluk Pasu dengan mendakwa dirinya sebagai mantan Ketua Puteri Kuala Nerus,” ujarnya.

Beliau berkata, dakwaan itu mengelirukan masyarakat di luar sana sedangkan dia bukan bekas Ketua Puteri Umno Kuala Nerus, sebaliknya hanya bekas Ketua Puteri Penaja di peringkat cawangan pada 2001 lalu.