Halaman

04 April 2013

Nasib ibu tunggal akan terus terbela jika BN menang

Oleh: Noraini Jusoh


Nasib ibu tunggal akan terus terbela sekiranya rakyat Terengganu memberi mandat kepada Kerajaan Barisan Nasional (BN) dan Umno pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) untuk terus memerintah negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Masyarakat dan wanita negeri, Dato’ Yahya Khatib Mohamad berkata, pihaknya akan peruntukan satu dana khusus kepada jabatan kehakiman untuk membela nasib golongan ibu tunggal sekiranya BN menang di Terengganu.

"Sejumlah RM100,000 hingga RM200,000 akan dijadikan sebagai waran tahunan untuk membantu ibu tunggal.

"Selain dana, peruntukan tersebut juga boleh dimanfaat untuk membantu ibu tunggal mengadakan aktiviti seperti seminar, kaunseling, aktiviti ziarah dan sebagainya,” ujarnya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Majlis Peyampaian Wang Dana Pendahuluan Nafkah Bahagian Sokongan Keluarga (BSK), Jabatan Kehakiman Syariah Terengganu, di Mahkamah Syariah Kuala Terengganu, hari ini.

Turut hadir, Ketua Hakim Syarie Jabatan Kehakiman Syariah Terengganu, Wan Mohd Zakri Wan Mohd.


Pada majlis tersebut, Dato’ Yahya telah menyampaikan wang dana pendahuluan nafkah berjumlah RM25,530 kepada 14 ibu tunggal bagi meringankan beban kewangan yang ditanggung mereka.

Seorang ibu tunggal yang ditemui, Che Wan Salinawati Che Wan Salim, 36, berkata dengan adanya wang dana pendahuluan nafkah tersebut, sedikit sebanyak dapat meringankan beban untuk perbelanjaan persekolahan enam orang anaknya yang berusia antara enam hingga 15 tahun.

"Saya bersyukur dan berterima kasih kepada kerajaan yang prihatin terhadap nasib kami dan wang ini akan saya gunakan sebaik mungkin,” katanya yang telah empat tahun berpisah dengan suami dan hanya bekerja sebagai pembantu kedai makan.

 


Tarikh mengundi dijangka 27 April, penamaan calon 13 April

Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) boleh diadakan seawal 20 April dan penamaan calon pada 10 April (Rabu) depan, berikutan pembubaran Parlimen semalam.

Bagaimanapun, banyak pihak meramalkan pengundian akan diadakan pada 27 April depan manakala penamaan calon pada 13 April, dengan mengambil kira faktor cuti hujung minggu bagi semua negeri.

Apa pun keputusan muktamad bergantung kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang dijangka mengadakan mesyuarat esok atau awal minggu depan.

Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata, PRU13 boleh diadakan selewat-lewatnya 28 Mei berikutan pembubaran Dewan Rakyat semalam, dengan mengambil kira pembubaran automatik Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan pada 28 Mac lalu.

"Kalau kira mulai 3 April hari ini, (tempoh 60 hari) akan habis 3 Jun, jadi ia sudah terlepas (tarikh pembubaran DUN) Negeri Sembilan. Maka perlu adakan (PRU-13) selewat-lewatnya 28 Mei," katanya dalam program Soal Jawab terbitan TV3 yang dihoskan Pengarah Eksekutif Operasi Berita dan Editorial Media Prima Bhd Datuk Ahmad A. Talib, malam tadi.

Tan Sri Abdul Aziz menjelaskan banyak faktor yang perlu dipertimbangkan dalam menentukan penamaan calon dan tarikh pengundian, termasuk peristiwa keagamaan, keadaan cuaca dan penganjuran acara-acara besar. "Cuti sekolah bukan jadi pertimbangan kita.

Bila anggota panel SPR bermesyuarat, semua akan kemuka pendapat dan kita akan ambil keputusan sebulat suara," katanya.

Beliau juga menolak tanggapan sesetengah pihak bahawa PRU-13 itu akan menjadi pilihan raya "terburuk" dalam sejarah negara, kononnya berlaku penipuan oleh pihak SPR dan parti-parti politik.

"Saya langsung tak percaya PRU-13 ini adalah yang terburuk. Sekiranya semua pihak termasuk parti politik, calon-calon parti, calon Bebas, pemerhati dan badan bukan kerajaan (NGO) beri kerjasama dengan SPR, saya percaya PRU-13 akan berjalan dengan baik, aman dan teratur," katanya.

Katanya, SPR memperkenalkan 19 pembaharuan dalam proses pilihan raya kali ini termasuk undi awal, dakwat kekal dan pembersihan berterusan Daftar Pemilih.

 

Terengganu sedia tambah tabung TPK

Oleh: Suriati Ali

 Kerajaan negeri bersedia menambah peruntukan Tabung Pesakit Kronik (TPK) sedia ada jika terdapat penambahan permohonan daripada pesakit yang memerlukan rawatan dengan kadar segera.

 Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Perpaduan dan Hal Ehwal Pengguna negeri, YB Dr Haji A Rahman Mokhtar, berkata pada tahun lalu, seramai 606 pesakit menerima rawatan di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) membabitkan kos lebih RM2 juta.

 Manakala RM500,000 lagi dibelanjakan untuk membiayai pesakit yang mendapatkan rawatan di hospital luar seperti Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian dan Institut Jantung Negara (IJN) memandangkan kita tidak mempunyai peralatan dan kepakaran bagi menangani kes seperti kanser," katanya.


“Bagi melayakkan pesakit mendapatkan bantuan berkenaan, kerajaan negeri menetapkan beberapa syarat bagi memastikan ia dapat diagihkan dengan adil dan mereka yang benar-benar memerlukan.

 "Pemohon TPK mestilah anak jati Terengganu atau bermastautin di negeri ini lebih 10 tahun. “Kita juga tidak tetapkan bantuan ini kepada mereka yang bekerja sendiri dengan pendapatan rendah, malah kakitangan dan pesara kerajaan juga boleh memohon untuk mendapat pertimbangan," katanya.

 Katanya, selain itu, pemohon juga perlu melalui beberapa proses biasa termasuk mendapatkan pengesahan daripada pihak hospital, wakil rakyat dan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) di kawasan masing-masing.

 "Perkara pertama yang perlu dilakukan pemohon adalah mendapatkan perakuan pemastautin daripada JKKK dan wakil rakyat di kawasan masing-masing.

 "Selepas itu, mereka yang layak akan mendapat pengesahan daripada doktor pakar dan dirujuk kepada Pegawai Kerja Sosial Perubatan (PPKSP) hospital tertentu untuk siasatan latar belakang, perakuan serta sokongan seterusnya mendapat kelulusan daripada Pengarah Pejabat Kesihatan Negeri Terengganu," katanya.

 Katanya, selepas kelulusan dibuat, Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) akan mengeluarkan baucar bayaran terus kepada pembekal ubatan dan peralatan, bayaran hospital dan institusi kesihatan berkaitan manakala bagi bantuan kewangan lain seperti perbelanjaan pengangkutan dan penginapan akan dimasukkan terus ke akaun pesakit atau keluarganya.

 "Biasanya amaun bantuan akan diberi mengikut harga peralatan dan bil hospital. Bagaimanapun, bagi kes pesakit yang mendapatkan rawatan di luar Terengganu, bantuan kewangan sebanyak RM1,000 akan dimasukkan ke dalam akaun masing-masing bagi tempoh enam bulan sekali," katanya.

 

Kerjasama semua pihak bentuk kerajaan baru selepas PRU13

Dato' Tengku Putera Tengku Awang (bersongkok) ketika membuat sidang akhbar di Wisma Darul Iman.
Oleh: Aida Abd Rahman

Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri Terengganu, Dato’ Tengku Putera Tengku Awang berharap seluruh rakyat Terengganu dapat memberi kerjasama bagi menjayakan pembentukan kerajaan baru selepas Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13).

“Terengganu sebagai negeri di bawah Persekutuan, kita mempunyai panduan yang lengkap mampu diurus dengan baik sepanjang tempoh PRU ini dan harap semua dapat memberi kerjasama bagi menjayakan pembentukan kerajaan baru selepas PRU13,” katanya kepada pemberita di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu, hari ini.

Hadir sama, Pengarah SPR Terengganu, Encik Fakhrul Razi Ab Wahab dan Setiausaha DUN negeri, Haji Azhar Jusoh.

Dato’ Tengku Putera sepanjang tempoh sebaik pembubaran sebelum pelantikan kerajaan baru, Menteri Besar dan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri masih berfungsi sebagai `caretaker government’, manakala keputusan kerajaan berjalan seperti biasa dan tidak akan melibatkan perubahan besar.

Selain itu, beliau turut mengucapkan terima kasih dengan kerjasama baik dan komitmen seluruh Ahli Dewan Undangan Negeri, pegawai kerajaaan, kakitangan DUN, wartawan dan semua pihak yang berjaya memastikan sepanjang empat tahun 10 bulan dan tiga hari DUN Terengganu Ke-12 berjalan dengan sempurna dan baik.

 “Semua pihak yang terlibat di DUN Terengganu berjaya menunaikan tanggungjawab kepada rakyat dan juga negeri dengan sempurna dan baik sepanjang tempoh itu, sebanyak 15 persidangan melibatkan 49 hari, lebih dari sebulan itu,” katanya.


Manifesto BN Terengganu akan umum dalam tempoh terdekat

Semua janji dari tahun 2008 hingga tahun 2012
telah ditunaikan Kerajaan Barisan Nasional
Oleh: Suriati Ali

 “Manifesto Barisan Nasional (BN) Terengganu yang bakal diumumkan dalam tempoh terdekat nanti, sebagai
tambahan kepada manifesto BN Pusat yang dibuat berdasarkan keupayaan kewangan Kerajaan Pusat, bukan janji kosong seperti yang dilakukan part-parti pembangkang dan Pakatan Rakyat (PR).

“Pengumuman mengenainya akan dibuat selepas manifesto BN pusat dilancarkan nanti, “kata Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said yang juga Pengerusi BN Terengganu.

Pada Pilihan Raya Umum (PRU) 2008, BN menang dengan lebih dua pertiga majoriti kerusi dalam DUN Terengganu dan menguasai tujuh kerusi Parlimen manakala Pas hanya memenangi lapan kerusi Dun dan satu kerusi Parlimen.

Bagaimanapun pada pilihan raya kecil Parlimen Kuala Terengganu pada 17 Januari 2009, Pas menang kerusi itu, menjadikan ia kini menguasai dua kerusi Parlimen manakala BN menguasai enam kerusi Parlimen.

Pada PRU 2004 dan 2008, BN menguasai negeri Terengganu, selepas negeri itu jatuh kepada Pas pada PRU 1999.

 Dato’ Seri Haji Ahmad turut memberitahu rakyat perlu memberi mandat kepada Perdana Menteri, Dato’ Seri Najib Tun Abdul Razak dan Kerajan BN untuk terus menerajui kepimpinan negara.

“Tiada alasan untuk rakyat menidakkan kemampuan Perdana Menteri sepanjang empat tahun menerajui kepimpinan negara. Bukan saja patut diberi mandat sepenggal lagi malah lebih banyak penggal.

 “Perdana Menteri perlu diberi mandat untuk lebih banyak penggal kerana beliau masih muda, kuat bekerja, berwawasan dan berkebolehan serta berkemampuan memimpin dan memacu negara ke arah terbaik,” katanya..

Katanya, patut berbangga dengan kedudukan dan pencapaian negara sekarang yang melalui pelbagai proses tranformasi di bawah pimpinan Najib, terutama di bidang ekonomi dan pembangunan,” katanya.

 “Terlalu banyak beliau beri, Bantuan Rakyat Satu Malaysia (BR1M), Kedai Rakyat 1Malaysia (KR1M), dan Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA), Baucer Buku 1Malaysia dan pelbagai bantuan lagi demi faedah rakyat,” katanya.



DUN Terengganu dibubar secara rasmi berkuatkuasa semalam

Dato’ Tengku Putera menyerahkan notis pembubaran DUN Terengganu kepada Pengarah  SPR bagi meneruskan urusan proses PRU13.
Oleh: Aida Abd Rahman

 Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu Ke-12 dibubarkan secara rasmi berkuatkuasa semalam, (3 April) selepas Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said mendapat perkenan Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin, di Istana Badariah, Kuala Terengganu, jam 8 malam tadi.

Sehubungan itu, bermula hari ini 32 kerusi DUN seluruh negeri terbubar secara automatik dan kosong selepas watikah pembubaran itu mendapat perkenan baginda.

Yang Dipertua DUN, Dato’ Tengku Putera Tengku Awang, berkata pembubaran itu dilaksanakan bagi membolehkan proses Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) dijalankan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR).

 “Jadi, pada hari ini saya mengistiharkan Dewan Undangan Terengganu ke-12 terbubar dengan sendirinya dan memberi laluan kepada untuk SPR mengadakan Pilihan Raya Umum di peringkat Dewan Undangan Negeri Terengganu dengan Persekutuan sebagaimana Perlembagaan.

 “Duli Yang Maha Mulia Tuanku (Sultan Mizan) membubarkan DUN ini berdasarkan kepada Peruntukan 44 (2) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Terengganu Darul Iman,” katanya kepada pemberita di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu, hari ini.

 Hadir sama, Pengarah SPR Terengganu, Encik Fakhrul Razi Ab Wahab dan Setiausaha DUN negeri, Haji Azhar Jusoh.

 Susulan itu, Dato’ Tengku Putera menyerahkan notis pembubaran DUN Terengganu kepada Pengarah SPR bagi meneruskan urusan proses PRU13.


DUN Terengganu dibubarkan malam tadi

Oleh: Fauzi Mohd

Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu dibubarkan malam tadi selepas mendapat perkenan daripada Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin.

 Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said berkata, Sultan Mizan telah menurunkan tandatangan memberi perkenan pembubaran selepas beliau menghadap baginda kira-kira pukul 7.40 malam.

 "Pagi esok Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri, Dato’ Tengku Putera Tengku Awang akan menyerahkan watikah pembubaran kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR)," katanya ketika berucap melancarkan Jentera Pilihan Raya Dewan Undangan Negeri (DUN) Sura di sini malam tadi.

Menteri Besar turut mengumumkan beliau akan mempertahankan DUN Kijal manakala Dat0’ Toh Chin Yaw mewakili MCA kekal bertanding di DUN Bandar dalam Pilihan Raya Umum Ke-13.

 Pada majlis itu, beliau menyampaikan watikah kepada para Pengerusi Portfolio Pilihan Raya melibatkan parti-parti komponen Barisan Nasional (BN).

Sementara itu, ketika bercakap kepada pemberita, beliau menjelaskan, dua kerusi itu diumumkan lebih awal untuk mengelakkan spekulasi tidak menyenangkan termasuk dirinya yang dikatakan tidak dicalonkan oleh pucuk pimpinan manakala MCA merupakan kerusi tunggal bagi parti itu di negeri ini.

 "Nama-nama lain tidak boleh diumumkan selagi tidak menyerahkan borang pencalonan kepada Pegawai Pilihan Raya," ujarnya.

-

03 April 2013

Usah fikir panjang lagi...undi BN

Analisis berita oleh: Kamarudin Mat Akib 

Dato' Seri Mohd Najib ketika mengumumkan pembubaran Parlimen.
Debaran banyak pihak, terutama mereka yang berangan-angan untuk menjadi calon atau ‘tok wakil’ makin kencang bila Perdana Menteri, Dato’ Seri Mohd Najib Tun Razak, mengumumkan Parlimen dibubarkan berkuatkuasa hari ini.

Dengan pengumuman itu, bermakna selesai sudah fasa pertama bagi pilihan raya umum kali ini iaitu pembubaran Dewan Rakyat bagi memberi laluan Pilihan Raya Umum Ke-13 diadakan dalam tempoh 60 hari.

Mengikut kebiasaannya, proses pengundian akan diadakan dalam tempoh terdekat, mungkin dalam bulan ini juga.

Selepas ini, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan mengadakan mesyuarat bagi menetapkan tarikh penamaan calon, diikuti dengan tarikh mengundi bagi memilih calon-calon di peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Parlimen.

Bagi orang biasa, debaran menunggu pengumuman pembubaran Parlimen telah pun berakhir, mereka hanya perlu tunggu siapa yang akan dipilih sebagai calon dan seterusnya mengundi pada hari yang telah ditetapkan.

Biarlah mereka yang berangan-angan menjadi calon terus berdebar sama ada nama mereka ‘naik’ atau sebaliknya sebagai calon pada pilihan raya ini.

Dato'Seri Haji Ahmad Said
Buat masa ini, rakyat biasa yang layak mengundi hanya perlu membulatkan tekad mereka untuk memilih calon-calon yang mampu membela nasib mereka di masa depan.

Mereka perlu membuat penilaian secara wajar, tanpa dipengaruhi oleh unsur-unsur luar yang sentiasa meniupkan api kebencian rakyat kepada Kerajaan dan pemimpin Barisan Nasional (BN).

Mereka perlu membebaskan minda daripada diracuni janji-janji palsu pihak pembangkang yang langsung tidak masuk akal.

Pengundi perlu memikirkan secara mendalam pesanan Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, yang selalu diingatkan pada majlis-majlis beliau, iaitu “berkasih pada yang sayang dan meminta pada yang ada”.

Beliau mengingatkan rakyat Terengganu supaya bermanja dan meminta bantuan kepada Kerajaan BN yang sentiasa mengambil berat dan cakna nasib mereka.

Jadi, usah lagi berfikir panjang, tekadkan hati untuk memilih calon-calon BN yang terbukti membela rakyat selama ini.

Biar bakal-bakal ‘tok wakil’ terus berdebar, tetapi rakyat Terengganu tekad pilih BN kini, dulu dan selama-lamanya....

BN akan terus bela nasib rakyat

Oleh: Suriati Ali

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said menegaskan Barisan Nasional (BN) akan meneruskan kesinambungan perjuangan membela nasib rakyat jika terus diberi mandat mentadbir Terengganu pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13).

Dato' Seri Haji Ahmad ketika membuat sidang media
selepas mesyuarat exco di Wisma Darul Iman.
Katanya, rakyat di negeri ini tidak wajar menolak tuah pada pilihan raya nanti kerana BN sudah banyak berjasa kepada rakyat dalam pelbagai aspek. 

“Cukup tidak adil dan boleh dianggap zalim jika seseorang itu memilih pembangkang yang belum tentu boleh memberi kebajikan dan kesejahteraan.

“Terengganu kini semakin maju, ditambah pula, kita yakin mampu menarik pelabur dari luar negara dengan jumlah pelaburan RM25 bilion menerusi industri besi waja di Kemaman dalam tempoh lima tahun akan datang,” katanya.

Beliau yang ditemui selepas mempengerusikan Mesyuarat Mingguan EXCO terakhir di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu, tengah hari tadi. Dato’ Seri Haji Ahmad turut memberitahu projek itu termasuk pembinaan kompleks besi bernilai RM15 bilion dan kilang besi bernilai RM10 bilion.

“Melalui kedua-dua projek ini dijangka dapat membuka peluang 5,000 pekerjaan kepada anak tempatan,” katanya. 

Katanya, BN mampu mempertahankan negeri Terengganu daripada jatuh ke tangan pembangkang berikutan rakyat mula mempercayai apa yang dilaksanakan parti itu.


“Kita mampu kembalikan keyakinan dan kepercayaan rakyat terhadap BN bukan sahaja kepada mereka yang tinggaldi kawasan kubu kuat BN malah di Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dijajah pembangkang,” katanya.

 



Pembangkang rasa terancam, wujud Ameerah saingi Puteri Umno

Oleh: Aida Abd Rahman

Kebangkitan generasi muda wanita yang menyokong Umno dilihat sebagai satu ancaman besar kepada pembangkang apabila turut mewujudkan Ameera, satu pergerakan yang menyamai fungsi Puteri Umno.

Ketua pergerakannya, Puan Nordiana Shafei (gambar) menyifatkan pembangkang yang merasa Puteri Umno menjadi aset dan kekuatan kepada kejayaan Umno dan Barisan Nasional (BN) di negara ini dan Terengganu, amnya bertindak menubuhkan Ameerah sebagai usaha menyaingi Puteri Umno.

“Saya rasa setiap kali PRU Puteri Umno akan menjadi sasaran pembangkang. Pembangkang jika tidak rasa ada persaingan dengan Puteri Umno, mereka tidak akan menubuhkan satu lagi sayap wanita mudanya dikenali sebagai Ameerah.

 “Kewujudan Ameerah itu bagi menarik perhatian golongan muda kerana jika kita lihat menerusi Facebook, Ameerah erdiri dari golongan yang sebaya Puteri Umno, gaya pemakaian dan cara berkempennya pun lebih kurang Puteri Umno juga, cuma pakaiannya ditukar kepada biru muda dengan latar belakang hijau,” katanya kepada pemberita ketika mengunjungi Pusat Media Kelab Wartawan Terengganu, Kuala Terengganu, hari ini.

Hadir sama, Ketua Puteri Bahagian Kuala Nerus, Puan Aida Azam; Ketua Puteri Bahagian Marang, Puan Marina Endut dan Ketua Puteri Bahagian Hulu Terengganu, Puan Zurina Abd Rahman.

Puan Nordiana berkata, pembangkang mahu mengalih perhatian golongan muda termasuk melakukan perang psikologi di alam siber menggunakan Ameerah sebagai wadah bagi menguar-uarkan manifesto Pakatan Rakyat.

“Jika Pakatan Rakyat tidak merasa Puteri Umno sebagai ancaman kepada mereka, pasti Ameerah tidak ditubuhkan. Tetapi, apabila dia cuba mewujudkan pergerakan yang sama menyerupai Puteri membuktikan bahawa sayap bongsu parti Melayu ini menjadi ancaman yang menggugat sokongan golongan muda kepada mereka,” katanya.

Sehubungan itu, Puan Nordiana berkata sambuatan luar biasa program Himpunan Gagasan Aspirasi Wanita Muda di Stadium Negeri, pada 23 Mac lalu membuktikan golongan muda wanita di Terengganu ini kekal dan semakin padu menyokong kepimpinan Umno dan BN.

 “Perkembangan dan kebangkitan yang ditunjukkan generasi muda wanita itu satu perkara yang amat merunsingkan pembangkang,” katanya.