Halaman

21 April 2013

AWAL-AWAL PAKATAN PAS-PKR SUDAH BERBALAH

Oleh: Lanbayu 

Bagaimana mungkin hendak tubuh kerajaan, kalau awal-awal baru di peringkat hendak letak calon pun sudah bergaduh.

Walau pun PKR telah diputuskan bertanding mewakili Pakatan di enam kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan satu kerusi Parlimen di Terengganu, tetapi Pas engkar dan tidak mematuhi ketetapan tersebut.

Sebagaimana keputusan bersama dengan Pas kerusi-kerusi PKR yang diperuntukkan ialah Permaisuri, Kota Putera, Telemong, Seberang Takir, Bukit Besi dan Bandar, manakala Parlimen ialah Kemaman.

Namun begitu, Pas didakwa mencabul perjanjian dan mungkin janji apabila turutn meletak calon mereka bertanding di Kota Putera, Bukit Besi dan Seberang Takir.

Ini jelas merupakan suatu pencabulan dan janji tidak ditepati. Setiausaha Politik Kanan Dato’ Seri Anwar Ibrahim yang juga merupakan Timbalan Pengerusi PKR Terengganu, Abd.Rahman Yusof menyelar tindakan Pas yang tidak menghormati perjanjian.

“Pemimpin Pas perlu belajar menghormati keputusan kalau hendak rakyat menghormati mereka,” tegas Abd Rahman ketika ditemui di Lapangan Terbang Sultan Mahmud 19 April, sehari sebelum penamaan calon.

Abdul Rahman telah membuat lapaoran rasmi kepada PKR Pusat (Dato’ Seri Anwar) berhubung pencabulan hak PKR itu untuk tindakan selanjutnya.

Namun katanya, pertandingan tiga penjuru BN, PKR dan PAS akan berlaku di Dun Kota Putera, Seberang Takir dan Bukit Besi kerana “kami tak akan berundur dan tetap dengan keputusan dan perjanjian asal”.

Pemimpin Pas perlu menghormati PKR dan penjanjian asal, barulah rakyat akan hormati Pas, katanya dengan kesal. Abd Rahman, menjangka Pas dan pembangkang kalau menang di Terengganu pun tidak lebih 8 kerusi sahaja paling banyak, bermakna beliau mengakui pembangkang lemah di Terengganu akibat tidak menghormati antara satu sama lain.

Semasa penamaan calon di Kuala Nerus, penyokong PKR datang menumpang di sebelah penyokong Barisan Nasional (BN) menunjukkan bahawa Pas tidak layan kepada mereka, sekaligus pakatan mereka hanya pada nama sahaja.

Dalam situasi seperti ini tentulah rakyat sukar menerima pakatan yang kononnya menjadi harapan rakyat, tetapi sebenarnya awal-awal pakatan mereka sudah menemui kehancuran.




20 April 2013

BN hadapi satu lawan satu di 24 DUN

Oleh: Kamarudin Mat Akib, Aida Abd Rahman dan Suriati Ali

Barisan Nasional (BN) akan menghadapi perlawanan dua penjuru di enam kerusi Parlimen dan 24 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di seluruh Terengganu pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13).

Manakala pertandingan tiga penjuru melibatkan dua kerusi Parlimen dan lapan DUN.

Kerusi Parlimen yang bakal menyaksikan pertandingan tiga penjuru ialah Kuala Terengganu dan Dungun manakala DUN pula ialah Kota Putera (Besut), Kemasik (Kemaman), Ajil (Hulu Terengganu), Permaisuri (Setiu), Bukit Besi dan Rantau Abang (Dungun), Seberang Takir (Kuala Nerus) dan Alor Limbat (Marang).

 Bagi kerusi Parlimen Besut, calon BN, Dato’ Seri Haji Idris Jusoh akan ditentang Riduan Mohd Nor (Pas) manakala DUN Kuala Besut menyaksikan Dr. A Rahman Mokhtar (BN) ditentang oleh Nafisah Ismail (Pas).

Di DUN Kota Putera, calon muka baru BN, Mohd Mahdi Musa menghadapi tentangan Adam Isa (Pas) dan Dr Mohamed Abdul Ghani Ibrahim (PKR) manakala DUN Jertih, Mohd Pehimi Yusof (BN) akan berlawan dengan Wan Azhar Wan Ahmad (Pas).

Di Hulu Besut, Nawi Mohamad (BN) akan berlawan dengan Solahuddin Jaafar (Pas).

Bagi Parlimen Setiu, calon muka baru BN, Che Mohamad Zulkifly Jusoh akan berdepan dengan Omar Sidek (Pas) manakala DUN Jabi, seorang lagi calon muka baru BN, Iskandar Jaafar akan berlawan dengan Azman Ibrahim (Pas).

 Di DUN Permaisuri, Ketua Umno Bahagian Setiu, Datuk Mohd Jidin Shafiee akan ditentang oleh Wan Mokhtar Ibrahim (PKR) dan Mohd Yusof Majid (Bebas); Langkap Sabri Mohd Noor (BN) dan Hassan Karim (Pas); Batu Rakit, Bazlan Abdul Rahman (BN) dan Che Ghani Che Ambak (Pas).

Bagi Parlimen Kuala Nerus, Ketua Umno Bahagian Kuala Nerus, Dato’ Haji Mohd Nasir Ibrahim Fikri akan menghadapi tentangan Mohd Khairuddin Aman Razali (Pas); DUN Tepoh, Haji Muhammad Ramli Nuh (BN) ditentang Hishamuddin Abd Karim (Pas); Teluk Pasu, penyandangnya, Dato’ Abdul Rahin Mohd Said (BN) dan Ridwan Hashim (Pas).

 Manakala DUN Seberang Takir menyaksikan, Dato’ Ahmad Razif Abd Rahman berlawan dengan Zakaria Dagang (Pas) dan Ahmad Nazri Mohd Yusof (PKR); Bukit Tunggal, Haji Ismail Nik (BN) dan Alias Razak (Pas).

 Di Parlimen Kuala Terengganu, Mohd. Zubir Embong (BN) akan berdepan dengan Raja Kamarul Baharin (Pas) dan Maimun Yusoff (Bebas); Wakaf Mempelam, Wan Mahyuddin Wan Ngah (BN) dan Mohd Abdul Wahid Endut (Pas); Bandar, Dato’ Toh Chin Yaw (BN) dengan Azan Ismail (PKR); Ladang, Dato’ Wan Ahmad Farid Wan Salleh (BN) dan Tengku Hassan Tengku Omar (Pas) dan Batu Burok , Dato’ Che Mat Jusoh (BN) dan Syed Azman Syed Ahmad Nawawi (Pas).

Bagi Parlimen Marang, Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri, Dato’ Yahya Khatib Mohamad (BN) akan berlawan dengan Presiden Pas, Dato’ Seri Abdul Hadi Awang.

 DUN Alor Limbat pula menyaksikan Haji Alias Abdullah (BN) akan ditentang oleh Ariffin Deraman (Pas) dan Jaafar Jambol (Bebas); Bukit Payung, Zaidi Muda (BN) dan Mohd Nor Hamzah (Pas); Rhu Rendang, Nik Dir Wan Ku (BN) dan Abdul Hadi (Pas) dan Pengkalan Berangan, A. Latif Awang (BN) dan Sulaiman Sulong (Pas).

 Bagi Parlimen Hulu Terengganu, Datuk Jailani Johari (BN) akan berdepan dengan Kamaruzaman Abdullah (Pas); Telemong, Haji Rozi Mamat dan Narawi Embong (PKR); Manir, Yusof Awang Hitam (BN) dan Helmi Harun (Pas); Kuala Berang, Dato’ Tengku Putera Tengku Awang dan Muhyiddin Abd Rashid (Pas) dan Ajil, Ghazali Taib (BN) ditentang oleh Mohd Razki Alias (Pas) dan Mohd Nurhairi Mohamad (Bebas).

Bagi Parlimen Dungun, Ketua Umno Bahagian Dungun, Dato’ Rosli Mat Hassan ditentang oleh Wan Hassan Mohd Ramli (Pas) dan Mazlan Harun (Bebas).

 DUN Bukit Besi pula calon BN, Roslee Daud (muka baru) akan berdepan dengan Roslan Ismail (Pas) dan Mazlan Harun (Bebas); Rantau Abang, Dato’ Za'abar Mohd Adib (BN) dan Alias Harun (Pas); Sura, Zakaria Ali (BN) dan Wan Afandi Wan Nik (Pas) serta Paka, Datuk Matulidi Mat Jusoh (BN) dan Satiful Bahri Mamat (Pas).

Di Parlimen Kemaman, Menteri Belia dan Sukan, Dato’ Seri Ahmad Shabery Cheek akan ditentang oleh Kamarudin Chik (PKR) manakala DUN Kemasik, Rosli Othman (BN) akan menghadapi Alias Abdul Hamid (Pas) dan Zulkiflee Salleh (Bebas).

 Di Kijal pula, Menteri Besar, Dato’ Seri haji Ahmad Said akan ditentang oleh Hazeri Jusoh (Pas); Cukai, Datuk Wan Ahmad Nizam Wan Abdul Hamid (BN) dan Hanafiah Mat (Pas) serta Air Putih, Wan Abdul Hakim Wan Mokhtar (BN) dan Abdul Razak Ibrahim.

 

Pas-PKR bertembung di tiga DUN

Oleh: Aida Abd Rahman

Pertembungan sesama sendiri antara Pas dengan PKR terjawab apabila Pakatan Rakyat itu mencalonkan wakil masing-masing di tiga Dewan Undangan Negeri (DUN) Seberang Takir, Kota Putera dan Bukit Besi, pada hari penamaan calon di seluruh Terengganu, hari ini.

DUN Seberang Takir melibatkan pertandingan antara penyandang kerusi itu, Dato’ Ahmad Razif Abd Rahman (BN) dengan Zakaria Dagang (Pas) dan Ahmad Nazri Mohd Yusof (PKR), manakala Kota Putera melibatkan Mohd Mahdi Musa (BN) menentang calon PKR, Dr Mohamed Abdul Ghani Ibrahim dan Adam Mat Said dari Pas.

Sementara DUN Bukit Besi pula calon BN, Roslee Daud  akan menentang Roslan Ismail (Pas) dan Mohd Shamsul Mat Amin (PKR).

Ketika ditanya kepada calon Pas (Bukit Besi), Roslan pertembungan itu menguatkan lagi fakta berhubung wujudnya ketidaksefahaman di kalangan PR, Bendahari Pas Dungun itu menafikan perkara terbabit, sebaliknya menganggap kehadiran PKR sebagai sokongan kepada Pas.

“(Penglibatan PKR sebagai calon) ini sebagai sokongan (kepada Pas). Kita pertahankan supaya undi tidak pergi sepenuhnya kepada Umno. “Undi yang berpecah kepada dua itu, kamu (wartawan) kira dalam matematik, tetapi sekarang ini kita kira (undian) secara psikologi,” katanya.

Sementara itu, Mohd Shamsul, 28, (Bukit Besi- PKR) pula mengambil keputusan tetap bertanding walaupun berlaku pertindihan dengan Pas, sebagai memikul amanah Presiden PKR, Dato’ Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail yang memberi mandat itu kepada beliau sebelum ini.

“Pengundi yang akan menentukannya. Benda ini tidak boleh dijangka, kita lihat apabila akhir hari pengundian nanti insya-Allah. “Kita ada strategi (berkempen) kita dan kita akan terus menjalankan amanah yang diberikan oleh PKR Pusat supaya saya bertanding . Ini adalah parti, bukan personal, kalau orang perjuangkan personal tahu sendirilah,” katanya.

Mohd Shamsul yang juga Ketua Angkatan Muda Keadilan Dungun, baru berkecimpung dalam PKR kira-kira enam tahun lalu muncul calon termuda PKR mewakili kerusi DUN seluruh negara juga menyifatkan jentera parti bukan penentu kepada kejayaan dalam pilihan raya, sebaliknya akan menggunakan strategi tersendiri untuk menawan pengundi nanti.


Tiada bekas wakil rakyat BN tanding bebas

Oleh: Kamarudin Mat Akib dan Suriati Ali

Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) di Terengganu menyaksikan hanya enam calon bebas bakal bertanding melibatkan dua kerusi Parlimen dan lima kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).

 Proses penamaan calon yang tamat pada jam 10 pagi tadi mengesahkan tidak ada seorang pun bekas wakil rakyat Barisan Nasional (BN) yang tidak dicalonkan semula untuk bertanding pada pilihan raya 5 Mei ini, menghantar borang pencalonan untuk bertanding atas tiket parti bebas.

 Ini dengan jelas mematikan desas desus sebelum ini kononnya beberapa bekas wakil rakyat BN akan bertanding atas tiket bebas kerana tidak puas dengan keputusan pucuk pimpinan BN mengetepikan mereka pada pilihan raya kali ini.

Sebelum ini pun, Pengerusi Barisan Nasional (BN) Terengganu, Dato’ Seri Haji Ahmad Said ketika mengulas mengenai perkara itu menyifatkan ia sebagai spekulasi golongan tidak bertanggungjawab yang mahu melemahkan jentera BN sahaja.

 Mereka yang akan bertanding atas tiket bebas ialah Maimun Yusof 94, yang juga calon tertua (Parlimen Kuala Terengganu) dan Mazlan Harun, 56, yang akan mencuba nasib merebut kerusi Parlimen Dungun dan DUN Rantau Abang.

Manakala calon bebas lain Zukiflee Salleh, 58, (DUN Kemasik), Jaafar Jambol (DUN Alor Limbat); Yusof Majid (DUN Permaisuri) dan Mohd Nurhairi Muhammad (DUN Ajil).

 Pemerhati politik berpendapat berdasarkan nama-nama yang bertanding atas tiket bebas ini baik di kerusi Parlimen mahu pun DUN, tidak akan mengugat kedudukan BN.

Malah, mereka berpandangan di beberapa kawasan pula kehadiran calon bebas memberi peluang lebih besar kepada calon-calon BN untuk menang kerana akan berlaku masalah pecah undi.

 Kehadiran calon bebas di kebanyakan kawasan di negeri ini berlaku disebabkan rasa tidak puas hati dengan pembahagian kerusi antara parti-parti dalam Pakatan Rakyat (PR).

Tindakan meletakkan calon bebas itu sengaja dilakukan pihak tertentu sebagai tanda protes kepada pemimpin Pas dan Parti Keadilan Rakyat berhubung keputusan meletakkan calon PR.

Kawasan yang melibatkan pertandingan tiga penjuru itu membuktikan tidak wujud persefahaman antara PR berhubung pembahagian kerusi menyebabkan parti-parti pembangkang akan berlawan sesama sendiri.

 Masalah ini berlaku sejak dulu lagi dan ia pasti akan memberi kelebihan kepada calon BN untuk menang dengan lebih selesa.

 

Tiga pertandingan tiga penjuru di Parlimen Dungun

Oleh: Aida Abd Rahman

Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) bagi kerusi Parlimen Dungun menyaksikan pertandingan tiga penjuru bagi kerusi Parlimen dan dua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu Bukit Besi dan Rantau Abang.

Calon Barisan Nasional bagi kerusi Parlimen Dungun, Dato’ Rosli Mat Hassan akan ditentang calon Pas, Wan Hassan Wan Ramli, 56, serta Mazlan Harun, 56, (Bebas).

Sementara di DUN Bukit Besi pula calon BN, Roslee Daud, 53, akan menentang calon Pakatan Rakyat yang diwakili Roslan Ismail, 48, (Pas) dan Mohd Shamsul Mat Amin, 28, (PKR).

Manakala di Rantau Abang pula melibatkan pertandingan antara penyandang kerusi itu, Dato’ Za’abar Mohd Adib, 59, (BN), Alias Harun (Pas) dan Mazlan Harun, 56, (Bebas).

Pertandingan satu lawan satu di DUN Sura antara Zakariah Ali, 57, (BN) dengan Wan Hapandi Wan Nik, 57, (Pas) diikuti DUN Paka menyaksikan Datuk Matulidi Jusoh, 56, (BN) dengan Satiful Bahri Mamat, 46, (Pas).

Kesemua calon yang bertanding mengemukakan borang pencalonan antara 9.04 pagi hingga 9.44 pagi sebelum masa diperuntukkan untuk penghantaran borang ditutup mulai jam 10 pagi.

Pegawai Pengurus Pilihan Raya Parlimen Dungun, Haji Mohd Akil Mat mengisytiharkan semua calon berkenaan layak bertanding bagi PRU13, 5 Mei ini  selepas selesai proses semakan,di Pejabat Daerah Dungun, kira-kira jam 11.30 pagi.

Dungun satu-satunya Parlimen yang menyaksikan tiga pertandingan tiga penjuru, berbanding  hanya satu pertandingan tiga penjuru di Parlimen Kuala Terengganu; DUN Kemasik (Parlimen Kemaman); DUN Kota Putera (Besut); DUN Seberang Takir (Kuala Nerus); DUN Ajil (Hulu Terengganu); DUN Permaisuri (Setiu) dan DUN Alor Limbat (Marang).


Mantan wakil rakyat BN hadir di pusat penamaan calon

Oleh: Kamarudin Mat Akib dan Esah Abdullah 

Bekas wakil-wakil rakyat Barisan Nasional (BN) yang tidak dicalonkan semula untuk bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) turut hadir di pusat-pusat penamaaan calon di seluruh negeri, bagi memberi sokongan kepada calon-calon BN, termasuk muka baru yang akan bertanding pilihan raya ini.
Dato' Mohamed Awang Tera , mantan wakil rakyat Dun Chukai (kanan)  mengiringi calon-calon Parlimen Kemaman ke penamaan calon di Kemaman.
Ini merupakan petanda baik kepada BN yang mengemukakan kira-kira 45 peratus muka baru bagi PRU13 yang dianggap paling sengit dalam sejarah politik tanah air.

Di Setiu, keempat-empat mantan wakil rakyat dalam Parlimen berkenaan yang tidak tercalon semula pada PRU13 hadir memberi sokongan kepada BN di pusat penamaan calon di Pejabat Daerah Setiu, hari ini.

Mereka ialah Haji Khazan Che Mat (Batu Rakit), Haji Ashaari Idris (Langkap), Haji Ramlan Ali (Jabi) dan Haji Abdul Halim Jusoh (Permaisuri).

Kehadiran mereka menolak desas desus yang tersebar luas sebelum ini kononnya bekas wakil rakyat berkenaan dan penyokong masing-masing akan membaikot pilihan raya kali ini.

Haji Khazan yang juga Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan (Exco) kelihatan ceria dan bersalaman dengan penyokong BN yang memenuhi kawasan berkumpul sambil menunggu pengumuman calon oleh Pegawai Pengurus Pilihan Raya.

Beliau mengingatkan penyokong BN agar terus setia kepada parti yang memerintah demi masa depan generasi muda yang akan menempuh perjalanan panjang selepas ini.

“Saya tahu ramai yang buat cerita, tetapi Allah maha mengetahui, saya ahli Umno dan saya sangat sayangkan parti saya dan ingin melihat BN terus memerintah negara ini,” katanya.

Begitu juga Haji Ashaari Idris (mantan wakil rakyat Langkap) yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani negeri dan Haji Ramlan Ali (mantan wakil rakyat Jabi) turut hadir memberi sokongan.

“Soal calon merupakan kuasa mutlak presiden parti yang boleh bertukar ganti, tetapi parti BN mesti terus kekal memerintah negara ini,” kata Haji Ashaari.

Di Kemaman, bekas ADUN Cukai dan Exco, Dato’ Mohamed Awang Tera, turut ceria dan berada di dalam dewan tempat penyerahan borang pencalonan dan beramah mesra dengan Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said dan semua calon di Parlimen Kemaman.

Di Besut, bekas Ahli Parlimen Besut, Dato’ Seri Haji Abdullah Mohamed Zin, turut berada di pusat penamaan calon di Pejabat Daerah Besut.

 

Kejutan di Parlimen Besut di hari penamaan calon


Dr A Rahman Mokhtar (BN) ditentang calon PAS Napisah Ismail di DUN Kuala Besut

Oleh: Mohammad Ishak 

Penamaan calon Parlimen Besut mencatat sejarah pada Pilihan Raya Umum (PRU13) apabila seorang wanita pertama dicalonkan oleh PAS bertanding di kerusi DUN Kuala Besut

Surirumah ,Napisah Ismail, 53, dari Kampung Denger, dekat sini, dipertaruhkan oleh PAS untuk menentang penyandang  Dr A Rahman Mokhtar dari BN.

Napisah yang juga Ketua Dewan Muslimat Pas Besut,satu satunya calon wanita di negeri ini yang akan bertanding pada PRU13.

Bagi DUN Kota Putera, pertandingan tiga penjuru antara calon BN,Pas dan PKR dijangka menarik perhatian kerena sebelum ini hanya BN dan Pas sahaja yang akan bertanding di kerusi berkenaan.

Bagaimanapun, kehadiran calon PKR, Dr Mohamed Abd Ghani,61, bekas pensyarah Maktab Perguruan Sultan Mizan Besut, yang tiba-tiba muncul di pusat penamaan calon di Pejabat Daerah Besut, mengejutkan orang ramai.

Dr Abdul Ghani juga mencatat rekod apabila beliau adalah Pengerusi Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Kampung Alur Lintah, Bukit, Keluang, bertanding di atas tiket pembangkang.

“Sebagai pengerusi KRT pertama bertanding menjadi calon saya amat bangga dan akan mempastikan berjaya dalam PRU13 ini,” katanya.

MB hadapi satu lawan satu dengan Pas di Kijal

Dato' Seri Haji Ahmad Said - BN (kanan) bersalaman dengan tentangannya Hazri Jusoh (Pas) pada penamaan calon di Dewan Majlis Perbandaran Kemaman, pagi ini.
Oleh: Kamarudin Mat Akib

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, akan menghadapi tentangan satu lawan satu dengan Pas di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kijal pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13), 5 Mei ini.

Beliau yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) Terengganu menyerahkan borang pencalonan bagi kerusi DUN berkenaan di Dewan Majlis Perbandaran Kemaman (MPK), pada jam 9.03 pagi manakala calon Pas, Hazri Jusoh berbuat demikian jam 9.15 pagi.

Kerusi DUN Kemasik pula menyaksikan calon BN, Ir Rosli Othman yang merupakan penyandang menghadapi tentangan tiga penjuru melibatkan calon Pas (Che Alias Abdul Hamid) dan Bebas (Zulkiflee Salleh).

Calon Pilihan Raya Umum Ke-13 (dari kiri) Wan Abdul Hakim Wan Mokhtar, Datuk Wan Mohd Nizam Wan Abdul Hamid, Rosli Othman, Datuk Seri Ahmad Shabey Cheek, Datuk Seri Ahmad Said, Kamarudin Chik, Hazri Jusoh, Che Alias Hamid, Hanafiah Mat, Razak Ibrahim dan Zulkiflee Salleh bergambar selepas proses penamaan calon di Dewan Majlis Perbandaran Kemaman di sini, pagi ini.


Bagi kerusi DUN Cukai, Setiausaha Politik Menteri Besar, Dato’ Wan Ahmad Nizam Abdul Hamid yang merupakan calon BN akan ditentang oleh Hanafiah Mat (Pas) manakala DUN Air Putih, penyandang yang juga calon BN, Wan Abdul Hakim Wan Mokhtar akan ditentang oleh Abdul Razak Ibrahim (Pas).

Menteri Belia dan Sukan, Dato’ Ahmad Shabery Cheek yang juga calon BN dan penyandang kerusi Parlimen Kemaman akan ditentang oleh calon Pas, Kamarudin Chik.


Pegawai Pengurus Pilihan Raya Parlimen Kemaman, Haji Mohd Kamil Othman, mengumumkan kesemua nama calon yang akan bertanding pada PRU13 bagi parlimen berkenaan jam 9.20 pagi.

Terdahulu, Menteri Besar yang berbaju Melayu biru mengetuai perararakan lebih 5,000 penyokong BN dari pejabat Umno Bahagian Kemaman ke pejabat MPK, seawal jam 8.30 pagi.


Isteri Menteri Besar, To’ Puan Seri Norliza Mahmud dan bekas Adun Cukai, Dato’ Mohamed Awang Tera dan pemimpin Umno serta parti komponen BN turut menyertai perarakan itu.

Proses penamaan calon Parlimen Setiu lancar

Oleh; Esah Abdullah

Proses penamaan calon bagi Parlimen Setiu (P034) berjalan lancar apabila semua calon-calon yang bertanding menyerahkan borang mereka sebaik sahaja pusat penamaan calon di Pejabat Daerah Setiu di buka pada jam 9 pagi dan berakhir 10 pagi tadi.

Pegawai Pengurus Pilihan Raya Parlimen Setiu, Haji Mohamad Nor Ibrahim mengumumkan kesemua calon-calon yang akan bertanding dalam Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) pada 5 Mei ini bagi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Jabi (N05), Permaisuri (N06), Langkap (N07) dan Batu Rakit (N08) kira-kira jam 10.45 pagi.

Parlimen Setiu dan tiga DUN menyaksikan perlawanan satu lawan satu antara BN dan Pas manakala DUN Permaisuri membabitkan pertandingan tiga penjuru antara BN, PKR dan Bebas.

Parlimen Setiu membabitkan pertandingan dua penjuru antara calon Barisan Nasional (BN) Che Mohd Zulkifli Jusoh yang menyerahkan borang percalonan jam 9.08 pagi manakala Encik Omar Sidek (Pas) menyerahkan borang percalonan jam 9.20 pagi.

DUN Jabi pula menyaksikan pertandingan dua penjuru antara BN dan Pas di mana calon BN Mohd Iskandar Jaafar, 38, yang menyerahkan borang percalonan tepat jam 9.03 pagi dan Encik Azman Ibrahim (Pas) jam 9.22 pagi.

DUN Permaisuri membabitkan pertandingan tiga penjuru antara BN, PKR dan Bebas di mana BN diwakili Dato’ Haji Mohd Jidin Shafee iaitu mantan Ahli Parlimen Setiu (2008-2013), Wan Mokhtar Wan Ibrahim (PKR) dan Haji Mohd Yusof Majid, 50, (Bebas).

 Ketiga-tiga calon menyerahkan borang masing-masing pada jam 9.05 pagi (BN), 9.20 pagi (PKR) dan 9.35 pagi (Bebas).

DUN Langkap juga menyaksikan calon BN, Datuk Sabri Mohd Nor, menyerahkan borang percalonan seawal jam 9.05 pagi manakala Encik Hasan Karim (Pas) jam 9.23 pagi.

Calon BN Batu Rakit, Encik Bazlan Abdul Rahman (9.04 pagi) pula akan ditetang calon Pas, Che Ghani Che Ambak (9.18 pagi).

 

Penyokong Barisan Nasional (BN) Besut semangat iringi calon.


Bekas Menteri, Dr Yusof Noor dan Dr Abdullah bersama calon BN Parlimen Besut

Oleh: Mohammad Ishak

Dua bekas menteri kabinet yang hadir sebagai pencadang dan penyokong kepada calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Besut, Dato'  Seri  Haji Idris Jusoh membakar semangat penyokong parti berkenaan yang hadir di Pusat Penamaan Calon, hari ini.

Bekas Menteri Perusahaan Awam, Tan Sri Dr Yusof Mohd Nor dan bekas Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Dato' Seri Dr Abdullah Md Zin masing-masing  sebagai pencadang dan penyokong kepada Dato' Seri Haji Idris.

Kira-kira 2,000 penyokong BN berarak mengiringi calon BN kira-kira satu kilometer,  bermula dari Pusat Khidmat Masyarakat, Kota Putera ke Pusat Penamaan Calon di Pejabat Daerah Besut..


Laungan keramat “Gelombang Biru” yang diketuai calon Parlimen Dato' Seri Haji Idris disambut meriah oleh penyokong-penyokong BN.


Kesemua calon BN iaitu Dato' Seri Haji Idris Jusoh (Parlimen Besut); Muhammad Pahemi Yusof (DUN Jertih), Dr A Rahman Mokhtar (Kuala Besut); Nawi Mohamad (Hulu Besut), dan calon muka baru Mohd Mahdi Musa (DUN Kota Putera) tiba di tempat penamaan calon kira-kira jam 8.45 pagi.

Sementara itu, kehadiran calon PKR Dr Mohamad Abd Ghani,61,bersama pencadang dan penyokongnya yang tiba kira-kira jam 9.00 pagi mengejutkan orang ramai

Pengesahan calon PKR, Dr Abd Ghani bertanding atas tiket PKR menyebabkan DUN Kota Putera menjadi perhatian apabila berlaku pertandingan tiga penjuru di Parlimen Besut antara calon Mohd Mahdi Musa (BN) dan Adam Mat Said (Pas).

Penampilan Dr Abdulah Ghani yang juga  bekas guru  berpakaian baju biru iaitu hampir menyamai pakaian dipakai calon BN menyebabkan ramai yang keliru.

Sementara itu, calon PAS diiringi kira-kira 1,500 penyokong turut mengejutkan orang ramai kerana mereka membawa bersama kanak-kanak bawah umur mengiringi calon.